Header Ads

NOVEL: UKIRAN JIWA 3

Advertisement
Pagi itu sebaik bangun tidur dan bersolat, Hanan Lim memeriksa telefon bimbitnya. Terdapat 9 panggilan tidak dijawab. Antaranya daripada kakaknya, rakan sekolej dan bakinya daripada Jenny. Hampir pukul 1.00 pagi Jenny menelefon. Apa yang penting agaknya? Dia mencuba mendail nombor Jenny bimbang ada pesanan atau kes baru yang perlu diselesaikannya. Cubaannya kali ketiga berjaya. Dikerling jam di atas katil, hampir mencecah 7.00 pagi.

"Hello..." suara wanita yang menjawab terlalu lemah.

"Hello Jenny. Are you okey?"

"Hello...Hanan, I'm okey. Just a bit dizzy, can you call back later? I can't open my eyes. Bye!"

Talian telah diputuskan oleh Jenny sebelum sempat Hanan Lim bertanya lebih lanjut. Sekali lagi dia mendail tetapi telefon telah di'off'kan oleh Jenny. Sewaktu bercakap tadi dia seperti terdengar seorang lelaki sedang batuk. Siapa pula yang bersama Jenny, apakah Jenny membawa pulang lelaki ke rumahnya? Tidak pernah pula dia mendengar yang jenny mempunyai teman lelaki, melainkan aku. Ah! Semakin pening pula bila memikirkan Jenny di pagi hari ini; getus Hanan Lim sendirian.

Sedang Hanan Lim mengelamun jauh di buai angin pagi yang merembas masuk melalui tingkap biliknya, telefon Nokia E63 miliknya bernyanyi nyaring. Siapa pulak ni!

"Hello..."

"Good morning."

"Assalamualaikum..." Hanan Lim memberi salam setelah dia pasti si pemanggil adalah seorang melayu.

"Ops...sori, saya ingat awak Cina."

"Tak mengapa. Dah biasa."

"Ingat tak lagi pada saya? Yang kerja kat hospital..." lembut suaranya membuai jiwa.

"Yang saya terlanggar kereta awak tu ke?"

"Ha ah! Kereta dah okey, dah repair. Saya ingat nak claim kat awak."

"Oh sure. Boleh. Boleh...bila tu awak nak hantar bil pada saya?" Hanan Lim menunjukkan sikapnya yang bertanggungjawab.

"Apa kata kita keluar minum atau lunch hari ini. Tapi awak kena belanja saya. Boleh tak?"

Aduhai suaranya lembut gemalai. Tetapi Hanan Lim sudah tidak berapa ingat rupanya. Apabila bertemu nanti akan dipastikan rupa wajah empunya suara. Berkawan biar beribu; fikirnya.

***

Tidak sukar bagi Hanan Lim mencari restoran yang dimaksudkan oleh Kamariah. Sebaik ternampak kereta yang dilanggarnya tempohari, terus dia mencari parkir. Di hari minggu begitu dia lebih santai mengenakan kameja-T berkolar dan berseluar jeans yang agak lusuh. Semakin lama usia sesuatu jeans, semakin selesa pula apabila dikenakan ke tubuh. Dia ternampak seorang gadis melambainya, dan tentu itulah orang yang ingin ditemuinya. Tetapi dia perasan ada kelainan pada wajah gadis tersebut.

"Awak Encik Hanan, kan?"

"Ya... dan awak?"

"Saya Kamariah. Panggil Kay pun boleh."

"Okey. Dah pesan makanan?" tanya Hanan Lim berbasa basi.

"Belum. Tunggu awak sampai. Sekarang kita order sama-sama."

