NOVEL: CINTA KAMELIA

loading...
CINTA KAMELIA 1




Perjalanan ke sekolah di rasakan terlalu lambat walau jaraknya dari rumah sekadar 10 kilometer. Kamelia mempercepatkan kayuhan basikalnya sehingga jelas terdengar bunyi tayar berdecit-decit meminta diperlahankan pergerakan tersebut. Setelah peluh membasahi baju kurungnya, sampailah Kamelia di pintu pagar. Basikal dipimpin memasuki pintu pagar dan diletakkan di tempat yang biasa. Dia berjalan laju untuk ke kelas 5 Sains 1 tanpa menoleh ke kiri atau kanan.

"Hoi..hoi...Kamelia. Kau kena kejar pontianak ke. Lajunya jalan mak oi!" panggil satu suara yang membontoti Kamelia hingga ke kelas.

Kamelia menghempas begnya ke kerusi dan melabuhkan punggungnya di atas meja. Dia memandang Zakaria yang sudah tercegat di hadapannya dengan mulut terkumat-kamit ingin bertanyakan soalan lagi.

"Dah! Jangan tanya apa-apa! Nanti aku cakap..." Kamelia mematikan soalan yang baru hendak terkeluar dari mulut Zakaria.

"Aku..." belum sempat menambah ayat bahunya ditepuk keras dari belakang.

"Gila kau! Nasib baik aku tak de sakit jantung. Kalau tidak dah lama pass over tau." Kamelia menjerit ke arah Aini Syarifah yang menepuknya sebentar tadi.

"Cepatlah cerita. Aku tak sabar ni..." Zakaria semakin bosan.

"Cerita apa?! Hantu panjat dinding rumah kau ke malam tadi? Ha...ha...ha..." kuat tawa Aini Syarifah di hujung suaranya.

Kamelia menjeling tajam ibarat kilauan mata pedang sedia membaham mangsanya. Serta-merta Aini Syarifah dan Zakaria menelan liur. Mereka sedar akan kegarangan Kamelia, apatah dia memiliki tali pinggang hitam ilmu silat Gayung.

Setelah keadaan betul-betul senyap, Kamelia memulakan bicara dari ulas bibirnya yang nipis.

"Aku kena transfer. Balik Melaka."

"Transfer? Ikut orang tua kau pindah balik Melaka?" Zakaria mengulangi soalan berdasarkan kenyataan yang dibuat Kamelia.

Aini Syarifah ternganga luas mulutnya menerima perkhabaran terbaru itu. Kemudian cepat-cepat dia menutup kembali mulutnya supaya tidak dimasuki lalat. Kamelia yang terperasan perbuatan Aini Syarifah menahan tawa dari meledak.

"Melaka dengan Johor bukan jauh sangat. Jalan kaki pun sampai. Jangan risau, ok. Kita ada masa lagi untuk nak merambu bersama-sama sebelum aku pindah. Lebih kurang dua minggu lagi... he..he..." Kamelia memujuk dua orang rakan karibnya itu.

"Aku nak bagi tau kat Ijol...kau nak pindah!" Zakaria sudah berlari sebelum sempat Kamelia menarik bajunya.

"Hoi Zek! Jangan bagi tau dia..." namun panggilan Kamelia tidak dihiraukan oleh Zakaria.

*******

Kamelia, Zakaria, Zulhariz dan Aini menonton wayang bersama pada hujung minggu itu sebelum perpisahan menjenguk tiba. Selesai menonton tayangan ‘Dragon Ball Evolution’ mereka berempat leka singgah dari satu kedai ke satu kedai melakukan ‘window shopping’. Setelah penat menjamu mata, mereka menjamu perut masing-masing pula di Mc Donald.

“Family kau tak buat makan-makan ke nak balik pindah Melaka? Boleh kita orang datang melantak…he…he..” Zakaria bercakap dengan mulut yang penuh daging burger.

“Ha ah! Aku nak joint sekali…” sambut Ijol menyampuk dengan mukanya yang selamba.

Kamelia menopang dagu dengan kedua belah tangannya dan tertawa meilhat telatah Zek dan Ijol a.k.a Zulhariz. Saat ini bakal disimpan kemas sebagai antara memori manis mereka bersama. Dia tidak pasti adakah mereka bakal bertemu kembali selepas perpisahan ini. Adakah dia akan merindui mereka semua terutamanya kepada Ijol yang diminatinya dalam diam. Atau.. akan rindukah mereka padaku? Fikiran Kamelia menerawang sambil tersengih-sengih seorang diri.

