NOVEL: CINTA KAMELIA 11

loading...
Begitu drastik tindakan Ijol terhadapnya semalam. Tidak dapat Kamelia lupakan kejadian-kejadian semasa keluar makan di Plaza Angsana. Yang menjadikan dia takut adalah keberanian lelaki itu menyentuhnya, memegang tangannya dan meluahkan perasaan dengan berterus terang. Dia takut semua itu adalah kepura-puraan dan kebiasaan lelaki itu semata-mata. Selama ini memang dia menyimpan cintanya untuk Ijol dan tentu sekali bunga-bunga rindu semakin mekar melihatkan penerimaan Ijol sekembalinya ke tanahair.

"Dah lama aku suka kat kau, Melia. Masa kita gaduh pun, aku sebenarnya masih suka kat kau...sekarang ni aku nak declare. Kita couple nak...serious macam pasangan bercinta."

Masih terbayang-bayang lagi wajah Ijol tatkala melafazkan kata keramat itu. Mengajaknya mengisytiharkan percintaan rahsia mereka. Pada fikiran kamelia lebih senang begitu, biar semua orang tahu hubungan mereka. Secara mutlak, dia menyerahkan kebijaksanaan Ijol untuk mewar-warkan kepada rakan-rakan dan keluarga.

“Hoi cik kak…tersengih-sengih macam kerang busuk! Ada yang mencuit hati ke?” usik Aini ketika menonton televisyen malam itu.

“Ada la…”

“Aku syak kau kena angau…angau kat ‘budak gila’ tu kan.”

Kamelia hanya tersenyum. Dia mengelus ke dua belah tapak tangan ke pipinya. Hati yang berbunga bahagia pasti dapat ditelah orang lain, waima oleh orang disekeliling yang tidak mengenali.

“Kena angau tak apa, jangan tungau sudah. Yang itu sapa nak jawab!” Kamelia ketawa mengekeh.

Dia tidak mengiya atau menidakkan kenyataan yang keluar dari mulut Aini. Buat sementara ini dia mahu berahsia dahulu, kerana bimbang apa yang direncana dan diangankan tidak menjadi.

“Kau dengan Ijol tu serius ke? Semalam bukan main intim…kau ingat aku tak nampak ke. Apa dia buat pada kau masa aku tengah order Pizza?” tanya Aini seakan mendesak.

“Buat apa? Kami hanya duduk berbual tentang masa lalu, kenangan lama…”

“Dan harapan masa depan!” tambah Aini sebelum Kamelia menyambung ayatnya.

“Banyaklah kau punya masa depan. Mana ada.”

“Kalau benar apa salahnya. Kau bujang, anak dara dan dia tu teruna..the most eligible bachelor in the town!”

Ya lah tu, bujang terhangat di pasaran! Geli hati Kamelia mendengar frasa tersebut yang ditujukan kepada Ijol. Tanpa sedar dia terseyum sendirian.

“Berangan pulak. Orang tanya tak jawab, dia gasak tersengih-sengih. Sah kau ni dah sewel bin gila. Memang padan dengan Mr Right kau tu.” Luah Aini geram.

“Mr Right aku tu siapa, Aini?” Kamelia pura-pura tidak tahu.

“Sudahlah!!”

Aini menyampah melihatkan sikap Kamelia yang tidak mahu berterus terang dengannya. Pelbagai usaha digunakan tetapi dia masih tetap menyimpan seribu rahsia. Dia cuba memerangkap dengan soalan psikologi pun dia masih begitu, tetap tidak mahu membocorkan maklumat. Namun dia kembali segar apabila teringatkan Ijol. Esok pasti Ijol menceritakan semuanya kepadanya. Bosnya yang seorang itu kadangkala becoknya mengalahkan burung murai. Ya, dia pasti akan merungkai satu kisah daripada Ijol esok. Ini lebih memudahkan urusannya untuk menyatukan mereka.

“Hei, dia sengih boleh, aku tak boleh!” sergah Kamelia kepada Aini yang sedang berimaginasi.

