Menu
Oh! MyKarya!

PUISI: MENCARI REDHAMU

Malam hening ini di penghujung bulanMu
tiada bintang mengerdip memberi izin
buat mencari sinar yang dikhabarkan
menanti benih redhaMu
yang bisa Kau tunjukkan
jika melihatnya dengan mata iman

aku serahkan
penghakiman ini padaMu Ya Tuhan
kerana dalam mengaku sujud
ada ruang-ruang yang tak ku isi penuh
ada rongga-rongga dusta yang bersahutan
merampas khusyukku

Ya Tuhan
bulan seribu tahun yang kau hadiahkan
ku kutip tidak separuh pun
ku hidu tak terbau pun
ku dakap tak terasa pun
ku tinggalkan tak terkesan pun

Apakah aku yang bersalah?


7.20 pagi, Rabu
menjelang beberapa hari sebelum Ramadan pergi...

Malam hening ini di penghujung bulanMu tiada bintang mengerdip memberi izin buat mencari sinar yang dikhabarkan menanti benih redhaMu yang b...
Unknown Sep 16, 2009
Oh! MyKarya!

CERPEN: BENGANG

“Hello brader! Cantik motor!”

“Ini mesti mahal, kan. Berapa beli, bro?”

“Cantik siot…”

Ray tidak puas hati selagi sapaannya tidak dilayan oleh lelaki berhelmet dan berkaca mata hitam itu. Dia datang menghampiri si empunya motor yang berbadan agak kecil dibandingkan saiz motornya yang besar. Harley Davidson lah katakan! Mana ada motor mewah itu bersaiz kecil.

“Hai…saya Ray. Jarang nampak kat sini? Orang baru ke?”

Sapaannya hanya dibalas dengan anggukan. Fuh! Kulit muka dia punyalah licin, macam perempuan. Ini mesti selalu pergi spa atau salon, buat facial; fikir Ray di dalam hati. Dia ingin berbual lagi tetapi lelaki itu seperti tidak mahu melayannya berbual. Ah! Mungkin belum kenal dengan aku; fikirnya lagi.

Ray cuba mencari geng-geng motornya yang biasa lepak di warung tersebut, tetapi hampa. Kuzat dan Boing tidak kelihatan. Ke mana pula mereka melepak kali ini? Kurang asam dia orang, tak pelawa aku sekali! Bebel Ray sambil masuk ke dalam Honda Accordnya semula. Dek kerana geram, dia menekan minyak dengan kuatnya dan Honda Accord itu menderum laju membelah kesibukan di kawasan warung terkenal itu.

“Apalah punya mamat, dikatanya aku lelaki. Tak nampak ke body aku yang ramping ni…” rungut Anabella kepada geng-gengnya.

Mereka ketawa serentak mendengar bebelan dari mulut comel Anabella. Siapa pun tak menyangka yang Anabella itu perempuan. Gayanya berpakaian lengkap dengan jaket kulit dan sarung tangan ‘Harley Davidson’ tidak menonjolkan ciri-ciri kewanitaan yang ada pada dirinya.

“Tapi kau pakai macam tu, memang nampak macam boy lah, Bella. Bila kau buka helmet aje, kau bukak jaket kau itu, sure banyak yang melopong…” usik Akim di hadapannya.

“Alah…lagi bagus macam ni. Aku pun selesa dengan korang.” Jawab Anabella.

“Kau nak ikut tak kita orang punya trip minggu depan. Ingat nak konvoi ke Langkawi. Kalau nak, cakap awal-awal. Takut tak ada tempat kosong. Kita orang tak nak konvoi ramai sangat, susah nak handle.” Jebat yang lebih berumur daripada mereka berenam membuat pengumuman ringkas.

Rakan-rakan lelakinya yang lain mengangguk tanda setuju menyertai konvoi tersebut. Masing-masing memandang Anabella menunggunya membuka mulut.

“Aku tak boleh ikut. Ada fashion show!”

