Now you can Subscribe using RSS

Submit your Email

Jul 29, 2009

NOVEL: SELAMAT TINGGAL KEKASIH 3

nur aynora
Hary memarkir Honda Accordnya di petak letak kereta dan mereka bertiga berjalan beriringan masuk ke Restoran Mak Jah yang menghidangkan makanan tengahari dengan lauk pauk yang beraneka jenis. Sebelum ini telah beberapa kali Hary makan di restoran tersebut bersama rakan-rakan sekerja. Lagipun lokasinya amat strategik iaitu terletak di tengah-tengah antara rumah dan tempat kerjanya.

“Hary nak makan apa?” Insyirah bertanya lembut kepada suaminya.

“Saya makan apa yang Syirah pilihkan, saya tak cerewet sayang…” Hary membalas lembut.

Insyirah bangun menuju ke tempat lauk pauk diletakkan. Ada berbagai jenis lauk dan ulaman yang disediakan, hinggakan dia naik pusing untuk memilih lauk yang enak untuk suaminya. Dia teragak-agak untuk mengambil sotong sambal, iaitu lauk kegemaran suaminya ataupun mengikut cita rasanya yang lebih menggemari lauk berasaskan kari. Huh! Apa nak pilih ni?

Tiba-tiba TJ telah meletakkan ikan jahan dimasak kari ke dalam pinggannya dan juga Hary. Dia menceduk kangkung belacan dan membuat aksi yang serupa seperti tadi. Insyirah menahan nafas dalam-dalam kerana geram diperlakukan begitu oleh TJ. Apa kata Hary nanti sekiranya dia ternampak perbuatan TJ itu? Pandai-pandai aje nak tentukan apa orang nak makan…

“Buat apa tercegat kat situ? Kan you suka makanan berasaskan kari, sebab itu I ambilkan untuk you, sama macam I. You dah lupa?” bisik TJ rapat di telinganya.

Insyirah terkejut TJ memperlakukan dirinya sebegitu di kawasan awam. Mukanya merah padam menahan malu tetapi dia harus berlakon seperti tiada apa-apa berlaku di hadapan Hary.

“Hmm…Syirah tahu saya nak makan lauk kari hari ini ya. Pandailah awak…selalu sangat makan sambal sotong, boring pulak. Nak juga cuba menu lain. Not bad…sedap.” Puji Hary setelah menyuap makanan ke mulutnya.

“Terima kasih Hary.” Jawab Insyirah perlahan.

“Hei, sepatutnya complimentary tu untuk aku, Hary. Aku yang ambilkan, kalau tidak dia tercegat aje kat situ…tak tahu nak makan apa. Agaknya semua lauk dia suka.” Usik TJ memecah kesunyian.

“Ya ke bang? Tak pernah pulak Syirah macam tu sebelum ni…”

TJ hanya ketawa mendengar komen daripada Hary. Dada Insyirah bagai dihimpit batu besar tiba-tiba, sesak nafasnya mendengarkan usikan TJ itu. Janganlah dia menambah yang bukan-bukan, bisiknya.

“Abang bila nak start kerja? Tak boring ke lepak kat rumah aje…kalau nak saya boleh rekomenkan kat tempat kerja saya.” usul Hary.

“Not now…aku nak rileks dulu, cuci mata…buat terapi minda sikit. Balik sini macam-macam kejutan buat aku. Kau kahwin pun ekspress, macam ada apa-apa aje. Patutnya tunggu aku, kalau tak pun, hantar telegram…bukan aku tak boleh balik.”

Hary dan Insyirah berpandangan seketika sebelum mata masing-masing tunduk memandang pinggan yang masih berbaki. Hary mencapai tangan isterinya demi memberikan sokongan, bimbang TJ meradang dan menengking sepertimana mama dan papanya.

TJ meluat melihat gelagat Hary dan Insyirah. Sengaja dia mengajak mereka berbual tentang perkahwinan ekspress itu tetapi tiada respon daripada kedua-duanya. Hatinya pula yang sakit melihatkan kemesraan suami isteri itu. Sepatutnya dia yang memegang dan membelai lembut jemari Insyirah, bukannya Hary.

“Kau tak nak cerita rahsia itu?”

“Rahsia apa bang? Apa yang abang nak tahu sangat? Tak ada apa-apa yang kami rahsiakan…semuanya berjalan secara sah, bukannya illegal!” tegas Hary membalas soalan dari TJ itu.

