NOVEL: UKIRAN JIWA 5

loading...
Hanan Lim meletakkan kunci kereta di tepi kepala katil. Jam sudah menunjukkan pukul 12.30 malam. Fikirannya berasa tenang, seperti damainya ombak petang di tepi pantai.Hatinya bernyanyi riang kerana sebentar tadi dia dapat berdua-duaan dengan Lisa Hanani, gadis manis yang baru sahaja berjaya merobohkan tembok cinta yang dibina terhadap kaum wanita sebelum ini. Gadis yang biasa sahaja pada pandangan mata Kay, jururawat yang dikenali lewat kemalangan tidak lama dahulu. Benar kata orang, hanya jauhari yang mengenal manikam!

“Sebenarnya saya tak nak menyusahkan awak. Tapi kereta ni meragam, saya lupa dah beberapa hari saya tidak isi minyak. Maaflah kalau saya menyusahkan awak, Encik Hanan.”

“Hm...biar saya fikir. Memang menyusahkan saya!”

“Lain kali saya tak akan ganggu Encik Hanan lagi. Saya janji!” bergetar suara Lisa Hanani sewaktu menuturkan ayat tersebut.

“Tak menyusahkan sebenarnya. Dengan syarat awak jangan terlalu formal dengan saya. Dah malam macam ini, dengan saya yang bert-shirt dan berjeans, saya bukan lagi seorang peguam. Saya orang biasa macam awak. Jadi panggil saya Hanan saja, lebih rileks, lebih dekat.”

Lisa Hanani tersenyum lega mendengar penjelasan dari peguam muda itu. Sebentar tadi dia bimbang jika dia benar-benar menyusahkan Hanan Lim.

“Boleh kita berkenalan semula? Sebab saya rasa awak macam menghindari saya. Rupa saya ni macam rimau ke, sampai awak takut nak call sejak saya beri kad dulu?”

“Rasa tak perlulah, Encik...”

“Di denda!” tegur Hanan Lim apabila Lisa Hanani masih mahu memanggilnya secara rasmi.

“Rasa tak perlu kita ulang semulalah, Hanan. Sekarang ni saya terhutang budi sangat pada awak. Dah lah awak kena ambil saya, kemudian belanja saya makan, lepas ni hantar saya balik pulak! Saya rasa kita ni macam dah kenal lama. Sepatutnya awak tak layan perkara remeh dari perempuan yang tak hargai salam perkenalan awak dulu.” ulas Lisa Hanani malu-malu.

“Bagus...saya suka. Awak ni tak macam perempuan lain yang saya kenal. Awak berhati-hati dalam menuturkan kata-kata, awak nampak matang dalam kelembutan awak tu. Bukan semua wanita zaman sekarang ni macam awak...mungkin awak satu dalam seribu. Pandai ibu bapa awak didik awak ya.”

“Pujian awak tu melambung sangat, Hanan. Saya orang biasa yang tak layak di puji macam tu. Tapi kalau awak rasa saya ni seorang yang positif, ya...memang itu betul.”

“Saya nak tanya sikit. Awak buat business komputer aje ke?”

“Yap!”

“Betul ke?”

“Kenapa?”

“Tapi saya macam pernah nampak awak kat satu acara sebelum ini.”

Wajah Lisa Hanani memerah. Takkan dia tahu apa yang aku buat? Seorang peguam pun berminat dengan dunia fesyen ke? Tak mungkin! Hati Lisa Hanani tertanya-tanya.

“Ya lah! Saya rasa saya pernah nampak awak kat...”

“Kat mana?” sampuk Lisa Hanani pantas.

Hanan Lim menggosok tengkuknya sambil cuba mengingat peristiwa tersebut.Tetapi tidak pasti di mana dia pernah ternampak Lisa Hanani. Makin lama semakin buntu pula memorinya.

“Saya rasa awak nampak perempuan lain, awak ingat saya. Dalam dunia ni kan ada tujuh wajah yang serupa.” jawab Lisa Hanani lembut.

“Mungkin!” ujarnya lemah.

Hah! Baru dia teringat. Di Sheraton Hotel...dia buat pertunjukan fesyen muslimah. Hanan Lim yang sebentar tadi berbaring sambil berangan tentang pertemuannya dengan Lisa Hanani, kini bangun dan duduk di birai katil. Hanan Lim pasti benar wanita itu dan Lisa Hanani adalah orang yang sama.

Hanan Lim kembali baring dan cuba melelapkan mata tetapi masih tidak mahu lelap. Dia meneliti organizer dan menyemak jika esok dia perlu bergegas ke pejabat. Akhirnya setelah pasti tiada janji dengan pelanggan di awal pagi, dia merancang untuk menjemput Lisa Hanani di rumahnya. Serta merta dia mematikan lampu dan ingin segera tidur agar esok pagi dia tidak terlewat bangun.

