Header Ads

CERPEN: RELAKAN KAU PERGI

"Kenapa pagi-pagi dah menangis ni. Tadi bukan main elok bergayut akak tengok. Dah kena rasuk ke ape kau ni, Sai?" Azlina terkejut mendengar tangisan Saidatul yang mendayu-dayu.

Saidatul sudah tidak mampu membendung tangisannya lalu memeluk erat Azlina disebelah demi mengaut kekuatan. Azlina yang masih terkejut membalas pelukan tersebut sambil mengelus belakang Saidatul demi memberikan semangat. Dia masih tidak pasti apa yang berlaku terhadap teman sepejabatnya itu.

"Dah la tu. Cerita dengan akak. Apa yang sebenarnya terjadi." pujuk Azlina lagi.

"Aidil putuskan hubungan kami. Dia ada perempuan lain, budak kilang tempat dia kerja." Saidatul berkata satu persatu.

Tangisan Saidatul masih belum reda. Azlina segera merapatkan pintu biliknya, ditakuti bos mereka tahu apa yang sedang terjadi. Mereka tidak mahu si mulut murai itu masuk campur. Biar masalah ini mereka yang selesaikan.

"Macam mana boleh jadi macam tu? Kau dengan dia dah tunang, kan? Mesti ada yang tak kena. Jangan-jangan kau ada buat silap tak..." Azlina berteka-teki.

Tangisan Saidatul semakin reda. Matanya merah kesan menangis yang agak lama tadi menyebabkan wajahnya sedikit sembap.

"Semalam saya intip dia orang dari rumah sewa lagi. Saya call Aidil tak nak angkat. SMS tak jawab. Bila dia tau saya ada kat depan rumah, selamba je dia dengan perempuan tu keluar. Langsung macam orang tak salah. Geramnya saya, kak..." Saidatul bercerita dengan nada sedih.

"Maksud kau, mereka berdua dalam rumah tu...?" soal Azlina terkejut.

"Ya kak. Saya tak tau lah apa nak jadi. Saya nampak tapi tak bertindak. Berdosa saya, kak. Bersubahat dengan dia orang..." ujar Saidatul lemah.

"Masya'Allah. Kita kena bagi tau jabatan agama." ujar Azlina tegas.

"Jangan kak! Saya sayang dia. Saya nak sedarkan dia pelan-pelan. Saya tak nak pertunangan kami putus, malu pada orang tua dan kawan-kawan, kak." suara Saidatul seakan merayu.

"Sai...jodoh, ajal dan maut semua di tangan Tuhan. Wanita yang baik untuk lelaki yang baik. Kau kena ingat tu. Bukan Aidil saja lelaki dalam dunia ni. Lepaskanlah dia kalau dah macam tu gayanya. Belum kawin dah tunjuk perangai, apalagi kalau dah kahwin. Akak takut teruk kau jadi mangsa dia nanti..." Azlina menasihati Saidatul bagai seorang adik.

Saidatul hanya menggelengkan kepala. Tak tahu nak kata apa.

***

Saidatul duduk di dalam bilik seperti di arahkan oleh ibu dan ayahnya. Dia tidak dibenarkan mencuri dengar perbualan tetamu-tetamu yang datang tidak diundang itu. Cincin pertunangannya dengan Aidil sudah diletakkan di dalam bekasnya. Tidak dipakai dijari manisnya seperti selalu.

Setelah berfikir selama seminggu, akhirnya Saidatul membuat keputusan memutuskan pertunangan. Itu pun setelah segala jalan penyelesaian menemui kegagalan. Biarlah dia lepaskan lelaki tak mengenang budi itu. Benar kata kak Azlina, biar menyesal sekarang daripada terngadah di kemudian hari.

"Sai, cincin ini mak pulangkan kepada tuannya. Kalau boleh jangan bermusuh dengan si Aidil tu. Mak bapaknya orang baik-baik. Cuma dia bukan jodoh kau..." bisik ibunya di telinga Saidatul yang sedang melamun.

"Eh! Mak...tak lah. Sai okey jer..."

"Baguslah macam tu. Mak keluar dulu."

"Sai nak jumpa mak cik dan pak cik..." mohon Saidatul pada ibunya.

"Nanti masa dia orang nak balik mak panggil Sai."

Ibunya sudah menghilang di balik pintu kamar. Saidatul membetulkan kedudukan selendang di kepala supaya rambutnya tidak banyak yang terjurai. Inilah azamnya selepas tali pertunangan yang berusia 9 bulan terlerai. Berazam mengubah penampilan dengan menutup rambutnya.

