Now you can Subscribe using RSS

Submit your Email

Oct 22, 2012

NOVEL: UKIRAN JIWA 4

nur aynora
Selepas pertemuan makan tengahari bersama dengan Kay, Hanan Lim dapat merasakan perubahan mendadak gadis itu terhadapnya. Layanannya terlebih lembut dan manja dan kerap menghubunginya tidak mengira masa. Hasilnya tidak sampai seminggu timbul kebosanan di pihak Hanan Lim. Pada firasatnya, apa lagi yang tinggal untuk seorang wanita yang terlebih menonjolkan diri berbanding menyimpan sedikit rasa malu untuk pasangannya.

Dalam tak sedar dia membuat perbandingan di antara Kay, Jenny dan Lisa Hanani. Ketiga-tiga gadis moden yang dikenali, hanya Lisa Hanani yang tidak mengejar cintanya, tidak juga memandang pangkatnya atau hartanya. Sebaliknya, dirinya pula yang ternanti-nanti akan panggilan gadis manis itu. Entah bila akan terbuka pintu hati Lisa Hanani untuk menyambut salam perkenalannya. Hanya takdir Tuhan yang bisa menemukan mereka semula.

“Good morning darling…”

Hanan Lim hanya mengangkat kepalanya sekali dan kemudian menyambung kerjanya semula. Tidak diendahkan kehadiran Jenny yang meliuk lentuk memohon perhatian. Melihat kelakuan Jenny yang begitu, sesekali terlintas idea nakal di benaknya yang mempersoalkan kredibiliti Jenny sebagai seorang peguam.

“Hai, tak nak bercakap dengan I ke? Merajuk hari tu I tak return call?” soal Jenny yang mendekatkan wajahnya ke muka Hanan Lim.

“Apa ni? Tak elok macam ni perangai you. Kalau staff tengok kan tak bagus!” Hanan Lim mengingatkan.

“You asyik fikir apa staff akan kata, apa orang lain cakap! You langsung tak nak fikir macam mana I rasa. I rasa tak dipedulikan! You melampau!” Jenny mengeraskan suaranya.

“I banyak kerja sekarang. Lain kali kita bincang.”

“Jangan menyesal kalau ‘lain kali’ you dah tak ada. Maybe I dah pergi kat orang lain!” Jenny seakan mengugut.

Hanan Lim meletakkan pennya. Dia menyandarkan badannya ke kerusi dan memandang tepat ke wajah Jenny.

“You mean…”

“I mungkin dah ada boyfriend baru.” lancar jawapan Jenny.

“Mungkin? So, tak confirm lagi dia tu boyfriend you, kan?” Soal Hanan Lim tersengih-sengih.

Jenny bagai hilang kata-kata apabila di soal sedemikian oleh Hanan Lim. Teman lelaki merangkap rakan perniagaannya itu memang bijak berkata-kata. Sementelah dia telah memenangi banyak pertandingan debat ketika di kolej dahulu. Kebijaksanaannya menumpaskan lawan dengan kata-kata memang tidak dapat disangkal lagi.

“Okey…we will see, you yang frust atau I…”

Hanan Lim mengukir senyum di bibir walau hati di dalam terperangkap dengan cadangannya sendiri.

“Ok. Deal! Sesiapa ada couple dulu, kita automatic break-off.” Jawab Jenny lemah.

Sebenarnya dia masih sayangkan Hanan Lim, jejaka pertama yang mengetuk pintu hatinya untuk mengenal cinta. Lelaki pertama yang memegang tangannya dan banyak memberi motivasi terhadap kehidupan. Tetapi, dia bukanlah lelaki pertama yang mengajarnya kemanisan bercinta, kerana Hanan Lim bukanlah jenis lelaki yang begitu. Baginya, cinta terlalu luhur dan tidak boleh dicemari selagi belum sah bergelar suami isteri.

“Okey! Anyway…kita pun bukan serius bercinta sebelum ini. I hope kita masih boleh jadi kawan dan rakan kongsi sampai bila-bila.”

Hanan Lim tidak berasa rugi jika perhubungannya dengan Jenny tidak diteruskan. Lagipun gadis Cina campur British di sebelah ibunya itu tidak menunjukkan minat untuk menukar agama. Bagi Jenny Chua, perkahwinan berlainan agama masih boleh dilaksanakan. Apa yang penting adalah persefahaman dan saling menghormati pegangan masing-masing.

Selepas membuat perjanjian tidak rasmi itu, Jenny keluar dari bilik Hanan Lim dengan hati yang sayu. Tiba-tiba rindunya bagai di panggil-panggil kepada seseorang. Entah mengapa, dia seperti ingin menangis dan melepaskan sebak yang terbuku.

“Daus…I nak jumpa you.”

Tanpa disangka dia mendail nombor Firdaus.

