NOVEL: CINTA KAMELIA 10

loading...
Kamelia tak tahu nak buat apa dengan perasaannya yang rawan dan sedih tidak menentu. Begitu jauh hatinya hinggakan air mata pun tak sudi nak tumpah. Cinta yang ditunggu bertahun-tahun tidak berbaloi rupanya. Penantian untuk menjelmakan kenyataan hanya sia-sia belaka. Fikirannya menerawang mengingati kejadian malam tadi. Peristiwa yang merobek jantung dan hatinya menjadi pecah seribu.

Walau kereta yang dipandu Aini telah jauh meninggalkan perhentian bas JB tetapi Kamelia masih menyoroti dua sejoli yang sedang bergelak ketawa itu. Membawa bersama kedukaan menyelimuti tubuh, membuang semua kegembiraan yang sedang dirasakan tatkala bertemu kembali dengan Aini.


"Kau tengah buat apa? Jom lunch dengan aku."


"Boleh juga."


Lemah dan datar sahaja suara Kamelia tatkala menjawab panggilan telefon daripada Aini. Perubahan sikapnya telah disedari oleh Aini semenjak dari malam tadi, bercakap pun macam orang nak mati. Laksana orang putus kasih lagaknya!


Kamelia segera menukar bajunya kepada t'shirt berlengan panjang dipadankan dengan jean biru gelap yang agak longgar. Dia mengenakan tudung berbunga yang sepadan dengan warna t-shirtnya. Pemakaian tudungnya juga kemas dan menampakkan kejelitaan semulajadi yang dimiliki. Bibirnya hanya dicalit gincu yang nipis. Sebenarnya dia malas untuk keluar tetapi memikirkan perutnya yang sedang kebulur, dia menerima ajakan Aini itu.


Setelah puas berlegar-legar mencari kawasan letak kereta di Plaza Angsana akhirnya Aini memarkir keretanya bersebelahan Mitsubishi Lancer warna putih yang amat dikenali. Inilah rezeki namanya.


Aini dan Kamelia singgah dari satu gerai ke satu gerai tetapi tidak ada satu pun yang memenuhi citarasa tekak mereka yang sedang lapar. Setelah puas berjalan mereka akhirnya mengambil keputusan untuk makan di Pizza Hut saja. Tanpa di sangka Aini perasan kelibat Zulhariz sedang menjamu seorang diri membelakangi mereka. Kamelia di sebelahnya tidak tahu apa yang cuba dilakukan oleh Aini ketika dia menepuk belakang seorang lelaki.


"Ijol! Kau sorang je?"


Ijol!? Macam pernah dengar; bisik Kamelia. Sebaik lelaki itu memusingkan badan dek terkejut di tepuk dengan agak kuat, mata mereka bertentangan. Aini asyik ketawa melihatkan Ijol yang terkejut badak melihatkan kehadiran mereka. Jantung Kamelia bagai nak gugur bertentangan dengan Ijol yang jaraknya tak sampai sekaki. Bau haruman Body Shop menyamankan jiwanya seketika sebelum dia kembali ke alam sedar. Terbayang peristiwa malam tadi, siapakah perempuan itu agaknya? Kawan? Kekasih? Atau Tunang?

Buat malu aje! Bertahun tak jumpa, bertemu kembali dalam keadaan macam ni!; protes Kamelia dengan rasa tak senang hati, namun digagahkan juga hatinya.

"Hello! Encik Ijol! Ini Mel...Melia. Minah garang kau tu la..." suara Aini yang nyaring mematahkan renungan lembut Ijol terhadap Kamelia.

"Ya ke? Kenapa cantik sangat." usik Ijol masih merenung Kamelia yang bertambah merah wajahnya.

Kamelia membalas pandangan Ijol dengan hati yang sarat dengan rindu dendam, dengan harapan Ijol mengerti akan pandangannya itu. Tetapi hampa. Kemudiannya Ijol menyambung menghabiskan pizzanya seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Kamelia terasa hendak menangis saat itu juga, tetapi di tahan airmatanya daripada tumpah percuma untuk 'budak gila' di hadapannya itu. Benarlah dia telah berpunya. Sebab itulah tak layan aku! bisiknya sendirian.

"Aku pergi order, kau tunggu sini...okey. Jangan gaduh macam dulu lagi. Kau orang dah tua bangka, buat malu je nanti!" pesan Aini dengan tegas.

Kamelia mahu menuruti langkah Aini ke kaunter tetapi tangannya sempat di tarik oleh seseorang. Dia menoleh pantas untuk bertindak tetapi ternyata Ijol yang sedang mengenggam kemas tangannya. Sepantas kilat rasa gemuruh dan macam-macam rasa menyelinap ke segenap ruang sarafnya. Satu rasa yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.

"Lepaskan! Nanti aku jerit."

"Jeritlah kalau berani! Nanti kau juga yang malu. Duduklah...banyak benda aku nak tanya." ujar Ijol lembut tetapi dalam nada sedikit tegas.

Tiada pilihan lain, Kamelia duduk di kerusi yang agak hampir dengan Ijol memandangkan tangannya masih di genggam oleh lelaki itu. Kamelia menarik tangannya ke bawah meja dengan hasrat Ijol melepaskannya, tetapi gagal.

