NOVEL: BILA RINDU BERBUNGA 1

loading...
Farouk memusingkan badannya ke kiri dan ke kanan. Bilik tidur berhawa dingin itu tidak dapat menyamankan dirinya, sebaliknya peluh dingin memercik di seluruh tubuh. Sudah hampir sebulan dia berkongsi katil itu dengan seorang wanita yang dipanggil isteri, namun sehingga hari ini dia belum berjaya melaksanakan tugasnya sebagai suami.

Gedebuk! Tiba-tiba kaki isterinya mengenai punggungnya. Apabila ditoleh, mata Iman Syakinah tertutup rapat. Itulah masalahnya, Iman Syakinah tidurnya lasak. Badan yang putih mungil itu direnung lama-lama. Isterinya itu gemar tidur berseluar pendek sahaja dan ber t-shirt. Professor Farouk memungut selimut yang jatuh di atas lantai dan menutup separuh badan isterinya itu.

Dalam gelap malam dia merenung lembut wajah Iman Syakinah. Wajah kebudak-budakan milik Iman Syakinah amat mendamaikan jiwanya. Biarpun sudah berumur 25 tahun namun Iman Syakinah masih belum matang dalam sesetengah perkara.

“Abang tak kisah ke kita kahwin? Emak dan baba abang macam mana? Tak pelik ke? Nanti orang kata kita ni macam pasangan abang dengan adik…atau ayah dengan anak.”

“Kenapa nak kisah cakap orang, yang penting abang yang nak kahwin. Lagipun abang ni dah 42 tahun, tak boleh tunggu lama. Kinah nak kahwin dengan abang tak? Tanya hati Kinah tu…”

“Kinah tak kisah. Lagipun Kinah tak ada boyfriend. Orang kata kahwinilah orang yang sayang kita, bukan orang yang paling kita sayang…”

“Jadi Kinah tak sayang abang lah? Kinah pakai cincai aje…” Farouk buat muka masam.

“Ada sikit!” balas Iman Syakinah ketawa.

Akhirnya mereka berkahwin juga dalam satu majlis yang besar-besaran. Rakan-rakan Professor Farouk ramai yang terkejut apabila mendapati bujang telajak itu telah berkahwin dengan pelajarnya sendiri. Manakala, rakan-rakan Iman Syakinah ramai juga yang memberikan reaksi negatif.

‘Inilah sebabnya orang tidak setuju kami berkahwin. Sampai sekarang Iman Syakinah masih belum terbiasa dengan jurang umur antara mereka. Satu kejutan untuknya…’ keluh Farouk dalam gelap malam itu.

***

“Abang tak lena tidur ke? Setiap pagi bangun masih lagi menguap. Kinah kacau abang ke…Kinah tendang abang lagi ya?”

Farouk tersenyum pahit. Mengangguk tanda mengiyakan pertanyaan isterinya itu.

“Ya ke bang? Mana sakit?”

“Kat sini…”

Iman Syakinah mengurut lembut punggung suaminya. Farouk tersenyum kegelian. Tetapi perbuatan Iman Syakinah semakin lama semakin kasar.

“Kinah ni ganas lah. Lembutlah sikit, urut dengan perasaan. Abang bukannya kawan Kinah, juga bukan pensyarah Kinah macam dulu. Dah jadi suami dah…dekat sebulan.” Rungut Farouk tidak puas hati.

“Sorry lah bang…tak biasa. Lain kali Kinah faham.”

Iman Syakinah tersenyum sumbing mengakui kesilapannya. Dia bergegas mengenakan lipstik di bibir dan menyapu bedak di mukanya. Perbuatannya itu mengundang perasaan pelik pada pandangan mata Farouk.

“Bukan ke sapu bedak dulu baru pakai lipstik. Nanti comot pulak bibir Kinah bila sapu bedak.” Komen Farouk kepada isterinya.

“Abang ni suka membebel lah. Kinah pakai larung aje bang. Yang penting sikit mekap, cukup. Taklah muka pucat aje masuk kelas.”