***

“I dah break dengan dia.”

“I ingat you tak kisah pun boyfriend you ramai simpan kekasih. Macam I ni…” jawab Firdaus sambil menyisip minumannya.

Keadaan di restoran itu amat lengang, mungkin belum mencapai waktu puncak yang menyebabkan suasananya agak sunyi. Terdengar bunyi air yang dihirup oleh Jenny sambil dia melepaskn keluhan kecil.

“Entah. I pun tak faham dengan diri I sendiri.”

“Tak mengapa. Yang penting life must enjoy. Isn’t it?” luah Firdaus seperti tidak kisah dengan keadaan Jenny yang muram.

Melihatkan Jenny yang seperti tidak mendengar pendapatnya, Firdaus bertanya lagi. “Kenapa dia tinggalkan you?”

“Don’t know. Maybe dia dah jumpa wanita yang kena dengan tastenya. Mana I tahu.”

“You bukan taste dia lah. Kan you cantik, seksi…apa lagi yang lelaki cari.”

Jenny menggeleng. Apakah ciri-ciri wanita idaman Hanan Lim? Selama ini pun dia tidak ambil pusing perkara remeh temeh seperti itu.

Tiba-tiba telefon Firdaus berdering. Dia menjawab setakat berbasa basi sebelum menutup telefonnya. Bekerja dengan syarikat keluarga sendiri memang mudah, tidak ada waktu pejabat, malahan boleh keluar masuk sesuka hati.

“Father I…petang nanti dia akan terbang ke U.S.”

“You tak ikut? Business trip ke?”

“Entah. Maybe…Cuma dia pesan tolong tengokkan office masa dia tiada.”

“So, sekarang you nak balik ofis lah?” soal Jenny seakan merajuk.

“Tidak. I nak temankan you.”

“Ya ke?”

“I know you rindukan I…kalau tidak takkan you cari I, pagi-pagi pulak tu. Biasa you cari I waktu malam…”

“You ni…”

Firdaus mencapai tangan Jenny lalu dikucupnya lembut. Jenny membiarkan sahaja perlakuan Firdaus itu kerana hatinya memang mahu dibuai begitu. Hilang rasa sedihnya sebentar.

Lisa Hanani yang secara kebetulan lalu di situ terkejut melihat perlakuan Jenny dengan seorang lelaki. Bercengkerama di tempat awam begitu, membuatkan tekaknya tiba-tiba terasa mual. Bukankah wanita itu yang pernah bergandingan dengan Hanan Lim di pusat perabot terkenal satu ketika dahulu? Apa nak jadi dengan perempuan sekarang, berpindah dari satu lelaki kepada lelaki yang lain seperti menukar baju. Akhirnya dia beristighfar, memohon keampunan Allah. Minta di hindari dirinya dari terperangkap ke lembah hina.

***

Tengahari itu entah berapa kali Kay menelefonnya mahu makan tengahari bersama, tetapi Hanan Lim terpaksa menolaknya dengan lembut. Lebih baik dia menjarakkan hubungan mereka sekarang daripada ada pihak yang berkecil hati di kemudian hari. Sebenarnya Kay bukanlah gadis yang menjadi idamannya melainkan si gadis manis Lisa Hanani yang di impikan menjadi suri di hati. Sehingga sekarang gadis itu belum pernah menghubunginya. Menyesal pula tidak mendapatkan nombor gadis itu ketika insiden tertumpah air tempohari.

‘Minta-minta dapat jumpa dia hari ini.’

Begitu Hanan Lim berdoa di dalam hati sebelum keluar untuk bertemu pelanggan. Cuaca yang agak panas memaksa Hanan Lim mengenakan kaca mata hitamnya ketika memandu. Tiba di persimpangan lampu isyarat, keretanya diperlahankan untuk menunggu isyarat bertukar hijau. Tidak semena-mena matanya terpandang sebuah masjid yang terletak tidak jauh dari persimpangan lampu isyarat tersebut.

Di kerling jam di pergelangan tangan kirinya. Hampir 1.30 petang. Dia berfikir untuk bersolat dahulu sebelum meneruskan perjalanan. Kereta Mercedes putih itu memasuki laman rumah Allah sebelum memarkir bersebelahan dengan sebuah kereta Honda Stream.

Sewaktu dia membuka pintu kereta, tanpa disengajakan matanya tertoleh ke kereta di sebelahnya. Macam kenal dengan gadis bertudung hijau pucuk pisang itu. Lama dia menunggu gadis itu membalas pandangannya.

Apabila terasa dirinya diperhatikan, Lisa Hanani cuba melihat siapakah gerangan orang yang memerhatikannya. Jantungnya berdegup pantas tatkala dia bertentangan mata dengan pemuda Cina itu. Buat apa dia di sini? Mengekori aku kah? Soalnya bertalu-talu, setakat di dalam hati.