Lepaskan tangan akulah 'budak gila'!; Kamelia mengomel sendirian dengan bibir terkatup menahan marah. Tetapi di sudut hatinya yang paling dalam seperti merelakan perlakuan Ijol itu, peganglah selagi kau masih boleh. Sebenarnya aku rindukan kau teramat sangat...

"Melia..."

"Hei Melia...aku tanya kau ni!"

Jerkahan lembut dari Ijol menyedarkan lamunan singkatnya. Aduhai matanya, jangan kau renungi aku begitu, Ijol. Aku penasaran...; sekali lagi Kamelia berkhayalan.

"Apa dia?"

"Kau sihat? Kau masih pegang janji kita?" Ijol bertanya terus terang.

"Kan kau nampak aku macam ni...fikirlah sendiri aku sihat ke tidak. Apalah soalan kau tu..." Kamelia mengeraskan suaranya.

"Kau masih pegang janji kita?" Ijol mengulangi soalannya.

"Janji apa? Eh! Lepaskan tangan aku la...malu orang tengok." Kamelia memohon simpati.

Dengan perlahan genggamannya dilepaskan oleh Ijol. Kamelia menarik nafas lega, apalah nasibnya tengahari ini dipertemukan dengan 'budak gila' itu dalam keadaan dia tidak bersedia. Dari ekor matanya, Kamelia perasan Ijol tidak melepaskan satu saat pun pandangan daripadanya. Mungkinkah dengan semua perempuan dia memandang begitu?

"Kau tengoklah aku...kau tak rindu ke?"

Rindu? Kalaulah rindu itu boleh dizahirkan dalam bentuk air, aku rasa tujuh lautan pun tak cukup menampung banyaknya rinduku padamu, Ijol. Kamelia hanya menyatakan dihati, tidak terluah oleh kata-kata. Takut ditertawakan. Bukankah dahulu dia selalu dibuli oleh 'budak gila' ini?

"Bertahun kau hilang, aku tawakal, Melia...tapi aku yakin kau akan kembali. Nah sekarang doaku telah dimakbulkan. Lepas ni kau jangan hilang lagi, tau. Aku dah serik. Mungkin dari dulu kau tak tahu, aku sebenarnya....aku sebenarnya..."

"Apa?"

"Dah lama aku suka kat kau, Melia. Masa kita gaduh pun, aku sebenarnya masih suka kat kau...sekarang ni aku nak declare. Kita couple nak...serious macam pasangan bercinta."

Lepas meluahkan kata-katanya Ijol melepaskan nafas lega. Bebanan yang ditanggung bertahun lamanya telah terlerai di Plaza Angsana. Biar orang kata gelojoh, tetapi dia tidak akan lepaskan saat yang di tunggu-tunggu ini. Dia takut tiada peluang kedua untuknya.

Kamelia membalas luahan perasaan Ijol dengan senyuman yang dikawal, tetapi hati di dalam hanya Tuhan yang tahu. Dia tidak jadi membuka mulut apabila Aini sudah tiba dengan membawa pesanan. Tanpa menunggu lama Kamelia terus makan kerana perutnya memang sedang lapar betul. Tidak diendahkan akan pandangan Ijol yang mengharapkan jawapan darinya samada 'setuju' atau 'tidak'.

Selepas makan mereka bergerak ke kawasan letak kereta dan sesekali Ijol merapatkan badannya pada Kamelia, dan kemudian dengan lembut Kamelia menepis. Dia tidak mahu nanti dikata orang perempuan murahan, terutama pandangan Ijol terhadapnya yang telah bertahun tidak berjumpa. Biar dia jual mahal sedikit, apa salahnya.

"I balik ofis dulu, dah lambat ni. Kau tolong hantar Melia, boleh?" tanya Aini penuh makna kepada Ijol.

"Aku? Siapa nak tolak...suruh pinang pun boleh!"

Gurauannya mendebarkan dada. Tak tau sabar dia ni; getus Kamelia mencuka. Mendengarkan kata-kata Ijol, Aini seakan percaya pada nalurinya selama ini yang mengandaikan kedua sahabat itu bercinta secara senyap, berkasih mengikut aliran masa. Kalau benar begitu, lebih senang kerjanya untuk merapatkan kedua-dua 'musuh' itu. Masanya kan tiba, kawan...

"Melia...kau ikut kereta Ijol tau. Dia lewat tak apa, aku ni kuli je, dia tu..."

Belumpun sempat Aini menghabiskan ayatnya, Ijol telah menyampuk.

"Dahlah kau balik cepat. Nanti bos cari kau!" sambil berkata dia mengenyitkan mata kepada Aini.

Dasar bos gatal! gumam Aini sendirian tetapi sebenarnya dia senang melihat perubahan positif pada diri Ijol itu. Yang penting dia bukan seorang pembuli lagi tetapi bertukar menjadi seorang pencinta pula. Ya ke?

