Now you can Subscribe using RSS

Submit your Email

Jul 1, 2009

NOVEL: CINTA KAMELIA 16

nur aynora
Sepanjang hari minggu itu Kamelia menunggu kehadiran Ijol bagai menanti buah yang tidak gugur! Sudah beberapa kali dia terlelap dan terjaga semula sehingga malam menjemput tiba. Semua kerja yang dilakukan tidak menjadi hinggakan kakak iparnya asyik menjeling perlakuannya yang menyakitkan mata.

Begitu juga sewaktu di meja makan, nasi di pinggan ditenung umpama ianya boleh masuk ke mulut tanpa disuap. Abangnya yang menyedari akan hal tersebut setelah dimaklumkan oleh isterinya, menegur kelakuan Kamelia itu.

“Kau sakit ke, Mel? Gelisah aje abang tengok. Kalau sakit pergilah jumpa doktor.”

“Tak adalah bang. Saya okey aje, mana ada sakit.”

“Habis yang ditenung nasi tu, kenapa? Makan macam ayam berak kapur. Tersekat-sekat. Rimas abang tengok. Kakak kamu pun cakap, kamu asyik berkhayal masa tolong dia masak tadi. Ada masalah kat tempat kerja ke?” bersusun-susun soalan dari mulut abangnya.

Kamelia memandang kakak iparnya dengan wajah terkulat-kulat. ‘Busy body’ betul Kak Imah, asyik mengadu kerjanya. Namun omelan itu hanya terluah di dalam hati.

“Mana ada bang! Kak Imah tu pandai aje buat serkap jarang.”

“Jangan tipu, Mel. Abang pun tengok Melia dah macam orang lain.”

“Apa maksud abang?” soal Kamelia pantas.

“Macam apa tu orang cakap…sakit angau! Kut adik abang ni tengah dalam mood bercinta. Makan tak kenyang, tidur tak lena…cinta buatan siapa tu?” usik abang Imrannya tidak berputus asa.

Kamelia tidak tahu mahu membalas apa akan kata-kata usikan dari abangnya itu. Dia terus membawa pinggan ke sinki dan mencuci tangan. Abang dan kakaknya ketawa mengekeh melihatkan muka Kamelia yang merah padam. Malu lah tu…mungkin itu maksud tawa mereka.

***

‘Boringnya kalau hidup tanpa telefon. Macam mana aku boleh tertinggal telefon di pejabat.’

Seingat Kamelia pada petang Jumaat itu dia telah mengemaskan segala barang ke dalam beg tangannya. Kemudian dia menjawab telefon di meja sebelum masuk ke bilik Vice Presiden untuk berbincang tentang kawalan kewangan syarikat. Lebih kurang setengah jam kemudian dia keluar dan terus mencapai beg tangannya. Langsung tidak perasan bila masanya dia meletakkan telefon tersebut di dalam loker.

Apabila sampai di rumah barulah dia terperasan telefon bimbitnya tiada. Nasib baik dia sempat menelefon pejabatnya dan bercakap dengan Shila yang masih belum pulang. Dia meminta Shila menyimpankan telefonnya sehingga mereka bertemu di hari Isnin nanti.

Kesilapan terbesarnya adalah dia langsung tidak terfikir untuk menghafal nombor telefon Ijol. Akhirnya diri sendiri yang merana, seperti cacing kepanasan. Tetapi, apa pula alasan Ijol untuk tidak menemuinya?

‘Mungkin berjumpa dengan wanita lain?’
‘Mungkin Zureen menjadi penghalangnya?’
‘Adakah dia tidak sihat?’
‘Atau…mungkin dia terlibat dengan kemalangan?’

Segala kemungkinan membelenggu benak Kamelia, namun dia berdoa janganlah kejadian buruk menimpa Ijol, walau jauh di sudut hati dia menyimpan bebanan amarah yang bukan sedikit!

***

“Ini handphone Cik Melia, saya rasa baterinya dah habis. Saya pun tak perasan, tak buka handbeg pun masa kat rumah. Balik-balik aje anak dah merengek.”