“Awak?! Buat apa kat sini?”

“Awak pun buat apa kat sini?” soal Hanan Lim semula.

Lisa Hanani membalas kekalutan Hanan Lim dengan senyuman.

“Saya…tentulah nak solat Zohor. Awak pulak buat apa kat sini?” Lisa Hanani mengulangi soalannya yang tadi.

“Oh! Saya pun sama macam awak.”

“Eh! Bukankah awak…”

“Ya. Saya Chinese muslim.”

“Patutlah…”

“Kenapa?”

“Hari itu girlfriend awak budak melayu.”

“Itu bukan girlfriend saya. Kawan aje…”

“Salah ke saya kata? Girlfriend kan maksudnya kawan perempuan.”

Hanan Lim terkesima. Gadis ini sudahlah bijak, berpenampilan malahan pandai menjaga tertibnya.

“Saya pergi dulu, Assalamualaikum…”

“Nanti dulu. Kata nak solat.”

“Sudah. Sekarang kena bekerja pula.”

“Boleh minta nombor telefon awak?”

“Nak buat apa. Nak call awak pun saya tak sempat, inikan pula nak jawab call orang lain.”

“Untuk simpanan peribadi.”

“Berapa banyak dah koleksi awak?”

“Maksudnya…”

“Tak ada apa-apa. Sebab awak nampak ikhlas, saya berikan nombor saya. Jangan marah kalau saya tak jawab.”

“Tak apa. Saya faham. Terima kasih banyak-banyak…”

Hanan Lim gembira bukan kepalang kerana hajatnya dimakbulkan Tuhan. Siapa sangka dia boleh terjumpa gadis itu di sini.

***

Lisa Hanani tersenyum sendirian di sepanjang pemanduannya. Teringat tadi wajah Hanan Lim yang terkejut melihat kemunculannya di situ. Bagaimana keikhlasan yang ditunjukkan oleh lelaki itu telah membuka pintu hati Lisa Hanani untuk memberikan nombornya. Segalanya begitu kebetulan. Kebetulan yang indah.

“Hai Lisa…happy nampak.”

“Terima kasih. Tapi tak ada makan free tau.” Jawabnya mengusik.

Kalsom yang mendengar hanya tergelak. Lisa Hanani seorang yang sangat baik hati. Segala kebajikan pekerja dijaga tanpa mengira pangkat atau usia. Apatah pejabat mereka hanya dihuni oleh tiga orang pekerja. Perniagaan IT yang diusahakan juga semakin berkembang dan mendapat kepercayaan banyak syarikat korporat dan juga sekolah. Kekadang masa kerja Lisa Hanani bukan mengikut waktu pejabat seperti stafnya yang lain.

“Lisa! Marilah join kita orang minum petang. Ada pisang dan keledek goreng ni hah.” Panggil Baharom yang bertindak sebagai juruteknik syarikat.

“Siapa belanja?”

“Tadi ada client ambil komputer yang telah dibaiki. Dia belanja sekali. Suka agaknya komputernya dah baik. Tak sakit lagi.” Tambah Baharom.

Lisa Hanani ketawa mendengarnya. Ada sesetengah pelanggan yang baik hati akan membelanja mereka makanan dan minuman. Ada sesetengahnya pula sombong dan berlagak tidak bertempat. Lain padang lain belalang, lain orang lain ragamnya, begitu Lisa menelah.

“Lisa! Jomlah!”

“Okey.”

Lisa Hanani meninggalkan sementara kerjanya dan turut menyertai stafnya yang sedang minum petang beramai-ramai.

***

Jam sudah mencecah ke angka 8.00 malam tetapi Lisa masih belum meninggalkan pejabatnya. Banyak kerja yang perlu dibereskan sebelum ianya semakin menimbun dan sukar dilangsaikan. Lagipun, dia tidak suka menangguh kerja.

Telefonnya berdering minta diangkat. Tiba deringan ketiga, barulah dia menjawab.

“Belum kak. Sekejap lagi kut saya balik.”

“Tak singgah rumah hari ini? Banyak durian ni hah. Abang kamu baru ambil dari kebun.”

“Tak lah kak. Lain kali Lisa ambil…”

“Okeylah, jaga diri tu.”

Kakaknya meletakkan telefon setelah memberi salam. Tidak sampai beberapa saat telefonnya berdering lagi.

“Kenapa kak?” terjah Lisa Hanani tanpa menyemak nama di skrin.

“Bila pulak saya tukar jantina?” soal suara disebelah sana.

Aik! Siapa pulak ni? Lisa baru teringat untuk melihat skrin telefon bimbitnya. ‘Private number’. Ini bermakna nombor si pemanggil tidak di simpan di dalam memori telefonnya.

