Header Ads

NOVEL: CINTA KAMELIA 21

“Apa Zureen buat ni?”

“Saja lepak kat bilik abang. Tengok gambar-gambar masa abang tunang hari tu. Kan Zureen tak dapat ikut. Takkan abang nak marah.”

“Bukan tak boleh. Tapi tunggulah abang balik.”

“Zureen dah biasa dengan rumah ni. Orang kat rumah ni pun dah macam keluarga Zureen. Mak cik tak kisah pun…”

“Tapi abang kisah!”

“Abang Ijol berkira sangat, dengan Zureen semuanya tak boleh. Kalau dengan ‘dia’ abang sanggup buat apa aje, kan…” Zureen pura-pura sedih.

“Zureen dengan Melia…lain. Hubungan Zureen dengan abang tak lebih dari sepupu. Ingat tu.”

“Kenapa bang? Kenapa mesti lain. Kenapa abang Ijol tak macam dulu? Dulu waktu Kak Melia belum balik sini, abang selalu ajak Zureen keluar. Abang selalu temankan Zureen tengok wayang, shopping…”

“Zureen jangan salah sangka dengan apa yang abang dah buat selama ini. Abang dah anggap Zureen macam adik abang. Tak libatkan perasaan pun, Zureen. Lagipun waktu itu Zureen masih bawah umur. Dah setentunya abang kena jaga Zureen, itu kan amanah emak dan abah Zureen…” panjang lebar Ijol menerangkan kedudukan sebenar hubungan mereka.

Zureen meneleku di tepi katil milik Ijol. Ijol pula bersandar di tepi dinding biliknya. Menghadapi situasi sebegini membuatkannya berimaginasi agar pertunangannya segera dinoktahkan dengan pernikahan. Agar semua pihak faham dan mengerti anganan yang bertahun dibina untuk hidup bersama dengan Kamelia. Mungkin orang tidak nampak, kerana luarannya Ijol seorang yang sangat ‘cool’ dan tegas. Hanya Zek dan Baiti yang tahu perjalanan cintanya dan impian hidupnya terhadap gadis bernama Kamelia.

“Sekarang awak keluar, abang nak mandi.”

“Kejap lagilah Zureen keluar.”

“Keluar!”

“Abang Ijol kedekut!”

“Abang tak suka Zureen buat bilik abang macam bilik Zureen pulak. Dan abang tak benarkan Zureen masuk bilik abang sesuka hati tanpa kebenaran dari abang. Faham!”

“Sikit pun nak marah-marah…” selamba saja Zureen keluar dengan bebelan di mulut.

Ijol menggeleng-geleng melihatkan perangai Zureen semenjak kebelakangan ini. Dia tidak tahu apa yang telah merasuk sepupunya itu sehingga berperangai sedemikian, terutamanya sudah tidak menghormati dirinya sebagai seorang abang.

Ijol sedang mandi ketika telinganya terdengar bunyi pintu dibuka dan ditutup. Seingatnya dia telah mengunci pintu sebelum masuk membersihkan diri sebentar tadi. Mungkin emaknya meletakkan kain bajunya yang telah dicuci. Memang emaknya selalu begitu akan keluar masuk biliknya tidak mengira masa. Lagipun, apalah yang hendak dikisahkan. Bukankah hubungan ibu dan anak tiada batasan. Kasihnya ibu membawa ke syurga. Ijol bermonolog sambil menyapu badannya dengan syampu.

Ijol keluar dari bilik mandi dengan hanya bertuala. Dikerling sekilas jam di bucu katil, hampir pukul 10.00 malam. Malam itu dia merasakan sedikit aneh, keadaan sangat sunyi dan tidak kedengaran pula bunyi suara dari televisyen. Biasanya waktu begini abahnya masih belum tidur dan sedang melayan tayangan tengah malam di saluran Astro HBO. Baru dia teringat ketika sampai tadi tidak kelihatan kelibat emak dan abahnya di ruangan depan dan juga dapur. Kemanakah mereka?