“Oppocot! Mak kau! Apa ni…”

Tiba-tiba telefon Kamelia berbunyi. Terpampang nama di skrin, ‘Budak Gila’.

“Assalamualaikum…”

“Wa’alaikumussalam…”

Kamelia mengangkat punggungnya dari sofa dan berdiri di tepi tingkap. Dalam sehari entah berapa kali Ijol mencarinya, dia tidak pasti. Tetapi memang itu yang diharapkan agar api cinta terus bersemarak.

“Kau buat apa?”

“Duduk-duduk tengok TV dengan Aini.”

“Cerita apa?”

“Tak perasan cerita apa, kami sambil tengok sambil berborak.”

“Borak pasal aku kan…aku tahu. Aku ada deria ke enam tau. Kau kena jaga-jaga.”

“Mana ada.” Kamelia memendekkan bicara.


“Dari suara kau, aku tau kau tipu. Mana Aini? Aku nak cakap dengan dia.”

“Nak buat apa? Kau call dia sendirilah, mana boleh guna telefon aku. Sibuk je.”

“Cemburu nampak…”

“Dengan Aini aku nak jealous? Silap oranglah Ijol…”

“Ohh…kalau orang lain kau jealouslah. Nanti aku bawak kau jumpa seseorang. Nak tengok juga kau jealous. Sayang mesti tunjukkan, jangan sorokkan. Nanti melepas…” Ijok memprovokasi Kamelia.

“Kalau telefon setakat nak buat aku jealous, buat apa! Baik jangan call.”

Klik! Kamelia mematikan telefonnya. Hatinya dipagut geram.

“Siapa tu?”

Telefonnya berdering lagi. Belum sempat menjawab pertanyaan Aini, dia menekat butang ‘on’ dan terus bersuara.

“Nak cakap dengan Aini?”

“Tak nak. Nak cakap dengan buah hati.”

“Mana ada buah hati kau kat sini. Wrong number!”

“Nanti! Jangan ‘off’ dulu. Kaulah buah hati aku.” tegas Ijol.

Diam. Aku kah buah hatinya. Bukankah tadi dia mengatakan ada seseorang yang boleh membuatkan aku cemburu. Adakah perempuan itu?

“Mel…Melia! Kau masih kat sana?”

“Ya…ya…ada. Aku nak Tanya boleh?”

“Belum pun kau tanya, aku dah ada jawapannya…” Ijol ketawa gembira.

“Serius sikit boleh tak. Aku nak tanya ni…”

Perlukah dia bertanya tentang wanita itu sekarang, yang jelingannya masih menghantui Kamelia siang dan malam. Senyum sinisnya bagai menikam ke dalam jiwa, menggambarkan satu pesanan. Tetapi apakah yang ingin disampaikan? Kamelia menjadi serba salah.


“Nak tanya apa sayang?”

Gurauan Ijol kekadang meremangkan bulu roma.

“Tak ada apa lah. Lain kali.”

“Tak apa. Take your time. Keluar nak?”

“Bila? Dah malam ni.”

“Sekarang.”

“What?”

“Ya…sekarang.”

“Kau kat mana? Pukul berapa nak sampai?”

“Aku kat depan rumah…”

“Apa?!” Kamelia terjerit kecil.

Jeritannya menggamit Aini ikut sama ke tingkap dan meninjau keluar. Sebuah Mitsubishi Lancer putih tersadai di depan rumah sewanya. Apa bos dia buat kat luar sana, ada mesej pentingkah? Dia membuka pintu dan meluru keluar tanpa menoleh ke arah Kamelia yang terpinga-pinga. Sah. Mesti salah faham ni; fikirnya dengan rasa gelihati. Padan muka Ijol. Lihat siapa yang datang…

Tok! Tok! Tok!

Ketukan di cermin keretanya mengejutkan Ijol yang sedang bergayut dengan Kamelia. Sangkanya Kamelia yang datang tetapi sebaliknya. Dengan wajah yang terkulat-kulat dia membuka cermin tingkapnya.

“What’s up, bos.”