Saidatul menangis teresak-esak sewaktu menyalami tangan bakal mentua yang tak menjadi itu. Banyak kenangan manis mereka yang kini hanya tinggal sejarah. Hubungan rapat mereka perlu ditamatkan dengan terlerainya ikatan pertunangan tersebut.

"Jangan lupa mak cik, nak. Kalau ada masa jenguk-jenguklah kita orang. Kamu dah macam anak kami sendiri..." ujar Mak Cik Habibah kepada Saidatul.

"Insya'Allah mak cik, Sai akan ingat mak cik sampai bila-bila."

"Kamu jangan simpan dendam dengan 'dak Aidil tu. Biar Tuhan yang balas segala perbuatan dia pada kamu. Mak cik doakan kamu akan dapat jodoh dengan orang yang baik-baik..."

Ayah Aidil memerhatikan dengan wajah yang muram adegan tersebut. Mungkin malu dengan perbuatan anaknya sendiri. Puas sudah dinasihati dan dimarahi, Aidil masih belum berubah. Dalam hati dia selalu berdoa agar anak bujangnya itu dipertemukan dengan jalan kebenaran. Itulah harapannya.

***

Saidatul dan Azlina duduk dikerusi menunggu giliran untuk bertemu dengan pegawai pencegahan maksiat di Jabatan Agama Islam tersebut. Mereka bersepakat untuk mengadukan perihal bekas tunang Saidatul yang bersekedudukan dengan teman wanitanya.

"Mesti garang kan pegawai tu."

"Tak semestinya." jawab kak Azlina perlahan.

"Nanti akak yang cakap dengan dia, Sai takut."

"Orang tak makan kita, buat apa nak takut. Tudung kau tu betulkan sikit. Anak rambut terkeluar. Nanti disyarahnya kita pulak." Kak Azlina menjeling Saidatul.

Saidatul segera membetulkan tudungnya melalui cermin gelap berhadapan tempat duduknya. Bertudung bukan saja untuk cantik, tetapi yang penting untuk menutup aurat; terngiang-ngiang pesanan emaknya sewaktu dia menyatakan niatnya mahu bertudung.

"Akak rasa pegawai tu macam mana? Maksud Sai, dia gemuk ke kurus, tua macam ayah Sai ke...?"

"Mana lah akak tau. Kau ni kan, banyak songel. Baru putus tunang dah nak cari yang lain." kak Azlina membebel menegur Saidatul.

Saidatul hanya tersenyum-senyum melihatkan muka kak Azlina yang mencuka. Masa menunggu hampir setengah jam, tetapi mereka masih belum dipanggil oleh pegawai di dalam bilik tersebut. Susahnya berurusan dengan jabatan kerajaan; kak Azlina mengeluh.

Tidak berapa lama kemudian mereka dipanggil masuk ke dalam bilik yang sentiasa bertutup itu. Seorang kerani wanita mengarahkan mereka masuk setelah menerima arahan melalui interkom. Sekali lagi Saidatul membetulkan kedudukan tudungnya pada cermin gelap sebelum bersama kak Azlina memasuki bilik misteri tersebut.

"Assalamualaikum..."

"Wa'alaikumussalam... silakan duduk."

Kak Azlina sudah melabuhkan punggung di kerusi setelah dipelawa. Dia menahan senyum dek teringatkan komunikasinya dengan Saidatul di luar sebentar tadi.

Gemuk? Tua? Garang? Negatif jawapannya. Kerana terlalu tak percaya Saidatul hampir terduduk di atas lantai melihatkan pemuda yang dipanggil ustaz itu. Sungguh berbeza dengan persepsi peribadinya semasa di luar tadi.

Manisnya! Tahi lalat di bawah bibirnya menambahkan lagi aura ustaz muda itu. Dia terkejut tatkala kak Azlina menyiku lengannya. Dalam sedar Saidatul memberikan senyuman percuma kepada ustaz Amirul. Wah! Namanya macam pernah dengar. Kat mana ya?; gumam Saidatul sendirian.

"Saudari berdua, apa yang boleh saya tolong?"

"Kami nak buat laporan. Laporan tentang kegiatan maksiat yang berlaku di rumah jiran kami." tenang Saidatul memulakan kata-kata.

Ustaz Amirul mencatat sesuatu di atas sekeping kertas putih.

"Maksudnya..."

"Bersekedudukan lelaki dan wanita yang bukan muhrim. Dah lama perkara ni terjadi tapi baru sekarang kami berani melaporkannya." sambung kak Azlina.

"Kenapa sekarang? Cuba ceritakan semuanya dengan jelas."

Kak Azlina memandang Saidatul lalu mengangguk. Membiarkan Saidatul yang bercerita kerana dia lebih tahu perkara sebenar.

