Header Ads

NOVEL: CINTA KAMELIA 12

Bila ku rindu padamu
Terasa kuatnya cintaku
Terbangkit resah terpandang wajahmu
Bertambah kasih sayangku…

Sesaat kau tak ku pandang
Terasa sepinya jiwaku
Tertunggu aku hadirnya dirimu
Walaupun sekelip mata…

Ijol ikut menyanyi lagu ‘Sepi Seorang Perindu’ dendangan raja pop Jamal Abdillah yang sedang berkumandang di corong radio sambil menghayati liriknya. Terbayang wajah Kamelia yang menawan dan senyum leretnya yang manis dan suci itu. Senyuman seorang ratu yang telah merajai di segenap ruang minda. Walau baru kelmarin bertemu kembali setelah satu dekad terpisah, dirasakan setiap inci raut wajah Kamelia telah melekat di ingatannya. Tiada wajah lain yang diingatinya saat ini melainkan satu wajah comel itu.

Dia tidak mengendahkan gadis di sebelah yang muncungnya panjang sedepa apabila permintaannya untuk menukar saluran radio tidak dibenarkan. Bagi Ijol, dialah yang berhak menentukan itu dan ini di dalam keretanya, bukan orang lain sementelah hubungan mereka sekadar sepupu. Pertalian yang dieratkan di bawah satu nama iaitu saudara terdekat. Setakat itu sahaja.

“Kita nak ke mana ni?” suaranya ditinggikan.

Zureen perasan hala kereta Ijol bukan ke arah pusat bandar. Tambah menyakitkan hatinya apabila Ijol seperti ‘bisu’ tidak melayannya berbual. Dibiarkan sahaja Zureen yang bercakap dari satu perkara kepada satu perkara yang lain. Perjalanan yang tidak sampai 10 minit dirasakan amat lama bagi Zureen.

“Sekejap lagi aku sampai.”

Ijol membuat panggilan ringkas sebelum mematikan telefonnya. Dia menghalakan keretanya ke satu taman perumahan dan berhenti di hadapan sebuah rumah teres yang agak besar. Sekejapan menunggu, akhirnya puteri yang dinanti muncul di muka pintu. Zureen yang tertinjau-tinjau melalui tingkap kereta di sebelah tempat duduk pemandu memasung penuh minat pada gadis yang mengenakan skirt denim warna biru. Begitu anggun dengan ikatan tudung yang disisip rapi.

Sebaik sahaja dia pasti pada wajah empunya tubuh tinggi lampai itu, terus dadanya berdebar. Macam pernah jumpa, tapi di mana? Fikirannya bercelaru dan memorinya tindan bertindan dengan pelbagai gambaran.

Ya…perempuan inilah yang selalu dilihatnya di dalam komputer milik Ijol. Wanita ini jugalah yang dijelingnya semasa di perhentias bas JB. Serta merta onar rajuk dan cemburu tumbuh di sudut hati. Ketika Kamelia membuka pintu, dia sengaja membatukan diri. Panggilan Ijol tidak diendahkan.

“Zureen, awak pindah duduk belakang. Bagi kawan abang duduk depan.”

Kamelia masih tercegat di tepi pintu menanti gadis itu berpindah tempat duduk. Namun dia seperti melayan dunianya sendiri dan langsung tidak mahu berganjak.

“Zureen, kalau abang tahu perangai awak macam ini, tak ingin abang bawa awak keluar.”

Ijol seperti sudah naik angin dengan perangai sepupunya itu yang usianya baru mencecah 19 tahun. Namun dikawal rasa marah itu bimbang akan mengkucar kacirkan pertemuan dengan Kamelia malam itu.

“Tak apalah Ijol. Aku duduk belakang.”

Kamelia memilih untuk duduk di belakang Ijol untuk memudahkan komunikasi antara mereka nanti. Lagipun ini lebih mendekatkan mereka walau tidak bersentuhan.

“Cantik kau hari ni.”

“Terima kasih. Kau pun apa kurangnya.” Kamelia membalas pujian Ijol dengan kata pujian juga.

