Header Ads

NOVEL: CINTA KAMELIA 17

Kamelia telah berpindah ke rumah sewa yang berdekatan dengan tempat kerjanya. Dari sana dia akan mengambil teksi yang mengenakan tambang yang berpatutan dan tidak perlu lagi meminjam kereta abang Imrannya untuk ke tempat kerja. Jika wang simpanan sudah mencukupi, dia berkira-kira untuk membeli kereta sendiri bagi memudahkan urusannya sehari-hari.

“Beli MYVi pun okey, Cik Melia. Sesuai benar untuk gadis cantik macam Cik Melia.”
Cadang Shila pembantunya itu.

“Saya tak pasti lagi nak beli kereta apa Shila. Tengok bajet. Awak pun satu, janganlah asyik panggil saya gadis cantik. Nanti riak pulak saya…saya ni orang biasa macam awak juga. Tapi awak lebih berjaya dalam pencapaian peribadi kerana telah bersuami dan ada anak. Lengkap kehidupan awak sebagai seorang wanita. Syabas Shila.”

Shila tersenyum bangga dipuji begitu oleh ketuanya. Semakin bersemangat pula dia membuat kerja.

“Cik Melia…boyfriend Cik Melia dah okey?”

Kamelia tersenyum ceria menampakkan barisan giginya yang teratur cantik. Lesung pipit di pipi kirinya akan timbul jika dia tersenyum. Seorang wanita yang cukup sempurna pada rupa fizikalnya, tentu buah hatinya juga kacak. Ah! Sibuk pula aku fikir pasal orang lain. Shila tersenyum sendirian memikirkan teka teki di mindanya tentang bosnya yang masih solo itu.

“Hai! Senyum sendiri. Awak kutuk saya dalam diam ya?” sergah Kamelia kepada Shila.

“Mana ada.” Shila membalas ringkas dek terkejut disergah oleh Kamelia.

“Cik Melia dengan si dia dah okey? Saya dengar Cik Melia kata dia merajuk.”

“A..ah. Tapi saya dah slow talk dengan dia, at last dia faham. Lagipun kita orang dah tua bangka ni tak elok cemburu buta. Yang penting saya percaya dia, dan dia pun kena percaya pada saya juga.” Kamelia berterus terang.

Dia banyak berkongsi cerita dengan Shila kerana di dapati pembantunya itu seorang yang jujur dan banyak membantu. Tidak seperti rakan sepejabat yang lain, asyik memandang dengan sinis akan kehadirannya ke firma tersebut. Ada juga dia terdengar cerita di belakangnya yang mengatakan bahawa jawatan yang di sandangnya sekarang diperoleh dengan cara tidak sihat. Simpang Malaikat 44! Dia memohon agar dirinya dijauhkan daripada melakukan perkara-perkara yang di luar batasan agama.

Kamelia tersedar dari lamunan singkatnya ketika Shila menyikunya. Bibirnya di tunjukkan ke satu arah dan mata Kamelia mengikut arah yang ditunjukkan oleh Shila itu. Seketika matanya bertentangan dengan pandangan lembut si tuan pengarah dan faham yang bosnya itu mahu berjumpanya.

“Saya jumpa dia dulu. Tolong ambil pesanan kalau sesiapa call saya, Shila.”

Shila yang sudah faham rutin kerjanya mengangguk deras. Dia menyambung kerjanya yang tergendala sebentar tadi. Sesekali jika ada panggilan masuk untuk Kamelia dia akan mencatatnya di dalam sebuah diari. Memang itu kehendak Kamelia sendiri dan dia hanya menuruti sahaja.

Kamelia berasa kurang selesa berdua-duaan dengan pengarahnya yang masih muda di dalam bilik yang agak besar itu. Apa yang diperlukan sehingga mahu berjumpa denganku? Mengapa tidak berurusan terus dengan Qayyum yang juga ketuaku di jabatan ini? Aku ada buat silap ke? Hish…lambatnya dia nak cakap apa yang dia nak! Kamelia membuat pelbagai andaian sebab musabab dia dipanggil menghadap salah seorang bos syarikatnya itu.

Umur Datuk Jeffrey belum pun mencecah 40 tahun tetapi telah dianugerahkan gelaran Datuk disebabkan kerja keras dan semangatnya yang menaikkan nama dan prestasi syarikat ke tahap yang cukup membanggakan. Lelaki segak dan berpangkat begitu pasti memiliki isteri yang bijak dan cantik. Begitu Kamelia meneka-neka. Aku pun tak kisah, bukannya aku ada hati pada dia. Kamelia tersenyum sendirian sehingga menggamit pandangan Datuk Jeffrey yang mencuri pandang pada gadis tersebut.