Prof. Farouk mendengar penjelasan ringkas dari isterinya dengan wajah yang hairan. Ada kah lain-lain wanita dalam dunia pun macam ini? Terlalu ringkas…mungkin satu dalam seribu, fikirnya.

“Kinah ada kelas Accounting hari ini ya? Ada masa makan tengahari dengan abang tak?” soal Farouk kepada Iman Syakinah yang terburu-buru keluar.

“Okey…macam biasa, tempat biasa ya bang?”

“Yap! So far belum ada perubahan…”

Sampai di muka pintu, Iman Syakinah tidak jadi meneruskan langkahnya. Hari ini dia teringin memandu kereta Volvo suaminya, tetapi takut untuk berterus terang. Dia sabar menunggu sehingga Farouk telah sampai di muka pintu juga.

“Kenapa tercegat lagi. Tadi bukan main terkocoh kacah.”

“Ada hal sikitlah bang…sikit aje.”

“Apa dia? Kinah nak sayang abang dulu sebelum keluar? Ha…cepat. Abang dah tadah pipi ni.”

“Bukan lah bang…Kinah nak pinjam Volvo abang. Hari ini aje. Sesekali nak juga bergaya…”

Hampa sekejap perasaan Farouk apabila dengan selamba Iman Syakinah tidak mengendahkan harapannya. Harapan agar Iman Syakinah membelai dan menunjukkan kasih sayangnya.

“Boleh…nah! Ini kuncinya.”

“Sa…yang… abang…”

“Sayang kena tunjukkan.”

Dengan tidak semena-mena Iman Syakinah memeluk suaminya itu dengan kuat. Tubuhnya dirapatkan dengan badan Farouk. Satu perasaan aneh dan damai yang menyelinap membuatkan bulu roma Iman Syakinah berdiri tiba-tiba. Kenapa jadi macam ini? Selalunya tidak pulak! Ah! Biasa aje kut…

“Kinah…lepaskan abang. Sakit tau. Kinah peluk ke jerut abang?” usik Farouk sambil ketawa.

Iman Syakinah yang tersedar dari khayalan perasaannya membalas dengan sengihan lebar di bibir. Kali ini dia mencuba menentang pandangan mata suaminya yang bundar dan jernih itu. Tangannya masih digenggam oleh Farouk. Aneh lagi! Dadanya bergetar dengan laju. Tangannya terus seram sejuk.

‘Nak demam ke aku? Takkan peluk Farouk boleh jadi demam? Selalu pegang atau terpegang rakan sekuliah tidak pula rasa begini. Eh! Lagi pelik. Fikiran Iman Syakinah berserabut.

“Kenapa jadi batu pulak ni? Tengok ni, berpeluh muka Kinah. Kinah demam ke?”

Tangan Farouk telah diletakkan di dahi Iman Syakinah. Tidak pula panas di situ. Dia melihat wajah Iman Syakinah menjadi pucat lesi.

“Kalau tak berapa sihat, tak payah masuk kelas. Nanti abang inform Prof. Lim yang Kinah MC…”

“Takkan Kinah pregnant bang?”

“Hah?! Kinah pregnant anak siapa?”

“Anak abanglah…anak siapa lagi?”

“Bila pulak yang kita ada buat benda tu…awak selalu tendang abang ketika tidur, ada lah…” balas Farouk tersengih-sengih.

“Yang abang peluk Kinah selalu tu, tak boleh pregnant ke? Mana tahu…” jawab Iman Syakinah selamba.

“Hai…Kinah, umur dah besar panjang. Belajar dah sampai masters…tapi bila cakap bab itu, fikiran awak cetek tau! Cubalah fikir lojik…” Farouk sudah tergeleng-geleng.

“Okey dah…tak jadi demam.”

Iman Syakinah menghidupkan enjin kereta Volvo dan menunggu seketika sebelum meneruskan pemanduan ke UTM. Kasihan pula suaminya terpaksa memandu Wira buruk miliknya. Sekali-sekala…biar dia tahu apa rasanya memandu kereta buruk itu dengan jawatannya sebagai pensyarah kanan. Fikir Iman Syakinah tersenyum nakal ketika meninggalkan suaminya tadi.

