Header Ads

NOVEL: CINTA KAMELIA 4

Zulhariz tersenyum lebar merenung skrin handphonenya. Kemudian jarinya menyentuh gambar yang tertera. Cutenya; hatinya menjerit geram. Sudah lama benar penantian ini dirasakannya. Bilakah ianya akan berakhir, hanya masa bisa menentukan. Dia menanti satu waktu yang sesuai untuk mengakhirinya, tetapi tidak pasti bila.

"Thank you very much. May God bless you."

SMS ringkas itu dihantar kepada satu nombor yang sudah dihafalnya. Senyuman masih bermain-main dibibirnya. Memang dahulu aku lelaki nakal, tetapi sekarang kenakalan itu hadir dalam kematangan; tegasnya dalam diri.

"Encik Hariz asyik senyum je. Ada berita gembira ke?" tegur pembantu peribadinya yang kecil molek itu.

"Yap! Saya gembira hari ini. Saya nak belanja awak kopi panas. Tolong ambilkan untuk saya sekali." nada suaranya ceria semacam.

"Dari pantri ke?" soal Adalia kehairanan.

"Dari mana lagi?"

"Laa... saya ingat Encik Hariz nak belanja kat Coffee Bean atau Starbucks. Ini kat dapur je."

"Okeyla tu. Pergi cepat. Jangan buang masa. Masa itu emas!" ujarnya tegas.

"Dah la free, kita pulak kena buat. Apalah nasib dapat bos tangkai jering."

"Apa awak cakap?"

"Tak...tak...de apa-apa bos. Saya pegi ambil kopi free..."

Zulhariz ketawa senang hati. Paparan gambar gadis seterunya masih terpampang di skrin telefon. Lantas dia meletakkan sebagai wallpaper, biar senang dilihat, mudah ditenung walaupun mata empunya diri tertutup rapat. Ya lah, gambar orang sedang tidur. Dia ketawa gelihati sendirian.

"Oii apa ni...apa benda ni?!" jerit Kamelia marah-marah.

"Aku nak kau baca. Lepas tu balas..." Ijol mencampakkan kad kepada Kamelia. Tepat kepada dada Kamelia.

"Bagi surat macam gangster. Tak romantik lah kau ni, nak tackle anak dara orang pun tak tau cara..." Kamelia membebeli Ijol.

"Aku tak pandai semua tu!"

Kamelia mahu menyambung perbalahan mereka tetapi Zulhariz a.k.a Ijol sudah berlalu.

Harap-harap dia faham maksud aku; doa Ijol dalam hati.

Plap! Sekeping kad jatuh dikakinya. Zulhariz tersedar dari khayalannya lalu memungut kad tersebut. Kad itu memang selalu terselit di mana-mana, waima di bawah bantal tidurnya. Pagi ini dia membawa kad tersebut dan meletakkan di celah-celah diarinya. Seperti tahu dia sedang merindu, kad itu dibaca lagi untuk kesekian kalinya.

-Kau bodoh tapi pandai, kau suka tapi kata benci, kau sayang tapi kau malu, kau garang tapi kau baik, kau buruk tapi kau handsome. KAU buat aku suka.-KAMELIA-

Zulhariz tersenyum untuk yang kesekian kali demi membaca bait-bait tulisan terakhir daripada Kamelia.

"Encik Hariz, ini kopi freenya."

"Terima kasih."

"Kopi je, kuih atau roti tak ada?" soal Zulhariz kepada Adalia.

"Ada. Tu...kat warong mak cik Dayah."

Adalia membuka tirai bilik bosnya lalu jarinya ditunjukkan ke bawah. Zulhariz memandang Adalia dengan pandangan geram. Pandai pula si kecil molek ni mengenakan aku; desisnya.
Tanpa menunggu lama Adalia melangkah keluar.

Adalia bertembung dengan Aini yang mahu masuk ke bilik Zulhariz. Kedua-duanya tersenyum.

"Bos ada?"

"Ada. Baik-baik sikit. Tengah angau."

"Ya? Angau tentang apa?"

"Biasalah tu, perempuan."

"Pandai you ya...siapa?"

"Masih misteri. Nanti I siasat..."

"Okey. Keep update me."

