Now you can Subscribe using RSS

Submit your Email

May 12, 2009

NOVEL: CINTA KAMELIA 1

nur aynora



Perjalanan ke sekolah di rasakan terlalu lambat walau jaraknya dari rumah sekadar 1 kilometer. Kamelia mempercepatkan kayuhan basikalnya sehingga jelas terdengar bunyi tayar berdecit-decit meminta diperlahankan pergerakan tersebut. Setelah peluh membasahi baju kurungnya, sampailah Kamelia di pintu pagar. Basikal dipimpin memasuki pintu pagar dan diletakkan di tempat yang biasa. Dia berjalan laju untuk ke kelas 5 Sains 1 tanpa menoleh ke kiri atau kanan.

"Hoi..hoi...Kamelia. Kau kena kejar pontianak ke. Lajunya jalan mak oi!" panggil satu suara yang membontoti Kamelia hingga ke kelas.

Kamelia menghempas begnya ke kerusi dan melabuhkan punggungnya di atas meja. Dia memandang Zakaria yang sudah tercegat di hadapannya dengan mulut terkumat-kamit ingin bertanyakan soalan lagi.

"Dah! Jangan tanya apa-apa! Nanti aku cakap..." Kamelia mematikan soalan yang baru hendak terkeluar dari mulut Zakaria.

"Aku..." belum sempat menambah ayat bahunya ditepuk keras dari belakang.

"Gila kau! Nasib baik aku tak de sakit jantung. Kalau tidak dah lama pass over tau." Kamelia menjerit ke arah Aini Syarifah yang menepuknya sebentar tadi.

"Cepatlah cerita. Aku tak sabar ni..." Zakaria semakin bosan.

"Cerita apa?! Hantu panjat dinding rumah kau ke malam tadi? Ha...ha...ha..." kuat tawa Aini Syarifah di hujung suaranya.

Kamelia menjeling tajam ibarat kilauan mata pedang sedia membaham mangsanya. Serta-merta Aini Syarifah dan Zakaria menelan liur. Mereka sedar akan kegarangan Kamelia, apatah dia memiliki tali pinggang hitam ilmu silat Gayung.

Setelah keadaan betul-betul senyap, Kamelia memulakan bicara dari ulas bibirnya yang nipis.

"Aku kena transfer. Balik Melaka."

"Transfer? Ikut orang tua kau pindah balik Melaka?" Zakaria mengulangi soalan berdasarkan kenyataan yang dibuat Kamelia.

Aini Syarifah ternganga luas mulutnya menerima perkhabaran terbaru itu. Kemudian cepat-cepat dia menutup kembali mulutnya supaya tidak dimasuki lalat. Kamelia yang terperasan perbuatan Aini Syarifah menahan tawa dari meledak.

"Melaka dengan Johor bukan jauh sangat. Jalan kaki pun sampai. Jangan risau, ok. Kita ada masa lagi untuk nak merambu bersama-sama sebelum aku pindah. Lebih kurang dua minggu lagi... he..he..." Kamelia memujuk dua orang rakan karibnya itu.

"Aku nak bagi tau kat Ijol...kau nak pindah!" Zakaria sudah berlari sebelum sempat Kamelia menarik bajunya.

"Hoi Zek! Jangan bagi tau dia..." namun panggilan Kamelia tidak dihiraukan oleh Zakaria.

*******

Kamelia, Zakaria, Zulhariz dan Aini menonton wayang bersama pada hujung minggu itu sebelum perpisahan menjenguk tiba. Selesai menonton tayangan ‘Dragon Ball Evolution’ mereka berempat leka singgah dari satu kedai ke satu kedai melakukan ‘window shopping’. Setelah penat menjamu mata, mereka menjamu perut masing-masing pula di Mc Donald.

“Family kau tak buat makan-makan ke nak balik pindah Melaka? Boleh kita orang datang melantak…he…he..” Zakaria bercakap dengan mulut yang penuh daging burger.

“Ha ah! Aku nak joint sekali…” sambut Ijol menyampuk dengan mukanya yang selamba.

