Header Ads

NOVEL: CINTA KAMELIA 8

"Hilang sakit bila kau cakap benda tadi tu. Semuanya mengarut. Mana kau dapat berita sensasi ni semua?"

"Aku pasang spy besar, James Bond 012..."

"Banyaklah kau punya spy. Sakit balik luka aku mak oii..."

Kamelia memegang perut Baiti bila dia mengaduh sebentar tadi. Namun kemudian pecah tawa Baiti bila Kamelia percaya dengan lakonannya. Hidup-hidup Kamelia kena tipu.

"Aku pasang spy 012." ulang Kamelia tegas.

Baiti tersenyum kelat. Terpecah juga rahsianya yang tersimpan rapi. Tetapi kerja siapa semua ini? Terkulat-kulat dia memikirkan perkara tersebut sebelum dengan selamba Kamelia menyebut nama tunangnya.

"Cik Balqis binti Ahmad, kau telah bertunang dengan Zakaria kan? Bin apa, aku tak pasti. Yang confirm nama dia Zakaria..."

Betul pulak tu!

"Kenapa kau diam membisu seribu bahasa? Hilang kata-kata..."

"Aku bukan nak rahsiakan dari kau. Memang aku dah bertunang. Beberapa bulan lepas..."

"Tapi..."

"Ya. Pertunangan dilangsungkan tanpa aku. Kau kan tengok aku kat depan mata kau 24 jam. Tunang aku takut... almaklum gadis comel lote macam aku kan ramai peminat. Takut dikebas orang!" Baiti menyeringai.

"Wah! Syahdunya aku dengar kes kau ni. Sayang betul tunang kau pada kau ya...patutlah bergayut siang dan malam...barulah aku tau."

"Bila nak kawin?" deras saja soalan dari mulut Kamelia.

"Balik nanti kawinlah aku."

"Tak sabar. Perempuan tak malu!" ejek Kamelia bernada cemburu.

"Yang penting aku laku. Bukan macam kau...anak dara tak laku! Malu tolak ketepi..." Baiti ketawa terkekeh-kekeh walau bekas lukanya masih sakit.

"Ya lah. Sape lah nakkan aku ni, muka tersorong-sorong..."

"Kau soronglah muka kau kat Hardy. Dia ambil berat betul masa kita ditimpa musibah hari tu."

Kamelia menggeleng tidak tahu atau tidak faham. Baiti memerhatikan rakan baiknya itu mengeluh kecil. Kadangkala sukar mahu membaca apa yang tersirat di dalam hati gadis itu. Sikap perahsianya terlalu tebal. Semua lelaki yang mahu mendekat pasti di tolak dengan baik.
Baiti tahu pasti siapa yang di tunggu oleh Kamelia itu. Rahsianya ada di dalam genggaman tetapi belum masanya untuk membocorkan kepada tuan punya itu sendiri.

"Hei! Menung pulak dia. Kau terasa apa aku cakap ke? Sorilah...bukan sengaja. Nak bagi kau semangat untuk bercinta. Hidup tanpa cinta umpama sambal goreng tak de tempe..."

"Banyaklah kau punya semangat. Apa ni tempe pun boleh masuk dalam falsafah cinta ke. Aku tau lah kau anak Jawa Batu Pahat. Tak lepas dengan tempe dia!"

Baiti dan Kamelia ketawa lagi dan lagi sehingga berair mata masing-masing. Baiti memegang perutnya yang kadangkala masih terasa ngilu kesan tikaman tempohari. Namun hatinya kembali berbunga apabila polis tempatan memberitahu suspek yang terlibat dengan kejadian di rumah sewa mereka telah ditahan. Sebagaimana tekaan rakan-rakan, memang Halim yang melakukan kerja kotor itu selama ini. Motifnya kerana cemburu dan cintanya ditolak.

"Aku rasa dia psiko..."

Tiba-tiba Kamelia membuka cerita tentang Halim, seperti dia tahu apa yang sedang difikirkan oleh temannya itu.