“Tapi, kau nampak brutal sangat. Boleh tukar sikit…”

Kamelia terkejut. Adakah Ijol mahu membulinya dengan berkata begitu atau memang ada yang tidak kena pada cara pemakaiannya.

“Apa yang nak ditukar?”

Sangka Kamelia, Ijol mahu menyuruhnya membuka tudung dan berpakaian lebih seksi agar dilihat berpenampilan. Jika itu arahannya, baik dia tidak meneruskan hubungan mereka.

“Ha, kan dah salah sangka. Aku dapat baca apa yang kau fikir. Jangan lupa aku ada sixth sense. Maksud aku, kasut kau tu kena tukar, kau pakai kasut jogging…”

Zureen yang duduk di depan sudah tergelak-gelak seperti memerli dirinya tatkala mendengar komunikasi antara Ijol dan Kamelia. Kamelia memandang ke kakinya dan kemudian dia termalu sendiri. Semasa hendak keluar tadi dia tersarung kasut Aini yang di letakkan bersebelahan kasutnya. Tanpa menunggu lama dia berlari semula ke dalam dan menukar dengan sandal kegemarannya.

“Yes! You look perfect.” Puji Ijol untuk kesekian kalinya.


Zureen semakin meluat mendengar pujian melambung Ijol terhadap Kamelia. Dia merasakan tekaknya serta merta perit dan hatinya pedih. Perasaannya itu terbawa-bawa sampai ke meja makan. Ijol langsung tidak mengendahkan perlakuan Zureen yang seperti orang buang tabiat lagaknya.

Semenjak bertentang mata secara berhadapan dengan Zureen, dia merasakan bagai pernah jumpa gadis ini, tetapi lupa di mana dan bilakah masanya. Dilayannya juga pertanyaan demi pertanyaan gadis itu walau di hati timbul sangsi. Tetapi apabila melihatkan caranya melayan Ijol, Kamelia merasakan seperti wujud sesuatu antara mereka. Seperti pasangan yang telah berkahwin. Ijol pun satu, kadang kala elok dan sesaat dua kemudian dia bersikap dingin terhadap Zureen. Mungkinkah Zureen adalah ‘seseorang’ yang dimaksudkan oleh Ijol yang bisa membuatnya cemburu.

Kalau inilah orangnya, memang aku cemburu! Saling usik mengusik, bertukar gelas minuman dan kadangkala gadis itu menyentuh lembut tangan Ijol sambil bergurau! Pedihnya perasaan Kamelia melihatkan semua itu umpama luka yang disirami air limau.

“Melia, you okey?”

“Okey dan tak okey!”

Ijol memandang Kamelia dengan senyuman bermain-main di hujung bibirnya. Dia seakan dapat membaca fikiran Kamelia yang kacau dan cemburu terhadap kemesraannya yang hanya pura-pura dengan sepupunya itu.

“Yang okey aku tahu, tapi yang tak okey tu aku tak tahu. Cerita sikit kat aku…”

Kamelia mencebik. Ijol sengaja membuai rasa cemburunya.

“Apa yang kau tahu pasal yang ‘okey’ tu?” soal Kamelia geram kerana terasa seperti dipermainkan.

“Ya lah, okey sebab dapat berdua-duaan dengan aku.”

“Mana berdua…kita bertiga!”

“Anggaplah yang ketiga tu tak wujud. Dia tu macam semut yang menempel kat mana-mana…”

Zureen yang sedang menyisip minumannya terus tersedak. Tak guna punya sepupu, dia kata aku macam semut! Bebel Zureen di dalam hati.

Kamelia tersenyum gelihati melihat telatah Zureen yang terjerit kecil apabila air minumannya terpercik di dada.

“Tak okey kenapa?” soal Ijol inginkan kepastian.

“Lain kali aku cerita.”

Seingat Ijol sudah tiga kali Kamelia berhutang jawapan dengannya. Pertama, tentang cadangannya agar mereka mewar-warkan hubungan mereka. Kedua, persoalan yang tidak jadi ditanyakan malam tadi dan sekarang yang ketiga, perasaannya yang tidak ‘okey’ yang tergantung begitu sahaja. Kamelia memang suka membuat kepalanya dipenuhi tanda soal.

