Header Ads

CERPEN: MENCINTAIMU

Aku berlari-lari mengejar Qayyum yang begitu laju di hadapan meredah lalang yang tinggi melangit. Dia yang sudah biasa dengan keadaan kebun di belakang rumahnya semakin pantas meninggalkanku. Apabila kelibat Qayyum sudah tidak kelihatan, aku menjadi takut. Tidak semena-mena aku meraung sekuat hati dek ketakutan. Mana Qayyum? Kenapa tinggalkan Sofia sendirian dalam semak samun ini. Tolong Sofia, Qayyum…tangisku semakin menjadi-jadi. Fia takut…

“Fia, kenapa dengan awak ni? Saya kejar arnab ni tadi, takut dia pergi jauh, jadi saya lari kuat-kuat. Jangan nangis ya. Saya ada ni hah…Dah. Jangan nangis. Nanti emak awak marah saya…”

Aku berlari mendapatkan Qayyum yang sedang tersengih memeluk seekor arnab berwarna putih. Kemudian aku ikut ketawa dalam mata yang masih basah. Hilang segala ketakutan yang sebentar tadi menyelubungiku.

Kami bermain bersama-sama, mengejar arnab putih itu yang begitu lincah dan kadang kala kami jatuh bersama di atas busut jantan yang banyak semut api. Terjerit-jerit kami seketika, hinggakan emak Qayyum tertinjau-tinjau di tingkap dapur mendengar jeritan kami.

Ketika bersama Qayyum, aku sangat gembira, rasa dilindungi dan Qayyum selalu mempertahankanku sekiranya kawan-kawan di tadika mengambil barang-barangku. Qayyum selalu memboncengku di atas basikalnya ke kedai Pak Cik Leong untuk membeli gula-gula. Kemudian kami akan makan bersama di pangkin di belakang rumah Qayyum yang memang disediakan oleh ayahnya untuk kami berdua.

“Awak besar nak jadi apa, Qayyum?”

“Saya nak jadi arkitek. Nak buat bangunan tinggi-tinggi, nanti dapat duit banyak boleh kita pergi luar negeri sama-sama.”

Aku ketawa suka. Dia cakap begitu membuatkan fikiranku melayang terbang di langit biru.

“Awak nak jadi apa, Fia?”

“Fia pun nak belajar pandai-pandai, nak ikut Qayyum jadi arkitek. Nanti kita boleh pergi universiti sama-sama.”

Kami berbaring di atas rumput sambil mengunyah gula-gula. Tiba-tiba seekor arnab menerpa ke atas kami membuatkan kami terkejut dan berlari lintang pukang sambil ketawa. Qayyum ketawa gelihati hingga menahan perut melihatkanku yang terkejut di terpa arnab tadi.

“Qayyum…Sofia…balik! Dah masuk Maghrib tu ha…pergi mandi. Lepas tu pergi mengaji.” Emak Qayyum menjerit dari arah dapur.
***

“Baca betul-betul Fia. Dengungnya tak betul, sabdu pun kamu pakai langgar aje. Dah berapa kali pak cik ajar surah yang sama. Kenapa tak faham-faham lagi. Tengok Qayyum, sekali ajar terus ingat, faham…Kamu kena ikut macam Qayyum. Jangan banyak main!” Pak Cik Ali memarahiku.

Qayyum yang menunggu giliran mengaji duduk di sebelahku. Dia menunduk sahaja ketika mendengar aku dimarahi, sedangkan aku sudah mula menangis.

“Itulah kamu Fia, cakap sikit nangis. Kalau macam ni, macam mana nak pandai. Belajar tak boleh putus asa, kena kuat semangat. Bukan sikit-sikit nangis, asyik nangis. Dah…nanti esok baca lagi, pak cik nak dengar lagi.”

Aku mengesat mataku dengan tudung yang disangkutkan ala kadar sahaja di kepala. Semasa Qayyum mengaji, aku menunggunya sehingga tamat kemudian kami balik bersama.

