Now you can Subscribe using RSS

Submit your Email

Jul 17, 2009

CERPEN: SUDIKAH KAU, AZIZAH?

nur aynora
“Jaja, sudikah kau menjadi suri hidupku? Menjalani hari-hari yang susah dan senang bersamaku? Lautan api sama-sama kita renangi….”

“Hei! Qan… kau berlatih drama ya? Bila pementasannya. Aku tak tahu pun. Kau buat part time berlakon ke?” soal Dinzly bertalu-talu.

“Mana ada. Ini bukan latihan nak buat drama atau teater. Aku berlatih nak meminang Jaja lah beb! Sepupu kau tu…”

Ha! Ha! Ha! Dinzly tidak dapat menahan tawanya dari meledak begitu. Hatinya bagai digeletek mendengar luahan dari mulut Esqan. Ada hati nak meminang Jaja konon!

“Hello…pinang meminang bukan kerja kita, itu kerja orang tua. Kat negara kita ni penuh dengan adat dan tradisi melayu. Nak meminang anak orang tak boleh terjah macam tu aje. Ada step-step dia. Contohnya, merisik, meminang, bernikah, bersanding dan macam-macam lagi. Nantilah aku cari buku bab-bab nikah kahwin dengan adat melayu. Kau boleh baca buat panduan.”

“Bagus. Bagus. Thank you Dinzly. Kaulah sahabat aku yang paling rajin tolong aku. Nanti aku belanja makan, okey!”

“Kawan dengan kau ni buat aku makin gemuk. Kau suka rasuah aku dengan makanan. Lain kali tukarlah sikit, bagi duit ke…” Dinzly mengusik Esqan.

“No problem. Anything can do but you must help me this time. Teach me how to propose to Jaja completely, with full of passion…”

“Geli aku tengok gaya kau melentuk macam tu. Geli tau!”

Dinzly sudah tidak tahan melihat perangai Esqan yang berlebih-lebihan beraksi manja. Mereka ketawa bersama akhirnya sehingga terguling-guling di atas lantai.

“Aku ada cadangan.”

“About what? The proposal?” soal Esqan penuh minat setelah ketawa mereka reda.

“Kau propose dalam bahasa Arab. Dia kan fasih…lagi dia teruja, terus terima kau!”

“Dia yang fasih, aku pulak buta huruf bab-bab bahasa Arab ni. Aku kenal Alif, Baa, Taa…lepas tu tak habis belajar. Tak mahu aku. Buat malu aje.”

“Ya tak ya jugak! Nanti kaum lelaki satu Malaya malu. Tak boleh. Kena cari jalan lain.”

Mereka berdua terkebil-kebil memandang siling. Inilah masalahnya, mat saleh celup ni yang nak kahwin, aku pula yang pening. Bebel Dinzly di dalam hati. Dahulu masa bercinta pun begitu, aku juga yang jadi mangsa! Dah nasib badan dapat kawan macam ni…

“Yang nak kahwin kau atau aku?” soal Dinzly masih lagi merenung siling biliknya.

“Mestilah aku!”

“Hah! Kalau gitu kau fikir sendiri. Sia-sia aje aku perah otak untuk orang lain. Sekarang aku nak tidur, kau tenung siling tu sampai tembus ke langit. Nanti dapat lah idea…he…he…”

Esqan termangu-mangu melihat Dinzly yang telah berkalih ke atas tilam kerasnya. Tinggal satu semester sahaja lagi pengajian mereka akan tamat. Selepas ini dia berkira-kira mahu bekerja di pejabat ayahnya. Esqan membayangkan perjalanan hidupnya begitu mudah, tanpa perlu ada selok belok yang memeningkan kepala.

***

“Awak serius ke berkawan dengan Esqan tu, Jaja? Pernah keluar dengan dia tak? Jangan berkawan serius dengan orang lelaki sampai awak kenal betul hati budinya. Awak kena tahu asal usulnya, agamanya dan juga kekayaannya. Itu yang digariskan oleh junjungan besar Nabi kita. Yang lain-lain awak dah nampak, yang tersembunyi awak kena lihat dengan mata hati, lihat dengan iman, Jaja.”

