NOVEL: CINTA KAMELIA 6

loading...
Suasana sedikit cemas di hadapan pintu utama hospital. Orang yang lalu lalang dengan urusan masing-masing pun turut sama menjengah terhadap situasi tersebut. Dua orang jururawat tergesa-gesa menolak pesakit yang diberi bantuan pernafasan itu ke dalam bilik bedah. Kelihatan beberapa orang rakan si pesakit berpelukan dalam kesedihan sesama mereka.

Kamelia masih terkejut dengan apa yang terjadi. Dia mendiamkan diri di satu sudut dengan menyandarkan tubuhnya ke dinding. Wajahnya pucat. Matanya masih lebam kerana tidak berhenti menangis sejak dari rumah sewanya lagi. Baiti ditikam! Darah membuak keluar dari perutnya sewaktu dia sampai di rumah selepas membeli belah bersama Ameer siang tadi. Kemudian dia tidak ingat apa yang terjadi sehinggalah siren ambulans dan kekecohan di dalam rumah tersebut menyedarkannya dari pengsan.

"Sabarlah, Mel. Perbanyakkan berdoa semoga Baiti boleh diselamatkan." Karina memujuk rakannya itu.

"Kalaulah aku tahu kerja siapa semua ini! Siapa yang dengki dengan dia Karin? Aku akan kerjakan orang itu. Biar mampus sama sekali." Kamelia sudah tidak mampu mengawal perasaannya lagi.

"Kesian dia. Tapi masa aku nak keluar dengan Hardy dan Hidayah, ada kami terserempak dengan Halim di depan simpang. Aku tengok dia semacam je. Muka tension tak tentu pasal." Hidayah yang berdiri berdekatan dengan mereka menyampuk.

"Apa kamu sebut tadi? Hardy dan kamu..."

"Mel... kamu jangan salah sangka. Kami tak buat apa-apa dengan si Hardy kamu tu..." sampuk Karina setelah melihat mata Kamelia membulat.

"Bukan. Bukan itu maksud aku. Jadi semasa kejadian tu, Hardy bersama-sama kamu semua. Masya'Allah... aku telah menuduh dia yang lakukan semua ini. Tapi... bukankah malam tadi kamu semua cakap dia yang intip rumah kita dulu?"

"Masa tu kami belum tahu. Kemudian pagi tadi semasa kamu keluar, Hardy datang bersama kawan serumahnya. Dia kan tak tahu rumah sewa kita. Jadi, dia mahu tunggu kamu kat rumah saja. Masa itu baru kami tau yang dia tidak pernah ke rumah kita. Macam mana nak buat kerja bodoh tu semua." Karina rancak bercerita.

"Ya lah! Semasa kejadian, dia bersama kami pergi mencari buku untuk assignment. Dia yang banyak membantu kamu dan Baiti semasa kami sampai rumah tadi. Kamu tau... dia yang angkat kamu ke kerusi." Hidayah menambah lalu membongkar kejadian sebenarnya.

"Eee... malunya aku. Kenapa dia buat begitu. Kan boleh kejutkan aku."

"Kamu pengsan mati! Karin sudah cuba sembur dengan air, tapi kamu gitu juga. Penghabisan kami minta tolong Hardy angkat kamu..." ujar Hidayah tersengih-sengih.

"Kalau gitu suspek aku silap. Jadik, soalan kamu malam tadi terhadap Hardy udah ada jawapannya."

"Memang kita silap besar selama ini. Kita mengumpat si Hardy, padahal orang lain pelakunya. Orang tersebut dari dulu sudah intip rumah kita. Aku rasa dia marah atau dendam pada seseorang. Kita orang pun pernah nampak lembaga hitam waktu pulang lewat dulu. Tapi takut mau cerita pada kamu atau Baiti. Tak mau kamu bimbang..." cerita Hidayah diakui oleh Karina dengan mengangguk laju.