***

Dari jauh dia ternampak Lisa Hanani tergesa-gesa ke tepi jalan untuk mengambil teksi. Setelah yakin wanita itu belum memanggil teksi, dia memperlahankan keretanya dan berhenti betul-betul di hadapan gadis berblaus hijau pucuk pisang itu.Lisa Hanani terkejut apabila ada kereta berhenti di hadapannya dan kembali senyum apabila cermin kereta di turunkan.

“Jomlah...saya hantarkan. Kan kereta awak masih mogok kat ofis semalam.”

“Tak apalah. Saya naik teksi.”

“Nanti terlambat. Teksi pun susah pagi-pagi macam ni. Cepatlah...asyik jual mahal aje dengan saya.” Hanan Lim pura-pura merajuk.

“Ya ke?”

“Naiklah!”

Oleh kerana Hanan Lim beriya-iya mempelawa, maka Lisa Hanani pun mengikut dengan berat hati. Dia bimbang kelak hubungan itu memerlukan balasan. Dia belum bersedia untuk dilukakan lagi. Bisa luka semalam masih bernanah. Itu semua gara-gara cinta dua darjat yang tidak kesampaian. Mengingatkan Azman, hatinya kembali sedih. Kalau boleh dia tidak mahu dibayangi lagi...

“Lisa...”

“Lisa!”

“Hei, Lisa...are you okey?”

Intonasi Hanan Lim kedengaran risau. Cepat-cepat Lisa menarik balik kenangan silam yang mahu singgah di mindanya.

“O...okey. I'm fine.”

“Pagi-pagi dah berangan.”

“Saya nampak macam orang yang tengah berangan ke?” soal Lisa Hanani kembali.

“Awak tengah fikir soal apa?”

“Saya tak fikir apa-apa pun. Cuma rasa penat sikit. Sebab balik lewat malam tadi, kut.”

“Salah saya juga.Saya yang paksa awak temankan saya makan, kan. Since awak rasa macam itu, apa kata kita pekena kopi dulu sebelum masuk kerja.”

“Awak mesti cari peluang nak belanja saya makan atau minum, kan? Saya naik segan pulak.”

“Setakat belanja awak apa salahnya, Lisa. Sambil minum boleh juga kita tukar-tukar pandangan. Supaya lebih kenal antara satu sama lain...”

Lisa Hanani rasa terpana apabila Hanan Lim menuturkan ayat tersebut. Bukankah itu suatu petanda? Permulaan yang boleh mengkucar kacirkan perasaan pada akhirnya. Dia tidak mahu menjadi mangsa lagi. Cukuplah sekali...

“Kenapa awak diam?”

“Saya...saya nak cepat. Ada hal nak kena settlekan hari ini. Boleh tak kalau saya tak temankan awak minum?”

“Kenapa?”

“Ada hal sikit.” jawab Lisa Hanani ringkas.

Percaya kepada kata-kata Lisa Hanani, lelaki itu terus menghantar Lisa Hanani ke pejabatnya. Selepas menurunkan gadis itu, Hanan Lim memandu terus ke pejabatnya walau hari masih pagi lagi.

***

Lisa Hanani menghadap skrin komputernya tanpa berkelip. Hari ini kenangan silam itu datang lagi. Cinta pertama yang tidak membawa bahagia. Cinta yang manis pada awalnya, berakhir dengan tragedi. Pilihan keluarga terpaksa dituruti demi menjaga darjat dan takhta kekayaan. Azman...dimanakah kau kini? Bahagiakah atau sama menderita seperti aku? Masih ingatkah kau padaku? Rintih Lisa Hanani seorang diri.Tanpa dipaksa, titis-titis jernih mengalir lesu di pipinya yang licin. Entah bila derita hati ini akan berakhir, tak siapa tahu.

“Kerana sayang aku terpaksa lepaskan kau, Lisa.Aku tak sanggup mereka memijak-mijak maruah kau. Aku tak akan benarkan, Lisa. Selagi aku masih bergelar kekasih, selagi itu aku bertanggungjawab ke atas kau. Itulah janji yang aku pegang!”

“Aku tak kisah, Man. Yang penting kita akan terus bersama ke akhir hayat.”

“Cakap tidak sama dengan kesannya, Lisa. Jika aku terpaksa berkorban, anggaplah ini hadiah di atas kesabaran dan kesetiaan kau selama ini.”

“Dengan perpisahan ini? Ini yang kau katakan pengorbanan? Aku yang terkorban sebenarnya, Man. Akulah mangsa di atas pengorbanan yang kau lakukan itu. Aku benci kau!” tangisan mengiringi ayat-ayat yang dituturkan.

Tangisan dan airmata adalah teman setia wanita yang kecewa. Itulah tradisi yang belum bisa diubah.