Aini sudah menghilang di dalam bilik Zulhariz. Eksekutif Jualan itu kerap juga bertandang ke dalam bilik bosnya. Kekadang tawa keduanya masih boleh kedengaran sampai ke luar bilik. Kadangkala Adalia cuba mencuri dengar perbualan atau perbincangan mereka, tetapi tidak dapat menangkap butir bicara tersebut. Akhirnya dia putus asa dan membiarkan mereka dengan dunia masing-masing.

"Kau apa hal? Pagi-pagi dah angau."

"Mana ada. Ini mesti si Adalia yang becok tu dah canang cerita. Ini semua gosip."

"Wah..wah... cakap macam artis. Sape nak gosipkan kau."

Mereka sama-sama ketawa akhirnya.

"Apa hal cari aku?" tanya Zulhariz kepada Aini bila ketawanya hampir reda.

"Oh ya. Ni ha... pasal projek fasa 5D kita. Brosur dah distribute kat tujuh tempat. Yang tinggal untuk ofis tak cukup. Boleh tambah lagi 5,000 hingga 10,000 keping tak. Kau tulis sikit dalam meeting nanti."

"Ini small matter. Tak payah bawak meeting. Aku sign."

"Kalau macam tu, nanti aku siapkan proposal dan memo sekali. Jumpa nanti."

Sebelum keluar Aini sempat mengusik Zulhariz sekali lagi.

"Tadi tu gosip atau kisah benar?"

"Kau buatlah pilihan..." Zulhariz tersengih-sengih.

"Kau ni Ijol, dari dulu sampai sekarang tak berubah. Aku chow dulu."

"Sekarang aku bos kau!"

Aini berlalu dengan senyuman yang lebar. Adalia mendongak memandang Aini dan kemudian menyambung kerjanya.

***

Zulhariz menuju ke arah kereta Mitsubishi Lancer putihnya yang di parkir di sudut paling kanan di kawasan meletak kereta. Bangunan lima tingkat berbentuk bulat tempat dia bekerja tersergam megah. Bilik pejabatnya terletak di tingkat dua. Matahari petang memantulkan cahayanya ke bangunan tersebut membuatkan pandangannya sedikit silau. Pintu kereta di buka, segera dia mengenakan cermin mata gelapnya. Beberapa saat kemudian kereta putih itu meluncur laju meinggalkan lambakan kerja yang tertangguh. Esok masih ada; fikir Zulhariz.

"Ijol! Kau kat mana?"

"Hello man. I'm on the way. Around 20 minutes aku sampai."

"Aku taulah kereta kau power...boleh sampai ke within 20 minutes?"

"Kau tunggu je lah!"

"Okey! Okey!"

Klik. Punat 'End' di atas handphone ditekan. Perbualan itu tamat dan Zulhariz meneruskan pemanduannya ke perut bandar. Kenderaan banyak tetapi masih bergerak pada kadar kelajuan 90 kilometer sejam. Waktu begini ramai orang pulang dari kerja atau mengambil anak pulang dari sekolah. Siaran radio di halakan ke Hot Fm yang terkenal dengan taglinenya 'lebih hangat dari biasa'. Sedang berkumandang lagu nyanyian Allahyarham Sudirman Haji Arshad bertajuk 'Pelangi Petang'. Lampu isyarat di hadapan bertukar merah. Zulhariz memperlahankan keretanya. Cermin tingkap diturunkan sedikit, sengaja menghirup udara petang yang berhabuk.

Zulhariz perasan penumpang kereta di sebelah kanannya melambai-lambaikan tangan. Apabila tidak dilayan, mereka memanggil satu nama dengan kuat.

"Mawi! Itu Mawi!"
"Mawi..."
"Mawi..."

Dengan pantas Zulhariz menaikkan cermin tingkapnya. Apa aku ada rupa penyanyi Mawi ke; tanyanya pada diri sendiri. Cuma gaya rambut yang hampir sama, bukan botak licin tiada rambut langsung. Dari dulu dia memang menyukai gaya rambut yang pendek. Kejadian sebentar tadi meremangkan bulu romanya. Nasib baik lampu isyarat segera bertukar hijau, kalau tidak dia pasti terperangkap dengan kerenah gadis-gadis di dalam Satria GTi tadi.

