Header Ads

NOVEL: CINTA KAMELIA 18

Zureen meletakkan segala barangan yang di bawanya di tepi katil. Rasa penat yang melanda tidak terasa walau perjalanan dari KL ke JB memakan masa lebih kurang tiga jam. Kemudian dia mengambil teksi untuk ke rumah mak ciknya ini, iaitu emak Ijol. Ijol tidak dapat mengambilnya seperti selalu kerana lelaki itu sedang membuat persiapan majlis pertunangannya yang bakal berlangsung dalam masa terdekat ini. Entah mengapa, tiba-tiba seluruh urat sendinya terasa sengal di sana sini, bukan kerana kepenatan tetapi kerana perkhabaran yang di dengari. Ijol akan bertunang dengan Kamelia. Kamelia yang pernah ditemuinya tidak berapa lama dulu. Ah! Perempuan itu sentiasa menutup ruangnya untuk memikat hati Ijol semenjak dulu.Walau ketika wanita itu berada jauh nun di bumi Inggeris.Entah ilmu apa yang dia gunakan untuk menundukkan Ijol, sehingga setiap masa wajah comel itu terlayar di skrin komputer milik Ijol. Semakin benci dia pada Kamelia, makin sakit-sakit pula badannya. Rasa benci itu telah menular ke segenap ruang nafasnya!

“Zureen...Zureen...”

Pintu biliknya diketuk dari luar. Mungkin mak ciknya mahu mengajak minum petang bersama-sama.

“Saya.” Zureen menjawab dari dalam.

“Mari kita minum sama-sama. Mak cik ada buat kek pisang tu hah. Marilah. Nanti air dah sejuk tak sedap pulak.”

“Tak apalah mak cik, Zureen nak berehat dulu.”

“Nanti kalau dah hilang penat, keluarlah...”

Kedengaran tapak kaki mak ciknya telah menjauh. Zureen merebahkan badannya ke atas katil. Baju yang dipakai belum ditukar dan dia berasa malas untuk mandi. Yang difikirkan saat ini hanyalah untuk tidur dan melapangkan fikirannya.

'Dia tidak berhak ke atas Ijol! Aku yang lebih layak, aku yang lebih dahulu mendampinginya, aku yang selalu berada disamping lelaki itu kala susah dan senang. Bukankah dahulu Ijol selalu memanjakan dirinya? Ijol juga yang selalu mendukungnya sewaktu mereka bermain berama-sama. Kemanakah Ijol ku yang dahulu?'

Zureen merintih dalam hati, membayangkan masa-masa akan datang hidupnya tanpa Ijol. Pintu hatinya tidak pernah terbuka untuk menyayangi lelaki lain kecuali Ijol. Setelah memasuki kolej, lagilah rasa kasihnya bercambah kepada sepupunya itu, dan dalam diam-diam dia sebenarnya telah jatuh cinta pada Ijol. Tetapi...wanita itu selalu menang. Ijol sentiasa bercerita itu dan ini tentang wanita itu di hadapannya.

Arhg!! Zureen menumbuk bantal di sebelahnya. Masa semakin hampir untuk Ijol meninggalkannya.
Buat ketika ini, dia hanya mampu menjadi pemerhati kepada kebahagiaan orang lain.Zureen membiarkan sahaja hatinya lumat seribu dan harapannya hancur berkecai. Biarlah...dia pasrah dalam dendam!

***

“Cantik tak barang-barang yang abang beli untuk kak Mel. Cuba Zureen tengok hand beg ni, limited edition tau. Ada sepuluh aje yang macam ni. Abang nak bagi yang special aje untuk kak Mel.”

Ijol menunjukkan barang-barang yang dibelinya untuk hantaran kepada Kamelia. Zureen ikut membelek beg, kasut dan set wangian yang terhidang di depan mata. Dia mencuba kasut pula, padan betul dengan saiz kakinya.

“Abang Ijol...tengok ni. Kasut pun muat dengan kaki Zureen. Patut Zureen yang pakai kasut ini bukannya perempuan itu.” bebel Zureen.

“Perempuan mana?!” soal Ijol dengan nada yang sedikit tinggi.

“Ops! Sorry, Kak Melia...”

“Hah! Tahu pun. Lain kali don't addressed her like that! She is my wife-to-be. Zureen kena hormat kat dia, anggap dia macam kakak Zureen sendiri. Faham!”

