Now you can Subscribe using RSS

Submit your Email

May 29, 2009

NOVEL: CINTA KAMELIA 9

nur aynora
Sudah seminggu Kamelia memerap di kampungnya. Rasa penat, rindu, dan entah apa-apa perasaan lagi yang bercelaru telah sedikit demi sedikit lari dari hidupnya. Serasa perjalanan hidupnya kembali normal dan tenang. Sewaktu baru-baru sampai dari UK, dia mengalami 'jet leg' sehingga waktu tidurnya tunggang langgang. Kini semua itu sudah berlalu.

"Hari ini nak masak apa pulak. Semalam dah rasa asam pedas sembilang. Hari sebelumnya pecal pucuk ubi. Hari ni ingat nak mintak ibu masak tempoyak la..." Kamelia masih berbaring di atas katil sambil kepalanya ligat memikir menu lauk mereka hari itu.

Bosan bergolek di atas katil, dia mencapai telefon bimbitnya. Mendail satu nombor dengan wajah yang tersengih-sengih. Tidak lama kemudian telefon di ruang tamu menjerit-jerit minta di angkat.

"Assalamualaikum..." suara seorang wanita menjawab.

Setelah menjawab salam, Kamelia berpura-pura bertanya khabar wanita itu.

"Mak cik, saya nak order ikan patin masak tempoyak, boleh?"

Kamelia mengecilkan suaranya dan menahan tawa dari berderai.

"Boleh. Tapi anak ni siapa? Nak berapa kilo ikan patin? Macam mana nak datang ambil, sebab mak cik tak boleh drive...lesen dah mati."

Jujurnya mak cik ni! Lesen mati pun cerita kat orang. Kamelia sudah sakit perut menahan tawa. Namun dia masih mahu mengusik ibunya itu.

"Saya nak order sekilo jer. Makan kat rumah mak cik pun tak apa. Tak payah hantar. Nanti tengahari saya makan kat dapur ye..."

Kamelia mengintai di sebalik pintu biliknya. Ibunya sedang mengomel sendirian sambil memandang corong telefon dan kemudian telefon dihempas perlahan. Tak tahan melihat telatah ibunya, Kamelia meluru keluar sambil ketawa terkekeh-kekeh.

"Masya'Allah... kenapa dengan budak Melia ni. Ketawa sorang-sorang. Tak de keja agaknya."

"Sape tadi tu bu, lain macam je ibu jawab telefon."

"Entah orang gila mana!"

Terkena sebijik aku! gumam Kamelia sendirian sebelum mengekori ibunya ke dapur.

"Nak masak apa bu hari ini?"

"Tak tau lagi. Kamu nak makan apa?"

"Tadi saya dah cakap. Ibu yang tak ingat."

"Bila kamu bagi tau, saja nak kenakan ibu. Tadi orang gila yang telefon tu ada le.."

Kamelia kembali ketawa sewaktu ibunya menyebut 'orang gila'. Dialah orang gila tu...

"Itu Mel yang call lah bu...nak makan gulai tempoyak!"

Kamelia mengajuk intonasi suaranya supaya dapat di cam oleh ibunya.

"Bertuah punya anak!"

Ibunya sudah mencari penyapu di tepi peti ais dan belum pun sempat penyapu itu ditemui, Kamelia sudah menyelinap masuk ke dalam biliknya. Sesekali mengacau ketenangan ibu tersayang yang hampir 2 tahun ditinggalkan, apa salahnya.

***

"Melia, kau buat apa kat rumah. Dah dapat kerja?"

Setelah dua minggu kepulangannya barulah Aini berkesempatan menelefon. Sebelum ini mereka telah berhubungan melalui SMS dan bertanyakan khabarnya sebaik sampai ke tanahair.

"Aku makan, tidor, makan, tengok tv lepas tu kacau mak aku...bosannya aktiviti aku. Ada kerja kosong tak? Jadi kerani cabuk pun tak ape."

"Hish! Takkan lulusan master ekonomi nak buat kerani cabuk punya kerja. At least consultant ke, atau manager ker..."

"Aku desperate nak kerja ni. Aku dah bosan!"

"Aik, takkan dah bosan baru dua minggu duduk rumah. Kata nak lepak puas-puas. Aku rasa sejak dari UKM kau terus sambung master kat UK kan. Tak pe lah sekarang kau jadi penganggur terhormat." Aini tertawa panjang di hujung talian.

"Memang pun macam tu aku fikir. Tapi sekarang lain pulak. Aku dah gian nak kerja ni...please Aini, kau risik-risik kat company kau...ada vacancy tak."

Nak kerja kat tempat aku? Mana boleh! Nanti perancangan aku gagal; Aini berkata-kata dalam hati sahaja.

"Nantilah aku tanyakan. Tapi tak boleh harap sangat. Hujung minggu ni kita keluar nak?"

"Boleh jugak! Kau ambik aku kat bus stand JBlah, aku kena naik bas dari Melaka ni..."