Panjang lebar Nur Asyikin memberikan nasihat. Nur Asyikin sahabat sekursus dan sering bergandingan dengannya menghadiri pelbagai kelas fardu Ain selepas waktu kuliah. Jaja mendengar penuh khusyuk nasihat dari kawan baiknya itu. Sesekali dia membetulkan tudungnya yang dihembus angin petang.

“Terima kasih, Nur. Saya akan guna nasihat awak ini sampai bila-bila. Sekarang pun saya sedang menilainya dengan mata hati. Kami pun tak keluar berdua, biasanya kami ditemani oleh Dinzly. Dia nampak baik, menyenangkan. Lurus betul dia. Jarang-jarang saya tengok orang kita yang balik dari overseas macam dia. Saya dengan Dinzly sedang mencuba membimbingnya. Dinzly dengan caranya dan saya dengan cara saya. So far, Alhamdulillah…” balas Jaja tanpa berselindung.

“Tetapi kena ingat Jaja, setelah penat lelah dan usaha awak ini semua berhasil, sekiranya dia bukan jodoh awak, awak kena reda. Setidak-tidaknya awak telah membuat satu ibadah, satu kebajikan untuk orang lain.”

“Saya faham Nur. Niat saya sebenarnya nak tolong dia, dedahkan dia dengan ajaran Nabi kita, perasaan sayang yang timbul pula adalah satu anugerah. Takdir kemudian hari nanti, biar Tuhan tentukan. Sekarang ini kita lalui dengan reda. Biarlah yang baik-baik hendaknya takdir kita orang nanti.”

Nur Asyikin mengangkat tangan mengaminkan doa dan harapan yang diluahkan oleh Azizah. Lalu gadis berwajah lembut itu menghadiahkan senyuman tanda ucapan terima kasihnya. Mereka berhenti berbual apabila terpandang kelibat Ustazah Maimunah memasuki pintu surau itu.

***

“Eh Qan! Dah dapat idea belum? Kata nak propose cousin aku.”

“Aku buntu beb! Chance keluar berdua pun tak pernah dapat, ini pulak nak propose depan orang. Susah lah..kau ada idea?”

“Aku? Pun sama macam kau…buntu. Yang kau pun belum habis belajar kenapa rushing nak kahwin. Macam tak menyempat aje. Aku takut kau kena reject dengan emak bapak dia. Mana ada emak bapak nak lepaskan anak dia dengan orang tak bekerja macam kau. Cuba fikir lojik sikit, beb!”

“Betul kata kau tu. Tapi selagi belum kahwin, nak cuit dia sikit pun tak boleh. Dia asyik berstokin, lepas tu nak nampak kulit dia, punyalah susah!Aku ingat baju dia mesti berlapis-lapis. Betul tak Dinzly?”

Dinzly bantai tersenyum memanjang, nasib kaulah Esqan…

“Tapi kau jangan salah sangka. Aku ikhlas cintakan dia. Makin lama aku kenal dia, makin sayang aku padanya, Dinzly. Wanita macam ini yang pandai menghargai dirinya sendiri, tentu dia biasa menghargai orang lain. Tapi…kenapa kau tak macam dia?”

Hisy! Ke situ pulak soalan ‘mat saleh’ celup ni.

“Aku ini lelaki, Jaja tu perempuan. Takkan aku nak berselubung macam dia, sedangkan aurat lelaki dengan bukan muhrimnya ialah dari pusat hingga paras lututnya. Itu pun kau kena belajar, Qan. Nanti kita cari buku pasal aurat lelaki dan perempuan pulak, okey?”

