NOVEL: CINTA KAMELIA 19

loading...
Kamelia tersenyum memandang cincin dijarinya. ‘Cincin pinjam’ itu tersarung juga walau berlaku kejadian yang diluar jangkaan semalam. Masih lagi teringat kejadian semalam apabila Ijol memaklumkan yang cincin pertunangan mereka telah hilang. Cincin tersebut tiada di dalam bekasnya. Kelam kabut juga Ijol menangani masalah tersebut, namun demi kasih mereka, Kamelia tidak berkira. Akhirnya mereka bersepakat untuk menggunakan cincin emak Ijol dahulu.

‘Cute juga cincin bakal mak mertua aku ni!’

“Nanti saya gantikan yang lain, jangan bagitahu sesiapa tau.” Bisik Ijol ke telinganya ketika mereka bertemu selepas majlis selesai.

Kamelia yang cantik berkebaya renda berwarna pink cair melirik senyum. Gelihati pula bila difikirkan kembali. Tetapi dek terpandang wajah Ijol yang seperti memohon simpati, dia tidak jadi untuk mengenakan Ijol. Dia mengangguk bersetuju sahaja dengan cadangan Ijol itu.

“Awak nampak cantik sangat. Makin dalam sayang saya pada awak. Kita buat majlis nikah terus nak!”

“Bila?”

“Sekarang lah…” jawab Ijol selamba.

“Gila apa? Jangan buat pasal. Karang ibu bapa saya terkena strok! Terkejut…” jawab Kamelia perlahan.

“Lepas ni jangan ngurat orang lain tau. Saya tak suka!”

“Bukannya awak tahu!” balas Kamelia menduga.

Ijol mencubit lengan Kamelia tanda tidak suka dia bergurau begitu. Kamelia hanya ketawa kecil dan gurau senda mereka berdua mengundang perhatian emak Ijol yang baru keluar dan berdiri di muka pintu.

“Ijol!” emaknya menegur.

“Sikit aje mak. Bakal menantu mak ni yang nakal.”

Emaknya membalas dengan gelengan sahaja. Kamelia pula menutup mulut menahan tawa.

Bunyi telefon di sebelah mengejutkan lamunan Kamelia. Dia melihat nama yang terpapar di skrin sekilas dan segera menekan butang ‘on’.

“Hei Mak cik…apa khabar? Lama tak dengar berita. Tiba-tiba aje teringatkan aku. Mesti ada berita hangat nak story…”

“Congrats, Melia. Tunang senyap-senyap aje, takut aku serbu ke? Kau kenapa tak jemput aku dan kawan-kawan kita. Nak sembunyi konon! Sudahlah! Dulu dapat kerja pun tak inform, la ni tunang pun sorok-sorok…apalah kau dengan Ijol. Cuba cakap kenapa kau jadi so secretive lately…” soal Aini tidak puas hati.

“Bukan macam tu Aini. Semuanya tak dirancang…tiba-tiba Ijol mendesak nak bertunang. Aku tak boleh nak kata apa…ibu bapa aku pun bising juga. Tapi majlis dah okey, dah selamat. Lain kali kalau nikah kami jemput. Kau janganlah marah aku, marah si Ijol yang suka plan last minute.”

“Tak ada angin, tak ada ribut, tetiba kelam kabut macam tu, apasal dengan bos aku tu?” soal Aini masih tidak berpuas hati.

“Apa kau cakap, Aini? Bos kau? Siapa?”

“Ijol tu…opss, tak ada apa-apa lah. Ijol memang suka buat last minute. Baru aku teringat, dia ada mengadu yang kau keluar dengan bos kau. Aku rasa sebab dia jealous kut, terus dia ikat kau. Tapi kau orang pun memang dah patut kahwin. Aku je yang belum ada apa-apa…”

“Jangan tunggu lama-lama…” usik Kamelia ceria.

Di hujung talian Aini hanya tertawa mendengar usikan dari Kamelia itu.

***

Kamelia memarkir keretanya jauh dari pusat membeli belah Mahkota Parade kerana kawasan meletak kereta di situ telah penuh. Dia perlu membeli sedikit kelengkapan untuk dibawa ke Jakarta nanti memandangkan tempoh berkursus di sana memakan masa yang agak panjang.