"Hoi sakitlah... apa ni main sepak-sepak." tengking Kamelia kepada Ijol yang menyepak kakinya di bawah meja.

Aku memang suka dan minat kat dia, tapi garang tetap garang! Mana boleh main kasar dengan perempuan. Aku kena control beb! gumam Kamelia dalam hati.

"Abis tu aku tengok kau macam orang angau. Sengih sorang-sorang..." jawab Ijol masih mengawal suaranya.

"Suka aku la nak sengih ke, masam ke, muncung ke..." sambut Kamelia lantang.

"Kau ni kan... dah la nak transfer, tinggalkan kita orang... kau tak sedih ke? Makin garang ade la..." Ijol masih tak berpuas hati dengan kelakuan Kamelia.

"Udah le tu. Aku nak makan pun susah nak hadam. Kau orang asyik bertekak je...Makan diam-diam udah le." bebel Zakaria setelah sedari tadi sibuk 'melayan' burgernya.

"Kau ni asyik makan je. Si Aini dari tadi pegi toilet tak muncul-muncul. Cuba tengok Zek, kot dia pengsan ke... termasuk lubang tandas ke..." Kamelia mengalih topik perbualan.

"Eh! Melia. Aku ni lelaki. L-E-L-A-K-I.... takkan nak masuk tandas pompuan. Kau lah pegi tengok."

Kamelia terus bangun selepas mendengar ayat terakhir dari Zek. Dia pergi menyusul Aini di tandas awam di kompleks beli belah tersebut. Separuh jalan, dia terpandang sebuah kedai emas menjual sebutir loket emas putih berbentuk hati. Langkahnya terhenti lalu membelek-belek harga yang dipamer di loket tersebut. Mahalnya! Tak mampu aku. Dia meneruskan perjalanan menyusul Aini yang masih belum nampak kelibatnya.

Bahunya ditepuk dari belakang. Nyaris tersungkur Kamelia dibuatnya. Orang yang membanjiri kompleks beli belah tersebut semakin ramai.

"Kau ni kan... jangan buat macam tu boleh tak. Nasib baik aku tak jatuh." Kamelia menjengilkan bola matanya kepada rakannya itu.

"Sori... memang sengaja. Nak ke mana? Jalan laju semacam je..." Aini tersengih-sengih bagai kerang busuk.

"Cari kau lah. Apa kau buat kat toilet lama sangat. Kau berus lantai ke..." sindir Kamelia tak puas hati.

"Orang ramai lah beb!.." jawab Aini ringkas mengekori langkah Kamelia yang amat laju.

*****

Hari ini hari Isnin. Tinggal lima hari lagi sesi persekolahan yang perlu dijalani oleh Kamelia di SMK Sri Rahmat. Nak duduk tak senang, berdiri gelisah, berjalan macam 'ayam berak kapur'. Langkahnya longlai. Itulah perasaan yang merajai diri Kamelia. Selamat tinggal kenangan, selamat datang cabaran. Kamelia seperti kebiasaannya menopang dagu menanti kehadiran rakan-rakan sekelas. Masih pagi lagi. Loceng belum berbunyi.

"Nah! Untuk kau. Ingat kita orang tau..." tiba-tiba Ijol mencampakkan sesuatu di atas mejanya dan terus berlalu.

"Hoi budak gila! Tunggu dulu..." tak sempat Kamelia menggamit Ijol yang sudah menghilang di sebalik blok bangunan A.

"Apa benda ni..." Kamelia mengoyak sampul surat kecil berwarna ungu.

Kad kecil berbau wangi. Di dalamnya hanya sebaris ayat.

-Kau comel kalau tak garang!-

Kamelia rasa tercabar. Selama ini aku tak comel ke? Apa kisah itu semua. Hak akulah...eee geramnya dengan budak gila tu! Perasaan marah bergumpal bersama niat untuk mengenakan Ijol pula. Tanpa sedar dia mencampakkan kad tersebut tepat ke dalam bakul sampah di hadapan kelas. Nyaris terkena Aini tetapi dia sempat mengelak. Lantas Aini memungut kembali kad tersebut lalu dibaca sekilas lalu.

"Kenapa kau buang? Orang bagi simpanlah... Tak baik tau."

"Aku memang jahat. Dia lagi jahat. Dia kata aku garang..." Kamelia sudah naik angin.