Dia segera menyarung seluar pendeknya dengan t-shirt sebelum keluar dari bilik dengan hati yang berdebar-debar. Dia meninjau ruang dapur, tiada sesiapa di situ. Kamar kedua orang tuanya juga gelap, bermakna mereka tiada di rumah. Ijol berasa tidak sedap hati lalu menekan nombor telefon abahnya.

“Assalamualaikum…”

“Assalamualaikum…”

Ketukan keras di muka pintu membantutkan seketika niat Ijol. Dia segera membuka daun pintu. Di hadapannya berdiri beberapa orang lelaki berpakaian biasa dan ada yang bersongkok. Dia juga terlihat kelibat pak imam di kawasan perumahan tersebut yang sesekali bersalaman dengannya sewaktu solat Jumaat.

“Wa’alaikumussalam…”

“Kami mendapat maklumat yang di rumah ini ada orang bersekedudukan, berdua-duaan dengan yang bukan muhrim. Kami ingin membuat pemeriksaan untuk mendapatkan bukti mengenai aduan tersebut.”

Ijol terpinga-pinga sebentar, tidak tahu apa yang berlaku kepada dirinya. Patutlah perasaannya lain macam benar sebentar tadi, inilah jawapannya. Pihak penguatkuasa agama Islam membuat serbuan. Atas kesalahan apa? Siapa pula yang mengadu? Ahh! Buntu kepala memikirkannya.

“Astagfirullah….Awak siapa? Buat apa menyorok kat sini?” satu suara lelaki kedengaran terkejut sebaik masuk ke bilik Ijol.

Ijol ikut meninjau apa yang dilihat oleh para lelaki tersebut. Di hadapannya adalah Zureen yang bertuala sahaja sedang terpisat-pisat di balik pintu. Serta merta pandangan mata Ijol berpinar-pinar. Darahnya terus naik ke muka. Kurang ajar punya sepupu! Namun Zureen berlagak selamba. Di wajahnya tidak timbul langsung rasa terkejut atau malu dengan keadaan dirinya yang menjadi perhatian lelaki-lelaki tidak dikenali itu.

“Apa kau buat kat bilik aku hah?! Bila kau masuk sini. Bukan ke tadi…” Ijol menepuk belakang kepalanya beberapa kali. Hilang sudah rasa sabarnya. Serta merta wajah Kamelia melingkari ruang mata. Pasti tunangnya itu akan hilang rasa percaya padanya. Entah apa pula yang bakal berlaku sekiranya Kamelia tahu semua ini.

“Cik sila pakai baju, kami nak soal siasat sikit mengenai keadaan kamu berdua yang menimbulkan syak.”

Zureen berlenggang ke biliknya tanpa mengendahkan renungan amarah dari Ijol. Yes! Kau ingat kau pandai, bijak…lihatlah sekarang siapa lagi pandai dari kau orang semua! Dengusnya dengan rasa bangga yang meluap-luap.

Salah seorang daripada enam lelaki itu merekod sesuatu sewaktu mendengar butiran maklumat yang diberikan oleh Ijol dan Zureen. Ijol mati akal menangani situasi tersebut. Dia tidak rela maruahnya tercalar gara-gara perbuatan Zureen itu. Dia berfikir panjang tentang apa yang perlu dilakukan agar masalah itu dapat diselesaikan secepat mungkin sebelum Kamelia kembali ke tanahair.

“Encik…dia ni adik sepupu saya. Dah lama dia duduk dengan kami, lagipun kami bukannya buat apa-apa. Saya pun tak tahu dia ada kat dalam bilik saya. Tolonglah lepaskan saya, encik…”

“Saya berjanji akan selesaikan masalah ini malam ini juga. Saya tak mahu emak dan abah saya terkejut dengan semua ini. Saya tak tahu dia orang tak ada masa saya balik. Kalaulah saya tahu nak jadi macam ni, saya tak balik rumah pun tak apa, encik…” panjang lebar Ijol menerangkan perkara sebenar. Dia amat berharap dirinya terlepas dari tuduhan khalwat tersebut. Yang difikirkan hanyalah untuk menyelamatkan dirinya, pedulikan Zureen dengan niat jahatnya itu! Dia tidak akan sedikitpun membantu gadis lincah itu setelah apa yang telah dilakukan ke atasnya.