“Tak apa, thanks sebab simpankan untuk saya. Tak tahu macam mana boleh terlupa bawa balik. Tapi saya yakin yang saya dah simpan dalam beg. Entahlah…”

“Dia ada kaki, kut…” usik Shila sambil tergelak.

Kamelia ikut tergelak mendengar usikan pembantunya itu. Dia segera mengecas telefonnya kerana ia alat perhubungan yang penting samada untuk tujuan personal ataupun kegunaan bidang kerjanya. Kadangkala pengarah syarikat akan menghubunginya untuk mengetahui perancangan unit kewangan di dalam tempoh tertentu.

Sebaik telefon bimbitnya diaktifkan, terdapat lebih 40 mesej belum dibaca, hampir 20 panggilan tidak berjawab dan ‘voicemail’nya juga hampir penuh. Kebanyakannya dari Ijol dan selebihnya dari ibunya.

Dia segera menelefon ibunya di Melaka bimbang sesuatu telah menimpa insan kesayangannya itu.

“Ibu call Melia kan. Maaflah bu, telefon tertinggal kat ofis. Naik kerja la ni baru Melia tahu ibu call. Ada apa hal, ibu?”

Kedengaran suara ibunya biasa sahaja, tidak sakit atau cemas bunyinya. Itupun sudah cukup membuatkan perasaan Kamelia menjadi lega.

“Ada orang hantar bunga kat Mel. Petang Jumaat dah sampai, ibu tak sempat nak call. Bila call hari Sabtu, tak dapat juga. Ibu ada call kat rumah abang Imran, masa tu Melia tidur. Jadi ibu ingat benda ni tak penting, ibu biarlah aje…”

‘Bunga? Dari siapa pula? Valentine ke? Dah lepas. Jangan-jangan salah hantar!’ Bisik Kamelia sendirian.

“Dari siapa ibu?”

“Nanti ibu bacakan namanya. Pelik aje bunyinya. Ijol…ke Kajol, tak kan Kojol kut, tak berapa jelas. Dakwatnya dah terkena air. Ada kawan kamu bunyi nama tu?”

Sebaik ibunya habis meneka-neka beberapa nama, Kamelia tergelak besar mendengarkan suara ibunya di corong telefon. Shila dan beberapa staf yang berdekatan dengan mejanya juga tertinjau-tinjau apa yang ditertawakan oleh Kamelia itu.

Kamelia masih menahan tawa dengan menutup mulutnya agar tidak kedengaran kuat. Dia merasa gelihati mendengarkan ibunya menyebut nama Ijol dengan pelbagai perkataan.

“Ibu…itu kawan Melia lah! Nama dia Ijol. Dia tulis apa ibu?”

“Ada ni… I’m sorry my dear. Siapa dia ni? Nama macam getah ojol aje. Tak berkenan betul ibu dengan nama budak-budak sekarang.”

“Ibu, nama aje buruk…tak glamour, tapi dia baik. Kawan Melia sejak sekolah menengah lagi.”

“Kamu berkawan jangan sebarangan, Melia. Jaga maruah diri kamu. Rasanya kamu tahu mana yang baik atau sebaliknya. Kalau dah ada yang berkenan, bawa jumpa ibu dengan ayah. Ingat tu.” Panjang lebar ibunya memesan.

Kamelia hanya tersenyum kelat mendengar nasihat ibunya dan setelah memberi salam dia mematikan talian. Kemudian, dia memeriksa setiap mesej yang dihantar oleh Ijol dengan hati yang berbelah bahagi antara rindu dan marah. Setelah membaca sebahagian mesej, baharulah dia tahu mengapa Ijol tidak dapat datang menemuinya. Rupa-rupanya Ijol terpaksa menghantar ibu dan bapanya melawat bapa Zureen yang ditimpa kemalangan. Memang sewajarnya anak lelaki mengutamakan keluarga dari sesiapa pun. Serta merta lenyap segala amarah dan dendam sebaliknya di dalam diam dia semakin mengagumi Ijol.

‘Nantilah aku call dia.’ Begitu Kamelia berfikiran memandangkan hari Isnin adalah hari yang cukup sibuk baginya.