“Okey lah kalau gitu. Ada apa-apa perubahan, call aku tau.” Jebat mengingatkan Anabella. Gadis berlesung pipit itu mengangguk deras.

***

‘Aik! Motor ni macam pernah aku nampak, tapi kat mana ek?’

‘Ah! Kat dunia ni pun ramai orang pakai Harley Davidson macam ni!’

‘Tapi…macam biasalah motor ni!’

‘Mungkin mamat yang aku jumpa kat warung hari itu. Eleh! Baru naik Harley Davidson dah sombong. Tak tegur orang. Piraah..!’ Ray berlalu melepasi motor besar itu sambil merungut-rungut.

Ray berjalan pantas ke kedai jam untuk mengambil jam tangannya yang rosak. Tidak jauh dari situ ada pertunjukan fesyen yang menampilkan model-model tinggi lampai yang cantik-cantik semuanya.

Selepas mengambil jamnya, Ray mencuci mata menonton pertunjukan fesyen di tengah pentas di kompleks membeli belah tersebut.

‘Fuh! Cantik-cantiknya awek. Rambang mata nih! Hish!...’ Ray begitu teruja melihat lenggok model-model menggayakan pakaian kasual ciptaan pereka terkenal.

Matanya tiba-tiba tertancap pada seraut wajah jelita yang menggoda jiwanya. Jiwa muda yang minta dikasihi dan disayangi. Perasaan murni itu datang tanpa dipaksa. Tanpa sedar, langkahnya singgah di belakang pentas ketika acara sudah selesai. Dia ingin menghulur salam perkenalan kepada model jelita tersebut.

“Cik, boleh tolong panggilkan model yang gayakan baju warna purple tadi, tak?”

“Encik ni siapa?”

Model Cina tinggi lampai itu memandang Ray dari atas ke bawah. Tak handsome ke aku? Aku pun tak kalah tingginya…ops! Ini mesti sandal yang aku pakai menyebabkan matanya menelek aku sampai naik juling. Tolonglah! Itu bukan ukuran kewangan seseorang, okey! Ray menyumpah berbakul-bakul di dalam hati.

“Encik ni siapa? Kenapa nak jumpa dia?”

“Saya peminat dia. Nak minta autograph…he…he…” Ray tertawa sinis.

Model Cina itu menghilang ke dalam bilik persalinan dan keluar semula dengan muka yang angkuh.

“Maaf, dia sibuk. Tak boleh diganggu.”

“Keluar sekejap pun tak boleh ke?”

“Tak! Haiya…orang tak mau jumpa, pergilah.” Model Cina itu terus berlalu tanpa mengendahkan Ray yang tidak mahu berganjak.

“Eh! Moi…sapa nama dia?”

“Bella!”

***

Anabella mengintai disebalik tabir. Lelaki yang menggelarnya ‘brader’ ingin bertemunya? Apa dia nak? Takkan dia dah tahu yang aku ni perempuan, kecoh betul. Ada cari aku sampai kat sini…nasib baik Molly pandai menipu.

Dia memerhatikan lelaki itu pergi dengan wajahnya yang kecewa. Dia masih bengang apabila lelaki itu menganggapnya ‘lelaki’, siap tengok dan belek motornya sekali. Memang dia lelaki tak tahu malu. Tak kenalpun, dah ‘friendly’ semacam. Agaknya dengan semua orang macam tu, lagi-lagi dengan perempuan cantik. Dia ingat senang nak ‘tackle’ aku? Seorang Anabella yang berjiwa kental!

***

“Brader! Lama tak nampak lepak kat sini? Ada port baru ke?” tegur Ray yang tiba-tiba muncul di samping Bella.

Nyaris tangannya terlepas dari pegangan motornya, nasib baik kakinya sempat menahan motor besar itu dari tergolek. Kalau tidak, alamat malu satu warung mentertawakannya. Geram betul dengan mamat handsome ni, asyik nak mengekor je kerjanya. Dalam ramai-ramai brader motor yang lepak kat situ, aku juga yang ditujunya. Apalah nasib badan…

“Jomlah kita lepak sekali. Aku minat dengan motor besar ni, tapi takutlah nak bawak! Pernah accident. Tu yang jadi ahli menganggur terhormat dalam kelab motor besar ni…” tanpa diminta Ray terus bercerita mengapa dia tidak membawa motor lagi.

