NOVEL: CINTA KAMELIA 5

loading...
"Nape termenung?"

"Tak ada apa-apa."

"Kau rindukan orang tua kau? Atau sedih nak berpisah dengan mamat Indon tu."

"Kau ni ada-ada je lah. Suka sangat dengan si Hardy. Asyik sebut nama dia aje. Kalau kau suka kat dia cakap. Aku rekomenkan."

"Aku pulak! Mana boleh."

Senyap. Kamelia dan Baiti melayan perasaan masing-masing.

"Kau rasa ada orang sayang aku tak? Sebab aku rasa lain macam tau."

"Apa maksud kau? Lain macam... macam mana? Rasa seperti makan roti bakar cicah mayonese, macam tu ke?" Baiti mengacah-acah Kamelia.

"Kau ni main-main pulak! Aku selalu rasa telinga aku panas. Perasaan aku macam sayu sangat. Itu petanda yang selalu aku dapat kalau ada orang yang rindu kat aku."

"Mak bapak kau tak..."

"Aku baru lepas telefon dia orang."

"Tak kan si Hardy dah buat guna-guna kat kau. Tak masuk akal. Orang bijak pandai macam tu, mana main bomoh-bomoh ni. Atau...kau nak demam kot!"

Diam. Kamelia memegang dahinya, tak panas pun. Di luar apartment mereka angin berhembus agak kasar. Mendatangkan suasana dingin di dalam kamar yang sederhana besar itu. Perasaan seakan dibuai-buai. Nyaman.

"Eh! Melia. Aku rasa kau sorok sesuatu dari aku. Kau ada boyfriend kan? Macam mana orangnya... handsome ke tidak, sayang kau tak? Sebab... kadang-kadang aku tengok kau suka belek kad-kad kau tu. Apa specialnya? Sentimental value ya....dari siapa?" bertubi-tubi soalan keluar dari mulut Baiti.

"Kau suka goda aku dengan soalan-soalan berani mati kau tu. Tapi maaf cakap, mana aku ada boyfren cik Baiti oii...bolpen banyak la..."

Kamelia berdoa agar ini soalan terakhir berkaitan perasaan daripada Baiti. Mana tahu, nanti aku terpecah rahsia yang selama ini terkunci rapat. Alamat, malu besar jika dia tahu aku mencintai lelaki yang sudah lama terputus hubungan. Dalam zaman moden ini, mana ada cinta sorok-sorok. Mungkin aku satu-satunya spesis yang tinggal. Akhirnya Kamelia tersenyum sendirian memikirkan kekolotan catatan percintaannya. Percintaan ke? Ah! Malas nak fikir.

"Itu senyum kambing tu... betul aku cakap. Kau di lamun cinta."

"Senyum salah, tak senyum lagi salah. Kalau aku masam je, kau cakap aku period sepanjang tahun. Kau ni teruk tau!"

"Dua tahun aku dengan kau. Nampaknya I'm not your best friend. You still can't trust me, even for this simple matter. Aku frust betul!" Baiti meluah rasa.

Kamelia datang mendekati Baiti yang seakan merajuk. Baiti seorang rakan yang amat baik. Dia tidak pernah menyakiti atau memperkatakan perkara buruk mengenai dirinya. Mereka berkongsi segala-galanya termasuk makanan, pakaian (yang luaran sahaja), kegembiraan dan kesedihan. Tetapi yang pelik (memang pelik pun) mereka jarang membicarakan soal cinta dan perasaan. Itu satu kebetulan yang selama ini mereka tidak sedari.

"Cuba kau fikir, pernah ke kita serius berbicara soal cinta kau atau kekasih aku? Tak pernah kan? Sebab... kita sebenarnya sama. Datang ke UK ini hanya untuk study. Untuk ubah nasib kita sendiri. Aku tak pernah paksa kau mengaku yang si Halim tu kekasih kau. Dan... kau pun suka sakatkan aku dengan Hardy. Setakat itu saja. No hard feeling kan..."

Baiti memandang Kamelia dengan seribu makna yang tersurat. Betapa dia tersentuh mendengar bait-bait kata dari bibir nipis Kamelia. Betapa mereka sebenarnya sehati dalam banyak perkara, cuma mata kasar tidak bijak menilai.

