Now you can Subscribe using RSS

Submit your Email

Jun 24, 2009

NOVEL: SELAMAT TINGGAL KEKASIH 1

nur aynora
Tengku Johan tidak habis fikir mengapa nasib dirinya sedemikian rupa. Mengapa mesti diketemukan dengan kekasih hati di dalam rumahnya. Yang paling menghancur lumatkan hatinya adalah status mereka bertukar daripada kekasih kepada adik ipar! Mengapa jadi begitu? Dimanakah keadilan untuk dirinya, hak sebagai kekasih telah tidak diiktiraf. Hati siapa yang tegar untuk mendepani dugaan maha berat ini.

Ya Tuhan…berikanlah aku kekuatan. Entah berapa ratus kali Tengku Johan memujuk hati untuk menerima kenyataan tersebut.

Masih terbayang-bayang wajah Insyirah yang pucat lesi dek bertembung dengannya ketika di dapur. Nyaris terjatuh gelas di tangan yang penuh dengan jus limau. Waktu itu kedua orang tuanya sedang menonton televisyen di ruang depan rumah banglo setingkat itu.

“Macam mana you boleh ada kat sini?”

“You pulak?”

Soalan demi soalan tiada jawapan kerana Tengku Johan a.k.a TJ mahupun Insyirah saling berbalas soalan. Akhirnya kenyataan yang memeritkan terungkai.

“I dah kahwin. Dengan Tengku Johary.”

Biarpun pendek ayat dituturkan namun cukup menyesakkan dada TJ. Bila adiknya berkahwin pun, dia tidak diberitahu. Memang benar dirinya berada di luar negara melanjutkan pelajaran, tetapi takkanlah ibu bapanya sekejam itu meminggirkan dirinya sebagai anak sulung di dalam keluarga.

Tanpa menunggu lama dia mendapatkan Tengku Zaman dan Tengku Zawiyah di ruang depan. Dia akan memohon penjelasan mengenai perkara itu. Mesti! Jika tidak hatinya jadi tidak keruan dan sebarang tanda tanya hanya akan memburukkan keadaan.

“Ma, Pa…saya nak tanya sikit.”

TJ merenung muka ibu bapanya menahan amarah dan geram yang sedang memuncak. Namun demi baki hormat yang masih bersisa, dia menahan rasa itu sehingga kedengaran nafasnya turun naik dengan laju.

“Kenapa dengan kamu, TJ? Teruk benar rupa kamu papa tengok.”

“Papa, benarkah Hary dah berkahwin? Kenapa tak bagitahu saya? Sebagai anak, saya rasa hak saya diketepikan.”

Meluncur deras ayat-ayat tersebut dari mulut TJ tanpa sempat bapanya menyampuk. Dilihat anak bujangnya berwajah merah padam walau hanya dipancar cahaya lampu dinding yang agak malap.

Tengku Zaman memandang isterinya, kemudian Tengku Zawiyah membalas pandangan suaminya dengan aksi yang terkejut. Sebenarnya memang mereka sengaja merahsiakan perkara itu kerana perkahwinan tidak dijalankan secara besar-besaran. Mereka hanya menikahkan sahaja Tengku Johary dengan Insyirah kerana telah berlaku perkara aib yang cukup memalukan keluarga. Apatah keluarga kecil mereka memang dipandang tinggi oleh masyarakat sekeliling. Apabila terjadi ‘perkara aib’ itu, mereka sekeluarga berasa amat malu.

“Apa yang mereka dah buat?”

“Entahlah…”

Begitu berat penanggungan yang terpaksa dihadapi oleh mereka sehingga untuk meluah kata pun umpama meredah bara api.

“Kamu tanyalah adik kamu sendiri.” Ujar Tengku Zaman mengakhiri perbualan.

Tengku Zaman mengangkat punggung lalu masuk ke kamarnya diikuti oleh Tengku Zawiyah. Belum pun habis TJ mahu mengajukan soalan demi soalan yang bertimbun-timbun di kepala. Kelibat Hary pun tidak kelihatan semenjak dia pulang dari luar negara dua hari lepas. Kemanakah adiknya itu. Mengapa tidak dibawa sekali isterinya itu?