“Okey.” Zureen menjawab perlahan namun jauh di sudut hati dia menyumpah-nyumpah.

Emak Ijol datang membawa dulang berisi minuman. Ayahnya pula asyik menonton siaran Buletin Utama. Setelah meletakkan dulang di atas meja, dia menyertai Ijol dan Zureen yang sedang membuka tanda harga pada barang-barang yang dibeli itu.

“Semua dah cukup, Ijol? Dah lah buat majlis terburu-buru. Kelam kabut emak dan ayah dibuatnya. Kamu macam takutkan sesuatu aje, Ijol. Kawan kamu itu ramai peminatnya ke? Macamlah dah tak ada hari lain, tunggu cuti sekolah ke, atau tangguhkan sebulan dua ke? Emak pun tak pernah jumpa dia.” emaknya membebel.

“Emak...bukannya apa. Saya dah lama kawan dengan dia, kira hubungan kita orang dah matang sangat ni...lagipun, ramai sangat yang nak masuk jarum, takut saya mak.”

“Kalau dah jodoh kamu, apa nak ditakutkan. Ini tidak! Entah elok tak budak itu, mana kita orang tahu, Ijol.”

Zureen di sebelahnya hanya mendengar, berharap Ijol menerima nasihat emaknya itu dan menangguhkan niat untuk bertunang dengan Kamelia. Namun Ijol sudah bersedia untuk membalas pendapat emaknya itu.

“Gambar yang emak selalu tengok kat komputer saya tu, dialah orangnya. Melia namanya, mak. Kan selalu saya tunjukkan gambar-gambar kawan saya yang kat UK tu, pun dialah orangnya. Emak kata berkenan sangat dengan dia, tak ingat?”

Emaknya hanya tersenyum. Ayahnya yang sedang menonton televisyen sesekali mencuri dengar tetapi tidak berapa ambil pusing, baginya Ijol sudah cukup dewasa untuk menentukan masa depannya sendiri.

“Nanti kamu nak ikut masa hantar rombongan, Zureen? Rasanya cukup kereta kalau kamu nak ikut.” mak ciknya mempelawa.

Zureen yang sedari tadi berkhayalan, tersentak sekejap apabila ditegur tiba-tiba oleh mak ciknya itu.

“A...a..tak tahu lagi mak cik. Kalau saya tak ada programme lain, saya ingat boleh juga saya pergi sana. Lagipun tak pernah sampai kat tempat tu, nak juga tengok kampung bakal kakak sepupu saya...”

“Eloklah tu.”

Ijol mengemaskan kembali barang yang dibeli dan diserahkan kepada emaknya untuk urusan membuat gubahan. Pada mulanya Kamelia terkejut mendengar Ijol mahu menghantar wakil masuk meminang tetapi setelah dijelaskan oleh Ijol yang majlis pertunangan mereka hanya diadakan serba ringkas, maka Kamelia setuju akhirnya.

“Cincin belum beli ke, Ijol?”

“Belum mak. Esok lusa saya carilah, lagipun saiznya belum dapat lagi dari Melia.”

“Ha...boleh ajak Zureen masa pergi beli nanti. Jari orang perempuan kan tak jauh bezanya.”

“Tengoklah nanti.” Ijol menjawab seadanya.

Zureen yang mendengar cadangan mak ciknya berasa amat gembira. Paling tidak Ijol boleh meminta pendapatnya tentang bentuk dan harga cincin pertunangannya nanti. Fikirannya membayangkan detik-detik dia menemankan Ijol nanti.

***

“Saya nak pergi bukannya lama, itu pun kerana urusan kerja. Takkan saya nak main-main pulak kat sana. Awak jangan risau. Saya dah besar panjang Ijol. Lagipun apa awak nak takutkan. Masa pergi nanti kan kita dah bertunang. Saya akan jadi tunang awak yang paling setia. Don't worry, ok.”

“Memang kita dah bertunang, tetapi itu tak menjanjikan bahawa awak tidak akan dipikat oleh sesiapa. Bukan jaminan yang awak pula tak terpikat dengan orang lain terutamanya bos awak tu. Mula-mula lunch date, lepas tu dinner date...after that, saya dah tak mahu fikir. Faham-faham sudahlah.” tegang benar suara Ijol ketika itu.