Saidatul bercerita dari awal sampai akhir dengan nada suara yang bersemangat. Mungkin kesan dikecewakan atau juga demi dendam kepada bekas tunang yang menduakannya.

"Macam mana awak tahu begitu mendalam tentang jiran awak tu. Contohnya bila perempuan itu datang, dia guna barang-barang lelaki tu, dan yang saya pelik, awak banyak gambar-gambar kejadian tersebut."

"A...ah... saya intip dia orang. Saya geram dengan jantan keparat tu. Kerana dia hidup saya merana!" akhirnya Saidatul melepaskan apa yang terbuku.

Ustaz Amirul menggelengkan kepala beberapa kali.

"Buat aduan biar ikhlas. Bukan kerana dendam. Niat awak dah betul nak mencegah maksiat tetapi perlaksanaannya tu silap. Tapi tak apa, Saya catat laporan awak ni. Kita akan hantar pegawai menyiasat perkara ni. Sila tinggalkan alamat rumah tersebut."

"Maaf ustaz, dia tengah tak berapa stabil. Baru putus tunang." kak Azlina menjelaskan keadaan sebenar kepada ustaz Amirul.

Ustaz Amirul tersenyum memandang kak Azlina dan kemudiannya kepada Saidatul. Memang gadis yang agak lincah tetapi bersembunyi disebalik tudung dan baju kurungnya. Begitu telahannya terhadap Saidatul.

Saidatul membalas senyuman ustaz Amirul dengan seikhlas adanya.

Setelah segala keterangan dan maklumat direkodkan, kedua-dua gadis tersebut melangkah meninggalkan bilik ustaz muda yang baik hati itu.

"Oh ya. Berapa lama tindakan akan diambil tu, Ustaz?" tanya Saidatul seraya menoleh kepada ustaz Amirul.

"Insya'Allah. Secepat mungkin."

Saidatul melemparkan senyum meleret kepada ustaz Amirul namun seperti tiada respon. Dia segera mendapatkan kak Azlina yang telah jauh di hadapan. Berbakul-bakul sumpahnya pada diri sendiri kerana terlebih gedik tadi. Menyesal sangat rasanya.

"Dah la tu. Kau kan dah menyesal tadi. Ustaz tu mesti faham tapi aku pelik sikit lah. Ustaz macam tak berminat dengan perempuan, kan." ulas kak Azlina tentang ustaz Amirul.

"Sai pun terperasan benda yang sama la kak. Dia dah kawin kot!"

"Agaknye..."

"Melepas Sai. Dah lah handsome, nampak macam warak je..."

"Macam dah syok jer kat ustaz tu, ingat awak baru putus tunang."

"Orang putus tunang tak boleh bercinta semula ke?" soal Saidatul kepada Kak Azlina.

Kak Azlina terpempan mendengar kenyataan yang keluar dari mulut Saidatul. Kemudian mereka sama-sama berdiam diri dalam masa yang agak lama.

***

Saidatul tersenyum puas mendengar berita yang Aidil dan teman wanitanya ditangkap basah oleh sepasukan pencegah maksiat malam semalam. Tidak sampai seminggu selepas dia membuat laporan ke jabatan agama. Mak Cik Habibah, bakal ibu mentua yang tak jadi itu menelefonnya menceritakan hal yang sebenar. Namun dia tidaklah menunjukkan keangkuhannya kepada orang tua itu.

"Sabarlah mak cik. Ini semua dugaan dari Allah."

Itu saja ayat yang keluar dari mulut Saidatul. Dia tidak mahu berlebih-lebih takut nanti dia yang dipersalahkan oleh keluarga Aidil.

"Mak dengar kamu yang melapor kat jabatan agama, betul ke Sai?" soal ibunya pada suatu petang.

"Kenapa mak cakap macam tu."

"Dah banyak mulut orang bercerita. Betul ke?"

"Ha ah! Biar padan muka dia. Jantan tak guna macam tu, memang patut dia kena." jawab Saidatul geram.

"Astaghfirullah...." ibunya mengucap panjang.

Saidatul merenung muka ibunya yang seakan mahu memarahinya mohon simpati.

"Dah la dengan dendam kamu tu, Sai. Nanti orang buat kamu pula."

"Mak... ini kan untuk kebaikan. Sai melaporkan benda yang betul."

Selepas berkata-kata, Saidatul mengangkat punggung ke dapur, malas untuk bertekak dengan ibunya lagi.

***

Setelah beberapa bulan tidak mendengar khabar atau bertemu dengan ustaz Amirul yang handsome itu, suatu hari dia terserempak dengan lelaki itu di sebuah pusat membeli belah. Ustaz Amirul yang menegurnya dahulu. Pada mulanya Saidatul tidak mengenali lelaki itu kerana keadaan fizikalnya yang banyak berubah.