Anabella hanya mendengar, tidak mahu langsung membuka mulutnya. Lama kelamaan Ray mulai bosan kerana bercakap seorang diri.

“Kau okey ke brader? Aku tengok senyap je. Kau dengar tak apa aku cerita?”

Anabella menunjukkan isyarat tangan yang dia tidak faham butir bicara lelaki di sampingnya itu. Ray pula menyangkakan ‘brader’ di sebelahnya itu bisu dan pekak dari isyarat yang ditunjukkan.

“Laa…bisu rupanya! Patutlah sunyi senyap je. Bazir air liur aku je cerita bagai nak rak…” rungut Ray kepada dirinya sendiri.

Ray beredar sebelum menepuk bahu Anabella tanda memohon maaf.

***

Kah! Kah! Kah!

Koh! Koh! Koh!

Geng-geng mat motor yang sedang melepak di warung itu ketawa terbahak-bahak mendengar cerita dari mulut Anabella.

“Apa dia buta ke? Perempuan secantik Bella dipanggilnya lelaki, lepas tu dia kata kau bisu, pulak! Kelakar betul jantan tu…sah-sah tak tahu mengurat pompuan ni…” abang Jebat menyambung tawanya.

“Ya lah…buta hati!” sambut yang lain.

“Hari tu masa fashion show, dia kejar aku sampai belakang pentas. Nak berkenalan…eii, takut aku. Aku rasa dia cam motor aku la…”

“Hai Bella…terima ajelah. Dah ada orang nak berkenalan…jangan jual mahal sangat, nanti tak laku…”

“Bukan tak laku, aku takut dia terkejut beruk bila tahu yang kau ni pompuan, cantik pulak tu. Menyesal dia panggil kau brader!” ujar rakan Bella yang memakai topi pula.

Anabella tersenyum penuh makna. Ada-ada saja gurauan mereka yang membuatkannya senang bergaul dengan kumpulan penunggang-penunggang Harley Davidson itu.

***

“Aku rasa tak ada pulak brader naik motor Harley yang macam kau cakapkan tu…kau salah tengok tak.” Kuzat menelan mee gorengnya dengan lahap.

“Ada beb! Baru semalam aku tegur dia, pun macam yang aku cerita dulu, lagak sombong beb! Punyalah sakan aku cerita, dia dok diam aje. Rupa-rupanya brader tu bisu. Tak ada suara…” Ray ketawa mengekeh sambil mengingati kejadian semalam.

“Tak baik kau ketawakan orang bisu…mereka manusia juga.”

“Bukan aku ketawakan dia tu bisu, pekak. Tapi aku ketawakan diri aku sendiri. Dari dulu tak perasan yang dia tak dengar apa aku cakap.”

“Betullah Ray, aku rasa kau silap tengok.” Ujar Boing pula.

“Tak! Aku yakin brader bisu tu memang naik motor Harley yang aku cakap ni. Kau orang yang tak peka. Lepak ramai-ramai pun tak nampak.” Ray tetap mempertahankan dirinya.

“Eh! Kau citer sikit, apa warna motor dia, nombor platnya ke, atau apa-apa yang boleh buat aku ingat.” Boing terus berminat dengan perdebatan mereka itu. Kuzat ikut mengangguk.

Dengan bangganya Ray memberikan maklumat tentang ‘brader’ bisu tersebut. Segala sudut dan gayanya serta pakaian yang sering dipakai, diceritakan kepada ke dua sahabatya itu.

Habis Ray bercerita, Kuzat dan Boing saling berpandangan. Semua aspek yang digambarkan oleh Ray tepat dengan apa yang ada dalam fikiran mereka. Sah! Ray telah tersilap pandang.

“Rumusannya…kau memang silap besar, Ray!”

