Header Ads

NOVEL: CINTA KAMELIA 3

Suasana dingin menyelubungi kawasan tempat tinggal Kamelia. Dia harus segera keluar dari rumah untuk mengejar waktu kuliah yang bermula jam 8.30 pagi. Sekarang sudah pukul 7.50 pagi. Jika dikira ada lebih kurang setengah jam lagi kelas baru bermula tetapi dalam keadaan cuaca yang begitu sejuk, pergerakannya mungkin terbatas dan perlahan. Blaus maroon dan seluar denim biru gelap yang di pakai belum cukup memanaskan badannya. Dia bergegas menyarung kot labuh ke atas tubuhnya yang lampai.

"So early Mel? Ada kelas pagi ni?" tegur Baiti yang baru keluar dari biliknya.

Satu pintu kamar lagi masih tertutup rapat. Mungkin Hidayah dan Karina belum bangun atau masih bermalas-malasan di atas katil. Lagipun dua pelajar Indonesia yang mengambil kursus Sarjana Pengurusan itu pulang agak lewat malam tadi.

"Ha ah! Kau tau lah Professor Steven tak suka student lewat datang kelas dia. Must punctual." Kamelia sudah mengangkat punggungnya untuk berlalu.

Baiti hanya memerhati dari pintu apartment hingga bayang tubuh Kamelia hilang disebalik pokok-pokok bunga yang merimbun memagari kawasan perumahan mereka. Dia ingin menutup pintu tetapi tiba-tiba...

Bedebuk! Bunyi sesuatu jatuh di luar pagar. Kemudian dia ternampak pohonan yang merimbun bergoyang-goyang seperti di langgar makhluk yang besar. Tak mungkin anjing, kerana di kawasan kejiranan rumah sewa mereka tiada yang memelihara binatang tersebut. Baiti gelisah ditakuti kejadian tidak elok menimpa Kamelia. Untuk meninjau keluar dia tidak berani, apatah keadaan cuaca yang dingin membuatkan pemandangan berkabut di sana sini. Tambahan pula keadaan sekeliling sangat sunyi.

Setelah mengunci pintu dia berlari masuk ke bilik yang dikongsi bersama Kamelia dan mendail nombor seseorang.

"Engkau kat mana?"

"Ada apa?" pertanyaan Baiti tidak berjawab.

"Aku takutlah. Macam ada orang mengendap rumah kita orang. Boleh datang sekejap tak. Tengok ada apa kat luar tu." suara Baiti lembut sahaja tetapi sedikit cemas.

Suara di hujung talian memberi jaminan akan sampai secepat mungkin. Baiti berkurung di dalam bilik sementara menanti seseorang datang membantunya.

Ting! Tong!

Ting! Tong!

Dua kali loceng berbunyi baru Baiti mengintai di balik pintu kamar. Eh! cepat pulak mamat ni sampai? Walau berasa hairan, Baiti tetap membuka pintu. Halim berdiri hampir dengan pintu masuk apartment tersebut.

"Masa kau datang ada apa-apa kat depan sana?" Baiti bertanya tidak sabar sambil memegang pergelangan tangan Halim.

"Aduh! Jangan pegang kuat-kuat. Tangan aku sakit ni..."

"Kenapa. Jatuh ke?" soal Baiti melepaskan pegangannya.

"Err... tak ada lah. Tadi nak cepat masa keluar rumah. Terlanggar pintu..." Halim menjawab kurang lancar.

Baiti perasan wajah Halim sedikit berubah apabila diajukan soalan begitu. Halim merenungnya dengan pandangan yang kurang enak, dan ini menyebabkan Baiti merasa seram sejuk. Tak tahu kenapa.

"Kat mana kau nampak lembaga tu?" Halim mengalihkan pandangan sambil menjeling sekilas ke dalam rumah.

"Kat depan sana. Mungkin dah cabut lari kot!"

Baiti menunggu di depan pintu sementara Halim meninjau kawasan yang diperkatakan oleh temannya itu. Beberapa ketika Halim muncul dan mengesahkan tiada apa-apa petanda orang menceroboh.