“Sorry, wrong number!”

“Nanti, nanti dulu! Bukan wrong number but it is true…right number! Saya Hanan, siang tadi kita berjumpa.”

Manakan dia boleh melupainya, pertemuan yang tidak disangka-sangka. Yang berkatnya ia terjadi di rumah Allah.

“Ya…ya, saya ingat. Encik Hanan sihat?”

Entah mengapa soalan itu yang ditanya oleh bibir Lisa Hanani sedangkan hatinya mahu berkata yang lain.

“Sihat. Macam siang tadi. Awak kat mana?”

“Masih kat ofis. Habiskan kerja sikit.”

“Tak tahu pulak saya kat Malaysia ni ada office hour sampai 9.00 malam.”

“Kerja sendiri, macam inilah…malam atau siang sama saja. Bukan macam Encik Hanan yang ada syarikat besar…”

“Jangan cakap macam itu. Ini semua tertakluk kepada budaya kerja masing-masing. Awak dah makan?”

Lisa Hanani faham bahawa Hanan Lim tidak suka memanjangkan perbincangan tentang kerja. Itu sebabnya dia menukar topik perbualan.

“Belum, tapi petang tadi dah makan pisang goreng. Masih kenyang lagi.”

“Itu petang tadi, malam ini awak belum makan, kan?”

“Belum.”

“Jom kita makan malam bersama.”

“Untuk apa? Kalau Encik Hanan nak makan, pergilah. Saya rasa malam ini tak boleh.”

“Tolong temankan saya makan. Lagipun saya rasa nak celebrate pertemuan rasmi kita hari ini. Agaknya tadi kalau saya tak tergerak nak singgah kat masjid, saya tak akan jumpa awak sampai bila-bila.”

Begitu sekali dia menghargai pertemuan siang tadi. Jadinya, secara tidak langsung Lisa Hanani turut merasa bersalah jika tidak membalas penghargaan yang diberi. Bak kata pepatah, orang memberi kita merasa, orang berbudi kita berbahasa!

“Tapi hari ini memang tak boleh. Saya nak habiskan kerja kemudian balik. Rasa dah tak larat badan ni.” Lisa Hanani menolak secara baik.

“Lain kali, boleh?” Hanan Lim memastikan.

“Boleh…” jawab Lisa Hanani lembut.

“Kalau macam itu, esok awak dinner dengan saya.”

Wah! Cepatnya membuat keputusan, bagai tiada hari esok sahaja bunyinya.

“Insya’Allah.”

“Okey. Selamat malam.”

Selepas memberi ucapan selamat malam Hanan Lim memutuskan talian. Lisa Hanani menyambung kerjanya yang tergendala sehingga jam memcecah ke angka 9.30 malam. Setelah berkemas dia menuju ke keretanya dan menghidupkan enjin untuk pulang.

Sekali dua dicuba, enjin keretanya tidak mahu hidup. Suasana di sekitarnya yang gelap meremangkan bulu roma. Semua pejabat telah di tutup, hanya lampu jalan sahaja yang terpasang yang membantu sedikit penglihatan Lisa Hanani.

‘Kenapa tak mahu hidup ni…’ bebelnya sendirian.

Dengan lafaz Bismillah, dia mencuba lagi, tetapi masih gagal.

‘Alamak! Minyak dah kering. Kenapalah aku boleh tak perasan!’ Gumamnya kepada diri sendiri.

Setelah mengunci keretanya dia menapak ke simpang jalan untuk menunggu teksi. Setelah menunggu hampir 20 minit, tiada satu teksi pun yang muncul. Fikirannya buntu memikirkan cara untuk pulang sehinggalah dia mendapat ilham untuk menghubungi Hanan Lim.

“Awak…tolong saya.”

“Kenapa? Awak kat mana? Apa dah jadi?”

“Tak ada apa-apa. Cuma… saya nak balik tapi minyak kereta kering. Tak perasan pulak. Boleh tolong hantar saya balik.”

“Boleh…lain kali kalau ada orang ikhlas macam saya nak ajak keluar, jangan tolak. Ha! Sekarang rezeki saya dapat keluar dengan awak.”

“Maaf…”

“Janganlah kecil hati. Saya bergurau saja tadi tu. Sekejap lagi saya sampai.”

“Okey.”

“Awak kat mana?” untuk kesekian kalinya Hanan Lim bertanya.

Setelah memberikan maklumat tempat dia berada, Lisa Hanani memutuskan talian. Dia menunggu kedatangan Hanan Lim dengan dada yang berdebar-debar.

nur aynora / Author & Editor

Mykarya.com adalah blog perkongsian e-novel, cerita korea dan drama melayu.

0 comments:

Post a Comment

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Coprights @ 2016, Blogger Templates Designed By Templateism | Distributed By Gooyaabi Templates