“Apa kau cakap ni, Boing? Hah? Mana aku pernah silap. Brader tu memang wujud.”

“Brader yang kau maksudkan namanya Bella.”

“Apa ke peliknya nama lelaki macam tu…tak fahamlah aku. Kesian dia kan…mesti kena kutuk selalu.” Ujar Ray yang sedang menahan tawa.

“Kau lah yang pekak, beb! Bella tu memang perempuan, cantik siot! Aku pernah kenen kat dia, tapi tak ada respon.” Kuzat menggelengkan kepala melihat Ray yang sedang bingung.

“Maksud kau, brader tu…”

“Ya. Dia perempuan, original, bukan tiruan. Kulit dia…fuh! Licin giler. Dia memang suka lepak dengan grup motor tu.”

“Sebab tu first time jumpa, kau panggil dia brader, dia langsung tak layan kau. Benganglah dia kau sangka dia lelaki…”

Ray meraup mukanya dengan kedua belah tangannya. Dia telah melakukan kesilapan besar. Bengangnya! Kali ini giliran Kuzat dan Boing pula yang mentertawakannya hingga pecah perut. Apalah nasib badan…

Brader oh! Brader! Ops! Silap…Bella! Oh…Bella! Dia lah model cantik yang aku kejar hari tu…Fuh! Bengangnya aku! Mana nak letak muka ni….

Sambil memandu pulang, Ray memasang CD lagunya.

….Pintu sepiku yang bertahun terkunci
Terpaksa aku bukakan perlahan-lahan
Kerana ku khuatir, bisikan yang berbalah
Denganku seharian, akan menenggelamkan
Keakuan...

Ceh! Macam sindir aku je lagu ni. Cepat-cepat dia mematikan CDnya. Tajuk lagu pun ‘Bengang’….Di dalam perut Honda Accord yang menderum laju, Ray menjerit sekuat hati membuang perasaannya yang bersimpang siur.

***

Sumpah dia tidak akan lepak-lepak di warung itu lagi melainkan rasa malunya telah hilang. Sehingga sekarang Ray masih tidak mahu berkumpul dengan Kuzat atau Boing lagi, takut beb! Takut kena kutuk! Mana boleh orang macho macam aku kena kutuk kaw-kaw! Ray berperang dengan emosinya sendiri.

Engku Rayzal! Engku Rayzal!

Siapa pulak potong stim aku tengah berangan ni! Bebel Ray sambil membuka pintu rumahnya. Apartment 3 bilik itu sengaja disewanya untuk tiga hingga empat bulan ini untuk menghindari diri dari di ganggu kawan-kawannya. Dia ingin mencari ketenangan. Mengubati hati yang luka kerana niatnya untuk berkawan dengan si gadis Bella pasti menemui kegagalan, kegagalan yang disebabkan kecuaian sendiri.

“Apasal Ray bertapa kat rumah sempit macam ni? Susah akak nak cari, itupun ada kawan Ray yang tunjukkan.”

“Kawan Ray? Bila pulak Ray inform dia orang yang Ray bertapa kat sini. Dia orang mesti pasang spy tu…pandai-pandai aje.”

“Bella bukan kawan Ray ke?” tanya Engku Rayzana tersengih-sengih.

“Bella mana pulak ni?”

“Brader! Brader Bella…”

Nahas aku kerjakan nanti! Jangan kaitkan aku dengan brader ke , Bella ke…jangan buat aku bengang tahap gaban lagi! Ray menentang pandangan kakaknya dengan mata yang bulat. Marah sakan konon!

“Apasal marah giler? Salah ke akak cakap macam tu?”

“Tolonglah…kalau akak datang nak nak buat darah ni naik mendidih, baik tak payah. Dah lah Ray frust in advance…akak buat hal pulak!”

“Frust jenis apa tu? Frust trend baru ke?”

“Kakak!!”

“Okey! Okey! Bella ada kat luar.”

“Hish! Dia ni tak faham cakap melayu ke apa? Jangan main-main dengan nama tu, kak!” jerit Ray geram.

