Now you can Subscribe using RSS

Submit your Email

Oct 22, 2012

NOVEL: UKIRAN JIWA 2

nur aynora
Telinganya terdengar orang berbual-bual di luar bilik rumah banglo yang tersergam indah itu. Hanan Lim menggosok-gosok mata yang belum terbuka sepenuhnya. Setelah benar-benar dalam keadaan sedar, dia cuba mendengar perbualan tersebut sekali lagi, tetapi suara itu semakin jauh. Mungkin mamanya berbual dengan orang gaji yang baru seminggu bekerja di situ. Bergegas dia mencapai tuala dan masuk ke kamar mandi setelah dia sedar jam di kepala katil menunjukkan angka 9.

Hanan Lim menuruni tangga dengan tergesa-gesa tanpa sempat menjamah sarapan yang telah disediakan. Dia harus segera sampai ke pejabat kerana baru dia teringat, pagi ini ada temujanji dengan pelanggan di pejabatnya.

"Ros, saya lewat sikit. Client tu dah datang?"

"Belum Encik Hanan. Nanti kalau client sampai saya minta dia orang tunggu sehingga Encik Hanan tiba. Kenapa..." Ros tidak sempat bertanya lanjut kerana talian telah dimatikan.

***

Alamak! Macam mana boleh terlanggar ni. Mati aku! Hanan Lim mencampakkan telefon bimbitnya yang belum dimatikan. Dia sedang berkomunikasi dengan Ros sewaktu perlanggaran itu terjadi. Segalanya berlaku sepantas kilat. Dia melonggarkan ikatan tali lehernya dan menyerbu keluar dari perut Mercedes Benz putih miliknya.

"Sorry, cik tak ada apa-apa ke?"

Gadis berkulit putih dan berpakaian putih itu memegang sikunya yang terhentak di stereng. Dia tidak menjawab pertanyaan Hanan Lim, sebaliknya memeriksa bahagian belakang proton wiranya yang baru dilanggar. Lampu sisi pecah dan bonet kereta terangkat. Anggaran kos membaik pulih pasti memakan ratusan ringgit. Terdapat kesan kemikan di beberapa sudut.

"You okey ke?" Hanan Lim mengulangi soalannya.

"Okey. Ok... macam mana ni?"

"This is my card. You hantar ke bengkel kereta, semua kos claim pada I. Sekarang call any bengkel untuk tarik kereta you."

"Tak apa. Tak apa. Masih boleh jalan kereta ni. Anyway, I nak kena cepat sampai di hospital. Ada emergency."

"You sure?"

"Yes."

Hanan Lim melepaskan keluhan kecil setelah apa yang terjadi sebentar tadi. Gadis berbaju putih telah berlalu. Mungkin seorang jururawat berdasarkan uniform yang dipakai. Dia memerhati proton wira maroon itu sehingga hilang dari pandangan. Dia bergegas pula mendapatkan keretanya dan perlu segera sampai di pejabat. Telefon di capai dan cuba mendail satu nombor. Namun dia tidak jadi meneruskan niatnya bimbang berlaku hal yang lain pula. Bukankah kerajaan telah menghalang pemandu menggunakan telefon semasa memandu kecuali menggunakan earphone.

Tidak berapa lama kemudian pemuda berdarah campuran itu sampai ke pejabatnya yang terletak di tingkat lima Menara TJB. Beberapa orang pelanggan sedang berurusan dengan kakitangannya yang lain. Dia segera masuk ke biliknya dan menekan punat interkom pada set telefon yang terletak di bucu mejanya.

"Ros, masuk sekejap."

Beberapa ketika kemudian Rosnah sudah terjengul di muka pintu biliknya. Membawa beberapa fail merah dan hijau untuk tindakan bosnya itu.

"Tolong panggil client tu masuk."

"Maaf Encik Hanan, client tu dah balik. Cik Jenny tolong handle tadi."

"Oh! Ya ke? Cepat pulak Cik Jenny datang hari ini. Tak apalah Ros... nanti saya uruskan. You boleh keluar."