Kamelia tak sempat berkata apa-apa melihatkan Aini yang telah pergi meninggalkan dirinya berseorangan dengan si 'budak gila' yang tidak dapat dibaca tindakannya, umpamanya peristiwa ketika makan tadi. Huh! Tawakal ajelah...; gumamnya pada diri sendiri.

"Mana kereta kau? Aku nak balik ni..." Kamelia sudah tidak betah berlama-lamaan dengan Ijol.

Dengan selamba Ijol bersandar pada kereta putih di belakangnya sambil tersenyum memandang wajah Kamelia yang semakin memerah, menahan geram dan malu diperhatikan begitu. Situasi begitu paling disukai, sepertimana ketika dia menyakat Kamelia sewaktu sekolah dahulu. Betul kata Aini, Kamelia sekarang tidak segarang zaman persekolahan. Kini dia tampil dengan peribadi yang sangat menarik dan menawan.

"Kau tak takut bersandar kat kereta orang, nanti 'alarm' dia bunyi baru padan muka." Kamelia menegur perbuatan Ijol itu.

"Tak apa. Kalau bunyi, offkan. Mudah."

"Orang cakap betul-betul, kau main-main pulak!"

"Aku cakap betullah, kalau tak pun, aku sorok belakang kau. Kau kan ada black belt dalam silat..." Ijol tersengih-sengih.

"Cepatlah...aku nak balik ni."

Masih berkeadaan selamba Ijol pura-pura berjalan mencari kereta yang diparkir sambil Kamelia mengikuti dari belakang. Susuk tinggi lampai milik Ijol diamati, masih tidak jauh berubah. Sama seperti dulu, cuma gaya rambutnya agak ganas. Dipotong pendek ala penyanyi Mawi.

"Mana aku letak kereta tadi ya.. lupa pulak. Tadi kat area sini..."

Sambil berjalan dia membebel seorang diri dengan nada yang kuat, dengan harapan turut didengari oleh Kamelia.

"What?! Kau lupa kat mana kau parking...teruk kau ni. Dahlah panas. Cuba ingat betul-betul. Kalau tak pun aku naik teksi je lah." Kamelia sudah mulai bosan diperlakukan begitu oleh Ijol. Sementelah sudah bertahun tidak berjumpa. Begini pula jadinya.

Sewaktu Kamelia memalingkan badannya untuk pergi dari situ, Ijol sekali lagi memaut lengannya dengan kemas. Dia masih tersenyum santai walau Kamelia sudah hilang sabar dengan gelagat Ijol yang seakan merancang segala perbuatannya dengan licik sekali. Entah mengapa rajuknya datang tiba-tiba. Merajuk pada yang sayang...sayangkah dia padaku? Siapa pula wanita yang memaut lengannya malam tadi. Ringan sahaja mulutnya hendak bertanya tetapi tidak jadi.

"Ok. ok..jom kita balik. Dah tua pun nak merajuk. Buruk buat muka muncung macam tu." Ijol mengusik.

Mereka berjalan beriringan dengan lengan Ijol masih memaut lengan Kamelia. Apabila tiba di tempat kereta putih tadi, Ijol mengeluarkan kunci kereta dan menekan 'alarm'. Dengan selamba dia membuka pintu di tempat duduk pemandu dan mula menghidupkan enjin. Kamelia yang terpinga-pinga perasan dia dipermainkan oleh Ijol. Terus dia masuk ke tempat duduk penumpang dan memukul-mukul bahu Ijol dengan sekuat hati.

"Apa ni, sakitlah!"

"Hati aku lagi sakit! Kau tipu..."

"Aku saja nak buang masa dengan kau, sebab selama ni banyak masa aku terbuang mengintai kau dari jauh. Aku takut kau tak pegang janji. Aku takut tak dapat jumpa kau lagi, Mel. Tolonglah..."

Aik! Merayu sakan 'budak gila' ni. Tak takut ke dengan 'minah garang' ni...; getus Kamelia dalam hati.

"Tolong tunang dengan aku. Kita tunang nak?"

"What?! Gila kau! Aku kerja pun belum, dah tu...kita kan baru jumpa. Tak nak aku. Takut kau dah lain, masa boleh merubah seseorang, Ijol."

"Habis, kau nak aku buat apa? I love you very much, Melia..." lirih suara jantan Ijol kedengarannya.

Hah! Memang dia muka tak malu! Tapi, I love you too...jawab Kamelia dalam hati. Perasaannya kembang berbunga. Bahagia dimana-mana. Tiba-tiba jelingan gadis di perhentian bas JB mengacah-acah di ruang mata. Persetankanlah...wanita terbaik akan menang!

"I nak buat apa sekarang ni. I buntu..."

"Buat don't know sudahlah..."

Giliran Ijol pula membalas pukulan Kamelia kali ini. Dia berpura-pura mahu mencekik Kamelia, tetapi gadis itu pandai mengelak. Kereta bergerak meninggalkan kawasan Plaza Angsana ketika jarum jam bergerak ke 3.00 petang.

"Alamak! Tolong call Aini."

"Kenapa?"

"Aku lupa jalan balik ke rumah sewa dia. Malam tadi sampai dah malam...tak nampak jalan."

"What?!"

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.