Kamelia hanya terdiam. Dia sebenarnya terasa dengan kata-kata Ijol sebentar tadi. Dia bukan wanita yang Ijol sangkakan. Dia ada harga diri yang perlu dihormati, ada maruah yang sentiasa dipelihara dan kini hatinya amat terasa sekali. Sanggup Ijol meluahkan kerisauan yang secara langsung mengguris perasaannya.

“Sayang...maafkan saya. Saya bukan bermaksud yang bukan-bukan. Saya amat risau sayang. Saya tak sanggup kehilangan awak, mungkin dulu ya, tapi bukan kali ini. Maafkan saya, sayang...”

Di hujung talian Kamelia hanya tersenyum pahit mendengar permohonan maaf dari Ijol. Dia memang seorang lelaki yang budiman, mungkin ramai peminat wanita, siapa tahu? Lelaki seperti itu memang pandai berlakon. Adakah Ijol juga seperti itu, berlakon sayangkan aku semata-mata menunjukkan ego, atau sayang kerana agenda tertentu? Oh Tuhan...tunjukkan aku jalan. Semakin dekat dengan hari pertunangan, mengapa pula hatiku berteka-teki terhadap Ijol? Tak mungkin...aku sayangkannya, dia sayangkan aku, takkan ada udang di sebalik batu?!

“Sayang...kenapa awak diam? Marah sangat ke pada saya? Tolonglah Melia, jangan diam aje, cakaplah sesuatu...” Ijol merayu.

Dia bimbang kalau Kamelia marah sehingga sanggup membatalkan pertunangan mereka nanti. Bukan itu yang diharapkannya.

“Lain kalau kalau nak telefon jangan cakap pasal orang lain, ok. Tak ada pasal kerja, tak ada pasal orang lain...pasal kita berdua aje.Saya tak mahu nanti kita bergaduh dan menyusahkan diri sendiri. Kita dah matang Ijol, bukan budak-budak. Kalau gaduh aje tak syok, hati makin sakit. Nanti tak pasal-pasal ada orang cemburu buta...” ejek Kamelia pada Ijol.

“Oh! Nak kenakan saya pulak ya! Tak apa...ada masa saya balas.”

“Awak dah beli cincin belum? Hujung minggu nanti jangan datang tangan kosong. Kalau tidak saya tolak pinangan awak...”

“Buatlah kalau berani...oh ya, apa saiz jari awak, sayang?”

“Tak pasti. Awak test aje kat jari sales girl kat kedai emas tu nanti...mesti muat punya.” ujar Kamelia ketawa.

“Ada ke macam itu, nanti dia ingat saya yang tunang dengan dia...melepas awak!”

“Aik! Cepatnya ulat bulu naik daun, pantang bagi chance...”

“Awak jelous ke?”

“Mana ada. Tak kuasa...”

“Kalau jealous cakap, karang nangis pulak cari langsir buat lap air mata ...”

“Saya bukannya macam awak. Jealous aje terus pinang saya, kalau marah entah macam mana agaknya tindakan awak.”

“Kalau marah terus kahwin. Buat tak tahu pulak!” Ijol membalas dengan ceria.

“Awak nak pergi dengan siapa nanti? Kalau saya ada kat sana kan best, kita boleh pergi sama-sama...”

“Emm...emak suruh pergi dengan Zureen. Saya pun tak nak, tapi emak kata mungkin saiz jari awak sama dengan Zureen...jadi saya 'on' aje.”

“Amboi...dia keluar dengan perempuan lain, boleh. Kalau kita nak pergi makan dengan bos bukan main jealous orang tu!” sindir Kamelia.

“Kes awak lain, kes saya lain. Saya keluar sebab nak belikan cincin tunang kita, bukan sengaja nak kenyangkan perut.” jawab Ijol dengan nada yang sama dengan Kamelia.

“Awak balas kat saya ya?” soal Kamelia pula.

“Ha! Tengok tu, awak mudah syak yang bukan-bukan. Saya cuma nyatakan kebenarannya. Bukan nak balas apa yang awak buat. Lagipun saya tak takut, sebab saya pasti bos awak tak dapat kalahkan saya. Saya kan lebih macho...lebih caring, lebih sayang awak...” Ijol ketawa mengekeh.

