Now you can Subscribe using RSS

Submit your Email

Jun 23, 2009

NOVEL: CINTA KAMELIA 14

nur aynora
Telah hampir tiga minggu Kamelia menjalankan tugasnya di syarikat telekomunikasi terkenal itu. Namun begitu hanya beberapa kerat kakitangan sahaja yang baru dikenali, itu pun yang satu jabatan dengannya. Keadaan ibu pejabat yang besar dan mempunyai banyak jabatan itu memang memerlukan sedikit masa untuk saling mengenali antara satu sama lain.

“Cik Melia okey ke kerja kat sini?” tanya pembantunya yang dikenali sebagai Shila.

“Belum sampai sebulan, semuanya nampak macam ok.”

“Serasi?”

Apa yang dimaksudkan dengan serasi itu? Kamelia memandang Shila dengan ekor mata, mengharapkan penjelasan.

“Maksud saya, suasana kerja…bosnya?”

“Biasa saja.”

Kamelia menjawab ringkas. Dia ada kerja yang perlu dilakukan, jadi tidak mahu memanjangkan bicara dengan pembantunya itu. Shila yang faham isyarat yang ditunjukkan oleh Kamelia beredar ke tempatnya.

Kamelia menjeling kalendar meja yang terletak berdekatan komputernya dan sekadar melihat sekali lalu pada tarikh-tarikh penting untuk bulan tersebut. Semuanya berkaitan dengan kursus dan mesyuarat yang perlu dihadiri. Tiada satu pun yang bersifat personal. Cuma, yang masih membebankan fikirannya hingga saat ini adalah dia belum berterus terang dengan rakan-rakannya yang dia telah bekerja di KL. Jika mereka mendapat berita ini daripada orang lain, pasti perang dingin akan meletus. Bukankah telah berjanji bahawa tiada rahsia antara mereka.

Kelmarin ketika Aini menelefon bertanya khabar pun mulutnya bagai berat untuk memberitahu bahawa dirinya telah bekerja, bukan lagi seorang penganggur terhormat. Baiti juga ada mengirimkan SMS yang dia sudah bekerja di JB, berdekatan dengan pejabat suaminya.

Kamelia terkejut ketika telefon bimbitnya berdering, nyaris terjatuh pen yang di tangan. Shila yang perasan perlakuan ketuanya itu tersenyum sambil menunduk, ditakuti nanti Kamelia berkecil hati kerana ditertawakan.

“Aku banyak kerja, jangan call sekarang boleh tak.”

“Hai…penganggur terhormat pun banyak kerja. Kau tolong emak kau buat apa? Macam rahsia sangat, aku call pun nak kena pilih time.”

Kamelia baru tersedar yang dia tersilap cakap sebentar tadi lalu menimbulkan keraguan di benak Ijol.

“A…a…aku tolong buat gubahan.” Kamelia terpaksa menipu.

“Melia…kalau nak tipu pun, pandai-pandailah. Cakap pun tergagap-gagap. Tiap kali aku call kau asyik buat gubahan aje, kali ini siapa pulak nak kahwin?”

Apa aku nak jawab ni?

“Aku!”

“Hah?! Apa? Kau nak kahwin? Aku belum masuk meminang, macam mana kau boleh kahwin.”

Ha! Ha! Ha! Lawak betul mendengar suara Ijol yang terkejut badak mendengar pengakuannya. Kamelia menutup mulut menahan tawa.

“Tak. Anak kawan emak aku yang nak kahwin.”

Bohong sunat! Padahal Kamelia sedang menatap komputer di pejabatnya yang berhawa dingin.

“Nasib baik. Fuh! Turun balik darah aku. Kejap tadi aku terkena high blood pressure. Hujung minggu ni kau ada kat rumah?”

“Tak ada. Aku pergi rumah abang aku kat KL.”

“Kalau macam tu aku turun KL, kita jumpa. Dah lama tak jumpa kau. Rindu!”

Rindu? Aku pun sama sebenarnya tetapi mana boleh tunjuk lebih-lebih. Kamelia berkata kepada dirinya sendiri.

“Kan kau dengar suara aku hari-hari, sama juga.”

“Suara tak boleh di pegang. Kalau jumpa kau boleh pegang-pegang! Ha…ha…”

Di hujung talian kedengaran Ijol ketawa besar.

“Gatal! Sudahlah…malas aku layan kau.”

“Melia…” lembutnya suara membuai rasa.