“Kenapa Fia nangis tadi? Fia kena kuat. Saya tak suka tengok awak selalu menangis. Saya suka kalau awak ketawa. Macam anak patung…”

Aku ketawa kerana Qayyum cakap dia suka kalau aku ketawa. Qayyum menghantarku sampai ke pintu rumah. Begitu aktiviti kami setiap malam sehinggalah keputusan peperiksaan UPSR memisahkan kami!

***

“Saya nak masuk asrama kat Perak. Minggu depan dah nak pergi. Awak nanti tinggal sorang kat sini, awak dah tak ada kawan lagi. Yati dengan Leha pun tak suka kawan dengan awak sebab awak baik dengan saya, kan. Dia orang jealous tu…sebab saya suka awak sorang. Tapi awak jangan risau, kalau cuti sekolah kita jumpa ya…”

Aku tidak mahu memandang muka Qayyum kerana aku takut air mataku tumpah. Qayyum tidak suka aku menangis, dan aku bertekad tidak akan menangis di hadapan Qayyum. Aku gagahkan diri untuk ketawa dan terus ketawa dihadapannya. Biarlah sebelum berpisah, dia melihat kegembiraanku.

Hari Qayyum berangkat, aku tidak menemuinya. Emak memanggil-manggil namaku kerana Qayyum hendak berjumpa. Tetapi aku menolak dengan alasan kepalaku sakit. Akhirnya aku melihat Qayyum melangkah longlai menuju ke rumahnya di sebelah dari cermin tingkap. Aku menangis semahu-mahunya. Habis basah langsir tingkap aku gunakan untuk mengelap air mataku.

Aku sudah kehilangan kawan dan sahabat yang selalu melindungi. Aku kehilangan kegembiraanku, dibawa pergi oleh Qayyum. Siapa nanti yang menemaniku ke kedai Pak cik Leong, siapa akan menemankan aku memberi makan arnab di belakang rumah, siapa yang akan memboncengku di belakang basikalnya, kerana semuanya kusandarkan kepada Qayyum sebelum ini.

Rutin harianku berubah semenjak Qayyum masuk asrama. Aku bersendirian pergi dan balik sekolah, aku sudah tidak mengunjungi kedai Pak Cik Leong lagi dan basikal Qayyum yang tersandar di dinding di belakang rumah pun aku tidak tunggangi lagi. Aku berseorangan memberi arnab makan dan duduk berseorangan di atas pangkin sewaktu petang.

Surat pertama dari Qayyum menjengah ke pangkuanku setelah hampir dua bulan dia di asrama. Aku berlari laju membawa surat Qayyum itu ke belakang rumahnya, dan duduk di atas pangkin seperti kebiasaan.

“Saya sibuk dengan minggu orientasi, aktiviti pelajaran dan juga kelas malam. Waktu di asrama tidak sama macam waktu di kampung. Di sini terpaksa bersaing dengan rakan-rakan lain yang bijak pandai. Saya terpaksa bekerja kuat sekali ganda lebih daripada orang lain. Kadang-kadang saya tidur jam dua pagi kerana menelaah pelajaran. Saya minta maaf kerana lambat menulis surat kepada awak, Fia. Saya harap awak boleh menjaga si Putih sama seperti ketika kita menjaganya dulu. Tolong jagakan basikal saya supaya bila cuti sekolah nanti, saya boleh membonceng awak semula.

Macam mana pangkin di belakang tu? Awak masih duduk di situ lagi? Kebun tempat kita bermain masih ada tak? Atau dah semak membukit? Awak tunggulah nanti sampai saya balik, ada banyak benda yang saya nak ceritakan pada awak.”

Selepas habis membaca surat dari Qayyum itu aku menangis sepuas-puasnya. Lihatlah Qayyum, aku sedang duduk di atas pangkin ini sewaktu membaca suratmu. Akan ku tunggu detik itu, menunggu kau bercerita seperti selalu. Air mata semakin laju merembes keluar dari kelopak mataku. Ya Allah…apakah perasaan yang datang ini? Mengapa aku merinduinya? Aku sendiri pun tak pasti…

***

“Qayyum kirim salam, dia kata tak dapat tengok kau buat persembahan. Dia ada perlawanan bola sepak antara fakulti. Nanti kalau cepat habis, dia akan datang. Kau okey kan kalau dia tak datang.” Hakim memujukku.