Kebiasaannya pada hari-hari bekerja begitu orang tidak ramai, tetapi hari ini lain pula halnya. Mungkin ada promosi harga rendah menyebabkan orang ramai berpusu-pusu walau bukan pada hari cuti atau hujung minggu. Kamelia mempercepatkan langkahnya kerana dia perlu menyelesaikan beberapa perkara lagi sebelum berangkat ke Jakarta. Lain-lain barang kelengkapan diri telah sedia ada ditambah Ijol telah memberikan set mandian tersebut di majlis pertunangan mereka semalam.

Teringatkan majlis semalam dia tersenyum lagi. Usikan Ijol apabila majlis selesai amat mendebarkan dada. Ada-ada sahaja gurauannya yang mencuit hati. Segalanya amat indah dan terpahat kemas di dalam ingatan.

Fikirannya menerawang lagi. ‘Macam mana cincin tu boleh hilang? Nasib baik ada cincin emak dia, atau mungkin ada orang tak bagi Ijol tunang dengan aku!’ Apabila memikirkan hal tersebut Kamelia menjadi seram sejuk. Siapa pula yang dengkikan mereka?

“Aku rasa dia orang mesti tak jadi tunang. Ingat aku ni bodoh sangat. Padan muka! Sombong…dengan aku tak pandang konon! Sekarang tengok apa dah jadi…aku agak minah tu mesti nangis guling-guling sebab sepupu aku cancel majlis tu. Sekarang ni, turn aku pulak. Aku kena terus terang…mesti dia boleh terima aku, kan?”

Perbualan muda mudi di tepi eskalator berhampiran kedai menjual mainan itu menarik perhatian telinga Kamelia. Budak-budak muda sekarang memang malas bekerja, yang disukai mereka adalah melepak dan bersidai di pusat membeli belah dari pagi hingga ke malam. Entah apa nak jadi pada mereka…

“Siapa nama minah yang kau cerita tu tadi? Betul kata kau Zureen, mungkin sekarang dia orang dah berpatah arang…inilah masanya kau masuk jarum. Sepupu kau tu handsome beb! Kasi free kat aku, mati aku tak cari lain.” Sampuk satu suara lain.

“Dengan dia kau jangan nak cuba, aku punya. Kau ambil si Amin tu dah le. Walau gigi dia tak cukup kat depan tu, tapi dia tak kedekut. Kau minta apa pun, dapat tau…” jawab perempuan yang bernama Zureen.

Zureen? Sepupu? Tunang? Macam ada kaitan dengan aku aje…bisik Kamelia kepada diri sendiri.

“Mana cincin tu?” soal kawannya yang seorang lagi.

“Ni hah! Cantik aje kat jari aku…memang sepupu aku nak belikan untuk aku, tapi terpaksa bagi pada minah tu. Sekarang cincin ini aku yang punya.”

Empat orang remaja perempuan itu ketawa mengilai-ngilai mendengar cerita Zureen. Lagipun dengan cara itu mereka dapat menarik perhatian orang sekeliling.

Kamelia tidak jadi untuk menegur Zureen tatkala dia menitipkan ayat terakhirnya itu. Jadi, Zureen sebenarnya bercinta dengan Ijol? Cincin itu sebagai tandanya…tapi mengapa Ijol bertunang dengan aku? Adakah Ijol hanya berpura-pura untuk mengaburi mataku? Tetapi Ijol nampak bersungguh-sungguh, walau diduga dengan ‘kehilangan’ cincin tunang kami. Jadi, apa makna semua ini? Tiba-tiba ada titis jernih yang jatuh di pipinya. Sabar Melia…Sabar…pujuknya kepada hati sendiri.

***

Hari cuti yang sedih bagi Kamelia. Hadiah pertunangan yag amat kejam, fikirnya. Dalam berkemas pun fikirannya masih melayang-layang. Mengapa Ijol memperlakukannya sebegini rupa. Apa gunanya bertunang jika hanya mahu menyakiti. Apa maknanya kasih sayang jika hanya untuk mainan.

Sejak petang tadi dia tidak membalas SMS atau menjawab panggilan dari Ijol. Dia tidak mahu memikirkannya buat masa ini, juga bukan untuk waktu terdekat ini. Bukti apa lagi yang ingin diberi, jika mata dan telinga telah mendengar sendiri. Kau akan menyesal kalau kau berbohong, Ijol.

“Bila pergi Jakarta?”

