BIODATA DR. USMAN AWANG

loading...
Tuesday, March 11, 2008
Dunia sajak Usman Awang

Biodata

Beliau dilahirkan pada 12 Julai 1929di Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor Darul Takzim. Dikenali juga dengan gelaran Pejuang Sastera, Sasterawan Negara, Adi Jaya, Amir, Atma Jiwa, Pengarang Muda, Rose Murni, Setiabudi, Tongkat Warrant. U.A. dan juga Zaini. Usman Awang sebagai seorang tokoh dalam kesusasteraan Melayu moden, khususnya sajak dan drama amat diperkatakan. Kerana itulaha nama Usman Awang paling terkenal di kalangan pengkaji dan peminat sastera Melayu pada pelbagai peringkat dan golongan.
Pendidikan yang diterima oleh Usman Awang hanya setakat sekolah Melayu sahaja. Situasi dan keluarganya yang miskin tidak membolehkan beliau untuk meneruskan pendidikannya. Beliau disekolahkan diKuala Sedili (1936), Mersing (1937), dan Bandar Maharani Muar (1940) hingga lulus darjah VI. Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1942, Usman Awang menjadi petani diSegamat, tidak lama kemudian beliau menjadi buruh paksa Jepun dan selama enam bulan di Singapura, beliau berjaya melepaskan diri dan pulang ke Segamat. Usman Awang pernah menjadi ‘ budak pejabat’ di Pejabat Tali Air Segamat dalam zaman Jepun dan kemudiannya memasuki pasukan Polis Jepun ( Botai), tetapi selepas beberapa minggu menjalani, latihan Jepun menyerah kalah.

Usman Awang telah menjadi anggota polis bila Inggeris kembali memerintah Tanah Melayu pada tahun 1946. Beliau menjalani latihan di Johor Bahru sebelum menjalankan tugasnya di Melaka. Pada tahun 1951, beliau meletakkan jawatannya sebagai anggota polis dan berhijrah ke Singapura bersama-sama Jamil Sulong. Di Singapura, Usman diterima berkerja sebagai pembaca pruf dengan Melayu Raya selama enam bulan, kemudian menjadi pemberita sebelum menjadi sidang pengarang Mingguan Melayu.
Pada tahun 1952, Usman Awang ditawarkan bekerja dengan Utusan Melayu, mula-mula sebagai sidang pengarang akhbar Utusan Kanak-Kanak, kemudian diangkat menjadi pengarang Utusan Zaman dan majalah Mastika. Selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Utusan Melayu berpindah ke Kuala Lumpur, dan Usman Awang turut serta dengan memegang jawatan yang sama. Akibat peristiwa pemogokan Utusan Melayu dalam tahun 1961 Usman berhenti dari Utusan Melayu dan terpaksa menganggur buat beberapa waktu.
Pada tahun 1962, Usman diterima bekerja dengan Penerbitan Federal dan setahun kemudian berkhidmat pula dengan Dewan Bahasa dan Pustaka, mula-mula sebagai sidang pengarang Dewan Bahasa, dan kemudian pengarang Dewan Masyarakat, Dewan Sastera, dan Dewan Budaya. Jawatan beliau di Dewan Bahasa dan Pustaka ialah sebagai Pegawai Penyelidik Kanan, Bahagian Pembinaan, dan Pengembangan sastera. Mulai Mei 1982, beliau menjadi Ketua Bahagian ini sehingga bersara pada bulan Julai 1985.
Usman Awang mula membentuk namanya dalam dunia kesusasteraan Melayu moden dengan menulis puisi. Puisi-puisinya sentiasa segar, kukuh serta akrab dengan akar budi Melayu dan perikemanusiaan. Beberapa buah puisinya menjadi bahan yang amat menarik bukan sahaja di kalangan masyarakat terbanyak yang cintakan puisinya, malah menjadi pilihan pelajar-pelajar sekolah dalam sebarang upacara mendeklamasi puisi. Antara puisinya yang cukup popular termasuklah “Bunga Popi”, “Gadis di Kuburan”, “ Pak Utih”, “ Ke Makam Bonda”, “ Nasib Buruh”, dan “ Salam Benua.” Usman adalah antara penyair Melayu yang berhasil mengekalkan semangat dan harmoni pantun dalam puisi-puisinya walaupun dengan melonggarkan beberapa ikatan konvensional. Beliau menggunakan kata-kata biasa dalam penulisannya dan pintar menjalin kata-kata itu hingga menjadi begitu indah dan berkesan tanpa melemahkan makna yang hendak disampaikan. Inilah antara keistimewaan Usman Awang.
Usman Awang juga menulis cerpen tetapi bidang ini nampaknya sudah lama ditinggalkannya sejak akhir tahun 1960-an lagi. Cerpen yang banyak dihasilkan dalam tahun-tahun 1950-an dan 1960-an lebih banyak memperlihatkan sikap dan pegangannya yang lebih ketara terhadap konsep “Seni untuk Masyarakat” yang didukungnya sebagai anggota ASAS 50. Maka itu apa yang terlihat dalam cerpen-cerpennya hanyalah berupa rakaman pengalaman, pergaulan dan pemerhatian serta pemikiran untuk mendedahkan segala kejelikan dan keburukan serta kepincangan hidup dalam masyarakat Melayu khususnya. Dalam pada itu, beliau tidak juga terlepas dari memperlihatkan pandangan seorang anak muda yang berjiwa romantik dan idealis. Dengup Jantung adalah satu-satunya cerpen setakat ini.

Posted by geng at 6:25 AM

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.