"Tadi pokok tu bergoyang sebab di tiup angin agaknya. Kau yang lebih-lebih."

"Ada bunyi benda jatuh." Baiti mempertahankan pendapatnya.

"Kalau tak ada apa-apa lagi, aku chow dulu. Petang ada class. Nak rilex kejap..."

Selepas Baiti mengucapkan terima kasih di atas pertolongan Halim, pemuda Kelantan itu pun berlalu pergi dengan memandu kereta Datsun yang dipinjam dari rakan serumahnya. Baiti menutup pintu sambil kepalanya ligat berfikir. Ah! Karut semua ini.

***

"Kau sure dengan apa yang kau nampak? Aku rasa kau masih mamai, baru bangun tidur. Semua benda kau nampak hitam." jawab Kamelia tidak endah mendengar cerita Baiti.

"Aku tak tipu, Mel. Aku yakin aku tak mamai masa tu. Memang aku dengar bunyi benda jatuh. Aku ingat kau yang jatuh, tapi takut nak tengok. Aku mintak tolong si Halim." ujar Baiti menegakkan kenyataannya.

Kamelia tersenyum-senyum memandang Baiti. Mungkin Baiti sengaja mahu berjumpa dengan Halim atau memang benar apa yang dialami olehnya.

"Aku faham maksud senyuman kau tu, Mel. Banyak kali aku cakap, aku dengan Halim tak ada apa-apa."

"Aku tak cakap apa pun!"

"Tapi senyum kau tu buat aku tak senang hati. Tak baik buat kawan kau ni serba salah tau."

"Aik. Serba salah pulak! Tadi kata tak de apa-apa."

"Maksud aku dengan kau, bukan dengan dia!"

"Ok! Ok! Sekarang kita nak buat apa?" soal Kamelia berhenti menyakat Baiti.

"Mulai sekarang kita kena berhati-hati. Jangan percaya pada sebarang orang dan pastikan pintu depan sentiasa berkunci." Baiti berkata tegas.

Kamelia mengangguk menyetujui kata-kata Baiti. Tinggal di negara orang dengan terlalu sedikit jumlah orang yang dikenali memerlukan mereka lebih berhati-hati dan mementingkan diri sendiri.

"Apa kok kecoh-kecoh ni. Saya dengar ada orang mahu ceroboh rumah kita? Betul ke Mel?" Karina menyampuk tanpa tahu pokok pangkal perkara yang dibincangkan.

"Yap! Itu saya fikir kita semua harus hati-hati. Jangan buka pintu pada orang yang enggak dikenali. Faham itu..." ujar Kamelia dalam dialek Indonesia kemelayuan.

Karina tidak berkerdip memandang Kamelia dan Baiti silih berganti. Dia terbayangkan kejadian dua malam lepas sewaktu dia dan Hidayah pulang agak lewat malam. Tetapi, mindanya melarang dia bercerita kepada dua gadis Malaysia itu. Belum tiba masanya.

"Kenapa kamu? Macam tercekik tulang aje." tegur Baiti melihat gelagat Karina.

"Nggak lah. Aku masuk dulu ya. Udah malam, ngantuk..." Karina menyeringai.

"Ada-ada saja..." Baiti mengeluh.

***

"Sahabatku yang dirindui,

Aku sudah menerima suratmu minggu lepas. Maaf kerana terlewat membalas kerana kesibukan kerja di pejabat. Kadangkala aku terpaksa balik lewat malam demi melunaskan kerja-kerja yang tertangguh. Aku harap kau memahami.

Mel,

Bagaimana pengajian sarjana yang kau sedang jalani sekarang. Aku pasti ia membebankan, tetapi percayalah... tinggal setengah tahun saja kau bakal bergelar Ahli Ekonomi. Aku kagum dengan kau. Semangat juangmu begitu tinggi.