Kamelia tersentak apabila ibunya muncul di pintu bilik secara tiba-tiba. Dia mengesat matanya dengan hujung baju.

“Esok bu…dari ofis. Kita orang akan berkumpul dulu, ada majlis taklimat sikit, kemudian baru berangkat.”

“Bila pulak nak balik KL? Takkan nak suruh ayah hantar pagi-pagi buta esok? Terburu-buru entah apa yang tertinggal pulak. Tempat kamu nak pergi tu jauh, bukannya balik hari. Jangan buat hal macam majlis kamu semalam, kelam kabut jadinya!”

‘Ah! Ibu ni, janganlah diingatkan majlis semalam. Kan hati aku dah sedih balik ni…’ rungut Kamelia dalam hati.

“Nasib baik ibu berkenan kat dia. Ibu percaya dia boleh jaga Melia. Ayah dan abang kamu pun suka kat tunang kamu tu. Jaga dia elok-elok, susah nak dapat orang lelaki macam ni zaman sekarang, Melia.”

Kamelia menyembunyikan rasa sedihnya dengan pura-pura membongkar almari baju. Dia tidak mahu ibunya perasan, biarlah semuanya dia tanggung sendiri. Kenapa keluarganya semua menyukai Ijol? Padahal mereka baru bertemu sekali itu sahaja. Mungkinkah kerana sikap ramahnya atau sifat budiman lelaki itu. Apa kata mereka andainya sikap yang ditonjolkan Ijol itu hanya satu sandiwara. Tentu mereka akan berasa ditipu. Atau…aku sahaja yang berlebih-lebihan, sedangkan semuanya ini hanya prasangka!

“Melia balik KL malam ni lah ibu. Nanti lepas maghrib minta ayah hantarkan kat bus stand.”

“Hem…nanti ibu ingatkan ayah kamu. Ijol tahu kamu nak pergi Jakarta esok?”

Kamelia hanya mengangguk. Dia seboleh mungkin menahan airmatanya daripada jatuh agar ibunya tidak mengesyaki apa-apa.

***

Kota Jakarta yang sibuk menerima kehadiran peserta seminar dari Malaysia itu dengan tangan terbuka. Kamelia dan empat puluh orang rakannya yang lain dari beberapa jabatan telah selamat menjejakkan kaki ke bumi yang mempunyai rakyat termiskin paling ramai di dunia itu. Mereka semua ditempatkan di Hotel Sultan iaitu salah satu hotel yang hampir dengan lapangan terbang Jakarta dan bertaraf lima bintang. Kamelia sebilik dengan kakitangan kanan dari jabatan sumber manusia yang bernama Khadeeja. Sekali pandang wajahnya seperti pelakon Bollywood. Mungkin dia ada darah kacukan dari daerah sebelah sana, siapa tahu. Masih banyak masa lagi untuk berkenal rapat, fikir Kamelia kemudiannya. Sebelum ini pun mereka pernah bertemu tetapi bersapa ala kadar sahaja.

“I rehat sekejap, kalau ada information just let me know. Okey!”

Kamelia sekadar mengangguk dan melemparkan senyuman kepada Khadeeja. Bilik Deluxe yang bersaiz besar itu memang amat selesa untuk mereka berdua. Kamelia membuka ikatan tudungnya dan mengirai rambutnya yang mencecah bahu. Alangkah segar perasaannya kini setelah melalui perjalanan yang agak membosankan dari Malaysia. Dia menyelak tirai untuk meloloskan dirinya ke beranda. Pemandangan yang biasa dari ketinggian yang luar biasa. Namun tiupan bayu petang yang memuput lembut di wajahnya membuatkan Kamelia terlupa dia berada di tingkat berapa bangunan hotel tersebut.

‘Ijol!’ Entah mengapa nama itu yang diseru padahal kelmarin nama itu juga yang dibenci. Kejamkah aku? Membenci tanpa usul periksa, melarikan diri dari sebuah hati yang tak mengerti apa-apa? Kasihan Ijol…

‘Cincin tunang’ dijari direnung lembut. Sempatkah Ijol mengganti dengan yang baru? Tahukah dia di mana cincin itu sekarang? Atau dia merelakan cincin itu terletak di jari Zureen? Sangkaan demi sangkaan hanya menyebabkan hati Kamelia semakin pedih.

