Tak Seindah Pelangi

pernah engkau bertanya
tentang cerita hidupku setelah ditinggalkan
oleh manusia yang tidak mahu menilai
betapa sang pencinta ini begitu setia
menggalas kenangan-kenangan silam
yang dianggap terindah
disepanjang jalan kehidupan...

mana kan ada kenangan itu
walau pelangi menyinari tujuh malam tanpa henti
walau rembulan penuh menemani
semuanya sirna dek satu kisah
perpisahan yang panjang.

kalau ia ada penghujung
nanti ku tabalkan ia menjadi mimpi
pabila buka mata kan tiada lagi
igauan itu sudah pergi
jauh ditelan hari-hari
jauh aku membawa diri

dan usahlah
membawa khabar baru
yang engkau masih menagih cintaku.
spacer

TELEFON SEKOLAH

Sekolah menengah tempat Mazlan belajar baru dibuka. Sempena dengan sesi baru itu, sekolah berkenaan memperkenalkan satu peraturan baru mewajibkan ibu bapa pelajarnya menghubungi sekolah seandainya anak mereka tidak dapat hadir pada hari tersebut.

Suatu hari, Mazlan berpakat dengan kawan-kawannya untuk ponteng dan pergi menonton wayang di KLCC. Sebaik ibu dan ayahnya keluar ke tempat kerja, Mazlan terus menelefon pejabat sekolahnya di Ampang. Kata Mazlan...

"Helo...encik, saya nak beritau yang anak saya, Mazlan, pelajar tingkatan 1 D, tak dapat ke sekolah hari ini. Dia demam panas."

"Oo...macam tu. Kesiannya." jawab kerani bertugas, "saya akan maklumkan kepada guru kelas Mazlan. Tapi, sebelum itu, boleh saya tau siapa bercakap di sana?"

"Bapak saya," balas Mazlan.
spacer

DUIT SYILING

Samad yang baru balik dari kerja pukul 12.00 malam, tiba-tiba terdengar anaknya menangis di dalam bilik tidur. Samad pun apa lagi, berlarilah dia ke bilik anak bongsunya yang berumur empat tahun itu.

"Aa... adik ...tt... tertelan dd... duiiit. Waaaaa!!!" kata si anak lalu meraung sekuat-kuat hati. "Mmm... matilah aadikk macam niii!" budak itu terus menangis. Samad cuba memujuk, tetapi gagal.

Pukul 1.00 pagi, selepas sejam berusaha dan matanya pun sudah mula mengantuk, tiba-tiba Samad dapat satu akal.

"Haa.. abah nak buat magik!" kata Samad lalu menyeluk poket seluarnya dan keluarkan duit syiling 20 sen. Duit itu Samad sorokkan di celah jari dan tapak tangannya dan seperti yang selalu dilakukan oleh ahli silap mata, dia pun pura-pura menolak duit syiling di dalam perut anaknya itu hingga ke tekak, kemudian tarik keluar dari telinga anaknya itu (yang sebenarnya adalah duit syiling yang Samad ambil dari dalam poket seluarnya tadi.)

Anaknya terus berhenti menangis. Dia ketawa melihat kehebatan magik yang Samad lakukan. Tapi tiba-tiba budak itu merampas duit syiling 20 sen di tangan samad tadi dan terus menelannya!

"Ayah... buat magik sekali lagi..." kata budak itu.
spacer