Tetapi, siapa orang itu. Benak Kamelia kuat mengatakan pasti orang terdekat dengan mereka yang biasa dengan persekitaran rumah tersebut yang menikam Baiti sehingga mendapat kecederaan parah. Takkan Baiti membukakan pintu untuk orang yang tidak di kenali? Tiada tanda-tanda rumah sewa mereka itu di pecah masuk. Nasib baik rakan serumah mereka cepat pulang, jika tidak sudah pasti Baiti gagal diselamatkan. Tiba-tiba mindanya terlintas satu nama dan figura lelaki yang agak misteri ini iaitu Halim. Ya. Mungkin dia suspek utamanya! Bukankah sebentar tadi Karina dan Hidayah mengatakan yang mereka terserempak dengan Halim di kawasan perumahan tersebut sebelum kejadian itu berlaku. Bulu tengkuknya meremang tiba-tiba. Perasaan marah bercampur dendam kesumat menjalar di seluruh tubuh. Dia pasti melakukan sesuatu untuk menghumban si pelaku ke muka pengadilan.

"Sudahlah Mel... jangan risau sangat. Insya'Allah dia selamat." Karina menepuk bahunya lembut dek terdengar satu keluhan berat dilepaskan oleh Kamelia.

"Aku rasa aku boleh agak siapa yang lakukan semua ini."

"Siapa?" soal Karina dan Hidayah hampir serentak.

"Halim. Budak kursus kaunseling tu."

Karina dan Hidayah berpandangan sesama sendiri. Tekaan Kamelia sama dengan apa yang mereka fikirkan.

Kamelia terpandang Hardy dan rakan-rakan sekuliah yang mengenali Baiti di satu sudut bertentangan dengan tempat dia berdiri. Demi mendengar kejadian yang menimpa Baiti, rakan-rakan mereka datang memberikan sokongan. Kamelia mengangguk mengisyaratkan ucapan
terima kasih kepada Hardy dan kelihatan pemuda Jakarta berkulit putih itu turut mengangguk. Tiba-tiba satu perasaan aneh hadir di dalam diri Kamelia. Rasa dilindungi, ya. Dia pasti. Bukan kerana cinta atau sayang! Tetapi mengapa hatinya kini sering bergetar apabila berpandangan dengan lelaki itu?

Hardy, Rinto dan Najli sudah bergabung dengan mereka. Kamelia tidak sedar bila mereka bertiga datang mampir kerana sedari tadi fikirannya tidak tenteram. Hardy seperti ingin mengatakan sesuatu. Rakan-rakan yang lain menghindar jauh sedikit untuk memberi ruang kepada Kamelia dan Hardy berbincang dengan tenang.

"Kamu okey, Mel?"

Kamelia mengangguk. Malu untuk menentang mata Hardy setelah apa yang berlaku siang tadi.

"Harus banyak tawakal. Doakan yang terbaik untuk Baiti. Kamu jangan stress sampai nampak pucat macam ni. Kami semua ada jika kamu perlukan pertolongan." Hardy memujuk lembut.

Aduhai... Lelaki ini begitu prihatin walau cintanya ku tolak mentah-mentah. Kau memang sahabat yang sangat mengerti, Hardy. Kamelia hanya berkata-kata di sudut hati. Setiap kali lelaki itu memujuk dan memberikan semangat, setiap detik itulah hatinya bergetar laju. Sekali lagi Kamelia penasaran, apakah yang melanda dirinya saat ini?

"Beberapa bulan dulu aku mimpikan kau, Mel. Tapi mimpi sedih. Dalam mimpi tu kau menangis dan terus menangis. Aku tak sempat tau apa tandanya semua itu. Nah sekarang ni...semuanya Tuhan tunjukkan. Aku faham kau mula menghindar sejak cerita-cerita pasal aku disebarkan. Tak mengapalah... aku reda."

Kamelia tersentak. Hardy terasa dengan tindakanku. Malah petanda dari mimpi sedih itu adalah renggangnya silaturrahim kami hanya kerana cerita fitnah. Maha Suci Allah...Kamelia mengucap panjang.

"Mel... doktor kata Baiti okey. After half an hour kita semua boleh tengok dia." Hidayah membisikkan khabar gembira.

"Alhamdulillah..."

"Mari kita pergi makan dulu. Aku lihat kamu begitu pucat sekali. Kamu perlu lebih minum air nanti."

Kamelia membiarkan Hardy memimpin tangannya. Rakan-rakan yang lain berpandangan sesama sendiri dan segera membuat tanggapan bahawa kedua-duanya sudah lama menjalin hubungan cinta. Hati mereka berbunga gembira.