“Banyak betul yang aku tak tahu, Dinzly. Aku rasa malu sangat dengan kau, dengan Jaja dan orang sekeliling aku. Nama aje aku ni orang Islam, tapi…”

Dinzly merenung Esqan yang seolah-olah berada jauh dari dunia nyata. Mindanya yang bercelaru mengundang mendung di wajahnya. Hilang sebentar celotehnya yang bertanya itu dan ini sebentar tadi.

“Islam atau bukan Islam terletak pada iman kita, Qan. Walau nama kau berbau Inggeris ke, nama Cina ke atau India, kau tetap seorang muslim kalau kau mengaku mengEsakanNya.”

Esqan mengangguk faham. Lama kelamaan dia mendapat sesuatu yang di cari-cari selama ini iaitu cahaya ketenangan.

“Kau nampak rock tapi…bab agama kau terror betul. Mana kau belajar semua ni, Dinzly. Salute betul aku kat kau.”

“Kita orang kat sini dari kecil dah masuk sekolah agama, paling tidak, habis sampai darjah enam. Kalau lulus, boleh masuk kelas khas. Jadi semua asas fardu ain memang dah biasa, amalan hari-hari.”

Sekali lagi Esqan terkedu. Begitu bangga dia mendengar penjelasan dari mulut rakannya itu.

“Dah habis kau tanya? Aku nak kira ni..”

“Kira apa pulak?” soal Esqan kehairanan.

“Aku nak bagi kau bil…consultant bil. Tak kan mulut berbuih free aje, mesti kena bayar. Penat beb! Kau pulak soal bertalu-talu. Fuh! Nasib baik boleh jawab…” jawab Dinzly selamba.

Esqan memukul Dinzly dengan buku ditangannya dengan sekuat tenaga kerana mengenakannya hari itu. Orang tengah khusyuk, dia boleh main-main pulak. Dia berhenti memukul apabila rakannya itu megaduh kesakitan dan mengangkat bendera putih.

“Ha! Jangan berhenti fikir macam mana nak propose cousin aku! Nanti melepas!”

Dinzly sudah menghilang ke dalam bilik air.

***

“Ayah, saya nak kahwin. Saya dah ada pilihan hati dan saya memang betul-betul cintakan dia, ayah.”

“Hm…baguslah. Kau dah ada wawasan. Kau dah pandai merancang masa depan. Nanti kalau dah bersedia, bagitahu ayah.”

Professor Harussaini merenung anak bujang satu-satunya dalam keluarga itu dengan lirikan senyum penuh makna. Surat khabar di tangan di letakkan di atas meja. Nampaknya perbincangan ini menarik, fikirnya.

“Kalau esok lusa, ayah? Boleh tak?”

Professor Harussaini ketawa terbahak-bahak mendengar kenyataan ikhlas yang keluar dari mulut anaknya itu.

“Esqan, I know you are so excited to get married to a girl you love. But in this country, you should attend to wedding courses, you must have the strongest financial background to support your daily activities and bla…bla…. We are not in that English country anymore which meaning if you are jobless, they will give you an allowance. I’m happy to hear that you have intention to get married or settledown, my son. But…let your study finish first, then find a suitable job. After that, my support are all for you.”

“But ayah…”

“Kamu mengingatkan zaman ayah bercinta dengan ibu kamu dulu. Sebelum pergi overseas, kami bernikah dahulu. Masa itu ayah dan ibu kamu baru berumur 19 tahun. Tetapi masa itu, cabaran tak banyak sangat macam sekarang. La ni…belum tentu kamu akan kahwin dengan orang yang kamu temui sekarang. Bercinta dengan orang lain, bertunang pulak dengan si polan dan kahwin pulak dengan si polan yang lain. For now, put extra effort on your final exam and more careful not playful! Okey!”

Selepas menuturkan nasihat tersebut, Prof. Harussaini menepuk-nepuk belakang anaknya. Esqan terdiam sejenak memikirkan sedalam-dalamnya nasihat yang diberikan itu. Jarang sekali ayahnya bercakap panjang lebar begitu.

