Header Ads

NOVEL: BILA RINDU BERBUNGA 2

“Abang ada seminar kat Penang minggu depan. Abang dah call emak dan baba abang untuk temankan Kinah. Sure your weekend akan gempak dengan dia orang, okey sayang…”

“Kinah kena tinggal? Dengan emak dan baba?!”

“Kenapa? Takkan tak suka. Dia orang kan sayang kat Kinah, lebih dari anak dia sendiri ni.”

“Bukan tak suka…”

“Habis tu?”

“Kinah tak nak tinggal kat rumah, nak ikut abang. Lagipun kita belum honeymoon berdua. Dulu masa pergi Tioman ramai-ramai, tak syok.”

“Nanti pun Kinah kena honeymoon sorang-sorang sebab abang tak ada masa nak jalan kat Penang. Jadual abang penuh…”

“Tak apalah. Yang penting boleh ikut abang. Boleh lah bang.”

Farouk merenung Iman Syakinah, isteri yang dinikahi lebih sebulan lalu. Wajah polos tanpa calitan alat solek itu amat mendamaikan jiwanya. Pekerjaannya yang amat mencabar akan jadi mudah hanya dengan mengenang Iman Syakinah. Gadis yang ditemui ketika mengajar pelajar-pelajar Ijazah Human Resource telah mengikat mereka ke satu perhubungan yang pasti.

“Emak dan baba dah ready nak ke sini. Kesian dia orang. Datang sini nak jumpa menantu kesayangan, dia pulak senang-senang ikut suami pergi Penang. Apa abang nak cakap dengan emak dan baba nanti.”

“Abang kelentonglah…”

“Apa? Kinah suruh abang jadi budak nakal, kelentong orang tua sendiri? Banyak cantik! Tak baik buat kerja tu semua, berdosa Kinah. Ini ada niat tak baik pada emak dan baba, baik minta maaf. Abang tak tau, itu antara awak dengan mereka.”

Iman Syakinah baru sedar yang dia terlepas kata sebentar tadi. Ingatkan hanya bergurau, tidak sangka pula suaminya ambil serius benda remeh seperti itu.

“Maaflah, Kinah tak perasan tadi. Nanti Kinah minta maaf dengan emak dan baba, ok.”

Farouk mengukir senyum mendengar janji yang dibuat oleh Iman Syakinah.

“Bila abang nak pergi?”

“Esok.”

“Ha?”

“Ya lah, esok dah nak pergi.”

Iman Syakinah bingkas bangun dan menuju ke almari pakaiannya. Dengan pantas dia memasukkan beberapa pasang blaus, t-shirt dan jeans ke dalam beg. Barang keperluan lain di masukkan ke dalam beg yang berasingan.

“Apasal berkemas-kemas ni?”

“Kan kita nak pergi Penang.”

“Kita?”

“Kinah nak ikut juga!” Iman Syakinah berkeras.

“Abang belum bagi jawapan, dia dah jalan dulu. Kalau abang kata tak boleh, macam mana?”

“Kinah merajuk. Tak nak cakap dengan abang 44 hari.”

“Itu macam tempoh berpantang aje. Nampak gayanya Kinah dah ready nak em..em…”

“Siapa cakap? Kinah nak mogok aje, bukannya nak em…em…”

Farouk ketawa besar mendengar Iman Syakinah mengajuk cakapnya. Dia menghampiri Iman Syakinah yang sudah bermuka monyok.

“Buat muka macam tu, nampak buruk. Kinah bukan budak lagi yang selalu nak merajuk. Patutlah abang makin cepat tua sebab dapat isteri macam Kinah. Tak baik tau selalu merajuk dengan suami. Nanti suami lari.” Usik Farouk apabila Iman Syakinah masih tidak mahu tersenyum.

Iman Syakinah masih mencangkung di tepi almari pakaiannya. Dia geram betul apabila Farouk terus-terusan mengusiknya.

“Okey! Okey! Habis…, ponteng kelas lah Kinah jawabnya.”

“Bukannya lama, seminggu aje.”

“Nanti banyak ketinggalan, rugi Kinah.”

“Abang kan ada…”

“Sampai bila abang asyik nak cover Kinah aje. Kalau gitu, lebih baik abang yang ambik Master, bukannya Kinah.”