“Ehem…”

Deheman Datuk Jeffrey menerbangkan lamunan singkatnya menyebabkan dia kelihatan gelabah sedikit diterjah begitu.

“Ya Datuk…”

“Syarikat akan menghantar pegawai kanan menjalani latihan untuk beberapa minggu mulai bulan depan. Saya mahu awak dan Qayyum dari jabatan kewangan turut serta. Ada beberapa orang pegawai lagi dari jabatan lain akan pergi sama. Mungkin kita akan pergi jauh sikit…maybe overseas.”

Luar negara? Entah-entah seberang tambak aje, tak lah jauh sangat…Kamelia membuat tekaan sendiri.

“Kita mungkin akan ke Bali atau Jakarta. Awak ada masalah untuk itu? Mungkin terpaksa berjauhan dengan orang tersayang untuk tempoh dua hingga tiga minggu. Mana tahu…”

“Kalau itu yang Datuk maksudkan, saya okey. Saya ni orang bujang, dihantar ke mana pun boleh Datuk.” Jawab Kamelia tegas.

Pada fikirannya dia harus menunjukkan sifat dedikasi kepada bosnya itu, jangan cepat menyerah kalah dan menerima secara terbuka arahan yang diberikan. Berfikiran jauh jika mahu menjadi seseorang, somebody! Itulah tekadnya.

“Bagus. Saya suka orang macam awak. Sepatutnya orang muda diluar sana mencontohi awak kalau mahu berjaya dalam hidup.”

“Datuk pun sama. Pasti Datuk telah menghadapi berbagai cabaran untuk sampai ke tahap ini. Saya kagum tengok Datuk.” luah Kamelia ikhlas.

Sebaik menghabiskan ayatnya baru dia terperasan yang Datuk tersebut sedang merenung dirinya penuh makna. Aku silapkah memujinya begitu? Apa nak buat, sudah terlajak kata…

“Disebabkan awak memuji saya begitu, saya nak belanja awak makan. Kita lunch together nanti…”

Ini arahan atau ajakan? Kamelia berasa menyesal pula bersifat sedikit personal sebentar tadi. Akhirnya dia yang terjebak ke kancah dilema. Lagipun, ianya tentu bakal mengundang spekulasi yang bukan-bukan daripada orang sekeliling terhadap dirinya.

“Boleh saya menolak, Datuk?” soal Kamelia perlahan.

“Kenapa? Awak sudah ada lunch date ke? Dengan siapa? Ops…saya dah macam inspektor polis pulak soal awak macam-macam. But for this time only, can you?” pohon Datuk Jeffrey seperti anak kecil lagaknya.

Tiba-tiba telefon bimbit Kamelia yang diselitkan di poket jaket hitamnya berbunyi. Tiba deringan ke tiga dia menjawab, itupun setelah Datuk Jeffrey memberi isyarat mengizinkan dia menjawab panggilan tersebut.

“Aku dalam bilik pengarah, ada discussion sikit. Nanti aku call balik.”

Ringkas dan perlahan sahaja Kamelia menjawab panggilan daripada Ijol. Bagai terbang di awangan segala perasaannya di buai oleh alunan suara Ijol. Tiba-tiba bayangan rindu datang menggamit ruang rasa sehingga memancarkan seri di wajahnya.

“Hah! Itu mesti seseorang yang istimewa. Kalau tidak takkan wajah awak nampak berseri-seri, aura orang sedang bercinta.” Usik Datuk Jeffrey.

“Tak adalah Datuk. Kawan biasa aje.” Dalih Kamelia.

“Kalau betul apa salahnya. Cuma, tak ada chance lah kita nak lunch bersama?”

Merajuk ke Datuk ni? Tak kan orang korporat yang disegani ramai nak merajuk dengan aku yang sekadar pegawai kanan sahaja. Kamelia membuat tafsirannya sendiri.


“Saya akan temankan Datuk lunch hari ini. Kita berdua sahaja ke Datuk?”

“Ya. Kita berdua sahaja.”

Kamelia mencari maksud pada wajah yang terpamer di hadapannya. Datuk Jeffrey melemparkan senyuman paling manis untuk pegawai di hadapannya. Mungkin ucapan terima kasih, fikir Kamelia sebelum meminta diri untuk meneruskan kerjanya.

***

Beberapa minit menjelang 12.00 tengahari, telefon bimbit Kamelia berdering. Sekali imbas nama Ijol terpapar di skrin.

“Assalamualaikum my dear…”

“Wa’alaikumussalam….”

“Tadi cakap bahasa apa? Kenapa berengkau, beraku dengan abang!”

“Tak biasa. Lidah ni tak tercakap. Mulut ni tak boleh nak sebut.”

“Buat latihan mulai sekarang. My dear dah makan?”

“Belum. Sekejap lagi nak keluar dengan bos. Dia ajak saya lunch.”