Tidak lama kemudian Kamelia dan ketuanya menghadiri mesyuarat dengan pengarah dan pihak pengurusan atasan syarikat. Perbincangan demi meningkatkan prestasi syarikat sering diadakan dan memakan masa berberapa jam. Setelah selesai perbincangan mereka biasanya akan makan bersama-sama di hotel atau mana-mana restoran yang menghidangkan makanan tengahari yang lain dari kebiasaan.

Sewaktu hendak keluar bersama-sama dengan pengarah syarikat, Kamelia sempat menggamit Shila dan memaklumkan yang mereka tidak dapat makan bersama pada hari itu. Ketika melepasi pintu utama dia seperti perasan Shila melambai-lambai sambil menunjukkan telefon bimbitnya. Oleh kerana sudah kesuntukan masa dia mengisyaratkan agar Shila menyimpan sementara telefonnya.

“You nak order apa Melia? Masakan Itali kat sini semuanya sedap. Banyak juga yang I dah try. You nak cuba yang ini? Genovese Sos dengan Pasta. Okey, kita order sama-sama.” Qayyum yang merupakan Vice Presiden jabatannya seperti mengarahkan Kamelia mengikut seleranya.

Kamelia yang duduk bersebelahan dengan lelaki itu mengiyakan sahaja lagipun dia tidak berapa gemar dengan makanan Itali. Sesekali ketuanya itu mengajak berbual tentang topik yang diluar skop pekerjaannya, dan seperti biasa Kamelia malas melayani dengan bersungguh-sungguh. Sekadar berbasa basi.

“You main sukan apa? You minat bowling tak? Apa kata this weekend you join us to play this sport …” Qayyum secara tidak langsung mengajak Kamelia menyertai kumpulannya.

“I tak boleh. Ada family matter. Lagipun I tengah survey rumah, nak cari rumah sewa.”

Ops! Terlepas cakap mulut nih! Tak ada insurans betul! Rungut Kamelia kepada dirinya sendiri.

“You nak duduk sendiri ke? I think I know who want to rent their house, but…what is your budget? Double storey or single? Or you prefer condominium with large space?” pantas Qayyum memberi idea.

“Tak apa. I boleh cari sendiri. Lagipun I dah janji dengan Shila nak pergi dengan dia nanti. You tak payah susah-susahlah!” ujar Kamelia dengan suara yang diperlahankan kerana dia perasan sedari tadi tuan pengarahnya asyik menjeling.

Tanpa mengangkat muka, Kamelia menyuap makanan ke mulut. Walau makanan yang dipesan oleh Qayyum itu tidak kena dengan seleranya, di telan juga agar cepat selesai sesi makan tengahari itu. Saat ini dirasakan dirinya tidak berpijak di bumi nyata kerana beberapa pasang mata lelaki asyik memandang ke arahnya. Entah dari jabatan mana datangnya lelaki-lelaki miang ini!

***

“Huh! Lega aku dapat lari dari dia orang. Entah spesis apa macam tak pernah tengok orang!” bebel Kamelia kepada Shila.

“Cik Melia makan dengan dia orang semua? Memang cari nahas…dia orang tu memang macam tu. Dah tua buatlah cara orang tua, ini tidak…bukan Cik Melia saja yang kena. Semua perempuan cantik kat sini dia orang berebut-rebut nak pikat. Baik Cik Melia cepat-cepat kahwin.”

Kamelia ketawa mendengar cadangan mudah dari Shila agar terhindar dari gangguan lelaki-lelaki miang tersebut.

“Calonnya mana?” jawab Kamelia ringkas.

“Betul Cik Melia tak ada calon? Saya ada waiting list ni…”

“Saya bergurau aje. Tak mahulah orang punya waiting list. Saya pun ada!”

“Cik Melia orang cantik, mesti ramai berbaris nak berkenalan.”

“Mana ada. Saya bukan perempuan macam tu. Awak ni ke situ pulak.”

“Eh! Cik Melia…tadi saya terangkat call kat handphone. Yang call tu kata namanya Zulhariz. Itu ke calonnya?”