***

“Aku kena postpone niat aku dulu lah beb! Kena study sampai habis and then fikir nak cari job. Maybe after working one or two years, then only I make my decision.”

“Aik, tak ada angin, tak ada ribut…kau tiba-tiba jadi other person. This is not Esqan yang aku kenal. Why my friend?”

“Kena berubah dan fikir positif dari sekarang lah beb! Aku nak face the challenges. Aku nak buktikan kepada Jaja yang aku ni bukan berangan kosong. Ayah aku kata, kalau nak kahwin kena ada kerja. So, dari saat ini aku nak berubah menjadi orang…”

“Ha! Ha! Ha! …aku tengok kau cukup sifat macam orang…” Dinzly ketawa kuat.

“Sebelum ini aku macam orang-orang…”

“Mana kau dapat perkataan tu. Kelakar lah kau ni.”

“Ayah aku yang bagitahu..”

“Kau tahu apa ke bendanya tu?”

Esqan menggeleng. Dia hanya meminjam kata-kata ayahnya.

“Orang-orang tu umpama benda yang pesawah gunakan untuk menakutkan burung atau binatang yang nak makan hasil tanaman mereka. Tapi dia ringan dan mudah rosak. Macam tak ada kekuatan, tak ada pendirian. Kadang-kadang binatang pun tak takut…”

“Oh! Patutlah…”

“Jadi mulai sekarang kita kena ikut resmi padi, makin tunduk makin berisi.” Selamba Dinzly menjawab.

“Patutlah Jaja jalan asyik tunduk aje, dia ikut resmi padi rupanya.” Esqan menyampuk pula.

“Pandai cakap, tahu maknanya tak?”

“Tak.”

“Kau ni kan…dah berapa tahun balik Malaysia, itu pun tak tahu.”

“Sorry beb! Yang straight forward aku tahu lah…itu yang kau cakap tu, apa benda? Kat sana mana ada main ini semua…”

“Hm…maksudnya Jaja tak suka kat kau! Sebab tu dia jalan tunduk aje.”

“Jangan nak tipu aku. Selalu kita keluar bertiga, dia senyum aje. Tak ada pun masam muka kat aku. Orang Inggeris kata kalau perempuan itu senyum tandanya suka, cinta…ada faham!”

“Hai, tercabar nampak. Takut si dia dikebas orang ke?”

“Seriuslah sikit, apa ke benda tu.”

“Maknanya…nanti kita pergi cari buku-buku pepatah lama, buku peribahasa. Nanti kau tahu banyak lagi maksud dan kiasan bangsa kita. Ada faham.”

Hish! Anti klimaks betul si Dinzly ni. Ada ke patut macam ini; Getus Esqan geram. Berkawan dengan Dinzly membawanya mengenali adat budaya bangsa melayu dan asas kehidupan sebagai muslim sebenar. Walau kadangkala Dinzly seperti tidak serius, tetapi sebenarnya dalam tidak sedar lelaki melayu itu banyak mengajarnya erti kehidupan.

***

“Mak cik boleh tolong simpankan Jaja untuk saya tak. Saya kena bagi masa untuk diri saya dalam membina kerjaya sebelum saya boleh meminang dia. Saya serius nak kahwin dengan dia, mak cik.”

Bersendirian bertemu dengan penjaga Azizah a.k.a Jaja iaitu ibu Dinzly tidak membuatkan Esqan kekok. Lagipun dia sudah selalu ke situ ketika hujung minggu. Setiap kali menjamah hidangan yang dimasak oleh Jaja, dia akan merasa bahagia dan bangga sekali, tidak tahu mengapa.

“Apa maksud kamu, Esqan? Mak cik tak faham.”

“Jangan terima kalau ada sesiapa nak pinang dia. Kira macam saya dah booked dia lah mak cik.” Ujar Esqan dengan ceria.