“Dengar cakap akak. Bella ada kat luar. Buang bengang Ray tu…si dia dah ada depan mata, apa lagi. Pasanglah ayat-ayat power!” ‘

“Oh! No…no…Ray tak nak jumpa dia.”

“Kenapa pulak?”

“Suruh dia yang masuk, Ray nak ready dulu…”

“Ready ke apanya?!” Rayzanna termangu-mangu.

“Bungkus muka ni, malu sih!”

Anabella telah berada di hadapan Ray yang menutup mukanya dengan kusyen. Dia gelihati sendiri melihatkan telatah Ray yang berasa bersalah. Kasihan pun ada. Ray…Ray…

***

“Kakak you banyak cerita pasal you pada I. Tak sangka lelaki yang selama ini dia cerita tu adalah you.”

“Dia cerita apa?”

“Semuanya. You cute lah…”

Ray meraba mukanya. Cute? Bukan handsome ke?

“Masa kecik dulu, you nakal kan?”

Ray tersenyum sahaja membalas kenyataan dari AnaBella.

“Dah besar nakal pulak…apa you buat dengan motor daddy you tu? Sampai you accident?”

“Oh! Yang itu pun kakak I cerita dengan you?”

“You terbang dengan motor daddy you tu kan?”

“I saja test power. Tak sangka jadi macam tu. I ingat motor besar macam tu boleh buat I terbang, boleh redah sungai lumpur…”

Mereka sama-sama ketawa mengenang cerita lucu itu. Sehingga sekarang Ray fobia menunggang motor besar itu kecuali dia jadi pembonceng. Ray mencuri pandang wajah jelita Anabella, tak sangka rupa-rupanya Anabella telah mengenalinya terlebih dahulu sebelum insiden di warung atau fashion show itu. Dia berpura-pura tidak mengenali Ray kerana itu janji yang telah dibuat dengan Engku Rayzanna. Biar Ray sendiri timbul keinginan untuk berkenalan dengan Anabella.

Semenjak putus cinta beberapa tahun lalu, Ray seperti tawar hati dengan perempuan, itu sebabnya Anabella yang mempunyai motor besar ikut berkumpul dengan geng-geng motor untuk mendekati Ray.

“You marah ke masa I panggil you brader…”

“Gelihati. Yang I muncung tu, pura-pura aje. Tapi yang buat I nak gelak sakan masa you kata I ni bisu. Sampai hati betul…manalah I nak dengar apa you cakap, I kan pakai helmet.”

Ray ketawa lagi mengingati insiden lucu itu.

***

“Nak naik motor ke naik kereta?”

“Motor.”

“Nanti kalau hujan basah kuyup kita!”

“Tak apa lah. Basah kuyup ke, lencun ke…asalkan dengan you, itu semua no hal!”

“Nanti mekap I hilanglah…”

“Tak pakai mekap pun you dah cantik. Kulit pun dah putih gebu, apa nak touch up lagi. He…he…he…” tak henti-henti Ray mengusik Anabella.

“Okeylah, kita naik motor.”

“Okey, set!”

“Tapi you kena bawak. I nak jadi mem besar hari ni. I penatlah…asyik kena bawak motor tu. You relaks je kat belakang. You ingat senang nak handle motor tu…sakit tangan dengan kaki I tau…”

“Tahu pun.”

“Habis tu…”

“Jual aje. Habis cerita.” Usul Ray pantas. Dia fobia betul jika dipaksa memandu motorsikal berkuasa tinggi itu.

“Jual? Ini sentimental value tau…you apa tau!” Anabella mencebik.

“Jual pada I. I sanggup beli berapa saja harga yang you tawarkan.”

“Betul ke? Kalau gitu, I setuju. Confirm jual. I ingat nak jual RM90,000.00. Okey tak?” Tanya Anabella dalam nada manja.

“Hah? Mahalnya? Ini dah susut nilai…takkan masih gitu mahal!”