Setelah bertukar salam, mereka berbual dan bertanya khabar masing-masing. Sinar matanya tetap bercahaya walau mukanya kelihatan cengkung. Mungkin sinar wajah orang beriman. Kak Azlina yang sedari tadi tidak kelihatan tiba-tiba muncul dari arah kiri lengannya.

"Sapa ni?"

"Ustaz Amirul." jawab Saidatul.

"Ya ke? Kenapa lain?" soal kak Azlina.

"Banyak yang saya kena ceritakan..." jawab ustaz Amirul perlahan.

Mereka bertiga menuju ke Mc Donald's untuk mengisi perut sambil bertukar-tukar cerita.

"Saya baru tiga hari balik dari umrah. Tu yang badan susut ni. Sebelum ni saya ada cuba nak hubungi kamu berdua, tetapi masa tidak mengizinkan. Selepas pembedahan membuang ketumbuhan dalam perut berjaya, saya terus buat umrah. Semasa umrah saya mohon dan berdoa pada Allah agar dipertemukan dengan awak, Saidatul. Saya memang nak jumpa awak. Sebelum terlewat, saya nak awak tahu yang saya ingin sekali memperisterikan awak. Mendirikan masjid... ibadat kerana Allah. Tapi..."

Kak Azlina tekun mendengar. Saidatul kelihatan gelisah. Rupa-rupanya rasa yang dialami olehnya turut dirasai oleh ustaz Amirul. Sebenarnya dia gembira sekali apabila mereka terserempak tadi, tetapi dia bimbang untuk mendengar cerita selanjutnya daripada Ustaz Amirul.

"Niat saya hanya tinggal niat, Saidatul. Setelah pembedahan pertama, kanser tersebut telah menyerang bahagian tubuh badan saya yang lain. Bulan depan saya kena masuk hospital balik, untuk pemeriksaan lanjut. Biar saya luahkan, paling tidak pun awak tahu kewujudan saya sebagai sahabat dekat awak."

Luahan ustaz Amirul itu membuatkan kak Azlina dan Saidatul sebak. Saidatul mengelap matanya dengan tisu. Air mata masih lagi merembes keluar. Tekaan dia dan kak Azlina terhadap Ustaz Amirul salah sama sekali.

Rupa-rupanya dia bimbang penyakitnya akan menyebabkan orang menolak untuk bersahabat dengannya.

Manakan mungkin mereka akan menolak ustaz muda itu, yang begitu warak dan menjaga batas pergaulan. Memandang Saidatul pun setakat sekilas pandang, begitu juga pandangannya kepada kak Azlina, penuh dengan hormat.

"Boleh saya tunggu awak sampai awak sembuh?"

"Tak usah menyeksa diri. Tak tau bila saya akan sembuh sepenuhnya."

"Kami akan sentiasa mendoakan awak."

Pertemuan itu berlalu dengan pantas dan tanpa disangka masa telah menjangkau tiga minggu. Saidatul telah mencuba beratus kali menghubungi nombor yang diberikan oleh ustaz Amirul tetapi tidak berjawab.

"Salah nombor kot." teka kak Azlina bila Saidatul mengadu padanya.

"Tak."

"Satu nombor je...?"

"Yap..."

"Dia kata kan nak sambung rawatan. Mungkin dia kat hospital, tak boleh nak jawab phone calls."

"Tak pernah pulak dengar kat hospital tak boleh jawab call..." jawab Saidatul hairan.

Petang itu tanpa mengenal putus asa Saidatul mencuba lagi. Kali ini dia bernasib baik apabila ada suara kanak-kanak menyambut panggilannya. Perasaannya berbunga bahagia.

"Pak cik Amirul tak ada."

Kemudian terdengar telefon itu beralih tangan dan satu suara orang dewasa pula yang menyambutnya.

"Nak cari siapa?"

"Ustaz Amirul..."

"Maaf nak. Dia tak ada. Ini siapa?"

"Kawan dia." suara Saidatul gementar.

"Amirul dah meninggal. Seminggu selepas balik dari umrah. Allah lebih sayangkan dia, nak. Sepatutnya esok dia ada rawatan lanjut dengan pihak hospital tentang penyakitnya. Tapi tak sempat."

Mungkin itu ibunya, suaranya begitu tabah. Tetapi Saidatul hampir pengsan mendengar perkhabaran tersebut. Dalam separuh sedar, dia seperti terhidu wangian kemboja yang dibawa oleh angin petang.

-TAMAT-
Advertisement

1 comment:

  1. sedihnyerr... citer ni. Gud luck

    ReplyDelete

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.