"Kau suka buat aku sebak. Tengok ni air hingus aku lebih banyak keluar dari air mata. Kau punya pasallah ni..."

"Aku pulak. Kita sama je Baiti. Eh! Nak joint kita orang pergi jalan-jalan esok? Ingat nak cuci mata sebelum balik Malaysia. Lagipun nak beli barang sikit untuk orang tua aku."

"Kau pergi dengan siapa?"

"Ameer budak Iran tu and his wife. Aku lupa namanya."

"Nama husband orang dia ingat, bini orang tak ingat. Nanti tau dek bini dia, takut kasut naik ke muka." ejek Baiti kepada Kamelia.

"Aku dah kenal lama dengan dia orang. Since first semester lagi. Lagipun... aku tak mainlah laki orang. Duda tak pe. Hee...hee..."

"Interesting! Kau dah ada perasaan pada lelaki lah ni. Laa... ingatkan hati batu. Rupa-rupanya ais batu..."

"Ni yang malas nak cakap ngan kau. Silap sikit mesti aku kena balik. Nak ikut tak esok?!" Kamelia semakin geram.

Baiti termenung sejenak. Sebenarnya Halim ada mempelawanya keluar esok. Ada hal penting katanya. Setelah membuat keputusan, Baiti memilih untuk keluar dengan Halim. Mungkin dia akan mengetahui apa masalah yang ingin diceritakan oleh Halim. Berat benar nampaknya. Kamelia menasihatkan Baiti agar berhati-hati. Dan dia membalasnya dengan rasa senang hati, sebab Kamelia memang rakan yang prihatin.

***

Karina dan Hidayah mengetuk pintu kamar Kamelia dengan kuat dan tergesa-gesa. Kali pertama tiada jawapan. Mereka yakin Kamelia ada di dalam kamarnya. Sekali lagi pintu di ketuk.

Tidak lama kemudian daun pintu terkuak. Kamelia menggosok-gosok matanya dengan hujung jari. Baru sekejap dia terlelap.

"Apa halnya ni?"

"Kamu sibuk tak? Nak bincang sikit."

Kamelia memandang Hidayah yang berseluar bermuda warna biru. Pakaian rasmi mereka apabila di rumah.

"Pasal apa?"

"Hal yang meruncing jugak, Melia. Boleh kami masuk kamar kamu?" Karina bagai tak menyempat untuk menceritakan sesuatu.

"Masuklah..."

Hidayah memandang Karina. Karina membalas pandangan itu dengan wajah yang dipenuhi tanda tanya.

"Ceritalah. Ada hantu ke kat rumah kita ni?" seloroh Kamelia.

"Kamu ingat Hardy tak? Yang syok kat kamu tu..."

"Kenapa dengan dia?" Kamelia menyoal Hidayah semula.

"Begini...aku dengar orang cerita, dia lah yang intip rumah kita dulu. Masa Baiti dengar benda jatuh tuh...ada orang nampak dia." Karina membuka cerita.

"Dia? Hardy tu? Tak mungkin. Okey... memang dia suka kat aku. Dan aku anggap kawan biasa saja. Kami dah saling bersahabat dan selalu ketemu. Tiada libatkan soal perasaan. Dia amat hormatkan aku...aku rasa kau orang salah dengar gosip ni..."

Kamelia menyebelahi Hardy, bukan sebab lelaki itu kacak, tampan dan berkarisma. Tetapi sebaliknya, dia seorang sahabat yang soleh, menjaga solat dan adabnya semasa bersama aku. Tidak mungkin dia mahu mengintip rumah sewa kami. Luahan hati Kamelia hanya terucap di dalam, tidak terluah dengan kata-kata.

"Semua student dah bercakap. Tapi kita semua tak berani nak inform dia. Takut. Kita tak kenal peribadinya." Karina menyambung ceritanya.

"Boleh saya tanya? Dari mana khabar angin ini bertiup? Siapa puncanya?" soal Kamelia persis penyiasat persendirian.

Sekali lagi Karina dan Hidayah berbalas pandangan. Ya, siapa yang bikin cerita? Mereka pun mendengarnya dari mulut ke mulut semasa kuliah.