“Saya.”

“Kita kahwin nak.”

“Aku belum bersedia. Lagipun…aku takut nak kahwin dengan kau.”

“Kenapa?!” besar tanda soal di kepala Ijol.

“Aku takut kau buli aku lagi.”

“Ha…ha…ha…kau ni kelakarlah.”

Berbual-bual dengan Ijol tidak terasa masa berlalu begitu cepat. Usikan lelaki itu menggamit kenangan manis dan mengundang rindu yang bukan sedikit. Tidak sabar pula untuk menanti hujung minggu menjelma.

Kelihatan Shila menggamitnya mengajak keluar makan tengahari bersama. Kamelia membuat isyarat tangan agar menunggunya sebentar.

“Aku nak keluar. Nak makan. Aku call kau nanti.”

“Makan kat rumah tak boleh ke? Emak kau tak masak?”

Ops! Tersilap lagi. Kena ‘cover’ ni…

“Lupa nak cakap tadi, emak aku keluar belum balik sampai sekarang. Ok lah Ijol, aku nak cepat. Bye.”

Kamelia cepat-cepat menekan butang ‘off’ sebelum Ijol mula membebel yang bukan-bukan.

***

“Cik Melia berbual dengan pak we ya tadi, bukan main gembira.”

Kamelia hanya tersenyum tanpa menjawab, tidak mengiya atau menidakkan. Biarlah Shila membuat tafsirannya sendiri.

“Awak dah berkahwin, Shila?”

“Sudah Cik Melia. Anak seorang. Lelaki.”

“Seronok tak berkahwin dan ada anak?” soal Kamelia sambil menghabiskan sisa makanannya di pinggan.

“Seronok. Kita penat balik kerja ada orang temankan, ada anak yang hiburkan hati kita. Hilang terus penat. Cik Melia tak nak kahwin?”

Shila berpendapat ketuanya itu pasti telah berusia lewat dua puluhan berdasarkan tempoh pengajiannya yang panjang termasuk membuat Masters di UK. Namun, bagi wanita berkerjaya dan berperawakan menarik, tidak sukar bagi Kamelia untuk menawan hati lelaki. Begitu Shila menelah.

“Belum masanya. Saya ada target yang nak dicapai sebelum berumahtangga.”

“Target pun boleh dicapai walau kita dah kahwin, Cik Melia. Lebih-lebih jika dapat suami yang mempunyai cita-cita yang sama. Macam husband saya, bila dah dapat anak satu baru terfikir nak sambung study.”

“Jadi husband awak sambung study kat mana?”

“Kat sini aje, Universiti Malaya.”

“Dia ambil course apa?”

“Pendidikan. Dia pun mengajar, jadi ambil separuh masa punya. Habis kerja berkejar ke UM pulak.”

“Baguslah macam tu. Yang penting saling menyokong antara awak dan suami.”

Shila mengangguk tanda memahami maksud ketuanya itu.

***

Malam itu ketika menonton televisyen Kamelia dikejutkan dengan satu panggilan dari seseorang. Panggilan jauh dari Jakarta. Sewaktu dia bangun untuk menjawab panggilan tersebut, kakak ipar dan abangnya menjeling. Ini mesti panggilan istimewa, kalau tidak mengapa berkalih tempat.

“Adik awak tu bukannya muda lagi, suruh kahwin bukan main liat.”

“Biarlah dia enjoy dulu. Kan dia baru habis belajar. Esok lusa kahwinlah tu.” Jawab suaminya tersenyum.

“Rugi bang kahwin lewat, kita dah tua anak-anak kecil lagi.”

“Tua pun tak kan sampai bertongkat…tahulah dia nak atur hidup dia.” Si suami membela adik kandungnya.

Kamelia duduk kembali di sofa lembut yang dibeli oleh abangnya dari gedung perabot terkenal. Sambil itu matanya menjeling sekilas kepada abang dan kakaknya yang sama-sama sedang menonton televisyen.

“Bincang pasal apa tadi?”

“Pasal Mel lah…” abangnya mengusik.

“Kenapa pula?”

“Nak carikan jodoh untuk Melia!” kakak iparnya juga tersenyum-senyum.

“Tak nak lah!”

“Melia dah ada boyfriend ke? Kenalkan lah pada kita orang…nak tengok juga orangnya.” Abangnya semakin bersemangat.

“Boyfriend banyak. Tengah pilih-pilih.” Balas Kamelia selamba.