“Tak boleh selesai macam itu encik Ijol. Kita ada peraturan dan undang-undang. Kami minta encik dan pasangan datang ke pejabat agama untuk tindakan kami selanjutnya.”

“Tapi encik…”

“Kadang-kadang kita tak sedar yang sebenarnya kita ada membuat kesilapan, terlanjur dan macam-macam lagi masalah sosial anak muda hari ini. Walau encik cakap beratus kali pun, tetapi bukti kami kukuh malam ini. Encik berdua berada dalam keadaan yang mencurigakan. Nanti kita jumpa di pejabat agama. Asalamualaikum…”

Ijol sudah terduduk di kerusi empuk yang kini dirasakan kerusi itu tidak lagi menyamankan jiwanya. Pegawai pencegah maksiat yang dibantu oleh tok imam di kawasan perumahan mereka itu telah menunggu diluar. Akhirnya dia akur dengan keadaan yang mengheret kakinya ke pejabat agama ketika orang lain sedang lena diulit mimpi.

***

“Aini, aku ambil emergency dua hari. Ada hal penting untuk diselesaikan. Masalah keluarga. Kau tolong inform GM dan Adalia. Kalau ada apa-apa, tolong ambil mesej. Aku tak mahu diganggu.”

Selesai Ijol menelefon, Aini memaklumkan perkara tersebut kepada Adalia, pembantunya dan juga Pengurus Besar syarikat itu. Dia pun hairan mengenangkan tindakan Ijol yang seperti tergesa-gesa.

‘Kenapa pulak dengan Ijol tu?’
‘Lain macam aje bunyinya.’
‘Kamelia kan kat Jakarta, jangan-jangan…’

Pelbagai andaian berlegar dibenak Aini. Sebelum ini Ijol tidak pula begitu, sesuka hati mengambil cuti. Pelik pulak perangai bosnya itu kali ini.

“You tau apa dah jadi pada Encik Hariz?”

“Jadi apa? Yang I tahu dia ambil emergency.” Balas Aini sewaktu Adalia bertanyakan hal tersebut kepadanya.

“Ada hal lain…I dapat tau dari kawan I yang kerja kat bank depan tu. Dia kan duduk satu taman dengan Encik Hariz.”

“Hal lain? I tak fahamlah.”

Adalia merenung wajah Aini untuk memastikan bahawa gadis eksekutif itu benar-benar tidak tahu menahu tentang apa yang berlaku kepada teman baiknya itu. Hatinya berbolak balik samada untuk memberitahu perkara sebenar kepada Aini atau sebaliknya.

“Hei minah. Kata nak bagitahu hal yang menimpa Ijol. Apa dia?” Aini begitu besemangat.

“Shh! Slow sikit cakap tu, nanti semua orang dengar.”

“Aik! Macam rahsia sulit aje.”

“Memang sulit pun Cik Aini. Macam mana ni…nak cakap ke tak…” keluh Adalia perlahan.

“Apa dia, cakaplah.”

“Erm…erm…”

“Cakap!” Aini mengetuk meja Adalia agak kuat.

“Garangnya…” Adalia masih sempat mengusik Aini yang sudah tidak sabar.

Adalia membuka mulut dengan berhati-hati. Dia bimbang apa yang bakal disampaikan akan memeranjatkan Aini iaitu kawan baik bosnya sendiri.

“Dia kena tangkap.”

“Tangkap?” soal Aini tidak faham.

“Ish! You ni…tangkap khalwat.”

“What?!” kuat suara Aini dek terkejut dengan apa yang disampaikan oleh Adalia.

“Dengan siapa?” Aini menyambung kata masih dalam nada yang terkejut.

“Dengan awek dia lah…”

“Awek? Bukankah…”

“Bukan apa Cik Aini?”