“Bos awak lelaki atau perempuan?”

“Pentingkah itu semua?”

“Memang penting bagi saya, my dear. Awak tu bakal isteri saya, ibu kepada anak-anak saya. Saya mesti ambil tahu dari sekarang. Esok lusa tak ada orang yang akan makan hati atau terasa hati.”

Amboi! Sedapnya cakap. Sampai ke situ pulak anganan dia! Omel Kamelia di dalam hati namun wajahnya direndai ceria. Kini mereka menggunakan gantinama ‘saya’ atau ‘awak’ agar kedengaran lebih lembut.

“Bos awak tu lelaki atau perempuan?” soal Ijol untuk kesekian kalinya.

“Lelaki. Dah kahwin agaknya. Dia takkan pandang orang macam saya, Ijol. Isterinya mungkin jauh lebih bergaya dan cantik daripada saya yang biasa ni.”

“Awak tu cantik giler pada pandangan mata saya. Bodohlah orang lelaki itu kalau tak jatuh hati pada awak. Pulak tu bijak, sopan…mesti sejuk hati mak saya bila jumpa awak nanti.”

“Ke situ pulak. Saya nak keluar sekejap lagi. Nanti saya call balik.”

“Jaga diri my dear. Jangan bagi bos awak tu cuit atau tercuit sikit pun tubuh badan awak. Ingat tu…saya jealous sebenarnya!”

Klik. Belum sempat Kamelia berkata apa-apa atau mengucap salam, Ijol telah terlebih dahulu memutuskan talian. Benar-benar cemburu nampaknya dia. Baguslah begitu, cemburu kan tandanya sayang…

Kamelia merenung skrin telefonnya tanpa berkelip. Kut-kut Ijol menelefonnya kembali. Sesaat dua tidak juga berdering lalu dia menyimpan telefon ke dalam poket jaketnya.
Tiba-tiba ada bunyi SMS masuk. Cepat-cepat Kamelia membuka peti mesejnya.

‘My dear, I really miss you. Tetiba nak keluar dengan orang lain. Frustnya hati ini. Ini keizinan pertama dan terakhir dari I. No more after this. Okey. I Love You, Kamelia.’

Kamelia tersenyum membaca mesej daripada Ijol. Semakin lama semakin romantis pulak ‘budak gila’ ni. Tanpa sedar Datuk Jeffrey telah sampai di hadapan pintu biliknya tanpa mengenakan kot seperti selalu. Dia kelihatan amat segak dengan kemeja berkolar lengan panjang dan seluar warna hitam. Tentu ramai gadis-gadis terpikat dengan gayanya yang cukup memikat itu.

“Shall we…”

“Okey.”

Beberapa pasang mata menjeling tajam tatkala melihat Kamelia dan Datuk Jeffrey beriringan keluar ke pintu utama. Mereka berbisik sesama sendiri selepas menyaksikan drama sebabak itu.

“Shila…nak ke mana tu?” tanya Qayyum yang masih berdiri di luar biliknya.

“Datuk ajak dia lunch. Kenapa? You nak ikut sekali? Baik cepat sikit. Nanti tertinggal kereta!” sindir Shila.

Qayyum hanya mendiamkan diri dan masuk semula ke biliknya.

***

“Apa yang kau menungkan tu? Macam ada masalah aje. Want to share with me…sharing is caring, man!”

“Entahlah Aini. Aku izinkan Melia keluar dengan lelaki lain. Sekarang aku pulak yang merana.”

“Jealous ke? You ada perasaan jealous ke. Tengok biasa aje…kau tak kisah pun aku keluar dengan mana-mana lelaki.” Usik Aini kepada ketuanya itu.

“Kau nak buat apa pun mana aku kisah. Kau tu bukan awek aku. Melia tu lain…hish! Tak boleh jadi ni. Aku nak kacau dia orang.”

Ijol mengambil telefon bimbitnya lalu cuba mendail nombor Kamelia. Sebentar kemudian dia memutuskan talian, tidak jadi menunaikan niat jahatnya itu.

“Hello bos, rileks lah. Cuba cerita dengan aku. Dia keluar dengan siapa?”

“Pengarah syarikat. Bos atasan dia…”

“Laa….memang patut pun. Dia ikut arahan, bukan sengaja nak menggatal. Kau yang berlebih-lebih. Dia okey tu, aku kenal dia lah, Ijol. Eh! Kau nak makan tak. Jom joint kita orang.”

“Aku tak ada selera. Kau jalan dulu. Nanti aku follow…”

Aini meninggalkan Ijol yang terkulat-kulat menahan rasa di dalam dada. Ini tak boleh jadi, mesti kena beritahu emak supaya masuk meminang. Apa nak jadi, jadilah!
Advertisement

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.