Bunyi SMS masuk mengejutkan Kamelia dari lamunannya. Dia bergerak ke tepi katil di mana dia meletakkan telefonnya sebentar tadi.

‘Sayang dah sampai ke? Saya risau sangat. Kenapa tak balas SMS. Saya dah ganti cincin yang hilang tu. Tak sabar nak tengok sayang pakai cincin yang betul. Nanti mintak emak saya sarungkan untuk sayang. Take care sayang.’

‘Macam tahu pulak aku tengah tengok cincin emak dia. Betul ada sixth sense lah dia ni…desis kamelia dalam hati.

Sesaat dua Kamelia membiarkan sahaja SMS itu tanpa dijawab. Namun jauh di sudut hati dia berasa kasihan menghukum Ijol tanpa ada bukti sahih. Akhirnya dia menitipkan sebaris dua SMS kepada Ijol.

‘Saya dah selamat sampai. Nak rehat sekejap. Ok.’ Dia menekan butang ‘send’.

Kamelia hanya membalas ‘ok’ apabila Ijol memaklumkan sudah membeli cincin yang baru. Sepatutnya dia berasa gembira kerana Ijol mengotakan janjinya. Bukankah itu menunjukkan Ijol memberikan komitmen yang sepenuhnya terhadap perhubungan mereka? Namun Kamelia tidak jadi membetulkan SMSnya itu kerana hatinya masih berteka-teki.

‘Aik! Tak balas pun.’ Kamelia merenung telefonnya tanpa berkelip.

Akhirnya Kamelia tertidur di sebelah Khadeeja yang lebih awal belayar di lautan mimpi.

***

Hari pertama seminar dijalankan adalah saat paling membosankan bagi Kamelia. Sesi hari itu lebih kepada pengenalan dan kertas kerja yang membincangkan latar belakang dan kejayaan syarikat telekomunikasi mereka di peringkat nasional dan antarabangsa.

Aktiviti mereka pula tidak habis dengan minum pagi, makan tengahari, minum petang, makan malam dan seterusnya. Makanan yang dihidangkan oleh pihak hotel juga tidak kurang hebatnya. Kebanyakan menu berasaskan makanan Indonesia, cuma kadangkala hidangan sarapan mereka ada yang ala-ala hidangan barat. Mungkin pihak hotel cuba memenuhi citarasa semua orang.

Hari kedua baharulah seminar sebenar bermula. Datuk Jeffrey yang mengetuai rombongan syarikat, sentiasa berada di barisan hadapan. Kamelia perasan, bos muda itu selalu didampingi oleh Khadeeja yang seksi dan cantik itu. Kadangkala mereka berbisik-bisik, kadangkala ketawa lucu apabila pembentang kertas kerja membuat jenaka.

“Malam ni kita jalan-jalan ke Mall nak?” pelawa Qayyum yang duduk di sebelahnya.

Kamelia menjarakkan tubuhnya dari Qayyum yang sengaja hendak dekat dengannya. Mulanya dia tidak mahu duduk dengan Qayyum, tetapi memandangkan hanya Qayyum sahaja yang dikenali secara rapat kerana mereka satu jabatan, maka dia biarkan sahaja perasaan tidak senang hati itu ke tepi.

“Tak boleh. Lagipun I nak rest. You ingat duduk lama-lama kat sini tak stress ke?” sampuk Kamelia perlahan.

“Sebab kita stress la I ajak you release tension. Jalan-jalan, cuci mata…takkan nak terperuk aje kat bilik.”

“Tak apa. Thanks kerana prihatin. Why not you ajak Deeja, I think she will follow you, if somebody allow her!”

“You bergosip ya? I pun nampak apa yang you nampak, Melia. But I think they’re just be friend, same like us here.”

“Then, try your best Qayyum.”

“But still…I nak keluar dengan you, bukannya Deeja.” Balas Qayyum berbisik di telinganya.

Kamelia menjadi geli geleman apabila Qayyum berbuat begitu. Adakah ini boleh dikategorikan sebagai ‘gangguan seksual’ atau cubaan ke arah itu? Naik seram sejuk pula apabila memikirkan tindakan Qayyum sebentar tadi. Dia tidak berani membayangkan apa akan dilakukan oleh Qayyum jika mereka tinggal berdua! Fakta yang dibentangkan oleh penceramah di hadapan langsung tidak masuk di otaknya. Ini semua Qayyum punya pasal!