“Jangan over confident. Mana awak tahu bos saya tak macho? Tak caring?” soal Kamelia ikut tertawa.

“Saya tahulah...sebab itu awak pilih saya.”

“Bukan saya yang pilih awak, awak yang paksa saya untuk pilih awak, Ijol.”

“Dah mula dah...tak mahulah gaduh-gaduh. Kita jauh, kalau saya merajuk sapa nak pujuk? Alamat tidur gigit jarilah saya...Melia.”

“Tahu tak apa! Tapi, Zureen kan ada!”

“Tengok tu, nak mula lagi...saya sayang awak Melia, dari dulu lagi. Bukan Ijol namanya kalau tak dapat kahwin dengan awak. Saya nak tunang dengan awak, kahwin dengan awak dan mendapat zuriat daripada awak. Kalau saya terlupa, awak kena ingatkan. Okey.”

“Entahlah Ijol...”

“Aik! Macam orang frust aje bunyinya. Cerialah sikit sayang...”

Berbual dengan Ijol membuatkan Kamelia berasa damai dan lapang walaupun perbualan dengan Ijol sering diselang selikan dengan sesi usik mengusik. Terutamanya Ijol yang mewarisi kenakalannya sejak dari zaman sekolah menengah lagi. Namun yang pasti, lelaki itu pandai memujuk dan menggunakan diplomasi dalam menyelesaikan setiap perbalahan antara mereka.

“Selamat malam sayang...peluk saya sikit.”

“Gatal!Belum halal lagi mana boleh peluk-peluk...selamat malam sayang, bye!”

Kamelia segera memutuskan talian bimbang Ijol melalut mengatakan yang bukan-bukan. Di hujung malam dia tersenyum sendirian. Tak sabar rasanya untuk bergelar tunangan Ijol.

***

Petang itu Ijol membawa Zureen menemankannya pergi ke Habib Jewels untuk membeli cincin. Berkali-kali emaknya mengingatkan agar jangan tersalah saiz kerana keesokan harinya majlis pertunangan bakal berlangsung.

“Zureen rasa yang ini cantik sikit abang Ijol. Yang tadi tu besar sangat. Cincin tunang biasanya yang simple aje, kalau dah kahwin baru beli yang mahal sikit. Lagipun, cuma majlis bertunang aje kan...buat apa beli mahal-mahal!” selamba sahaja Zureen memberikan pendapatnya.

“Ini bukan pasal tunang atau kahwin, tapi abang dah niat nak bagi yang terbaik untuk kak Melia. Walau berapa nilainya, abang sanggup bayar.”

“Walau bergadai nyawa?”

“Sure, sebab dia sangat istimewa bagi abang. Dia baik hati, memahami, matang...dia pun wanita yang cantik luar dalam...”

Zureen mencebik mendengar luahan hati Ijol terhadap Kamelia. Bukan sekali dua lelaki itu memuji, malahan sudah naik muak dia mendengar frasa yang sama keluar dari mulut Ijol. Entah apa perempuan itu guna-gunakan sepupunya itu, dia tidak pasti. Hinggakan begitu mendalam rasa kasih sayang lelaki itu kepada musuhnya itu.

“Mana abang Ijol tahu dalamnya pun cantik? Dah test ke?” ejek Zureen tidak puas hati.

“Sampai ke situ pulak fikiran Zureen. Dia tak macam Zureen lah, dia wanita yang tulus dan jujur. Dari air muka dia aje orang dah tahu.”

“Zureen tak rasa pun. Zureen tengok dia macam perempuan lain yang mengejar lelaki berduit, lelaki kaya...dan berjawatan.” kata-kata Zureen makin menyakitkan hati.

“Kalau nak kutuk orang cermin diri tu dulu. Buat apa dia nak kejar abang hanya kerana duit, nama...dan sebagainya. Gaji dia pun lebih kurang sama dengan abang. Zureen tu yang kena berhati-hati...jangan nanti pilih teman hidup kerana gajinya, silap haribulan gigit jari!” balas Ijol tegas.

Mereka berhenti bertekak apabila jurujual kedai emas itu mengeluarkan dua kotak cincin untuk untuk di pilih. Dengan muka yang mencuka, Zureen mencuba kedua-duanya atas arahan Ijol. Setelah puas hati dengan salah satu pilihan, Ijol pun membayar harga cincin tersebut. Baginya harga bukan ukuran tetapi nilai sentimental pemberian itu dengan disertai niat yang ikhlas yang lebih memberi seribu erti. Tidak sabar rasanya untuk melihat cincin itu bertukar tangan.

