NOVEL: UKIRAN JIWA 1

loading...
Lisa Hanani memerhatikan pemuda Cina yang duduk berselang dua meja darinya sedang menjawab panggilan telefon. Semakin lama semakin jelas bahasa pertuturannya. Pemuda itu bercakap dalam bahasa melayu yang amat lancar. Dari tepi nampak kedudukan hidungnya yang mancung dan bibirnya yang nipis. Tetapi dia tidak berapa nampak matanya, mungkin bulat atau sepet seperti kebanyakan bangsa Cina yang lain. Ah! Mengarut pula aku ni, sorang-sorang boleh mengendap; bisiknya seraya tersenyum lucu.

"Cik... ini makanan yang di pesan. Terima kasih." budak lelaki pelayan restoran telah meletakkan hidangan yang dipesan.

Lisa Hanani membalas dengan anggukan kemudian ucapan terima kasih juga. Pelayan itu berlalu setelah mendapati Lisa Hanani tidak memesan apa-apa lagi.

"Hi... may I seat here."

Lisa Hanani terpegun disertai rasa terkejut. Malu pun ada. Pemuda Cina yang sedari tadi diperhatikannya sedang meminta izin untuk duduk di depannya. Lisa Hanani terus mencari mata pemuda itu. Bulat dan bersinar hingga menyebabkan perasaannya jadi tidak keruan. Degupan jantungnya laju dari biasa.

"Oh! Sure...you're invited."

"I'm Hanan...Hanan Lim. Tadi I perasan you tengok I...so, I think we may know each other before?" tekanya.

"No... just looking and surprised, you can speak malay very well."

"I dah biasa bercampur dengan budak melayu. Ini kan Malaysia. Semua kaum mesti boleh bercakap bahasa kebangsaannya. Betul tak?"

Lisa Hanani mengangguk.

"Lupa pulak. Saya Lisa Hanani. Macam sama pulak nama kita, kan?"

"Sweet and nice name. You're such a beautiful young lady I have ever met." puji Hanan Lim jujur.

Semakin tidak keruan Lisa Hanani jadinya. Makanan yang dipesan dicuit sedikit demi sedikit. Tekaknya terus tidak mampu menelan makanan. Pemuda itu pula mengambil peluang memerhatikannya. Seakan mengenakannya pula.

"You tak makan?"

"Sudah. Masa you perhati I tadi, baru je habis."

Sekali lagi perasaan malu bertandang ke dalam diri Lisa Hanani. Apakah dia menganggap aku perempuan murahan yang suka merenung setiap lelaki? Anggapannya itu pasti akan memudarkan persahabatan yang mungkin terjalin. Mana tahu!; bisik Lisa Hanani sendirian.

"Lisa, you jangan salah faham. I tak anggap you seperti yang you fikirkan. I have to make a move now. Anything or you want to chit chat with me, please contact. Okey."

Hanan Lim menyerahkan kad perniagaannya. HANAN LIM & ASSOCIATES, ADVOCATES & SOLICITORS.

Lisa Hanani masih duduk, tidak tahu nak buat apa apabila berdepan situasi sebegitu. Ini pengalaman pertama buatnya. Kad dihulur, disambutnya dengan longlai. Peguam rupanya pemuda ini. Terasa diri begitu kerdil. Kenangan silam berebut-berebut memenuhi ruang minda. Kerana berbeza taraf, cintanya hanyut di lautan sepi.

"You have any contact number?"

"May be I will call you later." Lisa Hanani bernada dingin.

Hanan Lim perasan perubahan mendadak pada wajah Lisa Hanani sebaik menatap business cardnya. Apa yang tak kena?

"I'm waiting. See you."

Hanan Lim sudah beredar meninggalkan Lisa Hanani yang cuba menghabiskan sisa-sisa makanan. Namun hanya separuh jalan, akhirnya makanan yang masih berbaki ditolak ketepi. Seleranya hilang sama sekali.

***

Hanan Lim menghadap komputer dengan tekun sekali. Meneliti kandungan perjanjian yang baru dipinda oleh kementerian untuk pembeli-pembeli rumah. Kemudian dia membandingkan dengan perjanjian yang lama, untuk mengenalpasti klaus-klaus yang telah dipinda atau tidak digunapakai lagi.

Kedengaran pintu biliknya diketuk. Dia mempersilakan tetamunya masuk. Mengalihkan kerusinya betul-betul menghadap pintu.

"Encik Hanan... ini dokuman-dokumen yang perlu ditandatangani. Ada dua perjanjian jual beli yang nak cepat. Mereka nak memohon pinjaman perumahan dengan Perbendaharaan KL. Mungkin dua hari lagi client nak datang ambil. Kalau Encik boleh sign cepat, boleh terus stamp petang nanti." panjang lebar Rosnah menerangkan.

Rosnah yang telah berkhidmat lebih lima tahun dengan firma peguam tersebut amat memahami dan arif dengan apa yang dilakukannya. Terutamanya apabila bekerja dengan Encik Hanan Lim, iaitu tuan punya firma Hanan Lim & Associates.

"Okey, nanti saya tengokkan. Bila selesai saya akan call you."

Rosnah keluar dari bilik Encik Hanan Lim setelah meninggalkan dokumen-dokumen yang dibawanya tadi di meja lelaki itu. Dia melalui hadapan bilik Cik Jenny Chua iaitu rakan kongsi bosnya. Biliknya masih gelap. Mungkin lambat lagi hari ini. Atau berkemungkinan Cik Jenny mengendalikan kes di mahkamah.

"Bila fail boleh keluar, kak Ros?" tanya Laili yang baru dua bulan bekerja di firma tersebut.

"Nanti siap dia akan call. Kau tolong siapkan perjanjian pinjaman dengan RHB tu. Nanti customer nak datang. Dah siap, tolong call client, biar dia orang standby legal fees..."

"Ok kak Ros."

Rosnah memandang jam di pergelangan tangannya. Hampir 10.00 pagi namun bayang tubuh Rosman yang bertindak sebagai budak pejabat belum kelihatan. Dia yang baru mencecah 18 tahun memang selalu lewat sampai. Sudah banyak kali Rosnah menyembunyikan tentang kelewatan Rosman itu, tetapi sampai bila dia harus menolong orang. Sedangkan orang tersebut tidak mahu merubah dirinya sendiri. Satu hari nanti dia harus berterus terang dengan bosnya tentang perangai Rosman. Itu azamnya.

***

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.