Hari ketiga tanpa mendengar suara Ijol umpama ada sahaja yang tidak kena dengan hari yang dilalui. Ijol yang ingin dibenci, sebaliknya lelaki itu juga yang dirindui. Ijol yang pandai mengusik, sering mendebarkan dada dengan kata-katanya. ‘Aku yang nak merajuk, dia dulu dah rasmikan…’ Rungut Kamelia kepada dirinya sendiri.

Lewat petang baharulah seminar tamat. Sewaktu berurusan di kaunter pelanggan, Kamelia di datangi seseorang. Dia tidak kenal dengan lelaki itu, tetapi melihat cara berpakaian tentu dia ‘seseorang’ yang berpangkat di sini.

“Cik Puan, ada jambangan untuk puan.”

“Untuk saya?” Kamelia kaget.

Dia teragak-agak untuk menerima pemberian itu kerana tidak tahu siapa si pemberinya. Manalah tahu ada orang yang berniat jahat dengannya, apatah lagi sekarang dia di negara orang.

“Maaf Cik Puan, bukan ada niat enggak betul, ini dari bapak presiden.”

“Hah!? Bapak presiden?” Kamelia semakin takut.

“Bukan yang itu…maksudnya bapak presiden hotel ini…Mas Hardy…”

Hardy? Macam aku kenal dengan nama itu. Hardy? Adakah orang yang sama yang dikenali sewaktu di UK dulu? Tapi, dia memang orang Jakarta. Takkan dia pemilik hotel ini? Eh! Peliklah pulak!

“Sila ambil ya Cik Puan, Mas Hardy orang baik-baik…”

Jambangan bunga ros merah bertukar tangan. Terselit kad kecil di atasnya. Beberapa pasang mata memerhatikannya dan membuatkan Kamelia berasa malu tiba-tiba. Dengan segera dia mengambil kunci biliknya dan menuju ke lif.

***

“Bagimana kamu boleh detect saya di sini. Kamu bijak ya!” soal Kamelia sambil ketawa.

“Secara kebetulan. Saya terserempak dengan grup kamu dari Malaysia. Tak sangka dari cuba-cuba nasib saya bisa ketemu kamu lagi…”

“Ah! Kamu memang licik orangnya. So, what are you doing now? Saya dengar kamu tak habis belajar. Apa sudah jadi?”

“Lepas mantan bapak saya meninggal, somebody have to take over his position. After several discussion and having consultant from our lawyer, they decided to put me in…” ujar Hardy dengan bahasa Inggeris dan Indonesia berselang seli.

“Kamu kira bertuah lah Hardy. Macam I ni makan gaji aje.”

“Mana ada lucky jika hari-hari perlu hadapi macam-macam masalah. Setiap kali ada problem, saya jadi stress. Tapi dengan adanya kamu hari ini, sure saya tidak rasa stress lagi. Kamu selalu buat orang bahagia…”

“Terima kasih kalau itu satu pujian.”

Hardy merenungi Kamelia lama-lama di dalam samar cahaya di restoran itu. Kamelia tidak betah diperlakukan begitu kerana bimbang ia boleh mendatangkan kesan lain pada dirinya. Takut jika hatinya yang sedang berbelah bahagi ini akan terpaut pada kejujuran Hardy.

Kesunyian suasana dikejutkan dengan bunyi SMS masuk di telefon Kamelia. Dia segera membuka peti mesej dan dia hampir terloncat apabila Ijol yang menghantarnya. Dia tahu kut aku sedang berjumpa lelaki lain.

‘Sayang tengah buat apa? Makan ke? Dengan siapa? Jangan lupakan saya…p/s: Dah tak merajuk da…’

Lucunya SMS dia; gumam Kamelia dalam diam. Tanpa sengaja dia tersenyum sendiri.

“Siapa?” soal Hardy lembut.

“A…a…Kawan…”

Patutkah aku berterus terang? Rasanya tidak perlu kerana mereka bukanlah sesiapa, setakat rakan seuniversiti sahaja. Kamelia membuat pendirian begitu akhirnya. Jika Hardy hendak suka padanya pun Kamelia tidak kisah kerana hatinya kembali kasih kepada Ijol sebentar tadi. Ijol yang sentiasa ada ‘sixth sense’nya…

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.