***

“Aku geram betul masa keluar dengan dia tadi. Langsung dia tak endahkan aku. Asyik cerita itu ini pasal buah hati dia tu. Bukannya lawa mana pun perempuan itu. Menyampah aku tengok! Kalau kat komputer dia penuh dengan gambar pompuan itu aje...dah lah tu, pagi petang siang malam dok melayan gambar-gambar dia. Angau!”

“Yang engkau jealous semacam wat apa? Aku tengok pompuan itu okey aje, cantik, lebih cantik dari kau. Aku tahulah kau frust sebab dia tak layan engkau...tapi Zureen, kumbang bukan seekor, merata-rata! Warna warni pulak tu. Kau pilih aje yang kau suka.”

“Kau memang tak fahamlah Sally, aku hanya cintakan dia sorang! Dari dulu lagi...dia yang tak faham-faham.”luah Zureen pada Sally, rakan baiknya.

“Ala Zureen, orang dah tak nak, buat apa nak peningkan kepala. Buat sakit jiwa aje. Lebih baik kau ikut aku pergi tengok wayang, makan-makan kemudian lepak-lepak. Habis cerita.” saran Sally kepada Zureen.

“Bila? Bolehlah aku joint. Kau datanglah ambil aku.”

“Kau tunggu. Setengah jam lagi aku sampai. Life must go on, friend!” ujar Sally mengakhiri perbualan mereka.

***

“Nak ke mana Zureen? Dah malam macam ni. Mak cik tahu tak Zureen nak keluar?” tegur Ijol yang baru keluar dari dapur.

Dia mengekor Zureen ke pintu depan sambil di tangannya memegang segelas jus oren. Sekilas di lihat jam di dinding. Hampir mencecah sembilan malam.

Zureen langsung tidak mengendahkan teguran dari Ijol, malah sengaja dia menunjukkan penampilannya yang terdedah di sana sini.Baginya itulah pakaian yang sesuai dengan dirinya yang masih remaja.

“Apasal pakai baju macam tu? Dah tak ada baju lain lagi sampai pakaian yang macam tu Zureen pakai. Pergi tukar sekarang!”

“Tak nak. Dak lambat ni, kejap lagi kawan Zureen sampai.”

“Pergi tukar abang cakap. Awak tu sekolah agama, ambil jurusan pun yang berkaitan, tapi praktikal tak ada. Habis terbang semua tudung entah ke mana. Kalau balik kampung pandai pulak pakai tudung. Menutup aurat tu wajib hukumnya Zureen, tentu awak lebih arif dari abang.” tegang sahaja suara Ijol bunyinya.

Bunyi hon kereta kedengaran di luar rumah. Tanpa mengendahkan suruhan Ijol sebentar tadi, Zureen meluru keluar mendapatkan Sally yang memandu kancil berwarna hitam.Ijol memerhatikan Zureen hilang di dalam perut kereta kancil itu tanpa sempat berbuat apa-apa. Dia lupa mengingatkan Zureen yang esok pagi mereka akan berangkat ke Melaka seawal jam lapan pagi.

***

Menjelang lapan pagi bayang Zureen tidak kelihatan. Berkali-kali pintu biliknya di ketuk tetapi tidak berjawab. Ijol memanggil emaknya meminta memeriksa bilik Zureen, didapati biliknya kosong tidak berpenghuni.

“Macam mana ni mak, nak tinggal aje ke? Saya call handphone dia pun tak berangkat. Saya dah larang dia keluar malam tadi, tapi degil. Melawan pulak tu. Lain benar perangainya sekarang ni!” Ijol memberitahu emaknya.

“Biar aje lah Ijol, kita cuma penjaga dia. Emak bapak dia pun tak marah, kita aje yang berlebih-lebih. Nanti di katanya kita sibuk jaga tepi kain orang.” balas emaknya yang telah berpakaian cantik.