"Aku taulah kau duduk Melaka. Eh...kau tak drive?"

"Aku dah jual kereta aku masa nak ke UK dulu. Tak de sapa nak jaga..."

"Ohh..."

***

Keadaan perhentian bas JB sangat sesak dengan kenderaan keluar masuk walaupun jam sudah menunjukkan angka 9 malam. Beberapa peniaga turun naik bas yang berhenti untuk menjual air kotak dan kekacang. Ada beberapa orang anak gadis baru turun dari bas dengan beg-beg yang besar, mungkin bercuti panjang dari pusat pengajian mereka. Ya lah... cuti semester baru bermula.

Sesekali Kamelia menjeling jam di pergelangan tangannya. Kelibat Aini belum kelihatan. Terdengar perbualan gadis-gadis yang tidak jauh dari tempatnya berdiri disertai gelak ketawa nakal. Seperti kenakalan zaman remaja yang pernah dirasainya sedekad lalu. Sebuah kehidupan remaja yang penuh ranjau dan duri.

Entah mengapa dia terasa diperhatikan oleh seseorang daripada kelompok gadis-gadis remaja itu. Tanpa menunggu lama Kamelia memberanikan diri memandang ke arah gelak ketawa tersebut. Nah! Di situ pandangannya bertembung dengan jelingan tajam seorang gadis putih mulus bertudung. Kamelia cuba tersenyum menghulur salam perkenalan tidak rasmi tetapi dibalas dengan juihan di bibir gadis itu.

Eh! Kenapa dia buat macam itu kat aku? Kenalkah dia padaku? Dengan kerlingan melalui ekor matanya, Kamelia membalas pandangan dingin gadis itu. Dibandingkan dia, aku lebih bergaya, mungkin itu yang menyebabkan dia berperasaan (jika benar) cemburu. Ah! Aku tak kacau orang; gerutu Kamelia di dalam hati.

Kamelia menjawab panggilan di handphonenya. Aini sudah tiba di kawasan parking dan mengarahkannya ke kereta milik Aini yang dirasakan agak jauh juga bagi Kamelia untuk menjejakinya. Tetapi perhentian bas JB sudah agak biasa bagi Kamelia, sementelah dia pernah jadi 'minah ukur jalan' sewaktu bersekolah di JB dulu.

"Susah cari kereta kau ni tau. Parking kat tempat tersorok macam ni. Nasib baik jumpa." Kamelia mengomel setelah masuk ke kereta Aini.

Dua sahabat yang telah 2 tahun tidak berjumpa berpelukan seketika dan kemudian Kamelia menyambung lagi, "Kau makin cantik sekarang. Lebih langsing. Ni...mana penutup kepala kau? Ubah suai 200 persen nampak!"

Kadang-kadang Kamelia terlupa yang dia terlalu berterus terang. Aini mencemikkan mukanya sambil memandu keluar dari kawasan parking tersebut.

"Kau tengok sebelah kiri sana, Mel...ada kereta tak. Aku tengok sebelah kanan. Kalau okey, cakap."

Kereta semakin banyak melalui simpang susur keluar dari perhentian bas JB itu walaupun malam semakin larut. Berderet-deret teksi beratur menunggu pelanggan yang mahu ke pelbagai destinasi. Setelah yakin benar sebelah kiri tiada kereta yang masuk, Kamelia berkata 'ok' kepada Aini. Namun matanya tertancap kepada sesusuk tubuh lelaki yang seperti dikenalinya sedang melintas jalan yang sibuk itu dengan seorang wanita memaut lengannya dengan manja sekali. Di tangan kanannya memegang satu beg besar, berkemungkinan milik gadis tersebut. Apabila panahan cahaya lampu kereta mengenai mereka, Kamelia nampak dengan jelas rupa gadis itu. Darahnya berderau tiba-tiba.

***

"Semalam kau buat apa kat bus stand JB tu?" soal Zulhariz kepada Aini.

Aini sedang asyik menyuap makanannya ke mulut. Mereka sama-sama bersarapan di warung bersebelahan pejabat mereka. Malas mahu mendaki jejantas untuk ke restoran di seberang jalan.

"Ambil kawan dari Melaka. Kau ada kat sana ke malam tadi?"

"Ha ah! Ambil sepupu aku balik cuti semester. Siapa kawan kau tu, bukan main jauh kau bawak."

"Memang pun, dia baru balik dari UK. Baru dua minggu. Dia boring duduk kat rumah, sekarang tengah tunggu panggilan kerja..."

Orang Melaka? Baru balik dari UK?; fikiran Zulhariz menerawang sementara Aini tersenyum simpul memerli.

"Hah?!"

nur aynora / Author & Editor

Mykarya.com adalah blog perkongsian e-novel, cerita korea dan drama melayu.

0 comments:

Post a Comment

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Coprights @ 2016, Blogger Templates Designed By Templateism | Distributed By Gooyaabi Templates