Kamelia menopang dagu dengan kedua belah tangannya dan tertawa meilhat telatah Zek dan Ijol a.k.a Zulhariz. Saat ini bakal disimpan kemas sebagai antara memori manis mereka bersama. Dia tidak pasti adakah mereka bakal bertemu kembali selepas perpisahan ini. Adakah dia akan merindui mereka semua terutamanya kepada Ijol yang diminatinya dalam diam. Atau.. akan rindukah mereka padaku? Fikiran Kamelia menerawang sambil tersengih-sengih seorang diri.

"Hoi sakitlah... apa ni main sepak-sepak." tengking Kamelia kepada Ijol yang menyepak kakinya di bawah meja.

Aku memang suka dan minat kat dia, tapi garang tetap garang! Mana boleh main kasar dengan perempuan. Aku kena control beb! gumam Kamelia dalam hati.

"Abis tu aku tengok kau macam orang angau. Sengih sorang-sorang..." jawab Ijol masih mengawal suaranya.

"Suka aku la nak sengih ke, masam ke, muncung ke..." sambut Kamelia lantang.

"Kau ni kan... dah la nak transfer, tinggalkan kita orang... kau tak sedih ke? Makin garang ade la..." Ijol masih tak berpuas hati dengan kelakuan Kamelia.

"Udah le tu. Aku nak makan pun susah nak hadam. Kau orang asyik bertekak je...Makan diam-diam udah le." bebel Zakaria setelah sedari tadi sibuk 'melayan' burgernya.

"Kau ni asyik makan je. Si Aini dari tadi pegi toilet tak muncul-muncul. Cuba tengok Zek, kot dia pengsan ke... termasuk lubang tandas ke..." Kamelia mengalih topik perbualan.

"Eh! Melia. Aku ni lelaki. L-E-L-A-K-I.... takkan nak masuk tandas pompuan. Kau lah pegi tengok."

Kamelia terus bangun selepas mendengar ayat terakhir dari Zek. Dia pergi menyusul Aini di tandas awam di kompleks beli belah tersebut. Separuh jalan, dia terpandang sebuah kedai emas menjual sebutir loket emas putih berbentuk hati. Langkahnya terhenti lalu membelek-belek harga yang dipamer di loket tersebut. Mahalnya! Tak mampu aku. Dia meneruskan perjalanan menyusul Aini yang masih belum nampak kelibatnya.

Bahunya ditepuk dari belakang. Nyaris tersungkur Kamelia dibuatnya. Orang yang membanjiri kompleks beli belah tersebut semakin ramai.

"Kau ni kan... jangan buat macam tu boleh tak. Nasib baik aku tak jatuh." Kamelia menjengilkan bola matanya kepada rakannya itu.

"Sori... memang sengaja. Nak ke mana? Jalan laju semacam je..." Aini tersengih-sengih bagai kerang busuk.

"Cari kau lah. Apa kau buat kat toilet lama sangat. Kau berus lantai ke..." sindir Kamelia tak puas hati.

"Orang ramai lah beb!.." jawab Aini ringkas mengekori langkah Kamelia yang amat laju.

*****

Hari ini hari Isnin. Tinggal lima hari lagi sesi persekolahan yang perlu dijalani oleh Kamelia di SMK Sri Rahmat. Nak duduk tak senang, berdiri gelisah, berjalan macam 'ayam berak kapur'. Langkahnya longlai. Itulah perasaan yang merajai diri Kamelia. Selamat tinggal kenangan, selamat datang cabaran. Kamelia seperti kebiasaannya menopang dagu menanti kehadiran rakan-rakan sekelas. Masih pagi lagi. Loceng belum berbunyi.

"Nah! Untuk kau. Ingat kita orang tau..." tiba-tiba Ijol mencampakkan sesuatu di atas mejanya dan terus berlalu.

"Hoi budak gila! Tunggu dulu..." tak sempat Kamelia menggamit Ijol yang sudah menghilang di sebalik blok bangunan A.

"Apa benda ni..." Kamelia mengoyak sampul surat kecil berwarna ungu.

Kad kecil berbau wangi. Di dalamnya hanya sebaris ayat.

-Kau comel kalau tak garang!-

Kamelia rasa tercabar. Selama ini aku tak comel ke? Apa kisah itu semua. Hak akulah...eee geramnya dengan budak gila tu! Perasaan marah bergumpal bersama niat untuk mengenakan Ijol pula. Tanpa sedar dia mencampakkan kad tersebut tepat ke dalam bakul sampah di hadapan kelas. Nyaris terkena Aini tetapi dia sempat mengelak. Lantas Aini memungut kembali kad tersebut lalu dibaca sekilas lalu.