Abang dan kakaknya terkejut mendengar jawapan yang terkeluar dari mulut Kamelia. Tetapi sebaik melihat wajah Kamelia yang tidak serius sewaktu memberikan jawapan, mereka turut berlagak selamba. Ada-ada saja si Melia ni; getus abangnya seraya melemparkan renungan tajam.

***

“Hardy call aku tadi.”

“Dia nak apa?”

“Saja bertanya khabar. Dia dah balik Indonesia. Satu semester pengajian dia tangguhkan sebab ayahnya sakit tenat. Sekarang dia tolong jaga ayahnya kat hospital. Kakak dan abangnya semua dah berkeluarga, jadi dia terpaksa korbankan dulu kuliahnya.”

“Oh…kut-kut dia rindu kat kau.” Usik Baiti.

“Kau ni pandai aje… dari dulu asyik nak gandingkan aku dengan dia.”

“Habis kau tu yang memilih sangat. Ada orang nak, kau jual mahal.”

“Mana ada. Dah hati tak suka.”

“Eh! Aku tengok si Ijol tu dengan kau memang serasi. Susah-susah kau ambil aje dia jadi suami. Kau orang bukan muda lagi. Lagipun Zek kata Ijol dan kau dulu selalu bergaduh. Ala…gaduh-gaduh sayang aje tu. Dulu benci, sekarang suka…”

“Dulu masa zaman persekolahan dia dengan aku selalu bergaduh. Aini dengan Zek yang jadi orang tengah. Dia kata aku minah garang, aku pulak gelar dia budak gila. Sekarang ni, tak tahu nak cakap. Bila dah lama terpisah, rindu-rinduan pulak. Aku dulu memang minat maut kat dia…itu dulu.”

“Sekarang macam mana. Ada dia cakap apa-apa?”

“Itu yang aku nak cakap dengan kau. La ni terbalik pulak. Masa jumpa balik kat Angsana dulu, dia terus ajak aku bertunang. Terkejut beruk aku. Kau tahulah…tiba-tiba macam tu, siapa yang nak. Entah bila dia suka kat aku, aku pun tak tahu.” Kamelia berterus terang.

Aku tahu, kami semua tahu, Melia! Cuma kami rahsiakan dari kamu! Ayat-ayat tersebut hanya menerawang di minda Baiti, tidak terluahkan.

“Aku rasa memang betul dia suka kat kau. Zek pun ada cerita yang sejak loss contact, segala usaha dia buat untuk cari kau. Bila kau kat UKM dia dah start keep track kau…aku pun tak tahu dari mana dia dapat maklumat tentang kau. Aku rasa kawan kau Aini yang banyak tolong dia.”

Begitu rupanya, bermakna aku tidak bertepuk sebelah tangan. Dalam gelap malam Kamelia tersengih sendirian. Harap tidur malamnya bermimpikan sang rajuna hati.

***

Pukul dua pagi tidur Kamelia dikejutkan dengan bunyi SMS masuk. Bukan sekali malahan melebihi empat kali.

Siapa pulak malam-malam buta hantar SMS ni! Bebelnya sambil meraba telefon bimbitnya yang diletakkan di kepala katil.

‘5 SMS tidak berjawab’

Kamelia membuka peti simpanan mesej dan membacanya satu persatu.

‘Papa aku dah pass away’
‘Aku sedih sangat. Sedih…’
‘Berikan aku kekuatan, Melia.’
‘Melia…aku perlukan seseorang’
‘Moga kamu boleh tolong aku’

Kesemuanya khidmat pesanan ringkas dari Hardy di Jakarta. Membayangkan kesedihan yang tidak tertanggung dek kehilangan orang tersayang. Kamelia segera menghadiahkan al-Fatihah untuk arwahnya dan segera membalas SMS tersebut.

‘Takziah buat kamu sekeluarga. Semoga kamu kuat hadapi dugaan ini. Jika perlukan pertolongan, aku sedia membantu.’

Cukup satu SMS yang dikirim oleh Kamelia kerana baginya kata-kata semangat yang positif dapat menenangkan hati yang sedih. Kemudian Kamelia menyambung tidurnya yang terganggu.

nur aynora / Author & Editor

Mykarya.com adalah blog perkongsian e-novel, cerita korea dan drama melayu.

1 comments:

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Coprights @ 2016, Blogger Templates Designed By Templateism | Distributed By Gooyaabi Templates