Entah mengapa semenjak aku rapat dengan Hakim, Qayyum sering menjauhkan diri. Qayyum asyik mengelak dari bertemuku. Sebenarnya aku amat mengharapkan dia hadir, bukannya Hakim. Aku perlukan semangatnya, aku perlukan sokongannya, bukannya Hakim. Kenapa kau tak faham, Qayyum?

Akhirnya kumpulan kami memenangi pertandingan teater antara fakulti. Selepas tamat acara penyampaian hadiah, aku nampak Qayyum di pintu dewan sedang memberikan tepukan ke arah ku dan aku melambainya. Belum sempat dia sampai ke tempatku, Hakim terlebih dahulu memelukku kerana kegembiraan.

“Tahniah Fia, kau berjaya. Kumpulan kita berjaya. Aku bangga dengan kau. Sayang kau!”

Hakim masih memegang tanganku ketika Qayyum mampir. Aku lihat wajah Qayyum berubah, kolam matanya berkaca. Tak tahu mengapa, mungkin terlalu gembira melihat kejayaan kumpulanku.

“Congrats Fia. You’re the best! Aku harap kau berjaya dalam semua bidang yang kau ceburi.”

Qayyum sekadar menyalami tanganku. Sejuknya tangan dia, usikku nakal. Qayyum hanya tersenyum kelat. Biasanya dia akan memelukku jika aku berjaya di dalam menyelesaikan sesuatu, tetapi sekarang tidak. Aku ternanti-nanti pelukan semangatnya, tetapi hampa. Aku menunggu dia menyatakan sesuatu di saat ini, tetapi nampaknya harapanku hanya anganan kosong. Dia meninggalkan aku dan rakan-rakan yang lain meraikan kemenangan kami.

***

Aku menangis semahu-mahunya di hadapan Qayyum ketika Hakim memutuskan perhubungan kami. Hilang segala rasa malu, aku buangkan segala keegoan di hadapan Qayyum. Aku ceritakan segala sakit perit dan kecewa kerana perpisahan ini. Qayyum hanya tersenyum dan kelihatan tenang.

“Setiap kejadian ada hikmahnya, Fia. Mungkin Tuhan nak bagi seorang lelaki yang lebih baik untuk awak. Saya doakan awak akan menemuinya. Jangan sedih lagi, janganlah menangis, Fia. Saya tak suka tengok awak sedih.”

Akhirnya aku tersenyum kerana Qayyum suka aku tersenyum. Kami menyusuri tepi pantai dengan ditemani lembayung senja yang amat indah. Aku ingin menyatakan sesuatu kepada Qayyum tetapi tidak jadi. Aku juga merasakan Qayyum ingin memberitahu sesuatu kepada ku, tetapi entah mengapa dia pun tidak jadi membuka mulutnya. Hari yang indah itu berakhir tanpa kenangan, tanpa impian.

***

“Sabar Fia. Tak semua projek yang kita kendalikan akan berjaya. Awak kena mengkaji semula dimana kelemahan dan kekurangan promosi awak. Kaji semula kos dan untung rugi. Sejauh mana awak letakkan komitmen awak tu…okey. Rilekslah…saya pun sama, tak semua projek yang saya kendalikan berjaya. Yang penting kita bangun semula.”

Qayyum yang aku kenali sedari kecil hingga sekarang, tidak berubah. Sentiasa ada ketika aku mengharapkan nasihatnya, tidak putus asa melihatkan aku yang mudah lemah semangat dan sentiasa memberikan perangsang.

“Awaklah kawan yang amat memahami, Qayyum. Awaklah sahabat terbaik yang saya ada, awaklah…”

“Apa dia?” Qayyum mencuit hidungku.

Aku terasa berdebar-debar setiap kali dia mengusikku begitu. Namun aku lihat Qayyum bersahaja dan tenang sekali. Agaknya aku seorang sahaja yang berperasaan begitu. Fikirku.

“Tak ada apa…saja nak buat awak suspen.”

Kami ketawa bersama-sama akhirnya.