Sahabatku,

Rakan kita Zek telah bertunang bulan lepas. Yang aku tahu gadis itu orang negeri Johor juga, tetapi tak pasti daerah mana. Dia ada menjemputku tetapi aku tidak dapat menghadiri majlis pertunangan itu kerana 'out station'. Sehari selepas itu aku SMS dan memohon maaf darinya. Tetapi dia faham. Dia kan rakan lama kita.

Sahabatku Mel,

Baru-baru ini aku menerima kehadiran bos baru. Orangnya manis persis penyanyi kesayangan kau, Mawi. Maaf... tidak boleh cerita banyak pasal dia sebab baru sekali berjumpa dengannya. Lain kali kita bergossip, okey.

Sekian dulu warkah dari aku, Melia. Aku sudah sampaikan salam kau pada rakan-rakan kita.

Wasalam.

Yang merindu,

Aini Sharifah."

Kamelia melipat surat berwarna biru itu dan dimasukkan kembali ke dalam sampulnya. Aku rindukan saat manis kita, Aini; lirihnya perlahan. Lalu, surat tersebut di selitkan di dalam kotak empat persegi yang bercampur-campur dengan surat-surat yang lain. Selama hampir dua tahun setengah dia menyimpan surat-surat pemberian keluarga dan rakan-rakannya di dalam kotak tersebut.

Dia ternampak kad-kad kecil yang disisip di hujung kanan kotak. Hari ini dia tidak mahu membacanya! Jemarinya tidak jadi mengeluarkan kad tersebut. Dengan segera kotak itu di tolak ke bawah katil.

"Ehem! Ehem!...buat apa tu."

"Kau ni menyibuk lah Baiti. Tak boleh aku nak tangkap syahdu sikit. Kau mesti enterframe..."

"Kau macam tak faham pulak. Aku kan part of your history...ha...ha..." Baiti ketawa suka hati.

"Banyaklah kau punya history."

"History of your love with somebody..." Baiti masih ketawa.

"Mana kau tau. Kau baca surat-surat aku ya!" Kamelia menebak.

Baiti menggeleng kemudian melompat ke atas katilnya. Dia tersenyum manis memandang Kamelia yang kebingungan. Saja dia mengenakan Kamelia. Sesekali bergurau lebih sikit apa salahnya; fikirnya sendirian.

"Kata tak ada boyfriend. Aku cuit sikit je, kau dah melatah. Rilekslah beb! Aku saja nak tengok kau panik, nak tengok muka kau kecut. Baru thrill hidup ni."

"Itu bukan thrill namanya. Serkap yang jarang...ha..ha.." Kamelia ketawa kuat.

"Mak oi. Kuatnya ketawa."

"Aku gelihati dengan tipu helah kau yang tak menjadi."

"Kalau aku dapat bukti, macam mana?" Baiti kembali serius.

"Bukti? Apa yang kau nak buktikan. Dah terang lagi bersuluh cik Baiti oii... mana aku ada boyfriend..."

"Buah hati ada!?"

"Malas aku nak layan. Tidur lagi bagus!"

Kamelia membaling bantal ke arah Baiti yang sedang terus-terusan mentertawakannya. Baiti mengelak dan bantal itu tergolek di kaki Kamelia. Dalam diam dia bersyukur kerana rahsianya masih tersimpan rapi. Ya ke?

Tut! Tut! Tut!

Bunyi SMS masuk. Baiti menyambar handphonenya di bucu katil. Wajahnya berseri-seri membaca SMS yang dikirim. Kamelia perhatikan kebelakangan ini rakannya itu kerap menerima SMS dan juga panggilan dari seseorang. Mungkinkah dari Halim? Kamelia berteka-teki dalam hati. Dia tidak mahu menganggu masa privasi Baiti. Dibiarkan Baiti bermain SMS sehingga dia terlelap.

Setelah yakin Kamelia sudah nyenyak tidur, Baiti mengambil kesempatan merakamkan aksi tidur Kamelia yang comel itu. Kemudian dia mendail satu nombor dan mengirimkan gambar tersebut kepada seseorang.

"Sorry in advance, Mel..." bisiknya perlahan ke telinga Kamelia.
Advertisement

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.