“Oh! Kau fahamlah maksud abang? Ingat tak faham tadi…” sindir TJ kepada Hary sambil matanya melirik kepada Insyirah.

Dia tidak berpuas hati selagi tidak menemui kebenaran. Kebenaran disebalik semua yang terjadi, apa sebenarnya yang menyebabkan Insyirah berkahwin dengan Hary? Mengapa papa dan mamanya begitu membenci Insyirah? Sehingga sekarang, belum pernah dia terserempak mereka makan semeja. Belum pernah papa dan mamanya menonton bersama dengan Insyirah di ruang tamu rumah mereka. Apa yang terjadi sebenarnya?

“Saya nak balik ofis ni bang. Abang dah siap ke belum makan tu?” Hary mengejutkan lamunan singkat TJ.

“Aku balik nanti. Kau jalan dulu lah…”

“Saya dah bayarkan makanan abang. Saya hantar Syirah balik dulu bang.”

TJ memerhati Hary dan Insyirah berjalan ke kereta. Sepanjang masa tangan Hary sentiasa mengenggam tangan Insyirah. Apakah ini semua lakonan atau keikhlasan? Jujurkah perasaan mereka, mana tahu insyirah dipaksa. Fikirannya menerawang untuk merencana pertemuan sulit dengan Insyirah nanti. Dia pasti dengan cara itu dia dapat mengetahui isi hati sebenar Insyirah.

***

“Syirah takutlah tengok TJ tu, tindakan dia tiba-tiba aje. Tak pasal-pasal selera makan hilang. Dari lapar jadi tak lapar. Kenapa dengan TJ tu, Hary? Macam dah kena rasuk Syirah tengok. Pulak tu Syirah selalu sorang-sorang kat rumah dengan dia, lagilah seram dibuatnya.”

“Syirah jangan takut, abang TJ baik orangnya. Saya dah kenal dia berpuluh tahun, Syirah. Memang nampak luarannya dia seorang yang kasar tapi hatinya lembut, sangat sensitif. Dulu dia tak lah macam ni. Kami sangat rapat sebelum dia pergi overseas. Tak tahu pulak sejak balik ni, perangai dia berubah. Syak orang yang bukan-bukan.”

“Hm…Syirah nak tanya Hary sikit, boleh?”

“Tentang apa?” soal Hary kembali sambil matanya memandang ke hadapan.

Jalanraya pada waktu tengahari begitu tidaklah sibuk sangat. Hary memandu dengan kadar kelajuan yang normal, tidak terburu-buru.

“TJ tak ada girlfriend ke?”

Hary hanya membalas pertanyaan Syirah dengan ketawa panjang. Bukan melucukan hatinya pertanyaan daripada Syirah itu tetapi ingatannya terus diterpa kenangan sewaktu TJ dilamun cinta. Ketika TJ belum pergi ke luar negara. TJ selalu berkongsi dengannya berkenaan teman istimewanya. TJ sering meluahkan kegembiraan kepadanya, jika bergaduh atau merajuk pun Hary akan tahu.

“Ada. Dulu sebelum dia pergi luar negara selalu dia ceritakan tentang awek dia. Macam-macam dia cerita. Tapi sampai sekarang saya tak pernah tahu siapa namanya, macam mana rupanya. Sebab dia tak pernah tunjuk gambar awek dia pada saya.”

“Tak pernh? Kenapa?”

“Dia pernah cakap yang awek dia tu tak ada emak bapak, anak yatim piatu. Yang saya tahu mama dan papa tak suka abang TJ kahwin dengan orang biasa. Dia nak abang kahwin dengan anak Tan Sri Zainulariffin, kawan papa.”

Oh! Tapi mengapa dulu TJ merahsiakan ini semua daripadaku? Soalnya kepada diri sendiri.

“Dia tak setuju sebab itu dia lari ke luar negara. Sambung belajar.” Hary terus bercerita.

“Girlfriend dia sekarang macam mana?”

“Entah. Dia tak ada sibuk-sibuk nak cari pun.”

“Mana Hary tahu dia tak cari?” soal Insyirah semakin berdebar-debar hatinya.

“Kalau dia cari, mesti dia cakap dengan saya. Lagipun Syirah kan ada…itu yang dia tak terasa sangat kut.”

“Apa kaitannya dengan Syirah? Merepeklah Hary ni.”

“Saja saya usik Syirah. Habis muka merah padam.”

“Hary!” Insyirah mencubit peha suaminya.