***

Sewaktu umurku menjangkau 29 tahun, aku mengambil keputusan menamatkan zaman bujang dengan rakan sekerjaku. Itu pun setelah sidia bersungguh-sungguh menunjukkan komitmennya. Itu pun setelah Qayyum menyatakan dia percaya kepada Hariz, bakal suamiku itu.

“Awak bila nak kahwin, Qayyum. Takkan saya jalan dulu, sepatutnya kita kahwin sama-sama. Kemudian serentak dapat anak, nanti anak-anak kita boleh jadi kawan baik macam kita…”

Qayyum hanya merenung kad jemputanku di tangan. Dia mengangkat wajahnya lalu merenungku. Aku jadi serba salah. Sekali lagi aku lihat kolam matanya berkaca.

“Hei…awak nangis ya?” usikku.

“Tak adalah. Saya gembira sebab akhirnya awak jumpa lelaki yang awak cari. Selamat pengantin baru, Fia.”

“Itu aje yang awak nak cakap kat saya? Awak tak rasa apa-apa ke Qayyum? Awak tak rasa sedih, kesepian…sebab saya akan tinggalkan awak tau. Kita dah tak ada masa berjumpa macam selalu. Saya akan pergi jauh, Qayyum.”

“Saya dah cakap semua apa yang perlu awak tahu, Fia. Saya memang sayang awak, sebab kita dah bersahabat sejak kecil. Saya akan rindui awak sama seperti sebelum ini. Masa kita berpisah ketika saya nak masuk asrama tu…itu lah perasaan saya kini. Sekarang terbalik pula, awak yang akan tinggalkan saya.”

“Awak tak nak peluk saya? Sebagai sahabat?” Sofia sengaja menguji Qayyum.

“Nanti Hariz marah. Awak tunang orang.”

“Ohh! Kalau saya bukan tunang orang, awak nak peluklah…”

Qayyum sekadar tersenyum pahit mendengar usikanku.

“Fia makin nakal ya!”

“Mana ada. Kalau dengan Qayyum aje, dengan orang lain tak berani offer…he..he..”

Aku ingin sekali memeluknya buat kali terakhir walaupun bakal berkahwin dengan Hariz tidak berapa lama lagi. Aku ingin sekali mencurah rahsia hati tetapi tidak jadi, bimbang ditertawakan oleh Qayyum. Dia tidak tahu sebenarnya selama ini aku menunggunya, menanti kata keramatnya dan limpahan kasih sayangnya. Tetapi Qayyum bagai tidak memberi respon ke atas reaksiku. Ah! Aku sahaja yang berlebih-lebih, sedangkan dia tidak.

Itulah kali terakhir aku bertemu dengan Qayyum, kerana setelah berkahwin aku mengikut Hariz berpindah ke Brunei.

***

Kini aku kembali ke kampung dengan perut yang sedang membesar. Aku meminta izin dari suamiku untuk melahirkan bayi ini di rumah ibu bapaku. Hariz mengizinkan kerana dia mahu aku mendapat penjagaan yang sempurna selepas bersalin nanti.

“Lama tak dengar berita Qayyum, mak. Ada dia balik kampung tak? Saya ada hantar poskad pada dia beberapa kali…tapi tak pernah balas. Kenapa yek?” soalku pada emak yang sedang menggoreng sayur.

Aku lihat emak berhenti seketika sebelum menyambung memasak lauk pula. Sesekali emak mengesat matanya dengan hujung baju. Aku pelik juga melihatkan kelakuan emak, apa yang tak kena, bisikku.

Aku menjenguk rumah Qayyum di sebelah pagar yang sunyi sepi. Menurut emak, ibu bapa Qayyum dan adik beradiknya sudah lama tidak balik. Berkemungkinan mereka berpindah ke rumah emak Qayyum di kampung sebelah.

“Qayyum dah tak ada, Fia.”

Betulkah apa yang emak cakapkan ini?

“Apa mak?”

“Qayyum dah tak ada, dia dah meninggal. Dah lama…selepas tiga bulan kamu kahwin.”