“Sekali sekala…kata sayang kat Kinah…”

Iman Syakinah memaut lengan suaminya yang berdiri hampir dengannya. Dengan selamba dia mencium pipi suaminya dan sesaat dua melepaskannya kembali.

“Cuba ulang balik, slow-slow…tadi tu gelojoh sangat.”

“Abang ni!” Iman Syakinah memukul belakang suaminya. Dia berasa malu pula dengan perbuatannya sebentar tadi.

Farouk ketawa lagi melihat wajah Iman Syakinah yang merah menahan malu. Dia paling suka melihat wajah isterinya begitu, ia nampak lebih lembut dan ayu. Itulah sebabnya dia tidak menunggu lama untuk meminang Iman Syakinah walau dia tahu bekas pelajarnya itu tidak berapa endah dengannya ketika di awal perkenalan.

“Sekarang Kinah ada rasa sayang pada abang tak?”

“Kenapa tanya pulak?” soal Iman Syakinah.

“Saja, nakkan confirmation…”

“Ada lah sikit…sikit aje tau. Separuh pun belum.” Cebik Iman Syakinah sambil mengerling muka suaminya.

“Baru suku ajelah…”

“Erm…”

“Hari tu kata suku, sekarang pun suku. Bila nak bertambah tu…”

“Rahsia! Mana boleh tahu!”

“Oh! Rahsia ya…abang nak tengok sampai bila rahsia itu boleh bertahan…”

“Sampai bila-bila…”

Iman Syakinah ketawa mengekeh sambil berlari ke bilik air. Farouk hanya menggeleng melayan keletah isteri kesayangannya itu.

***

“Abang, bangun bang…dah siang ni. Nanti Subuh habis.”

Iman Syakinah mengejutkan Farouk yang masih tidur dengan nyenyaknya. Wajahnya seolah-olah sedang tersenyum kepadanya walau matanya tertutup rapat.

Sementara menunggu suaminya bangun, Iman Syakinah membersihkan diri dahulu. Selesai bersiap dan berdandan, suaminya masih juga belum bangun. Dia menggerakkan tubuh Farouk dengan lebih kuat sedikit, namun suaminya itu tidak juga mahu bangun.

Beberapa kali dicuba, suaminya masih tidak juga bangun. Iman Syakinah memeriksa urat nadi pula. Alhamdulillah…masih berdenyut. Tetapi mengapa masih juga tidak bergerak apabila dikejutkan. Iman Syakinah semakin panik. Air mata berjurai-jurai di pipi. Dia tidak tahu mahu buat apa lagi untuk membangunkan suaminya.

“Abang! Abang! Kenapa ni? Jangan tinggalkan Kinah bang…”

“Kinah sayang abang. Bangun bang!”

“Abang…I love you. I love you abang…jangan buat Kinah macam ni.”

Iman Syakinah menggoyang tubuh suaminya sekuat hati dengan air mata yang masih berjurai-jurai. Setelah usaha itu masih tidak berjaya, dia cuba menghubungi emak dan babanya untuk memaklumkan kejadian tersebut.

“Ouchum! Ouchum!” Farouk pura-pura terbersin sebelum sempat Iman Syakinah menghubungi orang tua lelaki itu.

“Abang!”

Iman Syakinah memeluk erat suaminya yang baru tersedar. Hilang segala rasa malu dan lain-lain rasa yang bercampur aduk menjadi satu. Yang penting, dia ingin menyatakan rasa kasihnya kepada sang suami sebelum terlambat.

“Kinah sayang abang lebih dari yang abang rasa. Malam tadi apa yang Kinah cakap tu, main-main aje. Kinah sayang abang dengan sepenuh hati Kinah, bang…” ucapnya penuh syahdu di cuping telinga Farouk.

Farouk membalas pelukan Iman Syakinah dengan erat sambil tangan kanannya meraba telefon bimbitnya yang disorokkan di bawah bantal. Rakaman suara Iman Syakinah bakal menjadi saksi kepada pengakuannya. Bukankah Iman Syakinah sering menafikan perasaan yang wujud. Lakonannya sebentar tadi benar-benar menjadi. Dalam diam Farouk tersenyum penuh erti.

