Now you can Subscribe using RSS

Submit your Email

Jun 26, 2009

NOVEL: CINTA KAMELIA 15

nur aynora
Ijol menggaru kepalanya yang tidak gatal. Musnah segala perancangannya untuk bertemu dengan Kamelia pada hujung minggu nanti. Walau baru sebulan tidak berjumpa dengan Kamelia, dia merasakan bagai telah bertahun tidak menatap wajah gadis itu. Memang sengaja dia bertindak drastik untuk menyakinkan Kamelia bahawa cintanya telah bulat untuknya. Sejak dari dahulu lagi dia memang memasang angan untuk memiliki gadis itu. Sekarang masanya telah tiba. Tetapi perkhabaran dari emaknya pagi tadi memusnahkan segala-galanya.

“Ijol tolong hantar emak ke Kota Tinggi hujung minggu nanti. Pak Cik kamu kemalangan kereta. Teruk juga dengarnya sampai berbalut simen kaki dia.” Emaknya berpesan ketika di meja makan.

“Tapi saya ada plan nak turun KL jumpa kawan.”

“Yang itu kawan, yang ini bapa saudara kamu. Kan kamu tahu bezakan…” emaknya berkata lembut sambil menuang Nescafe ke dalam cawan Ijol.

Tapi kawan yang ini nak buat isteri! Jeritnya di dalam hati.

“Apa menung lagi? Dekat pukul 8.00 tu, kamu tak kerja ke?” emaknya pula yang runsing melihatkan Ijol yang masih termenung menghadap sarapannya.

“Ya mak…nak pergilah ni.”

Ijol bangun menyalami emaknya, kemudian menyarung kasut dan menghidupkan kereta. Ketika enjin kereta belum panas, Mitsubishi Lancer berwarna putih itu telah meluncur laju membelah jalanraya.

***

“Kenapa dengan bos kau tu?” tanya Adalia apabila dilihatnya Ijol berjalan menonong masuk ke bilik tanpa menyapanya seperti selalu.

Zahari yang sedang duduk di sofa melopong mendengar bebelan dari mulut Adalia, setiausaha kepada Ijol. Biasanya awal-awal pagi begitu dia memang melepak di situ sementara menunggu surat atau dokumen dari jabatan-jabatan lain.

“Period agaknya!” jawab Adalia sendiri sambil tersenyum.

“Dia tu makhluk apa, kut boleh period?” balas Zahari seolah menyindir Adalia.

Walaupun Zulhariz kelihatan tegas, tetapi dia melayani semua stafnya dengan adil. Tiada yang terlebih atau terkurang. Jika seseorang melakukan kesilapan, dia akan memanggil individu terbabit menghadapnya, dibandingkan bos dari jabatan lain yang sering memarahi kakitangan bawahan tidak mengira tempat.

Adalia meneruskan kerjanya, tidak kuasa untuk memanjangkan perbincangan dengan Zahari kerana didapati budak pejabat itu menyebelahi Zulhariz.

Interkom di atas meja Adalia berbunyi.

“Ya Encik Hariz, nanti saya suruh dia masuk.”

Adalia membuat isyarat kepada Zahari yang bosnya itu memanggilnya masuk ke dalam. Zahari segera mengetuk pintu bilik Zulhariz.

“Masuk.”

Zahari terus duduk di hadapan Zulhariz tanpa dipelawa.

“Ada apa Encik Hariz?”

“Awak free pagi ini? Banyak dokumen nak hantar?”

“Tengah tunggu dokumen, Encik Hariz. Nak minta tolong ke?”

Macam tahu-tahu aje aku nak minta tolong! Ijol mengomel di dalam hati.

“Saya nak awak pergi ke kedai bunga, tolong hantar ke alamat ini.”

Zahari mencapai kertas yang bertulisan tangan daripada Zulhariz dan meneliti alamat yang tertera.

‘Melaka! Nak mati apa? Suruh aku hantar bunga ke Melaka? Naik motor pulak tu…alamat tanggal kaki aku mahunya.’ Dahi Zahari berkerut-kerut.

“Encik Hariz, takkan…”

“Tak boleh tolong ke? Nanti saya kasi duit minyak la..”

“Melaka ni bos! Jauh…”

‘Hah! Melaka? Lupa pulak aku Melia tinggal kat Melaka. Hish! Buat malu aje.’ Segera Ijol menarik kembali kertas tersebut dari tangan Zahari.