“Emak...bukan apa, saya rasa kita patut bagi dia nasihat. Dia tu perempuan, kalau jadi apa-apa pada dia kita juga yang kena. La ni makin melampau perangainya. Patutnya dia tahu keluarga harapkan dia untuk bantu mereka. Saya tengok dia macam dah tak minat belajar. Entah apa yang dia buat kat KL pun kita tak tahu. Esok lusa belajar ke mana, dia entah ke mana. Siapa yang susah mak? Siapa nak ganti duit pinjaman dia, kena denda lagi...macam-macam tindakan dikenakan nanti.”

“Dah siap? Eh! Nape masih tercegat lagi Ijol? Semua orang dah tunggu kat luar, nanti lewat sampai.” abahnya tiba-tiba mencelah, entah dari mana.

“Zureen ayah?” soal Ijol.

“Tinggal aje, dah lewat ni. Jomlah...” jawab abahnya.

Mereka bergerak meninggalkan kawasan perumahan itu tepat jam 8.30 pagi. Namun Ijol merasa tidak sedap hati dan dadanya terasa berdebar-debar. Sebelum pergi tadi dia telah memeriksa semua barang yang hendak dibawa dan semuanya lengkap.Debaran dadanya masih tidak berhenti walau telah berkali-kali dia meneguk air mineral yang dibawa.

“Napa kau gelisah aje, Ijol? Ada barang tertinggal ke? Kamu dah check semuanya tadi kan? Tahulah nak minang anak orang, cuba bertenang. Apa kamu takut dia tolak pinangan kamu ke?” soal emaknya bertubi-tubi.

“Tak ada lah mak. Saya okey.”

“Muka kamu tu berpeluh dalam air-cond, pelik tu.”

“Entah. Dari tadi saya rasa tak sedap hati. Tak tahu kenapa...”

“Gemuruh...” usik ayahnya yang sedari tadi hanya mendengar.

“Bukan ayah. Satu perasaan yang lain, tak pasti apa.” ujar Ijol.

Mereka berkonvoi empat kereta sahaja. Lagipun majlis yang bakal diadakan sekadar menjemput saudara terdekat memandangkan ia dirancang dengan terburu-buru oleh Ijol. Pada mulanya keluarga Kamelia meminta agar majlis tersebut ditangguhkan, tetapi Ijol menolak dengan alasan mereka sudah terlalu lama berkawan, bimbang jika ditunda terus tidak menjadi. Padahal sebenarnya Ijol bimbang terhadap keadaan sekeliling, takut ancaman dari luar terhadap perhubungannya dengan Kamelia.

“Nanti kita berhenti kejap kat Pagoh, bah...”

“Boleh.”

Mereka berhenti rehat dan bersarapan di Hentian Rehat Pagoh. Keadaan di kawasan tersebut tidaklah terlalu sibuk memandangkan waktu masih pagi lagi. Ijol mengambil kesempatan membasahkan mukanya demi menghilangkan debaran yang tak putus-putus di sudut hatinya.

Dia mengambil telefon dan mendail nombor Kamelia.

“Sayang dah siap? Awak pakai baju apa nanti? MMS pada saya...”

“Nanti kan awak boleh tengok, sabarlah sikit.”

“Saya rasa tak sedap hatilah, Melia. Awak okey kan? Saya rasa macam ada yang tak kena...”

“Mungkin perasaan awak aje. Saya okey, sihat ni hah. Ibu tengah touch up sikit gubahan, ada aje yang tak kena pada dia, padahal benda kecil aje. Awak kat mana ni?”

“Dah sampai Pagoh, ingat nanti kalau sampai awal nak rehat sekejap kat hotel.”

“Ijol...dah check semua barang awak? Dah bawa semua? Mana tau kut-kut cincin tertinggal.” usik Kamelia ceria.

Tiba-tiba hati Ijol terdetik untuk membuka bonet keretanya di mana dia memasukkan semua barang hantarannya tadi.

“Okeylah sayang, nanti kita jumpa. Bye!”

Ijol bergerak ke bonet keretanya dan sekali pandang semua benda ada di situ. Tepak sirih, gubahan-gubahan yang lain dan juga kotak indah yang berisi cincin untuk Kamelia. Semuanya ada. Entah mengapa tangannya tergerak untuk membuka kotak cincin tersebut. Alangkah terkejutnya Ijol apabila didapati kotak baldu itu kosong! Jantungnya seakan berhenti seketika dan Ijol merasakan dia mahu pitam.
Advertisement

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.