Hanan Lim segera melambai seorang pelayan dan memesan makanan dan minuman. Pelayan itu terus berlalu sebaik mengambil pesanan. Sambil berbual, Hanan Lim menilai sikap dan peribadi luaran gadis bernama Kay itu. Sekali pandang dia sama seperti wanita-wanita yang pernah ditemui. Memang lembut tetapi tidak ada aura yang bisa menarik hatinya untuk berfikir jauh. Cukup setakat kawan biasa sahaja. Lagipun niatnya keluar tadi sebagai melunaskan rasa tanggungjawabnya di atas insiden yang berlaku. Itu sahaja.

"Dah lama jadi jururawat? Mesti penat kerja awak, kan."

"Dekat tiga tahun. Taklah penat sangat sebab saya suka kerja ni. Boleh jumpa kerenah pesakit yang macam-macam. Lagipun orang yang sakit ni selalu nakkan lebih perhatian. So, kita kena berhati-hati mengendalikan setiap pesakit. Happy job jugak la..." ceria benar suaranya seakan ingin menarik perhatian Hanan Lim.

"Encik Hanan pula?"

"Tak payah berencik...encik...dengan saya. Panggil Hanan shall be okey. Saya dah lama jadi peguam, dekat 10 tahun. Dulu saya kerja dengan company lain, bila modal dan pengalaman dah cukup, baru saya buka company sendiri."

Pesanan sampai selepas kira-kira 15 minit mereka berbual kosong mengenai bidang pekerjaan masing-masing. Sambil makan mereka bercerita peristiwa lucu semasa bekerja dan perbualan tersebut diselang seli dengan gelak ketawa. Kay merasakan Hanan Lim adalah lelaki yang dicari selama ini setelah beberapa siri percintaannya putus di tengah jalan. Untuk apa berkawan dengan orang yang tiada wawasan dan kewangan yang kukuh. Ya...Hanan Lim lah orangnya. Sambil berangan dia tersenyum nipis. Bukan sukar menewaskan lelaki dengan daya penggoda semulajadi yang dimilikinya.

***

Lisa Hanani sedang menjamu selera apabila cuping telinganya terdengar gelak ketawa manja dari meja di belakangnya. Pada mulanya dia tidak ambil endah memandangkan ramai juga remaja bercinta berkeadaan begitu. Tetapi susuk tubuh dan penampilan lelaki itu seperti pernah dikenali, itu yang membuatkan dia berminat mencuri dengar perbualan mereka seterusnya. Ya...baru dia teringat pertemuan beberapa minggu lalu dengan lelaki yang sama.

Lelaki buaya darat rupanya! Minggu lepas dia juga ternampak lelaki tersebut dengan seorang wanita Cina yang seksi sedang masuk ke dalam gedung perabut terkenal. Kelihatan mereka juga amat serasi. Ah! Sekarang dengan perempuan Melayu pula. Mungkinkah cara kehidupan seorang peguam perlu begitu, singgah dari satu wanita kepada wanita yang lain pula. Pedulikanlah...bukannya ada kena mengena dengan aku! getus Lisa Hanani sambil meneruskan suapannya.

Semasa lelaki itu menarik kerusinya untuk bangun, entah mengapa perasaan Lisa Hanani berdebar-debar. Janganlah dia perasankan aku...pohonnya dalam hati. Aku tak mau terperangkap dengan dunia cinta buatannya. Bisiknya lagi. Ya Allah, hindarilah aku dari menjadi mangsanya. Doanya lagi bersungguh-sungguh.

"Ops...sorry."

Tiada tindakbalas dari tuan empunya diri. Sebenarnya Hanan Lim sengaja menarik kerusi supaya mengenai orang di belakangnya. Seperti ada sesuatu yang menyuruhnya berbuat begitu, nalurinya membisikkan seperti dia mengenali wanita itu.

Hanan Lim hairan tindakannya itu langsung tidak mendapat respon. Dengan niat menunaikan desakan nalurinya, Hanan Lim mencuba sesuatu yang di rekanya sendiri. Mengurat cara lama. Dengan sengaja dia menumpahkan gelas yang berisi sirap limau ditangannya.