"Kau dengan Ijol boleh beralah tak. Aku pening tau, pegi sana dia citer macam ni..., kau pulak citer macam tu, aku tak tau kau sebenarnya benci betul-betul atau buat-buat..." Aini mengeluh lalu duduk di kerusi bersebelahan Kamelia.

Kamelia menjengilkan biji mata mendengar kata-kata Aini.

"Mestilah betul!" itu kata mulut Kamelia, sebaliknya di sudut paling dalam dia meminati Ijol separuh mati.

Aini ketawa terbahak-bahak sehingga menarik perhatian rakan sekelas yang lain. Mereka tertoleh-toleh melihatkan perbuatannya sebentar tadi.

"Kalau tak suka, oklah. Jangan buat biji mata kau macam tu. Kelakar aku tengok..." ujar Aini masih tertawa.

Kamelia menarik begnya lalu memasukkan ke dalam laci meja. Dia malas untuk melayan spekulasi yang bakal keluar dari mulut Aini, bimbang terlebih cakap rahsianya akan terbongkar.

***

"Nah! Untuk kau..."

Hari kedua kad kecil dari Ijol berwarna kuning.

-Bersahabat sampai ke mati?-

Kamelia tidak faham apa yang dimaksudkan dengan kata-kata itu. Lantaklah... tak kuasa hendak melayan gelagat Ijol lagi.

Hari seterusnya, Ijol memberi kad kecil yang comel melalui Aini. Merah, itu tanda garang? Eh! Dia perli aku lagi. Ini tak boleh jadi! Kamelia berfikir dia mesti bertindak balas atas perbuatan Ijol itu.

-Jaga diri. Jaga hati. -

Tatkala selesai membaca empat ayat ringkas tulisan tangan ijol, Kamelia duduk kembali. Aini disebelah tercengang-cengang.

"Tak jadi nak pergi perang?"

Kamelia menggelengkan kepala lalu menyimpan kad ke tiga itu ke saku beg sekolahnya.

Kad ke empat berwarna hijau. Itu kan tanda berdamai. Aik! Budak gila tu nak berdamai?! Tak sabar Kamelia untuk mengetahui isi kad tersebut.

-Janji aku. Janji Kau.-

Kamelia makin keliru. Apa budak gila tu fikir. Mana aku ada hutang janji pada dia? Hutang RM2.00 tu aku dah langsaikan masa nak beli kertas warna kat Jusco; omel Kamelia sendirian.

Kad terakhir dari Ijol berwarna putih.Hah? Putih. Apa tandanya? Soal Kamelia kepada Aini sewaktu mereka makan bersama di kantin sekolah untuk terakhir kalinya.

"Putih tu suci..." jawab Aini endah tak endah.

"Apa isinya?" Aini kembali menyoal apabila Kamelia terus berdiam diri.

"Kosong. Tak de apa-apa...aku rasa sah dia tu gila. Ada bagi kad kosong."

"Itu simbolik namanya. Hanya kau dan dia yang tahu." Aini memberikan pendapat.

Kamelia dan Aini terus menutup mulut apabila melihat kelibat Ijol dan Zek sedang menghampiri
mereka.

"Senyap kenapa? Tadi bukan main rancak aku tengok..." usik Zek sambil menarik kerusi.

"Malaikat lalu..." jawab Kamelia sinis.

Dia mencuri pandang ke arah Ijol. Budak gila itu sedang memerhatinya dengan pandangan yang lain dari biasa. Bukan pandangan benci!



CINTA KAMELIA 2








Telah 3 tahun Bumi England menerima kehadiran Kamelia demi menggapai impian bergelar ahli economi. Cabaran di rantauan seorang diri sudah terbiasa baginya. Sekarang musim bunga sedang melanda bumi England. Kelihatan di mana-mana pepohon dipenuhi bunga berwarna-warni dan bentuk. Dedaun maple yang hijau kemerahan seakan berkilauan apabila dipancar sinar matahari yang sedikit sekali cahayanya. Kamelia melihat pemandangan yang indah itu sambil bersyukur di dalam hati. Tidak semua orang dapat merasai pengalaman sepertinya apatah rakan-rakannya yang ditinggalkan dahulu.