“Jomlah kita balik. Dah malam ni…”

Zureen menganggu ruang bicara Ijol dan Kamelia.

“Zureen nak balik, baliklah…abang masih nak berbual dengan Melia.”

“Nak naik apa?”

“Naik teksi ke, atau bas.”

“Abang Ijol!!” jerit Zureen manja.

Sebagai seorang yang sudah menginjak dewasa, Kamelia melihat aksi Zureen sebagai satu cara menarik perhatian. Selebihnya mengada-ngada dan bertujuan menyakitkan hati orang lain. Dan orang lain yang dimaksudkan tentulah dirinya sendiri. Kamelia membuat tafsirannya terhadap kerenah gadis itu entah untuk yang ke berapa kali.

“Tak apalah kalau kau dah boring, kita balik.” Kamelia menyerah kalah.

“Siapa kata nak balik. Biar dia balik sendiri. Kalau nak saing aku, tunggu.” Ijol mengeraskan suaranya dengan tujuan didengari oleh Zureen.

“Tak baik buat budak tu macam tu. Kita baliklah. Esok kan kau nak kerja.” Suara Kamelia seperti membuat arahan untuk semua orang.

“Okeylah jom…”

Setelah membayar harga makanan mereka bertiga berjalan ke kereta dengan Ijol sengaja mengenggam tangan Kamelia. Satu pengucapan rasa sayang yang tidak tergambar dek kata-kata. Tiba-tiba Zureen mencelah di tengah-tengah dan terus memaut lengan Ijol. Secara sengaja dia menolak Kamelia ke tepi. Dia nyaris tersungkur tetapi sempat berpaut pada dahan pokok bunga yang diletakkan di dalam pasu yang besar. Mungkin sebagai perhiasan dan dekorasi restoran tersebut.

“Astaghfirullah..”


“Kau okey ke?”

“Tak apa. Aku boleh handle.”

Ijol naik berang dengan perangai Zureen yang telah melampaui tahap kesabarannya. Entah mengapa malam ini lain benar perangainya, terlebih gedik dua kali ganda. Di hadapan Kamelia dia hanya menahan marah tetapi difikirannya telah merancang akan memarahi Zureen habis-habisan apabila mereka tiba di rumah nanti.

“Zureen duduk belakang!” arah Ijol.

“Tak nak!”

“Duduk belakang!”

“Orang kata tak nak, tak naklah!” balas Zureen dengan nada suara yang tinggi.

“Okey. Kalau macam itu, biar abang dengan Melia yang duduk belakang. Zureen drive!” Ijol pula menyatakan keputusannya.

Mendengarkan kata-kata Ijol itu, Zureen terus bangun dan masuk di tempat duduk belakang. Lebih baik duduk belakang, dapat juga tengok apa mereka lakukan atau bualkan. Mindanya berfikir jauh.

***

“Minggu depan Zek kahwin. Kita pergi sama-sama ya.”

“Aku dah balik Melaka.”

“Cepatnya kau cuti. Kan baru balik dari overseas, rehatlah dulu. Lepas tu baru cari kerja.”

“Aku dah bosan menganggur. Ingat nak cari kerja kat KL.”

“Jauhnya, kat JB kan banyak kerja. Aku pun boleh tolong…”

“Jauh lagi bagus, tak ada orang kenal kita. Kat JB nanti rimas kena dating selalu.”

Ijol mencubit lengan Kamelia tanda tidak setuju dia berkata begitu.

“Kalau kat KL boleh cari ‘spare tyre’…”

“Berani kau nak menduakan aku! Belum sempat kau nak cari spare tyre, aku ikat kau dulu!”

“Siapa yang sudi?”

“Kau tak sudi dengan aku? Aku terjun laut nanti…”

“Tak baik, bunuh diri itu berdosa besar hukumnya.”

“Siapa cakap nak bunuh diri? Aku nak pergi scuba diving…haa…ha…” Ijol ketawa besar.


Kamelia ikut ketawa dan suara mereka saling bertingkah menyebabkan Zureen yang mendengar menjadi bosan. Akhirnya dia terlelap dengan hati di dalam semakin memuncakkan benci pada seseorang.
Advertisement

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.