Fuh! Sempat sampai. Gila aku tadi pecut 140 km/j di atas jalanraya biasa. Nasib baik tak ada polis. Selamat...; bisik Zulhariz sendirian sambil menuju ke arah seorang lelaki yang sedang menunggunya.

"Dah lama kau sampai?"

Mereka bersalaman setelah agak lama tidak bertemu.

"10 minit. Boleh tahan kau!"

"Oklah. Jalan pun tak jammed. Eh! Order minum. Tekak kering ni."

Lelaki itu melambai ke arah pelayan. Seorang wanita muda bermini skirt dan t-shirt hitam ketat menghampiri mereka dengan pen serta kertas di tangan.

"Ya encik..."

"Fresh orange."

"Carrot susu."

Bersilih ganti Zulhariz dan temannya itu memesan minuman. Wanita muda itu sudah bergerak meninggalkan meja mereka. Kedudukan meja itu agak jauh sedikit dari pandangan umum. Komputer riba dibuka dan di hidupkan suisnya. Restoran tersebut mempunyai kemudahan 'hotspot' untuk pelayar-pelayar internet.

"Zek, mana kau dapat semua ni? This is all up to date ke?" soal Zulhariz hairan.

"For sure lah. Kau tengok, choose yang mana kau suka. The rest aku nak buang. Mana boleh simpan benda ni dalam komputer aku. Mahu company check, abis aku."

"The latest yang mana?"

"Tu, yang bergambar ramai-ramai. Birthday gathering classmate dia orang."

"Siapa sebelah dia tu? Lain macam aku tengok."

"Kau ni Ijol jealous ke? Tu mamat Indon yang suka kat dia." Zakaria menjawab dengan tersengih-sengih.

Boleh tahan orangnya. Tinggi dan berkulit cerah. Aku cuma sawo matang. Dia dekat dan rapat di sana. Sedangkan aku jauh di sini. Tiba-tiba Zulhariz berasa dirinya kerdil sekali.

"Kau apahal! Dah masuk angin lah tu. Kalau dia nak berubah, dah lama dari dulu lagi. Masa dia kat UKM dulu. Kau bukan tak tau dia ramai peminat. Sabor je lah Ijol..." pujuk Zakaria sambil bergurau.

"Mana ada. Aku ok beb!"

"Ok apa? Muka macam sembelit je."

Zulhariz melipat lengan baju kemejanya. Suasana yang dingin dirasakan begitu hangat dan bahang. Memang dari dulu dia mengumpul maklumat melalui Zakaria. Dia mengeluarkan 'thumb drive' dari poket seluarnya lalu memilih dokumen yang hendak dimuat turun dan disimpan dari komputer Zakaria itu.

Setelah urusan selesai sekitar jam 7.00 malam, Zulhariz memandu pulang dengan perasaan yang letih.

***

Selesai solat Isyak, Zulhariz terus membuka komputernya dan memasang 'thumb drive' yang di bawa pulang setelah bertemu dengan Zakaria petang tadi. Dia tidak sabar untuk melihat gambar-gambar 'buah hati' tak rasminya itu.

Dari satu gambar ke satu gambar yang lain, dia membelek lama-lama. Menyimpan memori itu di dalam kepalanya. Kadangkala dia berasa lucu sendiri, mencuri lihat gambar dengan tanpa diketahui oleh empunya diri itu sendiri.

'Kalau si dia tahu, pasti perang dunia ketiga meletus!' ucapnya dalam hati.

Zulhariz termenung melihat satu gambar 'buah hati'nya yang duduk di atas bangku. Seperti keseorangan. Gambar itu mungkin dirakam curi oleh temannya tanpa dia sedari. Atau mungkin juga dia seperti aku, merindui satu sama lain. Tidak sabar Zulhariz menunggu dua bulan lagi. Dia tidak bisa menebak apa akan berlaku waktu itu. Takut untuk memikirkannya.
Advertisement

1 comment:

  1. Good day! This is kind of off topic but I need some help from an established blog.
    Is it hard to set up your own blog? I'm not very techincal but I can
    figure things out pretty quick. I'm thinking about creating my own but I'm not sure where to begin.

    Do you have any ideas or suggestions? Thank you

    Also visit my web page :: Green Coffee Bean Max Reviews

    ReplyDelete

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.