“Bencilah aku kalau itu boleh membuat kau bahagia. Jika itu boleh membuatkan kau lupa pada aku, Lisa!”

Aku belum mampu!! Jerit Lisa Hanani. Tanpa sedar ia telah didengari oleh seseorang di luar biliknya.

***

“Lisa...”

“Awak okey ke?”

Lisa Hanani terkejut seketika apabila seseorang menegurnya dari belakag. Dia segera mengesat air mata yang jatuh di pipi.

“Saya okey Kalsom. Saya tak apa-apa.”

“Semasa saya sampai saya dengar Cik Lisa menangis, so saya ingat sesuatu telah berlaku.”

“Terima kasih sebab prihatin. Nasib baik bukan Baharom yang datang tadi...” Lisa Hanani cuba tersenyum.

“Kalau dia kenapa?”

“Malulah saya Kalsom bila orang lelaki nampak. Biar kita tunjukkan yang kita ni kuat, baru dia orang respek.” jawab Lisa Hanani.

“Kenapa tadi cik Lisa menangis?” Kalsom cuba mengorek rahsia.

“Kisah lama...dah dekat dua tahun. Patutnya saya dah lupakan, tetapi tak boleh. Saya tak mampu, Kalsom.” ujar Lisa Hanani dengan nada sedih.

“Semalam cik Lisa gembira aje...”

“Oh!! Awak perasan ya? Ha! Awak intai saya ke?”

“Bukan cik Lisa. Ya lah, semalam gembira...tak sangka pulak hari ini dah jadi lain.” jawab Kalsom segan-segan.

“Hati Kalsom...tak boleh nak dijangka. Ada benda yang mengusiknya, mula lah dia buat hal...”

“Kesan kisah cinta lama ke?”

Lisa Hanani yang cantik berlipstik merah samar hanya terdiam. Tidak mengiya atau menidakkan pertanyaan dari Kalsom itu. Bukan sekarang masanya untuk menceritakan tentang dia dan Azman. Kerana masanya tidak sesuai. Dilihat sedang menangis oleh stafnya pun sudah membuatkan Lisa Hanani berasa segan.

“Walau apapun sebabnya Cik Lisa, hati yang sedih boleh dirawat. Kita ubati ia dengan zikir dan doa kepada Allah. Insya'Allah nanti ia sembuh.”

“Ya. Saya pun setuju pendapat awak tu. Hai...macam ada pengalaman aje Kalsom.”

“Hidup kan satu perjalanan untuk mengutip pengalaman...” ujar Kalsom berfalsafah.

“Nasib baik ada penasihat untuk hati yang sedih kat sini...” ucap Lisa Hanani ketawa perlahan.

“Kalau gitu, saya doakan hati cik Lisa cepat sembuh. Bila dah sembuh, bolehlah cari pengganti...” tutur Kalsom dengan positif.

“Awak ni, ke situ pulak. Tapi okey juga kan. Awaklah tolong carikan.”

“Kalau cik Lisa izinkan...”

“Mudah-mudahan.”

***

Hanan Lim memeriksa fail-fail pelanggan yang bertimbun di atas meja. Sepatutnya Jenny membantu membereskan mana yang patut, tetapi nampaknya wanita rakan kongsinya itu kerap masuk lewat dan pulang awal dari pejabat sejak akhir-akhir ini. Akibatnya, Hanan Lim yag terpaksa bersengkang mata sehingga ke malam menyelesaikan semua kerja yang tertangguh.

Kelmarin Ros mengadu hal tentang budak pejabat yang sering masuk lewat. Berkali-kali juga telah dinasihatkan, tetapi Rosman tetap tidak makan saman. Untuk diberhentikan, kasihan pula. Ada juga Hanan Lim mendengar cerita tentang masalah Rosman. Apa lagi masalah anak muda kalau bukan duit! Dia juga ada mendengar yang Rosman membuat kerja 'part time' di sebelah malam untuk mencari duit lebih. Mengingati budak bernama Rosman itu, hanya menambah sarat kepala Hanan Lim ditambah dengan kerenah Jenny semenjak kebelakangan ini.

“Encik Hanan, Rosman belum masuk lagi.”

“Dah pukul berapa ni?”

“Dekat pukul 11.00 pagi Encik Hanan.”

“Cari dia. Kalau dapat hubungi dia, sambungkan pada saya.”

Ros mengangguk mendengar arahan dari Hanan Lim. Bosnya itu baik hati dan bertimbangrasa orangnya, tetapi budak Rosman ini memang sudah lebih sudu dari kuah. Di beri betis nak peha! Bebel Ros yang juga sudah bosan mendengar alasan demi alasan yang dicipta oleh Rosman.

“Dokumen yang saya suruh hantar ke Balqis & Co tu, dia dah hantar belum?”