***

Malam itu Kamelia menghubungi kedua ibu bapanya dan menceritakan apa yang terjadi siang tadi. Pada mulanya mereka terkejut dan begitu risaukan anak dara tunggal mereka yang berada di bumi England itu. Namun Kamelia berjaya menenangkan ibunya yang asyik menangis di hujung talian.

"Kenapa mama menangis sakan ni? Bukan Melia yang kena, tapi Baiti. Kawan sebilik Melia. Lagipun dia dah selamat."

"Kamu bila nak balik tu. Dari sehari ke sehari tak sampai-sampai."

"Kena tangguh seminggu lagi. Nanti barang-barang Mel hantar dulu."

"Jaga diri tu. Kamu dah besar panjang pun tak pandai jaga diri..." mamanya membebel di akhir perbualan tersebut.

Kemudian dia baru teringat untuk menghubungi keluarga Baiti di Batu Pahat memaklumkan kejadian yang menimpa anak mereka itu. Beberapa nombor ditenung lama kerana Kamelia sudah lupa yang mana satu nombor orang tua Kamelia.

Mungkin yang ini, desisnya. Nombor tersebut terus di dail.

"Hello..." satu suara lelaki menjawab panggilan tersebut.

"Asalamualaikum...Pak Cik ni ayah Baiti ya? Maaf Pak cik ... saya kawan serumah dia kat UK. Nak bagi tau satu berita. Pak Cik jangan terkejut. Baiti kena tikam siang tadi...."

"Apa? Awak ni siapa? Kenapa dengan tunang saya?" satu suara memotong percakapannya.

Tunang? Aku salah dail nombor ke? Alamak! Kamelia menggelabah.

"Awak kenal dengan Cik Baiti. Atau... saya tersalah dail?"

"Ya! Saya tunang dia. Kenapa dengan dia?? Ceritakan pada saya..." suara lelaki itu kedengaran lemah.

Apa? Baiti telah bertunang? Perempuan ni pandai betul simpan rahsia. Patutlah kerap bergayut dan tersengih-sengih seorang diri. Rupa-rupanya bergayut dengan tunang sendiri.

"Hello... hello...cik masih di sana?"

"Oh, ya...ya...memang dia ditikam di perutnya siang tadi. Tapi sekarang dia dah sedar dan masih di rawat di hospital. Harap encik dapat bersabar. Boleh encik tolong sampaikan berita ini pada orang tuanya?"

"Ok, boleh...tapi saya mohon pada cik, tolong tengok-tengokkan tunang saya tu. Dia memang cuai sikit. Sampaikan salam sayang saya padanya. Nama saya Zakaria..."

Oh! Nama tunang dia Zakaria. Macam pernah dengar nama ini. Ah! Mungkin saja. Di seluruh dunia berapa ramai orang menggunakan nama Zakaria. Tapi suaranya mengingatkan Kamelia pada seseorang.

Pagi itu Kamelia menjenguk Baiti di hospital. Dia membawakan barang keperluan peribadi untuk sahabatnya itu serta beberapa buah majalah untuk menghilangkan bosan. Ketika tiba di hadapan meja receiptionist, kelihatan Hardy dan dua orang rakan serumahnya juga di situ. Pasti mahu menjenguk Baiti juga.

"Marilah... pasti Baiti bosan keseorangan. Aku dengar lagi dua hari balutan lukanya boleh dibuka. Aku harap lagi cepat lagi bagus. Rindu sangat pada Malaysia." Kamelia berbasa-basi.

Sebenarnya dia tidak tahu mahu berkata apa kepada tiga orang lelaki itu. Tambahan pula dia kini berasa malu kepada Hardy, yang dahulunya hanya di pandang sepi tetapi akhirnya dialah orang yang paling banyak membantu saat dia kesusahan.

Baiti melemparkan senyuman pahit sewaktu menerima kehadiran tetamu-tetamunya itu. Badannya masih lemah tetapi di gagahkan juga untuk duduk. Lantas Kamelia mengalas belakang badan Baiti dengan bantal. "Kau punya rahsia dah pecah!" bisiknya ke telinga Baiti.

Baiti termangu-mangu.

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.