Dia tidak tahu mengapa perasaannya hari ini begitu kacau. Sudahlah terbangun lewat, insiden kemalangan kereta dan sekarang pelanggannya telah pergi kerana kelewatannya. Apakah hari ini hari malang baginya? Hanan Lim menggosok-gosok belakang kepalanya. Fikirannya kosong, perasaannya sepi. Dia tidak tahu apa lagi yang akan menimpanya sepanjang hari ini. Akhirnya dia menyerah saja. Perjalanan yang baru memakan separuh hari di rasakan telah menelan sebahagian ketenangannya.

Pintunya diketuk. Seorang gadis manis bermidi paras lutut berdiri di pintu. Sinar matanya bercahaya memohon kebenaran masuk. Tanpa dipelawa dia telah berada di hadapan Hanan Lim.

"You kenapa lewat hari ini, dear?"

Diam. Tiada jawapan. Senyuman menggoda gadis itu tidak langsung merangsang mindanya untuk bertindak balas.

"Kenapa ni? You masam saja. Ada yang tak kena? Your client I dah settlekan..."

"Entahlah..."

"You ni macam orang yang frust bercinta je...jangan main di belakang I. Kalau I tau..." suara Jenny dilemahkan seperti memujuk rayu.

"Kalau you tau kenapa? You nak buat apa pada I? I pun bukannya boyfriend or your lover..." Hanan Lim berterus terang.

Sebenarnya dia rimas dengan perangai mengada-ngada Jenny yang selalu tidak bertempat. Sudah kerap dia mengingatkan agar berkelakuan sopan di pejabat, tetapi Jenny tetap Jenny. Keras kepala dan degilnya sukar diteka.

"Siapa kata? Semua orang tau yang kita ni couple. Tak payah nak announce..."

"Please Jenny. Jangan serabutkan kepala I dengan you punya cerita kosong tu. I fed up you know!" suara Hanan Lim tinggi memecah kesunyian bilik yang sederhana besar itu.

"Suka hati you lah... I nak keluar jumpa client. Lepas tu I nak balik awal sikit, nak buat rambut. Malam ni birthday party our ex-colleague kat Australia dulu. You nak pergi contact I. I'll pick you up. Ok darling!"

Jenny tergedik-gedik berjalan keluar dari bilik Hanan Lim dengan muka yang kelat. Pemuda campuran Cina -Melayu itu sudah seperti tidak menyukainya. Padahal semasa di luar negara dahulu, merekalah pasangan kekasih paling glamour. Kini kemanisan itu semakin hambar.

***

Keadaan di dalam suite hotel yang ditempah khas itu semakin panas dan hangat. Alunan muzik rancak memenuhi ruang yang agak besar itu. Pelbagai kaum berkumpul di bawah satu bumbung yang dipanggil keseronokan. Di celah-celah orang ramai itu kelihatan Jenny tampil dengan gayanya yang seksi dan menggoda. Beberapa orang lelaki muda ke sana sini membawa dulang minuman pelbagai jenis dan rasa. Terpulang kepada kewarasan akal untuk memilihnya.

"Hai Jenny. You sorang je. Mana you punya dearest Hanan Lim..." satu suara menegur.

"Dia tu susahlah...tak sosial langsung. Memerap kat rumah je." jawabnya bangga dengan diri sendiri.

"Cari lain sudahlah! Aku kan ada..." seorang pemuda melayu menawarkan diri.

Pemuda itu mendekati Jenny dengan minuman di tangan. Nafasnya berbau arak ketika dia bercakap tadi. Semakin lama kedudukan mereka semakin hampir dan sangat dekat. Tubuh keduanya kelihatan sudah melekat antara satu sama lain.

"I Daus. Firdaus bin Datuk Johan."