***

“Budak-budak ni kalau buat kerja tak fikir panjang. Sekejap suruh datang, kejap lagi kata jangan datang. Ingat kita tak ada kerja lain nak buat. Menyusahkan orang betul.” Wan Ahmad membebel sejurus meletakkan telefon.

“Siapa bang?”

“Anak dan menantu kita tu lah. Semalam pesan suruh temankan Kinah, la ni dia kata Kinah nak ikut sekali dia pergi Pulau Pinang. Nasib baik kita belum bergerak. Kalau tidak tidur kat luar kita, Yong.”

“Suka buat kerja last minute si Farouk tu. Dari dulu perangainya tak ubah-ubah, sampai lah ke tua ni…macam tu jugak. Nasib baik dapat bini masih muda, kalau sama tua macam dia, alamat lingkup rumahtangga…” Wan Ahmad memanjangkan bebelannya lagi.

“Ya lah, bukan main manja Yong tengok bini dia tu dengan dia. Yong tengok, tak pernah sebelum ini dia suka kat perempuan…tup tup balik kata nak kahwin. Syukur tengok dia berubah, kalau tak…bukan main takut bila sebut pasal benda-benda ni semua.”

Wan Ahmad mengangguk-angguk sambil melepaskan asap rokoknya.

“Dia ikut perangai abang agaknya. Dah tua baru nak kahwin. Nasib baik kita dapat si Farouk tu, kalau tidak…tak ada waris jawabnya.” Yong Mashita mengimbas kisah lampau.

“Ajal, maut dan jodoh pertemuan tu semua kerja Tuhan. Kalau dia kata kita akan kahwin dengan si polan dan si polan, kahwinlah kita. Kalau tidak, membujang sampai ke tua…” balas Wan Ahmad tersenyum penuh erti.

“Yong ingat nak ke rumah Pak Samin di hujung kampung petang nanti. Abang nak ikut?”

Wan Ahmad merenung ke langit yang mendung menandakan hujan mahu turun. Desiran angin yang agak kuat menerbangkan daun-daun yang telah gugur di atas tanah. Yong Mashitah bangun lalu menutup tingkap.

“Nak hujan ni, tak payahlah pergi.”

“Tinggal sikit je lagi baki duit tanah yang kita beli dari Pak Samin. Hari tu Farouk ada beri duit lagi, jadi saya ingat nak bayar habis yang tiga ribu lebih tu.”

“Tengoklah petang nanti…kaki abang pun sengal-sengal kebelakangan ini. Bila hujan aje makin sakit mencucuk-cucuk.”

“Kan Farouk ada belikan ubat. Abang tak guna ke? Ubat mahal-mahal macam tu, membazir kalau tak digunakan.”

“Sayang pulak nak guna. Sikit-sikit bolehlah, nanti habis terpaksa Farouk ganti lain…dia pun dah ada kehidupan sendiri, dah ada orang rumah yang nak di beri makan. Takkan nak risaukan pasal kita aje.”

Wan Ahmad bangun dari tempat duduknya dan menutup pintu. Hujan renyai-renyai sudah mula membasahi bumi. Namun, rumah besar itu cukup selesa untuk mereka berdua. Farouk telah mendirikan sebuah banglo di tapak tanah yang asalnya hanya sebuah rumah papan. Memang Farouk anak yang mengenang budi. Dalam diam Wan Ahmad bangga dengan pencapaian Farouk. Farouk yang menjadi kegilaan anak-anak gadis di kampung ini. Farouk yang dijadikan sumber inspirasi oleh anak-anak muda yang ingin mengecapi kejayaan sepertinya.

“Yong…”

“Yong!”

Wan Ahmad meninjau ke dapur, tidak pula kelihatan isterinya itu.

“Saya bang. Yong kat bilik ni.”

Wan Ahmad mendapatkan isterinya di bilik utama rumah besar itu.

“Berapa nilai tanah yang kita dah bayar?”

“Dekat seratus lebih.”

“Janji dulu harganya berapa? Pelik pulak abang, dari dulu bayar tak habis-habis. Ada awak simpan resitnya?”

“Tak ada. Pak Samin mana bagi resit. Dia kata atas dasar percaya, sudahlah…”

“Tak boleh macam tu, Yong. Mana Yong tahu tinggal tiga ribu lebih aje? Siapa yang bagitahu?”