Begitu rupanya. Ini bermakna Hary tidak tahu langsung siapa aku sebenarnya. Lebih baik begitu, dan biarlah rahsia ini terus menjadi rahsia. Pinta Insyirah di dalam hati. Namun jauh di sudut hati, Insyirah berasa was-was. Seluruh badannya berasa panas tiba-tiba. Bagaimana jika mama dan papanya tahu. Pasti aku akan dibunuhnya hidup-hidup! Tentu sekarang ini papa dan mamanya tidak berdiam diri sahaja, tentu sekarang mereka sedang mencari dan menggeledah sejarah hidupnya. Ya Tuhan, Kau selamatkanlah aku…

***

Insyirah meninjau sekeliling rumah kebajikan itu, keadaannya tidak banyak berubah. Masih sama ketika dia meninggalkannya beberapa tahun dulu. Kerusi panjang yang diletakkan di bawah pohok rambutan yang rendang juga masih ada di situ. Cuma kayunya sudah kehitaman dan nampak kotor. Mungkin kesan hujan dan panas yang silih berganti saban hari menjadikannya begitu.

Perlahan-lahan Insyirah melabuhkan punggungnya di atas kerusi panjang itu. Sebelum keluar tadi dia meminta izin dari Hary untuk ke situ. Rindunya datang tiba-tiba hinggakan membawa langkahnya ke sini. Rumah ini yang telah memberinya perlindungan, kakitangan di sini yang memberinya kekuatan untuk terus hidup. Di rumah ini juga dia mencipta kenangan manis bersama rakan senasib kerana sebelum ini hidupnya kosong. Tiada memori untuk diimbas.

“Syirah! Syirah!”

Terdengar namanya dipanggil seseorang.

“Syirah…buat apa kat sini?” tegur satu suara.

Mereka berpandangan seketika sebelum masing-masing ketawa keriangan. Beberapa ketika kemudian pelukan mereka terlerai. Mereka ketawa dan ketawa lagi kerana tiada perkataan yang dapat menggambarkan perasaan mereka ketika itu.

“Kau buat apa kat sini? Lamanya tak jumpa, ada lebih kurang empat hingga lima tahun kut. Aku pun dah tak ingat Syirah. Kau buat apa sekarang ek?” soal rakannya itu dengan nada gembira.

Mereka telah duduk bersama-sama di atas bangku panjang itu. Banyak sangat yang ingin diperkatakan.

“Aku tak buat apa-apa Wawa, duduk rumah aje. Eh! Kau buat apa pulak sekarang? Business ke? Dulu dalam ramai-ramai budak kat sini, kau paling cemerlang. Kau selalu dapat perhatian penaja. Takkan sekarang ni tak ada apa-apa? Maksud aku, something yang kau dah capai dalam hidup.”

“Well, aku buat business sendiri. Kau kan tahu aku minat dengan hias menghias. Aku buat interior design. Kecil-kecilan aje dengan seorang rakan kongsi.” Jawab Wawa tersenyum.

“Best kan ada kerja sendiri, tak boring…pegang duit sendiri. Aku teringin nak kerja, tapi tak ada kelulusan. Cuma SPM aje sapa nak bagi kerja. Sekarang ni orang apply kerja jadi pembantu pun pakai ijazah, diploma. Kau tak ada kerja kosong kat tempat kau ke, Wawa? Tukang sapu sampah pun tak apa.” Pohon Syirah dengan wajah serius.

“Are you kidding? Nak kerja?”

“Aku serius ni, Wawa. Kerja apa pun tak kisah, yang penting aku dapat upah dan kerja yang halal.”

“Nantilah aku tanyakan kat partner aku. Mana tahu kut ada rezeki kau…”

Mereka bersembang setakat itu sahaja dan saling bertukar nombor telefon sebelum berpisah. Insyirah memerhati lngkah Wawa yang penuh keyakinan masuk ke dalam rumah kebajikan itu. Dia ada janji temu dengan pengetua di situ iaitu Puan Rubiah. Sedangkan dirinya ke rumah itu untuk mengutip kenangan yang tertinggal.

Menjelang petang barulah Insyirah pulang ke rumah. Ketika tiba di rumah dengan menaiki teksi, dia beranggapan mama dan papanya sudah pulang terlebih awal darinya. Kelihatan kereta besar keluarga bangsawan itu menjalar di kawasan letak kereta. Insyirah segera masuk untuk membasahkan badan kerana sejak keluar tadi dia merasa badannya sentiasa berpeluh. Kemudian dia bercadang untuk memasak hidangan malam untuk suaminya.