Mana pula Insyirah pergi? Bukankah tadi dia di dapur? TJ meninjau ke ruang dapur, namun bayang Insyirah tidak kelihatan. Mungkin dia telah masuk ke kamarnya juga, sama seperti ayah dan ibunya.

Mengapa orang di rumah ini berkelakuan aneh? Seperti menyembunyikan sesuatu dari aku? Adakah tiga tahun terlalu lama hinggakan masa telah merampas segala keceriaan mereka sekeluarga? Semakin pusing kepala dek memikirkan perkara-perkara yang timbul setelah kepulangannya. TJ mengeluh panjang akhirnya.

***

“Eh! Bila engkau balik, tak ada ribut, tak ada angin…tiba-tiba dah muncul kat depan aku. Kau macam ada ilmu ghaib tau.”

Ahmad Zahid tidak menyangka sahabat sepermainannya telah kembali ke tanahair. Pelik pula memikirkan apabila Tengku zaman tidak membuat majlis menyambut kepulangan anak sulungnya itu. Tidak seperti kebiasaan keluarga bangsawan itu yang gemar berparti dan membuat pengumuman tentang sesuatu majlis.

“Aku baru aje dua hari sampai. Tak boleh duduk rumah lama-lama. Panas. Aku rasa semua orang berperangai pelik. Kau tak rasa ke?”

Ahmad Zahid ketawa mendengar pertanyaan dari TJ. Pelik? Rasa macam biasa sahaja, lagipun dia tidak rapat dengan keluarga bangsawan itu, hanya dengan TJ sahaja yang dia sesuai berkawan. Tengku Johary pun tidak angkat muka dengannya apabila mereka terserempak dimana-mana.

“Pelik? Mana ada. Kau kut yang pelik. ‘Jet leg’ lagi…cuba berehat seminggu dua. Kau akan rasa fresh sikit.”

Benar nasihat yang diusulkan oleh Ahmad Zahid itu. Pada fikiran TJ mungkin dia yang masih keletihan dan memerlukan cukup rehat bagi menangani segala persoalan yang membebankan fikirannya.

“Kau ingat Insyirah?”

“Syirah awek kau tu?

“Hm…”

“Mestilah ingat…siapa tak ingat dengan gadis menawan macam dia.”

“Kau tahu sekarang dia kat mana?”

“Mana lah aku tahu. Kau dah loss contact dengan dia ke?”

“Kau nak tahu?”

Ahmad Zahid mengangguk laju.

“Dia ada kat rumah aku!”

Ahmad zahid terkejut mendengar butiran kata yang terkeluar dari mulut TJ. Buat apa kat rumah TJ. Bukankah mereka belum berkahwin?

“Dia dah kahwin.”

Tambah pelik Ahmad Zahid dengan pengakuan yang keluar dari mulut TJ. Bila pula TJ berkahwin dengan Insyirah?

“Tapi bukan dengan aku.”

Kalau bukan dengan dia, takkan dengan ayahnya? Tidak mungkin! Betul-betul berserabut kepala dibuatnya.

“Dengan Tengku Johary.”

“Hah?”
“Ya.”

“Kau biar betul! Tak ada majlis besar-besaran pun.”

“Aku pun terkejut macam nak pengsan masa nampak dia kat rumah semalam.”

Patutlah dia berpendapat semua orang bertingkah pelik. Rupa-rupanya memang benar. Seperti ada sesuatu yang telah melanda keluarga itu. Mungkin itu lah sebabnya pak Engku tidak membuat sambutan besar-besaran perkahwinan Tengku Johary.

nur aynora / Author & Editor

Mykarya.com adalah blog perkongsian e-novel, cerita korea dan drama melayu.

0 comments:

Post a Comment

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Coprights @ 2016, Blogger Templates Designed By Templateism | Distributed By Gooyaabi Templates