“Tak boleh macam tu, Esqan. Mak cik tak boleh selamanya nak simpan dia kat rumah ini. Dia pun ada hak untuk teruskan hidup. Lagipun tak lama lagi dia dah nak pergi…”

“Pergi mana mak cik? Saya tak tahu pun. Dinzly tak cakap pun. Dia nak ke mana mak cik?”

“Dia nak sambung belajar kat Mesir.”

“Apa? Mesir?”

“Bila tu mak cik?”

“Tawaran dah dapat. Sebaik habis final exam nanti dia dah kena ready lah tu…”

Esqan terduduk mendengar perkhabaran terbaru itu. Kurang asam punya kawan! Kau nak sorokkan dari aku ya! Geram betul dia dengan Dinzly yang menyimpan berita ini daripadanya.

***

“Kenapa awak nak pergi Mesir? Jauh sangat tu…macam mana saya nak jumpa awak nanti. Takkan empat tahun awak kat sana, saya kat sini. Merana saya nanti, Jaja.”

Dinzly yang duduk tidak jauh dari Jaja dan Esqan hanya tersengih. Teringat kejadian semalam ketika Esqan membelasahnya di bilik asrama kerana merahsiakan berita tersebut. Padahal dia sendiri tidak diberitahu! Dah nasib badan berkawan pula dengan orang yang tengah angau! Bisiknya kepada diri sendiri.

Jaja yang seperti biasa sopan menutup aurat, berstokin, berseluar longgar dan mengenakan blaus tebal separas lutut, sentiasa menguntum senyum ketika mendengar butir bicara dari mulut Esqan. Sekali pandang gayanya persis model muslimah dari Timur Tengah. Tambahan pula Jaja memang berdarah kacukan Arab di sebelah ayahnya.

“Tawakal Esqan. Kalau ada jodoh kita tak ke mana. Awak tak percaya pada Qada’ dan Qadar ke? Empat tahun bukannya lama.”

“Tak boleh jadi. Saya nak ikut awak ke Mesir.”

“Apa awak nak buat kat sana nanti. Nak kerja atau belajar? Kalau belajar kena tengok course..awak kena fasih bahasa Arab.”

‘Bahasa Arab? Itu musuh utama aku. Kalau belajar dari sekarang, alamat cuma hafal huruf jawi aje lah…eee tensionnya! Marah Esqan pada diri sendiri.

Dinzly tersenyum lagi melihat Esqan yang sudah menggaru-garu kepalanya. Mesti tension habis tu…

“Jaja, kita kahwin nak. Saya ikut awak ke Mesir bukan sebagai pelajar tetapi suami awak. Nak tak?” Esqan akhirnya berterus terang sahaja.

Jaja terkedu mendengar luahan Esqan yang amat berterus terang, manakala Dinzly di sebelahnya turut sama tercengang. Nak kahwin? Gila apa? Benak Dinzly berperang sendiri.

Esqan nyaris memegang bahu Jaja tetapi sempat mengundurkan tangannya. Dinzly hampir-hampir bertindak ke atas rakannya itu tetapi tidak jadi apabila Esqan juga tidak jadi hendak memegang Jaja. Fuh! Nasib baik. Kalau tidak aku debuk kau tadi! Gumam Dinzly dalam hati.

“Jaja, sudikah kah awak jadi suri hidup saya, memasak untuk saya dan susah senang dengan saya?”

Dinzly yang sedari tadi panas hati kembali senyum mendengar lamaran kedua kalinya daripada Esqan terhadap sepupunya, Jaja. Dia mencuri pandang kepada Jaja yang telah memerah pipinya dek malu mendengar luahan hati pemuda itu yang terlalu berterus terang.

“Ja, kalau suka cakap. Tak suka pun cakap. Apa diam aje…” usik Dinzly yang duduk tidak jauh darinya.

“Eh! Senang awak cakap. Tanyalah mak cik. Dia kan penjaga saya.” jawab Jaja kepada Dinzly.

“Bukan mak cik yang nak kahwin dengan Esqan ni, tapi awak. Esqan ni okey, cuma ada bab-bab tertentu awak kena bantu dia. Dia sayang sangat kat awak, Jaja. Tak ada satu hari hidup dia tak menyebut nama awak.”