“Tak pasti Encik Hanan. Tapi saya dah serahkan dua hari lepas.”

“Dia tahu tak fail itu urgent? Pelanggan nak tandatangan cepat. Kalau hari ini pun belum sampai kat sana, habis kita nanti.”

“Nanti saya tanyakan kat dia.”

“Suruh dia jumpa saya nanti!” suara Hanan Lim kedengaran keras.

Ros mengangguk sahaja mendengar arahan dari bosnya itu. Ketika mahu keluar dia berselisih dengan Jenny yang mahu masuk ke bilik Hanan Lim.

“Hi, good morning my dear partner!”

“Hi...how is your day?” soal Hanan Lim acuh tak acuh.

“The finest day in my life, dear. How about you?” soal Jenny manja.

“Rosman tu memang menyusahkan. Orang ambil dia kerja untuk mudahkan urusan, ini tidak. Makin menyusahkan pulak.”

“Si Rosman tu...”

“Ya lah! Berapa Rosman kita ada?”

“Okey! Okey! Janganlah marah-marah...jom kita breakfast dulu.”

“Nanti I fikirkan.”

“Hei Hanan! Come onlah...nak breakfast tak perlu fikir. Tanya perut you tu, lapar atau tidak?”

Pagi tadi dia mempelawa Lisa Hanani tetapi gadis itu menolak dengan alasan. Setiap kali dia menghulur bantuan, gadis itu semakin menjauh. Aku pulak nampak seperti orang yang terhegeh-hegeh. Keluh Hanan Lim.

“Apasal pagi-pagi dah mengeluh. Jomlah. Dah lama kita tak breakfast sama-sama.”

Tanpa bertangguh lagi, Hanan Lim mengambil telefon bimbitnya dan mengekor Jenny dari belakang. Semasa lalu di hadapan Ros dia meninggalkan pesan yang dia keluar sebentar.

“Nak breakfast kat mana?”

“Mc Donalds. Kita pekena bubur nak?” soal Jenny manja.

“I ikut aje.”

“Mc Donalds kan tempat makan kegemaran you. Dari dulu lagi...since kita kat Australia.”

“Sekarang dah lain. I dah jarang masuk Mc Donalds.” jawab Hanan Lim datar.

“Oh! Really?”

“Hm...”

“Sekarang tukar mana? KFC pulak? Atau kedai mamak...” Jenny ketawa mengekeh.

“Suka hati you lah Jenny nak sebut seratus tempat ke apa... tapi sekarang I dah tak macam kat Australia dulu.”

Jenny hanya tersenyum kelat. Memang Hanan Lim sudah bulat hati mahu menunjukkan yang hubungan mereka sekadar rakan kongsi, tidak lebih dari itu. Kalau tidak, mengapa dia sedikit demi sedikit mahu mengubah kelaziman mereka? Jenny kini baru sedar yang dia tidak boleh mengharap lagi.

“I tanya sikit boleh? You dah ada pengganti ke? Siapa?”

“I think kita share partner for the company only, right! So, personal thing I tak share dengan you.”

“Sama line dengan kita ke? Or somebody else...”

“I tak berminat, Jenny. Jangan paksa I, okey.”

Jenny mengocak milo panasnya dengan sudu. Sosej yang dipesan cuma separuh yang disentuh.

“Atau...yau nak tahu tentang I?” goda Jenny semula.

“Suka hati you.”

Hanan Lim kurang memberikan perhatian.

“I sekarang dengan Daus. Firdaus bin Datok Johan.”

“Oh! Really. Quite interesting. Sekarang you cari ikan jerung pulak lah ya.”

Jenny tidak berasa hati. Dia hanya ketawa apabila disindir begitu oleh Hanan Lim. Selaku bekas kekasih (ketika di Australia) dan sekarang mereka berkongsi firma guaman, Jenny sedar kadangkala Hanan Lim memang lepas laku dan kata-kata.

“Dia baik, caring, selalu dengar cerita hidup I...”

“Jenny! Jenny! You jangan simply tabur cerita pada orang yang you baru kenal. Kita tidak tahu niat orang apabila berkawan dengan kita. Kawan untuk minum...kawan untuk masa makan, ramai. Tapi kawan yang tolong bayarkan apa yang you makan atau minum tu, susah nak cari. I harap you faham apa yang I cakap ni. Walau kita sekadar rakan kongsi, I rasa ada benda yang you kena handle with care tentang diri you tu. Okey!” Hanan Lim menitipkan pesanan ikhlas.

Jenny rasa amat terharu. Lelaki yang sentiasa bertakhta di hatinya itu masih lagi bersikap penuh tanggugjawab. Beruntunglah wanita yang bakal memiliki Hanan Lim ini. Fikirnya dengan hati yang sedih.

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.