“Betul ke mak? Kenapa tak bagitahu Fia. Apa salah Fia sampai dia sorokkan masalah dia dari Fia. Apa salah Fia mak…”

Aku jatuh terjelepok di kaki emak. Air mataku berjuraian di pipi dan lama kelamaan esakanku semakin menjadi-jadi. Aku rasakan dunia ku gelap serta merta. Emak turut sama menangis sambil memapahku ke bilik. Kenapa Qayyum, kenapa? Apa yang kau rahsiakan sebenarnya? Benci sangatkah kau padaku?

“Dia kena demam panas. Selepas kamu kahwin dia demam teruk, Fia. Banyak kali dia pesan dengan semua orang, jangan bagitahu Fia yang dia sakit. Qayyum tak nak Fia susah hati. Puas keluarga ubatkan dia, tak sembuh juga. Akhirnya dia meninggalkan kita…Fia.”

Aku menangis untuk kesekian kalinya di pelukan emak. Entah apa yang aku sedihkan sangat, aku pun tak tahu, tetapi air mataku terus turun dengan laju tidak berhenti-henti.
Lama kelamaan aku tertidur dengan mata yang masih basah.

***

Perlahan-lahan aku labuhkan punggung di atas pangkin yang penuh kenangan ini.
Aku merenung diari merah di tangan, diari yang telah lusuh peninggalan Qayyum. Keluarganya memberikan dairi itu kepada emakku agar dapat diserahkan kepadaku. Getaran di dada semakin kuat sewaktu aku menyelak halaman pertama diari itu.

Gambar aku dengan Qayyum ketika sambutan harijadiku yang ke enam tahun. Aku amat menyukai gambar tersebut yang memotretkan aku duduk di pangkuan Qayyum, muka kami nampak seiras benar. Orang kata jodoh kuat, tetapi jodohku dengan Hariz nampaknya. Aku mengusap perutku yang seperti bergerak-gerak, tanda kasih antara aku dengan Hariz.

- Ayyum terkejut dengar suara Fia menangis, Ayyum cepat-cepat lari dapatkan Fia semula. Rupa-rupanya Fia takut sorang-sorang. Ayyum cakap jangan takut. Ayyum
ada dekat Fia. Kalaulah Ayyum boleh peluk Fia waktu itu, tentu Fia tak rasa takut lagi. Ayyum janji tak akan tinggalkan Fia sorang-sorang.-

Helaian pertama Qayyum tulis tentang kami, sekitar usia kami enam tahun. Aku tersenyum membacanya. Kemudian aku menyelak halaman lain yang penuh dengan contengan tangan Qayyum, gambar kartun, gambar orang lidi dan macam-macam lagi.

Tiba-tiba mataku tertancap pada satu tulisan tangan yang elok sedikit. Mungkin masa itu kami telah berada di sekolah rendah.

- Ayyum nak pergi asrama dah. Tapi Fia tak nak jumpa, Fia tak nak tengok Ayyum pergi. Ayyum cuma dapat jumpa emak Fia, emak Fia kata Fia tak sihat badan. Kalaulah dapat jumpa Fia masa tu, taklah Ayyum rindu kat dia masa kat asrama. Ayyum rasa Fia macam tak sayang Ayyum…kalaulah Fia tahu yang Ayyum sebenarnya sayang kat Fia, sedih terpaksa tinggalkan Fia sorang-sorang…-

Aku teringat peristiwa berpuluh tahun itu, aku sedih untuk melihatnya pergi. Rupa-rupanya Qayyum juga berperasaan sama. Ya Allah…kenapa kami tidak mengakuinya?
Kini semuanya hanya tinggal sejarah.