Dia merancang menghantar bunga kepada Kamelia sebagai permohonan awal maafnya kerana terpaksa membatalkan pertemuan mereka hujung minggu nanti. Setelah itu baharu dia menelefon menyampaikan salam kemaafan, begitu fikirannya membuat pertimbangan.

“Sepatutnya saya minta tolong dari Adalia, silap orang pulak.”

“Untuk siapa bos?”

“Kawan.”

“Kawan atau kekasih hati?” usik Zahari terhadap bosnya yang kacak itu, persis penyanyi Mawi gaya rambutnya.

Ijol tidak menjawab pertanyaan Zahari kerana baginya urusan kerja dan peribadi bukan semuanya boleh dikongsi dengan kakitangannya.

“Tolong panggilkan Adalia.”

“Okey bos!”

Tidak berapa lama kemudian Adalia masuk dengan membawa buku dan pen untuk mencatat sebarang arahan atau perbincangan dengan bosnya itu.

“Ya Encik Hariz…”

“Awak tolong contact kedai bunga kat Melaka, minta tolong hantar ke alamat ini. Saya nak bunga ros dengan bunga Lily, dalam lima tangkai untuk setiap bunga. Letak nama saya sekali.”

Ijol menyerahkan kertas bertulisan tangan itu kepada Adalia.

“Siapa yang meninggal, bos?” laju sahaja Adalia bertanya.

“What? Apa pulak awak cakap macam itu?” mata Ijol mencerlung memandang Adalia.

“Biasanya bunga Lily untuk orang yang ada kematian, kesedihan…”

“Mana awak tahu?”

“Tengok cerita mat saleh kat TV. He…he…” Adalia mengekeh sebaik habis memberikan pendapatnya.

“Awak ni…itu aje pengetahuan awak pasal bunga?”

Adalia ketawa lagi apabila Zulhariz mempersoalkan sumber maklumatnya. Dia sabar menunggu bunga apa yang hendak dikirimkan oleh bosnya itu.

“Susah-susah, tukar bunga tahi ayamlah bos!”

Ha! Ha! Ha! Ijol ketawa besar mendengar cadangan dari setiausahanya itu. Loyar buruk pulak budak ini!


“Awak suruh ajelah dia pilihkan untuk orang yang istimewa, yang bermaksud ‘I’m sorry, my dear’…”

‘My dear? Oh! Girlfriend kut…; Adalia tersengih-sengih ketika mencatat pesanan tersebut.

“Kenapa awak tersengih?”

“Gelihati bos.”

“Kenapa?”

“Bos tengah bercinta, ya?”

“Itu rahsia kerajaan. Awak tak boleh tahu!”

“Okey bos. Ini saja?”

“Ya. Hari ini hantar tau.”

Adalia berlalu dari bilik Ijol dengan buku dan pen di tangan. Dia perlu segera menghubungi mana-mana kedai bunga sebelum pukul 11.00 pagi. Bimbang jika terlewat penghantaran tidak boleh di buat pada hari yang sama.

***

Aini ketawa terbahak-bahak ketika Adalia menyampaikan cerita perihal Ijol yang memintanya menghantar bunga kepada seseorang di Melaka. Dia pasti tentulah Kamelia orang yang dimaksudkan. Kalau benar tekaannya, dia amat bersyukur kerana cinta ‘budak gila’ dan ‘minah garang’ itu bakal bersatu akhirnya.

“Ada dia nak bagi bunga Lily pada girlfriend dia. So, aku cadangkan bagi aje bunga tahi ayam!”

Aini dan Adalia ketawa lagi. Makanan di pinggan masih belum habis. Bercerita pasal bos yang bujang itu lebih menyeronokkan. Aini sebenarnya tahu sedikit demi sedikit perkembangan kedua pasangan musuh tersebut. Itupun jika Kamelia bercerita kepadanya. Namun semenjak kebelakangan gadis itu sudah jarang menelefon. Mungkin sibuk membantu menguruskan perniagaan butik pengantin ibunya.

“Kau risiklah siapa girlfriend dia, Aini.”

Aini menguntum senyum kerana jawapan sudah menerawang di mindanya. Namun dia tiada hak untuk mengisytiharkan. Biarlah Ijol sendiri yang akan memberitahu kepada rakan-rakan mereka nanti.
“Nanti aku tanya dia. Itupun kalau dia nak jawab.”

Adalia mengangguk seperti percaya kepada tindakan seterusnya yang bakal dilakukan oleh Aini.

Menjelang 2.00 petang mereka kembali ke pejabat. Di waktu begini biasanya mereka terus ke surau di tingkat dua menunaikan solat Zohor sebelum meneruskan kerja yang tergendala.