“Hah? Bila dia call? Apa dia tanya? Ada apa awak cakap saya ke mana?” suara Kamelia kedengaran cemas.

Shila pelik melihatkan tingkah ketuanya yang tiba-tiba berubah. Wajahnya kelihatan amat risau.

“Saya kata Cik Melia pergi makan dengan tuan pengarah. Silap ke?”

“Dia jawab apa?” desak Kamelia seakan tidak sabar.

“Dia tanya pengarah apa? So, saya katalah pengarah syarikat. Bila saya kata yang saya ni rakan sekerja Cik Melia, lagi dia terkejut. Saya salah cakap ke, Cik Melia? Maafkan saya kalau Cik Melia…”

Kamelia segera memotong.

“Habis saya Shila! Dia tak tahu saya dah bekerja. Memang saya nak inform dia, tapi belum masanya. Sekarang dia dah tahu. Mesti dia terasa! Kecil hati…”

“La…gitu rupanya. Mana saya tahu! Maafkan saya sekali lagi Cik Melia.”

“Tak apalah. Benda dah jadi.” Perlahan sahaja suara Kamelia menjawab.

***


“Aku bukan tak nak inform, tapi tak sempat. Semua kawan kita pun tak tahu.”

Klik!

‘Aik! Dia matikan telefon.’
‘Merajuk konon!’

“Dengar dulu aku nak cakap. Sekarang secara rasminya aku bagitahu yang aku dah kerja kat KL. Dekat sebulan dah…aku ingat bila dah confirm nanti aku nak buat surprise kat kau. Sekarang kau pulak surprise kan aku.”

Klik!

‘Ceh! Dia ‘off’ kan telefon lagi. Panjangnya merajuk. Buruk betul perangai orang lelaki kalau merajuk.’ Bebel Kamelia sambil merenung telefon bimbitnya.

“Hello sayang…you still there? Aku minta maaf okey…kau nak aku susun kata maaf tu berapa kali pun, aku sanggup. Tapi janganlah buat aku macam ni…”

“Panggil sekali lagi ayat yang awal tu…” akhirnya Ijol bersuara dengan suara yang ceria.

“Apa? Yang sayang tu?”

“Ha ah. Apa kata kau panggil aku ‘sayang’ mulai hari ini. Lembut sikit telinga aku dengar.”

“Tak sudi!”

“Apa kau cakap?”

“Tak nak!”

“Kau cakap sekali lagi…”

“Tak mahu!”

“Kau ni kalau cakap dengan aku macam cakap kat padang kawat. Cuba lembut sikit. Dulu memang kau garang, takkan dengan bakal suami pun masih nak garang lagi. Berlatih lah dari sekarang, tak lah lidah tu keras aje nanti.” Ijol mengekeh ketawa.

Kamelia terasa pula apabila Ijol mengungkit gelarannya ketika zaman persekolahan. Dia selalu kecil hati jika Ijol menggelarnya begitu. Keadaan menjadi sunyi tiba-tiba.

“Hello my dear…hello…”

“Ya.”

“My dear…nak merajuk pulak ke? Tak payahlah…kita ni pasangan veteran. Leceh kalau sana sini merajuk. Tadi abang acah aje tu…” lembut Ijol memujuk di hujung talian.

‘My dear? Abang? Wah! Perubahan drastik 360 darjah ni! Malunya nak mulakan…’

“My dear Melia…can we start all over again? From now onwards, call me abang, ABANG…okey?” Ijol mengeraskan suaranya ketika menyebut perkataan ‘abang’.

Di hujung talian Kamelia ketawa gelihati mendengarkan butir bicara yang keluar dari mulut Ijol. Tetapi, apa salahnya mencuba.

nur aynora / Author & Editor

Mykarya.com adalah blog perkongsian e-novel, cerita korea dan drama melayu.

1 comments:

  1. Citer ni best! Gd luck writers. Cepat la sambung...

    ReplyDelete

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Coprights @ 2016, Blogger Templates Designed By Templateism | Distributed By Gooyaabi Templates