- Aku lihat dia gembira, aku ingin memeluknya, mengucapkan tahniah atas kejayaannya. Aku ingin memberitahunya, yang aku…oh! Aku tak sempat. Hakim telah mendekatinya terlebih dahulu. Aku lihat Fia gembira, aku ikut gembira. Kalaulah aku sempat mengucapkan ‘Aku sayang padamu Fia’, tentu sekarang kami bahagia. Tentu Fia tidak menerima Hakim dalam hidupnya…-

Aku menutup dairi merah itu sekejap, menyapu air mata yang tumpah. Kenapa kami bodoh sangat, saling menyayangi tetapi tidak berani. Aku ingatkan Qayyum hanya menganggap aku sebagai sahabat karibnya sahaja, rupa-rupanya lebih dari itu. Aku ingatkan aku bertepuk sebelah tangan, tetapi tidak! Kami saling mengasihi…

- Fia menangis di hadapanku. Hakim telah meninggalkannya. Aku sangat gembira, aku ingin mengesat air matanya, menyapu sedihnya dan memberitahu yang aku sayang padanya. Tetapi entah, aku tidak jadi menyebutnya. Aku takut dia anggap aku hanya kawan. Kalaulah aku sempat berterus terang…Fia, I Love You, jeritku dalam hati sahaja.-

Kenapa kau pendam sahaja, Qayyum. Aku selalu menantikan kata-kata keramat itu, aku ingin dipeluk dan dibelai olehmu, tetapi kau tidak berani. Akhirnya aku yang merana, mencari-cari cinta lelaki sejati, rupa-rupanya ia ada di depan mata. Air mata semakin laju membasahi bumi. Segala benda yang aku pandang sudah berlapis-lapis dek pandanganku diganggu oleh titisan jernih tersebut.

Apa lagi selepas ini, Ya Allah. Aku membuka helaian dairi seterusnya.

- Fia mahu berkahwin. Aku ingin menghalang. Aku cinta kamu, Fia. Aku mesti halang dia, aku lebih berhak. Aku mesti memberitahunya, tetapi…Fia telah membawa kad jemputan perkahwinannya. Bermakna Fia anggap aku tidak wujud, jadi aku berikan jaminan bahawa Hariz lelaki yang baik, dan Fia yakin akan kata-kataku. Kalau dia juga cintakan aku, mesti dia tidak memilih lelaki lain sebagai teman hidupnya.

Selepas itu aku tidak menemuinya lagi. Aku kembali ke kampung, mencari emak untuk meluahkan segala yang terpendam. Emak ikut menangis mendengar ceritaku. Emak kata, kalau sayang kena cakap, kalu tidak kita tak tahu orang itu sayang kita juga atau sebaliknya.Aku demam teruk, Fia. Aku kehilangan nyawaku, sebelum sempat Tuhan menjemputku. Kau bawa segala impianku selama bertahun-tahun bersamamu, Fia. Kalaulah aku berterus terang…-

Diari merah Qayyum yang telah lusuh itu semakin lencun dengan jejeran air mataku yang mengalir laju. Aku semakin tidak larat untuk bangun dari pangkin tersebut. Kakiku terasa kejang dan tidak boleh bergerak. Mungkin kesan tekanan perasaan yang menyerang secara tiba-tiba dan rasa terkejut yang teramat sangat selepas mengetahui isi hati sebenar seorang lelaki bernama Qayyum.

“Mak… mak…”

Sekuat tenaga aku menjerit memanggil emakku. Selepas itu aku lihat dunia menjadi berbalam-balam dan hitam.

***

“Abang, maafkan Fia. Fia tak tahu dia…”

“Abang faham Fia, abang dah baca semuanya. Jodoh ajal dan maut ketentuan Tuhan. Kalau Fia tahu, abang tak ada chance kahwin dengan Fia. Inilah takdir namanya.”

“Mana diari tu, bang?”

“Ada…abang simpan, untuk anak-anak kita. Bila dewasa, mereka akan faham semua ini. Jika suka kata suka, berterus terang lebih baik, kalau tidak menyesal di kemudian hari. Tak kisahlah orang itu membalas perasaan atau kasih sayang yang kita luahkan itu atau sebaliknya. Ini semua pengajaran untuk kita, Fia…” Hariz menuturkan kata-katanya dengan tenang.

Aku melemparkan senyuman tanda memahami maksud yang dituturkan oleh suamiku itu, sambil dia memeluk perutku dengan penuh kasih sayang.
Advertisement

2 comments:

  1. salam...baru jumpe blog ni....sdih sgt bace ksah fia n qayyum ni....smpai nangis....waaaa sdihnye...itulah takdir...

    ReplyDelete
  2. nice piece of writing keep it up

    ReplyDelete

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.