Ketika menuju ke surau, Aini berpapasan dengan Ijol yang sudah menunaikan rukun Islam kedua itu. Wajahnya kelihatan tidak ceria seperti selalu. Dia tidak jadi hendak menegur kerana dilihatnya Ijol seperti mahu cepat sahaja. Segera dia teringat perbualannya dengan Adalia sewaktu makan tadi iaitu Ijol mengirimkan bunga tanda kemaafan. Apakah dia sedang berkrisis dengan Kamelia?

Fikiran Aini mati setakat itu kerana dia perlu segera bersolat dan memulakan kerjanya.

***

Sepanjang memandu ke Kota Tinggi pada pagi minggu itu fikiran Ijol tidak tenteram. Semenjak dari malam tadi dia cuba menghubungi Kamelia tetapi talian tidak dapat disambungkan. Berbelas SMS dikirim, juga tiada jawapan. Inilah masalahnya jika menggunakan telefon bimbit, kekadang di kawasan tertentu tiada liputan.

Akibatnya sepanjang memandu dia asyik menguap kerana tidak cukup tidur. Hampir jam 4.00 pagi barulah matanya terlelap sendiri dan dibangunkan oleh emaknya pada pukul 6.30 pagi untuk solat subuh. Kemudian dia menyambung merngirimkan SMS kepada Kamelia tetapi masih tiada jawapan.

“Kenapa kamu mengantuk sangat abah tengok…apa kamu tak tidur malam tadi?”
Abahnya menegur.

“Tidur sekejap je, bah.”

“Kenapa? Apa yang kamu risaukan. Biasanya orang yang ada masalah negara aje yang duduk salah, berdiri salah. Abah tengok kamu jadi menteri pun tidak, ini apa yang dok risau begitu?” pandai pula abahnya berceramah.

Ijol tersenyum kelat, terasa benar sindiran tajam abahnya itu. Dia menjeling emaknya yang duduk di belakang melalui cermin kereta. Emaknya turut tersengih mendengar si suami membebel.

“Atau…kamu tengah sakit cinta. Dulu kamu pun ada masalah kat pejabat, tapi tak teruk sampai macam ini. Masih boleh tidur pulak tu…sampai polis datang rumah cari kau. Ingat kau dah buat kes…menakutkan kita orang aje.”

Apa abah melalut sampai ke sana pula. Dicungkilnya kisah tahun lepas dimana penyelewengan berlaku di syarikat tempat dia bekerja. Pihak polis memerlukan keterangan daripadanya mengenai kehilangan bahan binaan dari stor syarikat yang bernilai ratusan ribu ringgit. Ijol yang merupakan pengurus bahagian jualan pun terpaksa terlibat sama. Sehingga sekarang kes tersebut masih belum selesai, entahkan dapat ditemui si pencurinya atau tidak, dia sudah tidak mahu ambil pusing.

“Kamu tak terniat nak kahwin ke Ijol?” abahnya ke situ pula fikirannya.

Ijol diam sahaja. Tidak mahu memanjangkan perbincangan mengenai perkara tersebut kerana memang fikirannya sedang risau tentang si buah hati pengarang jantung nun di bandaraya bersejarah.

“Kamu ni jantan ke tidak? Satu anak dara pun kamu tak boleh ngurat?” tambah abahnya lagi.

Si abah kalau bercakap tidak boleh berhenti, mungkin sengaja untuk menghilangkan rasa mengantuk si anak. Ijol pula yang berasa rimas. Entah apa lagi selepas ini yang menjadi bebelannya. Emaknya di belakang telah terlena, mungkin merdu sangat mendengar suara si suami membebel!

“Susah-susah, kamu kahwin aje dengan si Zureen. Budak tu pun tak lama lagi nak habis belajar. Kahwin sepupu apa salahnya, dah tentu tahu emak bapaknya. Dia pun abah tengok rajin nyakat kamu, nak bermanja…budak tak ada abang.”

Mendengar nama Zureen disebut dia jadi geli geleman. ‘Anak dara miang itu abahnya kata rajin? Abah dah buta ke? Dia tu pemalas nak mampus! Suka keluar masuk bilik orang seuka hati…kemudian asyik berseluar pendek dalam rumah. Sepatutnya dia yang belajar di kolej Islam, lebih keislaman, ini tidak. Bukannya tahu menutup aurat kalau keluar rumah. Hish! Bagi percuma pun aku tak mahu!’

“Kamu diam tu tanda setuju lah.”