Ijol a.k.a Zulhariz, kali terakhir dia merisik khabar dari teman-teman mengatakan jejaka itu menyambung pengajian peringkat sarjana di UTM, Johor. Tidak pasti pula apa kursus yang diambilnya. Cuma, setahu Kamelia semasa di tingkatan lima dahulu dia cenderung kepada lukis-melukis. Mungkinkah alam bina? Kamelia tidak menyangka yang Ijol boleh mendaki tangga institusi pengajian tinggi kerana sedari awal dia lihat lelaki itu lemah sedikit dalam pelajaran. Apakah faktor yang menyebabkan semangat belajarnya begitu kental. Mungkinkah... ah! malas Kamelia mahu menebak yang bukan-bukan.

"Cik Mel yang comel... kenapa menopang dagu macam tu. Tak elok tau..." sapa Baiti, gadis periang dari Batu Pahat.

Lamunan Kamelia terhenti dan dia menoleh ke arah Baiti sambil tersenyum. Dia tidak menyangka di Lancastar University ini dia akan dipertemukan dengan pelajar-pelajar melayu dari Malaysia.

"Aku lihat pemandangan indah pokok maple. Terus fikiran teringat kawan-kawan lama..." jawab Kamelia bersahaja.

"Hmm...interesting. Kawan lama je? Boyfriend lama tak de?" usik Baiti menyeringai menampakkan barisan giginya yang putih.

"Hish! Mana ada. Aku ni kan garang... boys tak berani dekat." jawab Kamelia lagi.

"Sekarang dah jadi gadis pingitan. Tak garang lagi...mesti ramai tunggu giliran nak ngorat kau. Kau choose la yang mana kau suka." Baiti mengusik lagi.



Kamelia hanya tersenyum. Perasaan tidak boleh diletak pada sebarangan orang apatah lagi baru bertemu beberapa kali. Lagipun, tidak siapa tahu rahsia cintanya yang disimpan untuk seseorang. Biar masa dan takdir menentukan itu semua. Dia pasrah.



"Kau ni asyik senyum je. Jealous aku. Hardy budak Jakarta kirim salam kat kau. Tadi aku terserempak dengan dia kat Bentham Road. Budak handsome macam tu kau tak terpikat ke?" Baiti menguji sekali lagi.



"Bentham Road? Buat apa kau kat situ. Merayap je..." Kamelia tidak menjawab soalan Baiti.



"Aku pergi Mapplewood Gardens dengan Halim. Saja release tension.Kau taulah assignment hari tu very tough. Itu yang kami jalan-jalan kat sana." Baiti berterus terang.

"Kau ada apa-apa ke dengan si Halim tu. Aku tengok bukan main selalu keluar sama. Kalau tak de ape-ape jangan bagi harapan. Jangan bagi peluang. Nanti ada yang merana! Tak baik buat orang macam tu..." Kamelia menasihati rakannya itu.

"Tak ada lah. Rakan discussion je. Dia bukan taste aku." Baiti berkata perlahan.

"Bukan taste konon! Tiba-tiba jadi teman tapi mesra... sapa nak jawab." Kamelia berkata lembut tetapi penuh bermakna.

"Terima kasih kawan kerana banyak memberikan nasihat kepada aku. Insya'Allah aku tau apa yang aku buat, jangan risau ok..." kata Baiti sambil merangkul bahu Kamelia.

Mereka sama-sama memandang ke luar tingkap untuk menikmati musim bunga di bumi Inggeris ini. Fikiran masing-masing bersimpang siur dengan bebanan pelajaran dan rindu dendam terhadap keluarga di tanahair tercinta. Bangunan Lancastar University hanya nampak sayup-sayup dari rumah sewa mereka.

"Eh! Kau tak jawab lagi..."

"Apa?"

"Salam budak Jakarta."

"Wa'alaikumussalam..." Kamelia menjawab lembut.

****

Kamelia berjalan pantas menuju ke 'Ruskin Library' untuk mengelakkan kesesakan di dalam sana. Dia tidak mahu buku yang bakal dicarinya untuk bahan tugasan diambil orang lain. Kelak terpaksa dia mendapatkan bahan melalui internet, itu pun tidak sebaik apabila menelaah buku rujukan itu secara nyata.

"Cik Melia.... Cik Melia..." Kamelia mendengar namanya dipanggil.

Kamelia memberhentikan langkahnya lalu menoleh ke belakang. Kelihatan Hardy berlari-lari anak mendapatkannya.

Ah! Kenapa dia cari aku. Apa naknya si Hardy ni; gumam Kamelia sendirian.

"Kamu sorang aje?" tanya Hardy setelah berada di depan Kamelia.

"Kamu lihat macam mana? Saya dengan siapa?" tanya Kamelia secara bergurau.