***
Iman Syakinah keluar dari perut kereta Volvo dan meninjau kawasan parking yang kecil, mungkin sedang muat dengan saiz keretanya. Lain-lain kawasan telah penuh. Masalah pulak…dahlah aku selalu problem parking…; Rungutnya dalam hati. Dia tertinjau-tinjau sambil melihat jam di tangan.

‘Mesti Farouk dah sampai kat bilik kuliah, takkan nak suruh dia keluar betulkan parking aku!’ Bebelnya lagi.

Bunyi hon yang kuat memeranjatkan Iman Syakinah. Sebuah kereta Kenari merah berhenti di sebelah volvonya. Seorang lelaki lebih kurang sebayanya menurunkan cermin tingkap.

“Kenapa? Kereta rosak? ”

“Tak. Maaf, awak nak parking kat sini ke?”

“Tak. Saja lalu sini, ternampak awak macam ada masalah. So, anything yang saya boleh bantu?” lelaki bert-shirt merah itu bertanya lagi.

“Terima kasih banyak-banyak kalau sudi tolong. Ini ha…tolong masukkan kereta saya ke dalam kawasan parking yang ngam-ngam aje ni. Saya selalu fail parking.”

Lelaki itu turun dari keretanya membantu Iman Syakinah memarkir Volvo hijau lumutnya itu. Setelah selesai lelaki tidak dikenali itu membantu, dia mengucapkan ribuan terima kasih. Gara-gara berangan membawa Volvo, dia bakal terlewat pula memasuki dewan kuliah. Lain kali jangan harap aku nak bawa, biar Wira buruk tak apa! Rungutnya sambil mengunci kereta itu.

“Kereta besar…tapi tak pandai parking. Next time bawa kereta kecil aje.” Usik lelaki itu menjadikan wajah Iman Syakinah memerah.

“Terima kasih!!”

Selepas berkata begitu, Iman Syakinah menapak laju ke dewan kuliah. Dia sudah terlewat hampir 20 minit. Dia langsung tidak mengendahkan lelaki itu yang masih berdiri di sisi Kenarinya dengan wajah yang terkulat-kulat.

***

“Ha…ha…ha…nak bergaya sangat, sekarang ni dah jadi lain cerita. Lain kali kalau nak bergaya ukur baju di badan sendiri. Konon nak kenakan abang, at last awak yang terkena! Apa rasa?” Farouk mentertawakan isterinya ketika Iman Syakinah bercerita perihal masalahnya.

“Banyaklah abang punya rasa! Ada…rasa coklat. Ni hah! Rasakan!” Iman Syakinah mencubit suaminya dengan kuat.

Farouk terjerit kecil. Beberapa pasang mata yang juga sedang menjamu selera di kantin itu tertoleh-toleh. Iman Syakinah berasa puas dapat mendenda suaminya kerana mentertawakannya tadi.

“Siapa yang tolong parking kan tadi? Pak Guard ke? Mesti terlolong-lolong awak nangis yek.” Usik Farouk lagi.

“Tak. Kinah diri aje kat tepi kereta tu, banyak orang datang tolong. Yang muda, yang handsome, yang tinggi, yang jalan kaki…yang naik kereta, semua sanggup nak tolong tau!” jawab Iman Syakinah tidak serius.

“Muka garang macam ni pun ramai nak tolong ye? Yang dah bertongkat tak ada?”

“Abang ni! Main-main pulak!”

“Siapa yang mulakan?”

Iman Syakinah diam sahaja. Dia tahu dia selalu kalah dengan Farouk, tetapi sebaliknya Farouk pula sering mengalah dengannya. Itu yang istimewanya Farouk di matanya, lelaki dewasa yang matang dan penuh karisma.

Walau jarak usia memisahkan mereka, itu semua bukan alasan. Farouk boleh dikategorikan sebagai lelaki yang cukup sempurna fizikalnya. Rambutnya lurus hitam, matanya bundar jernih dan berhidung mancung. Tetapi, mengapa setelah melewati 40-an baru terbuka pintu hatinya untuk menerima kehadiran wanita bernama isteri. Peliknya! Tanpa disedari gelengan kepalanya sewaktu menyedut minuman menarik perhatian Farouk.