Tangan Jenny di kucup lembut dan kemudian dilepaskan. Mata mereka bertentangan. Seperti ada satu renjatan elektrik yang mengalir ke dasar hati. Perasaan dalaman masing-masing menzahirkan satu rasa aman yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Jenny seperti seorang puteri yang pemalu menundukkan wajahnya tiba-tiba. Tidak pasti samada itu lakonan semata atau memang dia benar-benar malu di pandang lama-lama oleh Daus tadi. Biasanya Jenny yang memulakan langkah, tetapi kali ini sebaliknya. Di pandangan mata Jenny, Daus seorang pemuda melayu yang romantik dan berkedudukan. Bukankah tadi dia menyebut Datuk Johan itu ayahnya. Berbanding dengan Hanan Lim, Daus lebih pandai meladeninya, fikirnya seraya melemparkan senyuman menggoda kepada lelaki itu.

Suasana semakin bingit apabila acara memotong kek harijadi dijalankan. Gadis yang diraikan memakai dres singkat berwarna hitam berkilat. Johana, juga seorang peguam berjaya yang bekerja dengan firma guaman keluarganya kelihatan cantik sekali. Jenny hanya mampu melambaikan tangan dari kejauhan kerana di barisan hadapan telah dipenuhi oleh ahli keluarga Johana yang turut hadir.

Selesai upacara memotong kek, ramai kenalan yang datang mendekat untuk bersalaman. Seorang lelaki dengan penuh gaya dan karisma mendahului yang lain, memeluk Johana dengan penuh perasaan, mencium pipinya dan kemudian memusing badannya menghadap tetamu yang datang. Pinggang gadis itu dirangkul kemas.

Daus! Pandangan Jenny berpinar-pinar seperti mahu pitam.

***

Hanan Lim menonton televisyen seorang diri di ruang tamu yang besar itu. Banglo enam bilik itu hanya di huni oleh dia bersama dengan kedua orang tuanya dan orang gaji Indonesia. Silih berganti saluran ditukar, namun tidak satu pun yang menarik minatnya. Suis televisyen di tutup. Dia berjalan keluar rumah pula. Seminggu dua ini perasaannya seperti kosong dan tidak tenteram. Hanan Lim tidak tahu apa yang membuatkan fikirannya risau tidak tentu hala.

Sepatutnya umur yang mencecah 35 tahun ini sudah lengkap profailnya. Mempunyai seorang isteri, anak-anak yang comel dan harta simpanan untuk hari tua. Harta! Ah ... itu semua boleh dicari. Aku ada kerjaya yang stabil dan syarikat yang telah kukuh. Tetapi, aku masih mencari-cari damai yang hilang. Ya Allah...tunjukkan aku jalan. Hanan Lim mengucap panjang.

Sudah lama benar dia tidak 'menghadap' Maha Pencipta dan Maha Pengasih. Maafkan hambaMu Ya Allah...Hanan Lim meraup mukanya dengan ke dua belah telapak tangan. Tanpa berlengah lagi dia naik ke biliknya. Dia mahu mengadu kepada Yang Maha Pengasih, Tuhan Ya Rabbi. Hanya itu yang dia fikirkan saat ini.

Handphonenya berdering-dering minta di angkat, tetapi Hanan Lim seperti tidak mendengar apa-apa lagi.

***

"Mana dia pegi ni. Kenapa tak angkat call. Mesti tidur mati."

Jenny memaki hamun dirinya sendiri kerana membiarkan diri dieksploitasi oleh jantan buaya darat itu. Sudah ada kekasih masih nak mengurat orang lain. Yang aku ni, mudah perasan pulak! Keadaan Jenny sudah amat lemah, entah berapa botol minuman keras diteguknya tadi, dia tidak ingat. Bagaimana mahu mengingat itu semua, mendail nombor Hanan Lim tadi pun dibantu oleh budak pelayan di situ. Kepalanya semakin berat dan sudah terlentuk di atas meja.

"Jenny! Jenny!..." terdengar satu suara memanggilnya.

Dia sudah tidak boleh berdiri. Tetapi digagahkan juga, akhirnya dia jatuh di atas pangkuan seseorang.

nur aynora / Author & Editor

Mykarya.com adalah blog perkongsian e-novel, cerita korea dan drama melayu.

0 comments:

Post a Comment

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Coprights @ 2016, Blogger Templates Designed By Templateism | Distributed By Gooyaabi Templates