“Anak dia, si Bahiyah. Yang gilakan kat Farouk tu, sampai sekarang ni belum kahwin juga. Budaknya baik, tapi dah si Farouk tak hendakkan dia, macam mana? Bukan jodoh dia orang agaknya.”

“Tak boleh jadi ni. Nanti kita pergi sama-sama. Bila dah bayar habis, terus minta resit. Suruh Pak Samin buat resit untuk semua. Kira lum sum la…”

“Yong ingat pun macam tu…”

Hujan di luar semakin menggila. Kebelakangan ini hujan jarang turun di kampung tersebut. Hujan yang turun ini pun hujan rahmat memandangkan pokok tanaman semakin tidak bermaya di merata tempat. Dengan jumlah hujan yang banyak ini, mungkin boleh menyuburkan kembali tanah dan tanaman yang sudah hampir kontang. Begitu Wan Ahmad berfikir sambil merenung titik-titik hujan yang turun melalui tingkap biliknya.

***

Iman Syakinah meletakkan beg-beg kecil yang dibawa di tepi katil. Farouk pula membantu mengangkat beg yang besar yang sarat dengan pakaiannya dan juga Iman Syakinah. Mereka baru sahaja tiba di Pulau Mutiara itu. Bilik hotel yang mereka diami itu agak besar juga dan menghadap ke pantai. Satu pemandangan yang indah dan nyaman.

“Abang nak call emak kejap, kata kita dah sampai.”

Farouk mendail nombor rumah keluarganya di kampung, tetapi sehingga ke deringan terakhir masih tiada jawapan. Dia mencuba untuk kali ke dua, tetapi masih tetap sama, sepi tanpa jawapan.

“Ke mana dia orang pergi ni. Nak malam dah…takkan ke rumah kita. Tapi abang dah pesan jangan datang, sebab tak ada orang kat rumah. Ke mana pulak perginya…”

Iman Syakinah yang sedang melunjurkan kakinya di atas katil mendengar sahaja rungutan yang keluar dari mulut Farouk. Sekali lagi Farouk mencuba tetapi telefon di rumah orang tuanya masih juga tidak berjawab.

“Dah masuk Maghrib, bang. Solat dululah. Lepas solat kita call lagi.” Pujuk Iman Syakinah.

Iman Syakinah perasan akan raut wajah suaminya, seakan-akan menanggung satu masalah berat. Dia faham benar yang Farouk amat mengasihi orang tuanya, itulah sebabnya fikirannya seakan terganggu sebentar tadi kerana gagal menghubungi keluarganya. Sekali lagi dia memandang wajah suaminya dengan perasaan belas. Walaupun jarak usia mereka jauh berbeza, namun soal perasaan dia dapat merasainya. Dia pasti akan memujuk suaminya lagi nanti dan menenangkannya. Bukankah tugas seorang isteri begitu?

Selesai salam terakhir, telefon Farouk berdering-dering.

“Ya…ya…”

“Apa?”

“Sekarang kat mana?”

“Bila?”

“Innalillah…”

Farouk terduduk di birai katil sambil meraup mukanya. Berita yang diterima sebentar tadi membuatkan fikirannya kosong tiba-tiba. Dia tidak mampu berkata-kata, waima sepatah perkataan. Iman Syakinah yang bertanyakan soalan demi soalan pun, dia seperti tidak mendengarnya. Dia seperti berada di awang-awangan. Badannya terasa ringan dan melayang-layang. Terasa seperti rohnya telah berpisah dari jasadnya.

Iman Syakinah meraup muka suaminya dengan air. Dia panik sebentar tadi apabila tiba-tiba suaminya rebah di sisinya. Dia bimbang jika kejadian pagi tadi berulang. Lama kelamaan baru Farouk tersedar dari pengsannya.

“Kenapa bang? Siapa yang call tadi? Lepas dapat call abang terus pengsan. Jangan-jangan…”

Iman Syakinah meneka yang bukan-bukan termasuklah berkemungkinan sesuatu berlaku terhadap kedua mertuanya.

“Emak…Kinah.”

“Emak…”

Pandangan Iman Syakinah terasa berbalam-balam. Dia memaut bahu Farouk meminjam kekuatan, sedangkan suaminya itu sudah semakin longlai.
Advertisement

1 comment:

  1. cta ni best laa...huhu..xnk smbung ka?

    ReplyDelete

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.