Aini tidak jadi meneruskan kata-katanya. Dia tidak mahu masalah ini semakin ribut. Lagipun Ijol belum mahu mengisytiharkan yang dirinya telah bertunang dua minggu lepas. Mungkin ada alasannya dia berbuat begitu. Lebih baik dia tidak membuka mulut pasal pertunangan lelaki itu di hadapan Adalia.

“You confirm ke dengan apa yang you cakap ni, Adalia? Tapi, tak pulak dia cakap dengan I masa telefon tadi. Tapi dengar suara dia tadi memang tidak ceria. Macam ada masalah berat.”

“Tak sangka kan Encik Hariz macam itu. Nampak baik tapi…”

“Kita belum pasti dengan cerita ini lagi, Adalia. Don’t simply judge your boss like that. Dia pun ada hati dan perasaan. Kita tak boleh dengar khabar angin aje, kena confirmkan dari tuan punya badan sendiri.”

“Takkan bos kita tu nak cerita. Mestilah malu.”

“You ni kan…kalau hentam bos sendiri, bukan main. Dah buat kerja tu. Don’t gossiping…” tegas Aini mengingatkan.

Adalia hanya tersenyum mendengar arahan keras dari pegawai eksekutifnya itu. Sikap Aini kadangkala boleh dilayan, tetapi kadangkala dia menunjukkan sisi sebenarnya sebagai seorang yang tegas dan berpengalaman.

***

“Saya tak mahu. Walau apa jadi saya tak akan berkahwin. Saya diperangkap mak cik…pak cik…”

“Mana kami nak letak rasa malu kami pada orang kampung Ijol. Dah lah selama ini kami disingkir kerana miskin, sekarang bala ni pula menimpa. Apalah nasib kami…”

“Itu bukan masalah saya. Maaflah kalau kata-kata saya agak kasar, mak cik. Tapi saya tak boleh terima semua ini. Saya dah bertunang. Lagipun, saya memang tak ada perasaan pun pada dia. Saya dah anggap Zureen macam adik saya sendiri. Kalau saya tahu nak jadi macam ini, saya tak ingin tolong dia, mak cik. Tapi sebab saya fikirkan yang dia nak sambung belajar, saya bayarkan kos belajarnya. Kami sanggup tanggung dia duduk dengan kami. Sekarang ini yang kami dapat. Baik mak cik nasihatkan si Zureen tu, saya tetap dengan keputusan saya.” Ijol menahan nafas yang turun naik dek kerana menahan rasa marah yang membara di dalam dada.

Ijol menyambung, “Kalau dia rasa dengan cara ini dia boleh kalahkan saya, boleh putuskan pertunangan kami, dia silap besar, mak cik, pak cik…walau apa terjadi, saya tetap akan pertahankan hubungan saya dengan Kamelia. Dia sorang saja wanita dalam hidup saya!”

Selepas berkata begitu Ijol terus mengangkat punggungnya. Emak dan abahnya yang sedari tadi mendiamkan diri mula bersuara.

“Kami tak boleh nak kata apa, Su. Dia yang buat keputusan. Sebenarnya kami pun tak tahu apa terjadi malam itu. Kami tak ada kat rumah, kami keluar sebab ada urusan hari itu. Tiba-tiba aje Ijol kata dia kena tangkap dengan Zureen. Bila saya tanya Zureen, dia diam aje. Macam ada ‘benda’ terjadi, tapi…entahlah. Hanya Ijol dan Zureen saja tahu apa yang berlaku.”

“Tapi kakak kan boleh nasihatkan dia. Bertanggungjawablah sikit! Jangan pakai lepas tangan aje!” sampuk suami Suhaila dengan nada berang. Dari tadi dia sengaja mengunci mulut kerana malu dengan Ijol yang selama ini banyak membantu keluarga mereka. Tetapi sekarang Ijol tiada, mungkin sudah masuk ke kereta. Jadi, dia bebas bersuara.