"Kamu berdua pun tak tau, kan? Ginilah, esok siang saya jumpa dia. Saya akan tanyakan perkara ini, bimbang semuanya fitnah semata. Mungkin ada orang mau kenakan dia." Kamelia memberikan buah fikirannya.

"Mel, jangan kata kami yang bagi tau. Mati nanti!" Hidayah mengingatkan Kamelia.

"Usah bimbang dong! He...he..."

Kamelia ketawa seperti di buat-buat. Sebenarnya dia pun hairan, kejadian yang sudah lama berlalu, baru kini timbul cerita yang bukan-bukan. Apa motif gosip ini disebarkan? Siapa penyebar fitnah ini? Tapi kalau benar, bermakna selama ini dia bersahabat dengan orang yang tidak kurang bahayanya. Mana tahu orang itu sedang menunggu masa yang sesuai. Tidak semena-mena bulu romanya berdiri.

***

Kamelia duduk di atas bangku di tepi jalan sementara menunggu Ameer dan isterinya datang menjemput. Tangannya meraba poket beg silangnya dan mendapatkan handphone Nokia yang hampir tiga tahun digunakan. Sehingga kini handphone tersebut masih elok. Dia menghantar SMS kepada Hardy. Memaklumkan tentang pertemuan yang telah dijanjikan malam tadi harus diteruskan.

'Tut! Tut!'

Bunyi SMS masuk.

'Ok. Aku tunggu kamu di tempat biasa.' Itu balasan daripada Hardy.

Kamelia memasukkan kembali telefon tersebut ke dalam poket begnya. Tidak berapa lama kemudian Ameer dan isterinya tiba dengan memandu kereta sewa model Mercedes Benz yang sudah agak uzur. Enjinnya masih kedengaran bagus. Kalau mahu membeli kereta, periksa enjinnya dahulu. Enjin bagus, body buruk tak apa! Begitu pendapat 'budak gila' semasa zaman persekolahan. Aik, mengapa sejak akhir-akhir ini memori hitam bersama 'budak gila' itu selalu menganggu? Kamelia puas memikirkan hal tersebut sehingga dahinya berkerut-kerut.

Ameer yang memandu di hadapan perasan akan perbuatan Kamelia itu.

"Why you look so down, Mel? Any problems you want to share with? Or...you may share with ladies only?" usik Ameer memaksudkan Kamelia bercerita dengan Falujah, isterinya.

Kamelia menggelengkan kepala. Melihat Ameer pula yang tidak faham, Kamelia bersuara.

"No Ameer. Thanks a lot. I think I'm a bit tired. Last night I most finish my packing."

"Oh I see. When will you going back to your hometown?"

"After finish packing, may be I need a week time. Why? Want to follow us going back to Malaysia?" soal Kamelia bergurau.

"Thank you. Next time may be...Insya'Allah."

Pasangan pelajar Iran itu memang suka mengucapkan terima kasih. Sepanjang sesi membeli belah di MarketGate, entah berapa belas kali ucapan tersebut terkeluar. Yang penting Kamelia merasa berbaloi mengikut pasangan Iran tersebut. Banyak juga cenderahati yang diborong untuk ibu dan bapanya serta sanak saudara yang akan datang bertandang demi mendengar kepulangannya. Tidak dilupakan buah tangan untuk Aini, Zek dan rakan rapatnya yang lain.

Menjelang tengahari Kamelia sudah sampai di rumah sewanya. Baiti mungkin sudah keluar menemui Halim. Mengikut kata Baiti dia akan keluar tengahari dan menjangka pertemuan dengan Halim tidak terlalu lama. Kamelia menganggar Baiti baru sahaja keluar berdasarkan lantai bilik air yang masih basah sewaktu dia melewatinya tadi.

Namun, Kamelia perasan sewaktu masuk ke dalam rumah tadi pintu depan tidak berkunci dan sedikit ternganga. Hish! Cuai betul budak-budak dalam rumah ni. Fikirnya sambil memusing tombol pintu biliknya yang dikongsi dengan Baiti.

"Ya Allah.... kenapa ni??"

Kamelia hampir pengsan melihat kejadian di depan matanya. Pandangannya gelap serta merta.

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.