“Kenapa macam tu? Susah ke kelas akaun tadi?”

“Ha? Apa yang susah?”

“Itu yang geleng kepala tadi, kenapa?”

“Oh!! Biasalah bang…berangan.” Tipu Iman Syakinah.

Farouk mempamerkan senyuman nakal dibibirnya, yang tidak semena-mena menambat penglihatan Iman Syakinah. Hm…suami aku ke ni? Coolnya…

***

Iman Syakinah menyinsing lengan bajunya sehingga ke siku. Dia berniat untuk memasak untuk Farouk yang masih belum pulang lagi. Biar dia terkejut lihat perubahan pertamaku selepas hampir sebulan bergelar isteri.

Sebenarnya dia bukanlah pandai memasak, setakat telur goreng itu perkara biasa baginya. Dia memecahkan beberapa biji telur untuk membuat telur goreng dadar. Kemudian dia menggoreng kentang dengan kacang panjang. Beberapa batang cili padi di patah-patahkan untuk menimbulkan rasa pedas kepada gorengan tersebut. Hampir setengah jam, selesai semuanya. Memang dia menyediakan menu ringkas sahaja buat permulaan.

Selesai Maghrib baharulah Farouk pulang. Ketika dia mendengar bunyi kereta masuk, dia bergegas turun ke bawah untuk membuka pintu. Suaminya kelihatan letih, mungkin banyak memberi kuliah hari ini.

“Abang, Kinah dah masak. Tak payah makan kat luar lah…Kinah nak try masak untuk abang. Tapi masak simple aje. Nanti lepas abang mandi, kita makan sama-sama ya.”

Wajah Farouk yang letih tadi kini kelihatan berseri-seri. Dia merenungi wajah lembut Iman Syakinah dengan rasa kurang percaya. Wajah yang semakin hari makin memuncakkan sayang di dalam hatinya. Tetapi Iman Syakinah tidak tahu semua itu.

“Ini yang buat abang tak sabar. Pandai isteri abang ambil hati ya…” pujinya.

“Nak jadi isteri mithali…” Iman Syakinah ketawa mengekeh.

Farouk sudah menghilang ke dalam bilik untuk mandi dan bersolat. Tidak berapa lama kemudian dia sudah menuruni anak tangga dan terus menuju ke dapur.

“Abang tolong sendukkan nasi, Kinah bubuh lauk dalam pinggan kejap.”

Farouk mengambil dua keping pinggan untuk mereka berdua dan bersedia untuk menyenduk nasi. Tiba-tiba…

“Mana nasinya? Invisible rice ke yang Kinah masak ni…”

“Apa bang?! Invisible rice? Alamak!”

“Kenapa?”

“Lupa nak masak nasi daa…”

Farouk tidak dapat menahan ketawa melihat raut wajah isterinya yang terkejut badak. Akhirnya Iman Syakinah ikut ketawa sambil menahan perut.

“Nak buat apa ni? Dah lapar giler Kinah, bang…”

“Apa lagi, jadi mat saleh kejap le…makan telur dengan kentang aje.” Usik Farouk.

“Ingat nak buat kejutan…”

“Kinah pulak yang terkejut.” Sambut suaminya pantas.

Iman Syakinah tersenyum lagi. Dia segera mengenggam tangan suaminya memohon maaf.

“Sekarang macam mana?” soal Farouk perlahan.

“Buat projek macam biasa la…”

“Buat projek? Jom…”

“Ha…abang jangan otak kuning. Maksud Kinah kita makan kat luar lah!”

“Melepas lagi…” keluh Farouk di telinga Iman Syakinah.

Dada Iman Syakinah berdebar kencang di perlakukan begitu oleh Farouk. Selalu tidak macam ini, semenjak dua menjak ni rasa lain pulak! Hish! Kenapa yek? Bebel Iman Syakinah dalam hati.

“Apa tercegat lagi. Tadi kata nak buat projek kat luar. Jomlah…abang pun dah lapar sangat ni.”

Iman Syakinah mencubit lengan suaminya kerana mengusiknya lagi.

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.