"Ouch...apa ni!"

"Sorry miss, I tak sengaja..."

Hanan Lim berpura-pura meminta maaf. Di dalam hati bukan main bersorak gembira kerana autanya menjadi.

"Awak!?" pertanyaan terkejut yang terhambur dari mulut Lisa Hanani.

Dalam pelbagai perasaan yang berbaur, Lisa Hanani mengelap kain tudungnya yang sudah dibasahi air sirap limau. Marah ada, geram pun ada. Tetapi mengenangkan permohonan maaf yang berulang kali dari mulut Hanan Lim, akhirnya Lisa Hanani menguntum senyum.

"Tak apalah, tak sengaja. Nak buat macam mana."

"Kenapa tak pernah contact I? You dah terhilangkan kad I ker?" soal Hanan Lim tanpa menunggu lama.

"Maaf, tak sempat."

Lisa Hanani terasa tidak sedap hati melihatkan perlakuan Hanan Lim yang seperti tidak mengumpamakan kehadiran rakan wanita dihadapannya itu. Perempuan itu sudah bermuka kelat melihatkan gelagat Hanan Lim.

"Look...your girlfriend dah merajuk. You tak usah risaukan I. Sikit aje ni..."

"Lupa lagi. Tengok you semua I lupa...kenalkan kawan I, Kay...Kamariah."

"Hai...Saya Lisa Hanani."

Kay berkulit putih mulus dan berwajah lembut. Sewaktu menyalami Lisa Hanani, Kay meneliti dari atas ke bawah dan bawah ke atas. Bagai hendak naik juling matanya mencari keistimewaan gadis bernama Lisa Hanani itu. Biasa saja; bisiknya seraya memandang ke arah Hanan Lim. Makin membulat matanya tatkala mendapati mata Hanan Lim tidak lepas dari memandang wajah Lisa Hanani.

Sebaliknya, pada pandangan mata Hanan Lim dia menyimpulkan bahawa inilah gadis yang bakal memanjangkan warisnya! Begitu dia berangan tinggi sewaktu melihat Lisa Hanani berlalu pergi dengan janji akan menelefonnya nanti.

"Siapa dia tu. Kerja apa?"

"Entah. Tak tanya pulak."

"Perempuan tak kenal pun awak boleh tengok macam tu. Entah 'sugar daddy' mana yang simpan." Kay mencebik.

"Kenapa pula awak kata macam tu. Don't judge orang dari luarnya..." Hanan Lim berdiplomasi.

"Bukan saya nak tuduh, tengok tu...dia pakai Honda Stream. Takkan lah tak kerja boleh pakai mewah macam tu..." sinis jawapan Kay.

Hanan Lim termakan juga kata hasutan Kay sehingga matanya mengikut arah yagn ditunjukkan oleh gadis jururawat itu.

***

"Terima kasih belanja saya tadi. Bertuah saya dapat berkenalan dengan awak."

"Tak mengapa. Just a small token from me."

"Bila kita boleh berjumpa lagi?" soal Kay manja.

"Kalau ada masa dan saya free...kita boleh jumpa lagi. Apa salahnya kita mengumpul kawan..."

Hanan Lim menghantar Kay ke keretanya. Setelah gadis itu menghidupkan enjin, dia mengangkat kaki untuk ke keretanya pula.

"Hanan!"

Dia menoleh. Gayanya yang matang dan kelihatan sofistikated amat memikat hati Kay.

"What?"

Dari dalam kereta Kay menggamit Hanan Lim ke arahnya.

Hanan Lim amat terkejut tatkala Kay mencium tangannya dan sebentar kemudian melepaskannya perlahan-lahan. Hatinya berdegup kencang. Tidak pernah seumur hidup ada perempuan mencium tangannya. Hatinya tiba-tiba diserang sayu. Tidak tahu mengapa.
Advertisement

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.