“Dari mana kau perempuan! Keluar rumah tak tahu balik!” jerkah satu suara.

Insyirah terkejut disergah begitu. Jantungnya berdegup kencang dan nafasnya seakan berhenti seketika.

“Pa…Pa… sa…sa…ya dari rumah kawan.” Tersekat-sekat suaranya.

“Siapa bagi izin kau keluar. Siapa benarkan kau keluar dari rumah ini? Kau pergi jumpa siapa hah? Pergi menyundal bila suami keluar kerja!” serang Tengku Zaman.

Dia bebas berbuat sesuka hati di rumah besar itu terutamanya bila Tengku Zawiyah tiada di rumah. Insyirah membuat telahan pasti mamanya tiada, sebab itu papanya menunjukkan taringnya yang sebenar. Dia semakin bimbang melihatkan kelakuan papanya yang seperti orang mabuk, tidak sedar diri.

“Saya bukan macam yang papa sangkakan. Saya kahwin dengan Hary pun bukan sebab duit dia, bukan sebab pangkat keluarga ini. Tetapi takkan papa lupa kejadian yang memaksa Hary berkahwin dengan saya! Takkan papa dah lupa semua itu. Kalau papa kacau saya lagi, saya akan report polis, ceritakan semuanya. Biar papa masuk jel, biar malu semua orang!” Insyirah melawan dengan kudratnya yang tidak seberapa.

Airmata Insyirah turun mencurah-curah bagai tidak boleh di empang lagi. Hatinya sakit tidak terkira. Selama ini Harylah yang sering menyelamatkannya, Hary yang banyak memberi semangat untuk melalui trauma kejadian itu.

“Ha! Ha! Ha!...berani kau nak bukak temberang aku! Siapa akan percaya cakap kau! Hary tu aku jerkah sikit aje, dah kecut. Suami kau tu pengecut. Budak lembik. Siapa nak tolong kau, hah!”

Tengku Zaman menunjal kepala Insyirah berkali-kali, dengan rasa yang amat bangga. Baginya Insyirah seorang perempuan mentah yang bebas diperlakukan apa sahaja, waima untuk melayani nafsunya. Tetapi dia masih belum berkesempatan bertindak sebegitu lagi. Kemunculan TJ kini menyukarkan sedikit peluangnya.

“Saya yang akan menolongnya, papa!”

Entah dari mana TJ muncul, tidak diketahui. Tengku Zaman tergamam dan segera mengangkat tangannya dari kepala Insyirah.

“TJ…bila kau balik. Papa tak dengar bunyi kereta kau.”

“Saya dah dengar semuanya. Papa jangan buat macam itu lagi pada Syirah. Kalau tidak….”

“Dengar apa? Mana ada Papa kata apa-apa.”

“Ah! Jangan bohong Papa. Apa semua ini, Papa? Apa?”

“Tak ada apa-apa yang terjadi, TJ. Papa Cuma marah Syirah sikit sebab dia keluar tak bagitahu sesiapa.” Bohong Tengku Zaman.

“Kalau marah pun patut-patutlah Papa. Ini sampai main pegang kepala, dah melampau. Syirah tu menantu Papa, mana rasa hormat dan sayang Papa pada menantu? Mana Papa?!” soal TJ lagi.

“Kau tak faham apa-apa, jangan nak persoalkan kredibiliti aku, TJ.” Tengku Zaman sudah berengkau aku dengan anaknya.

“Kalau saya nampak sekali lagi apa Papa buat tadi…”

“Kau nak buat apa? Report polis? Pergilah! Aku tak heran.” Tengku Zaman berlawan kata dengan anaknya.

“Saya tak sangka Papa macam ini perangainya. Patutlah saya rasa lain macam masa balik sini, rupa-rupanya ada rahsia besar yang Papa sorokkan. Kenapa Papa? Kenapa?” soal TJ dengan rasa yang berbelah bagi.

“Kau tak akan faham TJ. Insyirah bukan budak yang baik-baik. Dia perangkap adik kamu untuk kahwin dengan dia. Dia perempuan jahat!”

“Kalau dia jahat, so what?! Papa patutnya bimbing dia, sayangi dia, bukan buat macam tadi tu. Hina sangatkah dia, papa? Dia manusia macam kita, bukannya binatang!” suara TJ semakin meninggi.