"Selama ni aku keluar dengan orang yang berbahaya, Mel. Patutlah sinar matanya macam menyeramkan dan sukar dibaca. Pernah dia mengamuk bila aku menolak keluar dengannya. Aku ingat dia cuma tension dengan course yang dia ambil. Rupa-rupanya lebih dari itu. Kan aku cakap dengan kau dia tu ada family background yang macam tu...tak waras. Mungkin dia pun sama tak! Ee...meremang bulu roma aku!"

"Yang penting kau selamat, Baiti. Itu aje doa aku masa kau tak sedar diri hari tu."

Baiti terus memeluk Kamelia dihadapannya. Dia amat menghargai segala pertolongan yang diberikan oleh gadis Melaka itu. Satu hari nanti pasti dia akan menolong menyatukan cinta rahsia Kamelia dengan 'budak gila'nya. Segala cara akan dilakukan agar mereka bersatu. Ya! Dia akan usahakan.

***

"Aku nak balik malaysia malam esok. Barang separuh dah hantar. Tolong hantarkan kami ke airport, boleh?" Kamelia memohon pertolongan kepada Hardy untuk yang kesekian kalinya.

"Insya'Allah boleh. I'll do everything for you. Even if you need my life..." Hardy bergurau.

Tetapi bagi Kamelia, kata-kata itu menusuk ke dalam mendebarkan kalbu. Apakah nanti 'budak gila' yang dipujanya akan sering berkata begitu memberikan inspirasi?

"Seribu tahun pun aku akan tunggu kamu sampai kamu kata 'yes' pada 'lamaran' aku, Mel. Kamu bila balik Malaysia nanti ingatilah aku selalu. Aku budak Indon yang mengharap balasan cintanya..."

Kamelia cuma tersengih mendengar luahan yang amat terus terang dari Hardy. Tidak boleh! Kau harus kuat Kamelia. Kau tidak boleh menghianati 'janji' yang telah kau buat dengan 'budak gila' tu. Walau masing-masing tidak 'declare', tetapi Kamelia merasakan rindu yang dihantar oleh 'budak gila' itu merentas selat dan laut dapat dirasakan setiap masa! Sesaknya dada pabila mencintai dalam diam...

"Aku sebenarnya tak pandang rendah pada kamu, atau kawan-kawan kamu. Aku hargai setiap detik dan masa kita bersama. Tapi seperti aku katakan sebelum ini...kita mungkin tidak dijodohkan untuk hidup bersama...kita hanya KAWAN."

Kamelia menekankan sedikit suaranya pada hujung kata-kata. Kemudian menyambung,

"Tapi aku tak nak cakap besar. Mana tau selepas ini Allah terbalikkan cinta aku untuk kamu pula. Kita hanya merancang...kamu doalah banyak-banyak!"

Hardy tertawa lembut mendengar kata-kata terakhir dari bibir Kamelia. Yap! Berusaha sudah, tinggal doa saja yang bisa melembutkan hati seorang wanita. Hardy merenung lembut wajah Kamelia yang duduk agak jauh darinya. Biar jauh, biar tidak bersentuhan, tetapi dia merasakan mereka dekat. Didekatkan oleh rasa kasih yang semakin membara di dalam dirinya. Wajah itu diamati lama untuk disimpan di dalam memori, bakal pengubat rindu setelah perpisahan menjemput tiba.

Jangan tengok aku macam itu Hardy! Aku takut terjatuh cinta pada kamu. Kamu terlalu baik. Kamu prihatin. Lihat saja mata kamu yang bundar, begitu mempesona! Cubalah kamu buat begitu pada wanita lain, bukannya aku!; Kamelia hanya berkata-kata di dalam hati, kerana takut bibir mengatakan yang lain pula.

"Okey, tomorrow night we will sent you to the airport. Don't be late or you'll be by my side here, forever..."

Hardy menuturkan kata-kata keramatnya untuk kesekian kali.

Dan, Kamelia juga terpaku tidak tahu mahu membalas apa kepada kata-kata Hardy itu. Hatinya tiba-tiba dipagut sayu.
Advertisement

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.