Pertembungan Lautan dan Gurun

loading...
Oleh ROSMAWATI MION







MEMASUKI 2009, Bonia mengajak wanita juga lelaki menyelami keindahan lautan dan ‘kehangatan’ gurun menerusi himpunan terkininya yang tampil bersama sentuhan segar lagi memikat.

Jenama yang terkenal dengan barangan kulit khususnya untuk aksesori itu, hadir menyerikan dunia fesyen dengan beg-beg kulit menawan, dompet, kasut dan tidak ketinggalan pakaian buat lelaki.

Bertemakan ‘Ketenangan Biru Bertemu Kehangatan Coklat’, Koleksi Bonia 2009 masih tetap mengekalkan gaya klasiknya, tetapi bukan ketinggalan zaman, sebaliknya diberi nafas baru khususnya pada beg dan dompet menerusi perincian dan warna-warna menawan.

Segalanya tercipta berinspirasikan biru laut dan rona pasir di gurun. Uniknya, kedua-dua itu dipertemukan dalam satu gaya yang lebih segar dan mempesona.

Bertepatan dengan tema tersebut, warna-warna yang membaluti koleksi 2009 kebanyakannya menyerlahkan rona natural atau semula jadi seperti coklat, kuning cair dan kuning bersama juga paparan warna biru lembut serta putih. Selain itu, ia masih tetap menampilkan rona hitam yang terus diminati wanita mahupun lelaki sepanjang zaman.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Bonia Corporation Berhad, Albert Chiang, warna-warna pilihan jenama itu diilhamkan dari lautan dan gurun yang akhirnya memberikan pelbagai nada untuk biru dan coklat yang diserlahkan pada keseluruhan koleksi.

Manakala putih dan hitam, hadirnya untuk melengkapkan lagi himpunan 2009 ini.

Katanya lagi, Bonia yang sudah 35 tahun hadir menceriakan dunia fesyen akan terus melahirkan produk-produk berkualiti untuk peminatnya tidak kira wanita mahupun lelaki.

Justeru, pada majlis pelancaran itu lebih 100 rekaan terbaru dipersembahkan antaranya himpunan terkini beg, kasut, pakaian dan aksesori yang juga merupakan sebahagian daripada himpunan terkini.

Namun, paparan paling menarik minat khususnya wanita kala koleksi ini diperagakan kepada tetamu di Pavilion Kuala Lumpur tentunya koleksi beg dan kasut.

Selain warna-warna biru dan coklat yang mewarnai koleksi beg, rekaan kali ini mengetengahkan kualiti kulit asli yang hadir dalam pelbagai tekstur seperti kulit buaya, monogram dan perincian cetak timbul yang cukup menarik.

Sementara itu, koleksi kasutnya pula bukan hanya mementingkan rekaan yang cantik, tetapi turut mengambil kira aspek keselesaan dengan menggunakan kulit anak lembu.

Tidak ketinggalan koleksi yang diperindahkan dengan kilauan kristal Swarovski untuk memberikan pilihan menarik bagi digayakan bersama pakaian malam.

Koleksi Bonia 2009 untuk beg dan kasut dijual antara harga RM300 dan RM1,999.

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.