“Sudahlah TJ. Sudahlah…” Insyirah hanya mampu menangis dan menangis.

“Biarkan Syirah. Aku nak ajar orang tua ni sikit. Aku rasa kau tahu kenapa ini semua terjadi. Dia mesti dah buat tak baik pada kau, Syirah. Aku dengar tadi.”

“TJ ! Jaga mulut kau!” Tengku Zaman menjerit.

Insyirah yang menangis ketakutan berlari masuk ke biliknya. Dia tidak mahu mencampuri urusan pergaduhan anak beranak itu. Dia menangis semahu-mahunya di dalam bilik air. Kepalanya terasa sengal kerana dikasari oleh papanya sebentar tadi. Nasib baik TJ muncul, kalau tidak entah apa terjadi pada dirinya.

Di luar keadaan telah kembali sunyi, tiada lagi kedengaran suara TJ dan Tengku Zaman berkelahi seperti tadi. Tidak lama kemudian bunyi kereta keluar dari perkarangan rumah. Insyirah mengintai di balik langsir biliknya. Tengku Zaman sudah keluar semula rupanya. Mungkin mahu menjemput Tengku Zawiyah di butiknya. Ibu mertuanya itu malas memandu, lagipun dia pernah mengalami kemalangan ketika memandu dahulu. Itu yang menyebabkan Tengku Zawiyah berasa trauma.

Jam menunjukkan pukul 8.00 malam tetapi bayangan Hary belum kelihatan. Insyirah menuju ke ruang dapur untuk melihat apa yang boleh dimakan untuk mengisi perutnya. Jarang benar Hary pulang lewat begitu, jika ada pun dia akan menelefon terlebih dahulu.

Insyirah membuka peti ais dan di situ juga tiada apa-apa yang menarik minatnya. Dia menutup kembali peti ais dan membuka pintu kabinet tempat menyimpan makanan kering.

“Huh! Laparnya perut. Apa yang boleh di makan ni…” bebel Insyirah sendirian.

“Syirah cari apa?”

Satu suara menegurnya dari belakang. Siapa pulak ni? Dia merasakan orang itu berada dekat sangat dengannya sambil menyentuh tangannya. Hah! Orang itu mahu memeluknya dari belakang. Insyirah mengeraskan badannya dan bersedia untuk meronta jika sesuatu yang tidak diingini berlaku.

“I miss you, Syirah. I miss you so much!”

Dia cam benar suara itu. Buat apa dia kat sini? Seram sejuk Insyirah dibuatnya dek tindakan TJ mengucapkan kata yang sering digunakan ketika mereka bercinta dahulu. Ini tak boleh jadi! Kalau ada orang nampak mesti parah dia kena serang, apatah siang tadi Papanya telah mengamuk sakan dengannya.

“Don’t TJ. Tolonglah…jangan buat I macam ni.”

Insyirah telah berdiri jauh dari TJ. Dia pura-pura tidak memandang TJ. Dia kini isteri Hary dan itu sudah cukup menjadi tembok besar dalam hubungan mereka. TJ hanya tinggal kenangan dalam lipatan memorinya.

“You tak bahagia, Syirah. I nampak you selalu termenung…I tahu you selalu bersedih. I tak sampai hati tengok you macam tu. Kembalilah pada I Syirah, I need you most than Hary…”

“Jangan kacau I lagi TJ. I dah kahwin. You carilah perempuan lain. Kita tak boleh teruskan…I tak boleh!”

Insyirah menangis tersedu-sedu. TJ menggelabah melihat tindakan Insyirah yang tiba-tiba itu.

“Syirah….sorry, bukan maksud I nak buat you nangis. Sorry Syirah.”

Di luar kedengaran bunyi kereta masuk. Tanpa membuang masa Insyirah berlari ke biliknya dan meninggalkan TJ yang termangu-mangu di ruang dapur itu.

nur aynora / Author & Editor

Mykarya.com adalah blog perkongsian e-novel, cerita korea dan drama melayu.

1 comments:

  1. It's the best time to make some plans for the future and it's time
    to be happy. I have read this post and if I could I desire to
    suggest you few interesting things or tips. Maybe you can
    write next articles referring to this article. I wish to read even more things about it!


    Feel free to surf to my blog; visit this site

    ReplyDelete

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Coprights @ 2016, Blogger Templates Designed By Templateism | Distributed By Gooyaabi Templates