“You nak ke tak nak? Satu kali aje I offer ni. I baru pakai tiga tahun. Motor ni kalau 20 tahun lagi belum tentu yaou boleh dapat best price tau!”

Ray pura-pura termenung panjang sambil menjeling wajah lembut Anabella.

“Okeylah! Kira duit hantaran hanguslah yea…Habis I dah beli motor you tu…”

“Tak aci. Mana boleh macam tu.”

Ray mencangkung di sebelah Harley Davidson berwarna hitam berjalur perak itu. Sayang punya pasal, dia sanggup berhabis demi cintanya pada gadis Anabella. Tanpa sedar, Anabella telah menghidupkan enjin motor tersebut. Habis semua asap hitam menyapu bersih wajah kelat Engku Rayzal. Wajah itu sudah seperti orang minyak gayanya. Anabella ketawa mengekeh kerana dapat mengenakan Ray sekali lagi.

“Nak ikut tak?”

Tanpa segan silu Ray mengenakan topi keledarnya dan selamba duduk di belakang. Anabella turun semula dari motornya dan bercekak pinggang memandang Ray yang sedang tersengih macam kerang busuk! Banyak cantik!

“You bawak kali ini, I duduk belakang.”

“You lah bawak. I takut, nanti jadi macam dulu.”

“Sampai bilapun kalau you tak cuba semula, you akan takut. Mana Ray yang mengaku jantan macho tu, mana Ray yang kononnya ego tinggi melangit. Kalau motor pun pompuan kena bawak. Malulah dengan I, ni…” Anabella memberikan semangat kepada Ray demi menghilangkan rasa takut dan fobia lelaki itu.

Dengan penuh keterpaksaan, Ray menyahut cabaran kekasihnya itu. Mestu tunjuk pandai! Bisiknya penuh semangat. Walau tangannya sudah mula terketar-ketar di lawan juga perasaan yang datang menerpa. Dia memejamkan mata beberapa saat buat mengumpul semangat.

***

“Aduh! Sakitnya siku I…”

“Tolong I Bella, tolong tarik tangan I ni…kan I dah kata, I tak boleh bawak. You paksa jugak. Tengoklah, kan dah masuk longkang. Nasib baik longkang tak dalam…”

“Bella! Bella!”

Anabella sibuk mengelap motornya tanpa menghiraukan Ray yang mengaduh kesakitan di dalam longkang. Ala…bukan dalam pun longkang tu, mengada aje yang lebih! Anabella menjuihkan bibirnya melihat Ray masih tidak berganjak dari dalam longkang tersebut. Kesian motor mahal aku ni…bertahun aku bawak, tak ada pun accident, ini baru satu kali suruh Ray bawak, dah terbabas ke dalam longkang. Bebel Anabella geram.

“Aik! Nak tidur dalam tu ke?”

“Jangan kacau. Tengah layan perasaan ni!”

“Eleh! Tak kuasa layan lelaki macho merajuk ni tau! Sampai tiga I kira you tak naik jugak, I tinggal you kat sini.” Anabella semakin tidak sabar melihat gelagat Ray.

“Satu…”

“Dua…”

“Ti…”

Tahu takut! Anabella menjeling Ray yang sudah berdiri di sisinya dengan baju yang comot. Walau kau comot, aku tetap sayang! Sambil berkata di dalam hati, Anabella ketawa senang.

Kadang-kadang orang lelaki suka dilayan manja, kadangkala mereka perlu berlagak matang untuk mengambil hati insan tersayang. Begitulah rentaknya kehidupan.

“Hello brader! Cantik motor!” “Ini mesti mahal, kan. Berapa beli, bro?” “Cantik siot…” Ray tidak puas hati selagi sapaannya tidak dilayan...
Unknown Sep 11, 2009
Oh! MyKarya!