"Maaf. Saya hanya mengusik." jawab Hardy malu-malu.

"Ada perlu apa cari saya? Ada yang penting?" soal Kamelia meniru dialek Indonesia Hardy.

"Oh enggak... cuma mau tanya. Ada Baiti berkirim salam saya pada Cik Melia?" tanya Hardy serba salah.

"Ada... saya sudah jawab. Itu saja, kan." Kamelia sudah melihat jam di pergelangan tangan.

Dia segera memusing badan untuk meneruskan perjalanan. Lagipun tidak ada apa yang perlu diuruskan dengan Hardy. Di fikirannya asyik terbayangkan buku yang perlu di ambil dari perpustakaan.

"Cik Melia... saya mau kenal rapat dengan kamu. Boleh kan?"

Kamelia tidak jadi meneruskan langkahnya. Dia berhenti lalu menoleh Hardy sambil tersenyum.

***

Hardy menelentang memandang siling bilik rumah sewa dua biliknya yang dihuni bersama dua rakan senegara. Rinto dan Najli masih belum pulang sejak keluar rumah petang tadi. Mungkin mereka pergi membeli barang harian di kedai berhampiran dan kemudian lepak-lepak sambil menikmati Cappucino panas di restoran makanan segera yang tidak jauh dari rumah sewa mereka.

"Kita berkawan tak salah. Tetapi... untuk menjadi seperti Romeo dan Juliet enggak boleh. Ada orang marah!"

Terngiang-ngiang kata-kata Kamelia siang tadi menjawab pertanyaannya. Pada mulanya dia terkejut apakah si cantik Kamelia sudah berpunya.

"Maafkan saya kalau kamu udah berpunya. Saya tak kan ganggu kamu lagi."

"Bukan begitu. Saya milik abadi ibu dan ayah. Datang sini hanya untuk belajar. Bukan pacaran..." Kamelia ketawa sebaik habis berkata-kata.

"Jadik... saya masih bolek kenal..."

"Jadi sahabat sama agama tak salah, kan..." Kamelia terus menyampuk sebelum Hardy menghabiskan ayatnya.

Perbualan singkat itu habis begitu sahaja.

Sukar nak tangkap cewek ni; Hardy berilusi sambil matanya terkebil-kebil masih memandang siling.

***

Hembusan angin sepoi-sepoi menemani pagi Hardy yang berjogging seorang diri melewati taman perumahan tempat tinggalnya. Sesekalia dia berhenti apabila berpapasan dengan kawan seuniversiti yang berjogging di kawasan yang sama.

Tiba-tiba langkahnya terhenti dek terpandang sekujur tubuh sedang berteleku di satu kerusi berhampiran tempat dia berjogging. Bahunya terhenjut-henjut seperti sedang menangis. Dihampiri gadis itu untuk mengetahui apa yang terjadi.

"Cik Melia...kamu kenapa?"

Benar tekaannya. Kamelia, gadis pujaan siang dan malam sedang bersedih. Apakah gerangan penyebab dia berduka begitu? Adakah putus kasih dengan pria di tanahair. Pelbagai soalan menerjah mindanya.

"Kenapa kamu diam. Jawablah pertanyaanku..." desak Hardy tidak sabar apabila beberapa kali soalannya tidak berjawab.

Dia berasa pelik. Kamelia yang periang biasanya kini menjadi pendiam. Menjadi seorang penyedih.

"Ada orang kacau kamu, ke? Kamu dikasari? Kerja siapa, biar saya ajar orang itu!" Hardy kian geram.

Sekali lagi Kamelia hanya berdiam dan menangis. Sendunya amat menyebakkan hati Hardy yang melihatnya.

"Cik Melia! Cik Melia!"

Tiba-tiba tamparan bertubi-tubi mengenai pipi Hardy. Peritnya amat terasa sekali. Dia menepis-nepis tangan kasar yang menamparnya tetapi tidak berdaya. Dengan amat payah dia membuka matanya.

"Hardy! Kamu bermimpi..."

Masya'Allah! Hardy meraup muka dengan kedua telapak tangannya. Dia beristighfar berkali-kali. Rinto merenungnya dengan mata yang tajam.

"Kamu sebut satu nama cewek. Siapa itu?" soal Rinto kehairanan.

Hardy tidak menjawab soalan Rinto. Adegan sebentar tadi cuma satu mimpi rupanya. Kenapa mimpi sedih?

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.