Esqan tersenyum lebar apabila rahsianya dibongkar oleh Dinzly, rahsianya yang asyik angaukan Jaja.

“Nantilah saya fikirkan. Sekarang belum ada jawapan.” Ujar Jaja lembut.

“Sampai esok kalau masih tak ada jawapan, kira awak setujulah ya.” Pinta Esqan mengharap.

“Insya’Allah, malam ini saya beritahu.”

“Yess! Aku nak kahwin dengan Jaja.”

“Gelojoh benor kau ni! Malulah sikit dengan aku ni.” Usik Dinzly berseloroh.

“Excited beb!”

“Nanti kalau dah kahwin, kau yang jadi imam tau Qan, bukannya Jaja. Ingat tu.”

“Itu aku tahulah. Aku kan dah belajar dari kau.”

Jaja di sebelah ikut tertawa. Hatinya tersentuh melihatkan ketulusan dan kesungguhan lelaki itu mendekatinya, menyelami cara kehidupannya yang jauh berbeza daripada dunia sosialnya.

“Orang tua kau macam mana?”

“Entah! Nanti balik baru bincang. Paksa dia orang sponsored lah. Apa lagi…”

***

Selesai mengambil wuduk Esqan membentang sejadah untuk menunaikan solat Maghrib. Siang tadi selesai sudah majlis akad nikah antara dia dengan gadis idamannya, Azizah. Majlis ringkas itu dihadiri oleh sanak saudara, rakan-rakan rapat termasuk kedua ibu bapa Esqan yang akhirnya akur dengan kehendak anak bujangnya itu. Malangnya ibu bapa Azizah yang bekerja di kedutaan Malaysia di Berlin tidak dapat pulang menyaksikan perkahwinan anak perempuannya itu. Hanya telefon dan video conference menjadi penghubung mereka anak beranak.

“Allahuakbar!”

Esqan telah mengangkat takbir untuk menunaikan rukun Islam ke dua itu. Jaja yang baru melangkah masuk ke bilik mereka ketika itu terkejut menyaksikan cara Esqan bersolat.

“Awak…buat apa ni?”

Esqan yang diterpa oleh Jaja terkejut dan solatnya terhenti.

“Saya nak solat Maghrib.”

“Arah kiblat bukan ke situ, kena menghadap sebelah sana.”

“Ya ke? Kat rumah saya ikut arah pintu. Tak sama ke?” soal Esqan kembali.

“Rumah awak kat area Jelutong, sini kan dah kawasan Seremban. Arah kiblat tak sama mengikut tempat. Kena guna kompas kalau nak tentukan arahnya. Kenapa tak tanya saya dulu?”

Esqan tersengih malu. Hari pertama jadi suami dah buat salah. Apalah nasib badan…

Setelah usai solat Maghrib, Jaja mengangkat Al-Quran dan duduk di sebelah suaminya itu. Esqan tahu itu kitab suci al-Quran. Tiba-tiba jantungnya berdegup kencang bimbang jika Jaja memintanya membacakan ayat-ayat suci di dalamnya.

“Maaf awak, saya nak cakap dulu ni. Saya tak lancar baca al-Quran.”

“Tak apa. Saya faham. Saya nak ajar lah ni, awak kena ikut tau.”

“Ohh! Boleh….” Cepat Esqan menjawab.

Jaja melemparkan senyumannya untuk Esqan, lelaki yang telah sah bergelar suaminya. Dia berjanji kepada dirinya sendiri untuk menjadi muslimah yang baik terutamanya membimbing Esqan ke jalan hidup yang lebih baik.

nur aynora / Author & Editor

Mykarya.com adalah blog perkongsian e-novel, cerita korea dan drama melayu.

3 comments:

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Coprights @ 2016, Blogger Templates Designed By Templateism | Distributed By Gooyaabi Templates