NOVEL: SURATAN 2

Pagi Ahad. Sekolah cuti. Haizan mengambil peluang ini untuk membasuh motosikal RX-Znya. Sekitar pukul sebelas pagi, kerjanya itu selesai. Emaknya tidak sempat melihat suria pagi kerana awal-awal lagi sudah terpaksa bertolak ke Segamat untuk melawat kak udanya. Is Sarina, selepas tamat SPM terus memasuki UITM dan kini di tahun dua. Tinggal setahun lagi pengajian kesetiausahaannya akan tamat. Perempuan...biasalah. Lebih berminat jadi setiausaha berbanding jurusan teknikal yang lebih digemari oleh kaum lelaki.



Apa aku nak buat ni...! fikir Haizan setelah bosan keluar masuk di dalam rumah besar itu. Akhirnya dia lepak di kusyen empuk yang dibeli emaknya dari Singapura. Seberang tambak je! Sambil itu fikirannya menerawang jauh memikirkan perjalanan hidupnya yang sudah sejauh sembilan belas tahun. Mencari arah dan inspirasi baru. Terselit bayangan peperiksaan STPM hujung tahun nanti. Selepas itu nak jadi apa pula?



Ah! Kenapa bosan sangat ni? Ya...gadis Soraya. Dia bingkas bangun ke telefon yang terletak di sebelah akuarium. Dia ingin meminta maaf, memujuk dan mengharap pengertian yang jitu tentang hubungannya dengan Julia, adik angkatnya itu.



"Assalamualaikum."



"Wa'alaikumussalam..." suara halus menjawab di hujug talian.



"Tengah buat apa tu? Maaf kalau aku kacau kau. " sambut suara Haizan gementar, takut panggilannya tidak dilayan lagi selepas ini.



"Baru nak buat kerja rumah Geografi, apahal telefon ni?" bagai menyindir suaranya.



Haizam terdiam. Sukar melafaz kekata maaf dan sulit mentafsir datarnya suara sang kekasih. Kuatkanlah hati...jangan tewas disini.



"Ma...maafkan aku Nina...budak perempuan itu adik angkat aku je..." suara Haizan kedengaran ragu-ragu.



Dia mendengar Soraya ketawa. Kemudian senyap tidak bersuara. Menangiskah dia? Haizan masak benar sifat sensitif Soraya.



"Tak apalah... kita kan selalu buat silap!" keras sungguh hatinya.

Kau kenakan aku lagi, Soraya. Sukarnya meruntuhkan tembok kekerasan hatimu. Tunggulah satu masa nanti. Kau akan tahu siapa aku; gumam Haizan geram.

"Okeylah, aku chow dulu. Bye."

"Bye!"

Gagang telefon diletakkan dengan kuat. Marahkan diri sendiri. Argh! Lambatnya hari berjalan.

***

Haizan mengambil keputusan meminta pandangan dari emaknya. Gambar dia dengan Julia yang diambil ketika minggu orientasi beberapa minggu lalu ditunjukkan kepada orang tua itu.

"Yang mana satu pilihan kau ni? Dulu mak tengok si Nina lain, kenapa yang ini lain pulak!" tanya emaknya tidak faham sambil membetulkan cermin matanya.

Haizan ketawa gelihati. Gelagat emaknya mencuit perasaan. Emaknya tidak ambil kisah. Terus menggubah bunga plastik di depannya.

"Inilah masalahnya mak..." sambung Haizan.

"Masalah cari sendiri! Gatal sangat, masih sekolah dah ada mak we, cuba belajar betul-betul dulu."

"Mak, ini last saya mintak tolong dengan mak..."

"Bawak kedua-duanya ke sini, biar mak buat pilihan."

"Bukan saya suruh mak buat pilihan. Emak berilah nasihat macam mana saya nak pujuk si Nina tu. Dia dah merajuk dengan saya." keluh Haizan.

"Biar dia cool dulu, Zeem...perempuan ni macam kerak nasi, lama-lama nanti lembutlah dia..." ujar puan Mashita bersahaja.

Haizan menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Tak faham emak ni, Nina tu bukan macam kerak nasi...tetapi besi keluli!