“Nak buat macam mana San. Tadi kau tak dengar apa dia kata. Dia di perangkap! Sebab masa pencegah maksiat datang, dia kat luar. Bukannya berdua-duaan dalam bilik dengan anak kamu. Cuba fikir guna akal kamu tu kalau cakap.” Abah Ijol menyampuk. Dia bukan meyebelahi mana-mana pihak, tetapi Hassan, adik iparnya itu kadangkala cukup pedas bicaranya.

“Ala bang…tepuk sebelah tangan takkan berbunyi!” sampuk Hassan masih tinggi suaranya.

“Memang lah tak bunyi sebab si Ijol tu tak sambut tangan anak kamu. Anak kamu yang tepuk sendiri! Sudah lah Hassan, Suhaila…kami nak balik dulu. Buat sementara ni biarlah kami serahkan balik Zureen pada kamu. Kami tak mahu nanti timbul masalah lain pulak.”

Emak dan ayah Zureen tidak memandang pun ketika kereta Mitsubishi Lancer Ijol membelah laju meninggalkan halaman kecil rumah mereka. Zureen di bilik mengintai di sebalik tingkap. Dia tersenyum puas dapat memporak porandakan sekejap kehidupan Ijol. Ini baru permulaan…dengusnya kasar. Kau akan kenal siapa aku, Ijol! Tambahnya sambil tangannya menumbuk dinding bilik.

***

“Habis, apa kau nak buat sekarang?”

“Entahlah Zek. Tunggu dan lihat dulu. Lagipun Melia belum tahu.”

“Kau tak nak SMS dia. Bagitahu dia apa yang sebenarnya. Jangan sampai dia tahu dari orang lain. Niaya nanti…”

“Aku tak sampai hati lah beb. Dia jauh, nanti sedih dia. Dia baru terima aku sepenuhnya, aku tak nak nanti dia terus mengundur diri.”

“Aku tengok ego dia pun boleh tahan tu. Macam lah kita baru kenal dia…he…he…”

Ijol tersenyum pahit. Siapa yang tidak kenal akan kegarangan Kamelia ketika bersekolah dahulu. Habis semua budak lelaki takut mendekatinya. Zek pun selalu menjadi bahan kemarahan Kamelia. Mungkin waktu itu dia bertindak melindungi dirinya sendiri, ya lah, pelajar cantik di sekolah, sesiapa saja pasti teringin menguratnya. Itulah sebabnya dia menonjolkan sisi negatif dirinya. Agar dirinya kurang mendapat perhatian. Tanpa sedar dia tersengih-sengih mengenang memori itu.

“Hei…dalam kalut pun masih tersengih.”

“Habis kau dah bukak cerita lama, aku pun terkenanglah…”

“Aku tahu apa yang buat kau tersengih sorang-sorang…”

“Pasal ‘budak gila’ dengan ‘minah garang’!” serentak Zek dan Ijol bersuara. Akhirnya kedua-duanya ketawa berdekah-dekah.

“Sebenarnya apa jadi malam tu?”

“Aku kena tangkap lah! Kau ni tak faham-faham.”

“Ya, aku faham. Sebelum itu…”

“What you mean?”

“Hei rileks lah…”

Ijol kembali beremosi. Fikirannya sarat dengan dendam dan amarah. Tiba-tiba seraut wajah Zureen bermain-main di ruangan mata. Sengihannya lebar ketika di tangkap. Apa makna semua itu? Mungkinkah Zureen sengaja menjebak dirinya sendiri dengan menelefon pencegah maksiat tersebut? Apa motifnya? Cemburu?

“Aku tak ada apa nak cerita kat kau. Semuanya macam dirancang. Kau taulah sepupu aku tu, dah lama duduk dengan keluarga aku. Dulu elok aje perangainya…lepas Melia balik aje, aku tengok dia totally changed. Dari pakainya sampailah perangainya. Kau ingat kenapa Zek?”

“Apalagi…cemburulah tu. Lagi pulak kau dah tunang dengan Melia dalam masa yang singkat. Lagilah dia kelam kabut. Baik kau berhati-hati, Ijol.”

Ijol mengangguk lemah.
Advertisement

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.