"Kenapa kau buang? Orang bagi simpanlah... Tak baik tau."

"Aku memang jahat. Dia lagi jahat. Dia kata aku garang..." Kamelia sudah naik angin.

"Kau dengan Ijol boleh beralah tak. Aku pening tau, pegi sana dia citer macam ni..., kau pulak citer macam tu, aku tak tau kau sebenarnya benci betul-betul atau buat-buat..." Aini mengeluh lalu duduk di kerusi bersebelahan Kamelia.

Kamelia menjengilkan biji mata mendengar kata-kata Aini.

"Mestilah betul!" itu kata mulut Kamelia, sebaliknya di sudut paling dalam dia meminati Ijol separuh mati.

Aini ketawa terbahak-bahak sehingga menarik perhatian rakan sekelas yang lain. Mereka tertoleh-toleh melihatkan perbuatannya sebentar tadi.

"Kalau tak suka, oklah. Jangan buat biji mata kau macam tu. Kelakar aku tengok..." ujar Aini masih tertawa.

Kamelia menarik begnya lalu memasukkan ke dalam laci meja. Dia malas untuk melayan spekulasi yang bakal keluar dari mulut Aini, bimbang terlebih cakap rahsianya akan terbongkar.

***

"Nah! Untuk kau..."

Hari kedua kad kecil dari Ijol berwarna kuning.

-Bersahabat sampai ke mati?-

Kamelia tidak faham apa yang dimaksudkan dengan kata-kata itu. Lantaklah... tak kuasa hendak melayan gelagat Ijol lagi.

Hari seterusnya, Ijol memberi kad kecil yang comel melalui Aini. Merah, itu tanda garang? Eh! Dia perli aku lagi. Ini tak boleh jadi! Kamelia berfikir dia mesti bertindak balas atas perbuatan Ijol itu.

-Jaga diri. Jaga hati. -

Tatkala selesai membaca empat ayat ringkas tulisan tangan ijol, Kamelia duduk kembali. Aini disebelah tercengang-cengang.

"Tak jadi nak pergi perang?"

Kamelia menggelengkan kepala lalu menyimpan kad ke tiga itu ke saku beg sekolahnya.

Kad ke empat berwarna hijau. Itu kan tanda berdamai. Aik! Budak gila tu nak berdamai?! Tak sabar Kamelia untuk mengetahui isi kad tersebut.

-Janji aku. Janji Kau.-

Kamelia makin keliru. Apa budak gila tu fikir. Mana aku ada hutang janji pada dia? Hutang RM2.00 tu aku dah langsaikan masa nak beli kertas warna kat Jusco; omel Kamelia sendirian.

Kad terakhir dari Ijol berwarna putih.Hah? Putih. Apa tandanya? Soal Kamelia kepada Aini sewaktu mereka makan bersama di kantin sekolah untuk terakhir kalinya.

"Putih tu suci..." jawab Aini endah tak endah.

"Apa isinya?" Aini kembali menyoal apabila Kamelia terus berdiam diri.

"Kosong. Tak de apa-apa...aku rasa sah dia tu gila. Ada bagi kad kosong."

"Itu simbolik namanya. Hanya kau dan dia yang tahu." Aini memberikan pendapat.

Kamelia dan Aini terus menutup mulut apabila melihat kelibat Ijol dan Zek sedang menghampiri
mereka.

"Senyap kenapa? Tadi bukan main rancak aku tengok..." usik Zek sambil menarik kerusi.

"Malaikat lalu..." jawab Kamelia sinis.

Dia mencuri pandang ke arah Ijol. Budak gila itu sedang memerhatinya dengan pandangan yang lain dari biasa. Bukan pandangan benci!

nur aynora / Author & Editor

Mykarya.com adalah blog perkongsian e-novel, cerita korea dan drama melayu.

1 comments:

  1. macam bestt...macam comel..aje...

    ReplyDelete

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Coprights @ 2016, Blogger Templates Designed By Templateism | Distributed By Gooyaabi Templates