“Apa bah? Setuju? Lebih baik saya terjun lombong dari kahwin dengan Zureen…”

“Hah! Kalau gitu cari wanita yang baik untuk dijadikan isteri. Bawa jumpa kami, kahwin lambat tak elok…banyak dugaannya. Kepala asyik fikir nak buat maksiat aje. Syaitan suka goda, lagi-lagi orang muda macam kau. Tadi saja abah provoke kau…abah pun tak mahu kalau kamu dengan Zureen…”

Apa? Provoke? Pandai pula abah nak kenakan aku. Ee..geram betul dengan orang tua ini. Tetapi di sudut hati Ijol amat menyayangi emak dan abahnya itu.

***

“Suami kamu dah elok sikit tu nampaknya. Cuma kena jaga makan minumnya, jangan minum yang sejuk-sejuk. Nanti bisa pula bekas simen tu. Berapa lama dapat cuti dari kilang?”

“Entahlah kak, orang dari kilang pun tak ada yang datang menjenguk. Nanti saya minta tolong kawannya sampaikan surat dari hospital. Baru boleh tahu dapat cuti berapa hari.”

Ijol hanya menyandar di kerusi rotan yang sudah agak buruk di ruang tamu. Namun dia masih dapat mencuri dengar perbualan emak dengan adiknya itu. Mak cik Suhaila adalah adik emaknya yang ketiga dan ibu kepada Zureen. Mak Cik Suhaila mempunyai lima orang anak iaitu empat lelaki dan Zureen satu-satunya anak perempuan mereka. Zureen merupakan anak sulung di dalam keluarga dan empat orang adik lelakinya masih belajar.

“Takkan lah teruk macam itu cuti beberapa hari aje? Makan berbulan tu, Su…baru elok lukanya.”

“Kalau tak kerja, tak ada duitlah kami. Dulu banyak duit joli katak, sekarang baru padan muka dia!” Suhaila meluahkan perasaan geramnya kepada kakaknya itu.

Suaminya hanya seorang pengawal keselamatan di kilang elektronik di daerah Kota Tinggi, pendapatannya amat sedikit dibandingkan dengan tanggungan yang besar. Suhaila hanya mengambil upah menjaga anak orang yang dibayar RM300.00 untuk dua orang anak.

Melihat keadaan keluarga mak ciknya itu menimbulkan belas di hati Ijol sehingga dia bersyukur tidak terhingga ke hadrat Illahi ke atas kesenangan yang dilimpahkan ke atas mereka sekeluarga.

Sewaktu menyalami Mak Cik Suhaila untuk pulang, Ijol sempat menitipkan wang belanja untuk mereka sekeluarga. Ini masa mereka, entahkan esok lusa masa aku pula. Begitu Ijol bermuhasabah di dalam diri.

***

“Abang, kenapa tak bagitahu ayah Zureen accident. Zureen nak balik! Zureen nak balik!”

Entah dari mana dia dapat tahu ayahnya kemalangan, petang itu sebaik sampai di rumahnya, Ijol mendapat panggilan daripada Zureen. Di hujung talian gadis itu menangis-nangis macam anak kecil. Ayahnya pun dah elok, apa nak di tangiskan. Terlebih pulak manjanya! Menyampah! Omel Ijol di dalam hati.

“Ayah Zureen dah okey. Abang baru aje balik dari sana tadi. Cuma kaki dia kena simen, kena rehat lebih. Jangan risaulah. Awak kan dah nak final exam. Pay full attention on your examination.” Ijol bersuara tegas.

Biarpun tidak suka dengan perangai mengada-ngada Zureen, Ijol tetap berpura-pura memberi perhatian dan semangat. Bukannya berdosa pun, cuma tidaklah dia mendapat pahala ikhlas.

Usai solat Asar dia membelek lagi telefonnya. Tiada panggilan tidak di jawab atau pesanan dari Kamelia. ‘Uhh! Apa dah jadi dengan dia ni? Rasanya aku nak terbang ke KL sekarang juga. Tetapi, masihkah dia di rumah abangnya? Atau telah balik ke Melaka? Tidakkah dia menerima jambangan bunga dari aku? Ceh! Baru nak romantis sikit, dah jadi macam ni.’

Akhirnya Ijol tertidur kerana kepenatan pulang dari Kota Tinggi di tambah dengan ‘kehilangan’ Kamelia semenjak semalam.

nur aynora / Author & Editor

Mykarya.com adalah blog perkongsian e-novel, cerita korea dan drama melayu.

1 comments:

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Coprights @ 2016, Blogger Templates Designed By Templateism | Distributed By Gooyaabi Templates