“Kau ni kacau daun tau. Aku ingat Melia tadi.”

“Amboi…dapat madu sepah dibuang! Dulu akulah tempat kau korek cerita, kumpul maklumat. La ni…lain cerita.” Aini protes.

“Bagilah aku chance. Lama aku tunggu dia, nak declare pun macam tak sudi je kat aku.”

“Kau ayat tak power. Gunalah ayat-ayat cinta…” tawa Aini seperti dibuat-buat.


“Guna ayat Kursi boleh tak? Lagi power…”

“Kau nak halau hantu syaitan ke apa? Tapi bagus jugak. Biar syaitan tak bertenggek kat kau lagi…”

“Kurang asam kau!”

Mereka ketawa bersama-sama akhirnya. Dari celah tingkap Kamelia memandang dengan pandangan yang curiga. Apakah ‘seseorang’ yang dimaksudkan adalah Aini? Tetapi tidak pula dia berasa cemburu. Dia melihat Ijol memperkatakan sesuatu kepada Aini. Tidak berapa lama kemudian Aini berpatah balik ke dalam.

“Mr Right nak jumpa kau.”

“Mr Right? Itu ke yang kau maksudkan…” tanya Kamelia.

“Ya lah, mana lagi.”

Kamelia menyarung selipar dan mendapatkan Ijol yang sudah menjengukkan kepalanya di tingkap.

“Tak boleh keluar! Dah malam…”

“Sekejap je, temankan aku supper.”

“Tak boleh. Tak nak.”

Kamelia berdiri agak jauh dari Ijol, bimbang lelaki itu memegang tangannya lagi seperti di Plaza Angsana.

“Kenapa jauh sangat. Dekatlah sikit.”

“Tak apa. Dah malam ni, baliklah. Tak elok orang tengok nanti.”

Kelihatan wajah Ijol yang hampa dan menahan rasa kecewa kerana ajakannya ditolak. Niat dihati ingin bermanja, apakan daya orang tak sudi. Dia menghidupkan enjin kereta. Tindakannya seperti orang yang merajuk dan meminta dipujuk. Pujuklah, katalah sesuatu wahai Melia…

“Esok kita keluar.” Kamelia berkata perlahan tetapi cukup menyuburkan rasa di dalam diri Ijol.

“Okey. I miss you, Melia…”

Setelah mengucapkan salam dan selamat malam, kereta Mitsubishi Lancer putih membelah malam meninggalkan kawasan rumah sewa Aini itu.

***

"Abang dari mana? Dah lewat malam baru balik."

"Habis kerja terus supper kat town. Kenapa Zureen tak tidur lagi? Buat apa tunggu abang."

"Zureen risau, manalah tahu apa-apa jadi pada abang. Lain kali kalau lambat call, jangan buat orang tertunggu-tunggu."

"Ada hal penting nak bagitahu ke?" soal Ijol yang sudah duduk di sofa dan membuka stokinnya.

"Esok temankan Zureen keluar. Ada hal sikit."

"Esok kan abang kerja. Mintalah orang lain hantarkan."

Zureen membuat mimik muka merajuk seperti kanak-kanak kecil yang meminta dibelikan sesuatu.

"Bolehlah bang...kali ni je."

"Err..."

"Jangan kata tak boleh. Zureen tunggu abang kat ofis, lepas tu kita keluar sama-sama."

Kata-kata Zureen seperti kata seorang ibu kepada anaknya yang berupa arahan dan muktamad. Tidak boleh di tolak lagi. Memang sepupunya yang seorang ini agak degil dibandingkan sepupu-sepupunya yang lain. Segala kehendaknya mesti dituruti, jika tidak dia akan membuat onar terhadap semua orang.

"Okey bang, Zureen masuk dulu. Good night."

Satu ciuman halus hinggap di pipinya sebelum sempat Ijol mengelak. Di kesat pipinya dengan stokin di tangan, tanda tidak gemar dengan perlakuan Zureen itu. Akhirnya dia menggeleng-gelengkan kepala melihat Zureen yang sudah berlari masuk ke biliknya.

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.