***

Soraya terus mengulangkaji subjek yang kurang difahami. Matanya terus menumpu walaupun telinganya mendengar suara dari televisyen di bawah. Malam semakin larut tetapi matanya masih tidak mahu lelap. Bunyi cengkerik malam sayup-sayup menangkap pendengarannya. Dia menggeliat resah. Malang! Dia meraba buku lalinya yang sudah beransur sembuh. Keretakan buku lalinya memungkinkan dia berhenti sementara dari menyertai kejohanan yang bakal diadakan. Dia sekadar menjalani latihan setiap petang selasa dan khamis untuk menjaga stamina.

"Kemalangan yang menimpa kau memang ada hikmahnya."

"Misalnya..." tanya Soraya ketika Haizan membicarakan tentang takdir sewaktu dia terlantar di hospital.

"Menjarakkan kau dengan ketua pengawas tu..." jawab Haizan menjaga hati sendiri.

"Prejudis! Kenapa kau takut sangat? Bukankah kau lebih dari segala segi berbanding dia."

"Tapi, bagi perempuan seperti engkau, bukan saja paras rupa jadi pilihan, tapi kau perlukan persefahaman dalam perhubungan, bukan gitu?" luah Haizan.

Tahu pun kau! Bisik Soraya di malam yang kian larut dan telah menelan memorinya sebentar tadi. Teddy Bear pemberian Haizan dibiarkan sahaja di hujung kaki.

***
Aizel, Zulkifli, Zulfakar dan kawan-kawan Haizan yang lain sedang bermain sepak takraw. Haizan menjadi tekong. Soraya hanya menjadi pemerhati di tepi gelanggang. Di sebelah kanan gelanggang sepaktakraw Soraya nampak Roshayati, Famiza Inson dan Cikgu Ramlah serta beberapa orang anak didiknya sedang menjalani latihan badminton. Aktiviti ko-kurikulum memang dimestikan di SMDP. Dengan kesungguhan para pelajar, beberapa kejuaraan peringkat daerah pernah dimenangi. Antaranya juara sepaktakraw bawah dua puluh tahun, juara perseorangan lelaki badminton bawah lapan belas

Pagi Ahad. Sekolah cuti. Haizan mengambil peluang ini untuk membasuh motosikal RX-Znya. Sekitar pukul sebelas pagi, kerjanya itu selesai. Em...
Unknown
Oh! MyKarya!

NOVEL: CINTA KAMELIA 23

Dari jauh Ijol memerhatikan tunangnya berbual mesra dengan seseorang. Lelaki itu kelihatan cukup bergaya. Tadi dia hampir mengejutkan Kamelia, tetapi belum sempat dia berbuat begitu, lelaki lewat 30-an itu pula telah terlebih dahulu membuat kejutan. Cara lelaki itu bercakap dengan berbisik-bisik makin menimbulkan rasa cemburu di hati Ijol. Siapakah lelaki itu. Adakah teman lelakinya sewaktu di UK dahulu? Tetapi mengapa Kamelia tidak berterus terang. Darah lelakinya mula mendidih. Rasa cemburu, marah, sedih dan pelbagai rasa bertaut menjadi satu. Untuk meredakan ketegangan perasaannya, Ijol menyandarkan tubuhnya ke dinding.

Tiba-tiba telefonnya berdering-dering. Panggilan itu dibiarkan sahaja berlalu kerana dia belum bersedia. Hatinya sedang pedih mendidih. Dia tidak mahu becakap dengan Kamelia dengan suara yang marah, dia tidak mahu berjumpa gadis itu ketika sedang berwajah muram. Semuanya demi cintanya pada Kamelia, kalaulah boleh segala rasa cemburu itu dipadam begitu sahaja, sekarang dia sudah bertentangan dengan tunangnya itu. Oh! Tuhan…

Bunyi SMS masuk.

“Awak kat mana? Dah 1 jam tunggu.”

Ijol membiarkan sahaja SMS itu. Tidak berapa lama kemudian, SMS kedua masuk.

“Dtg @ tidak? Saya nak balik.”

Sebaik membaca mesej Kamelia itu, Ijol menjadi gelisah. Da mesti berani berhadapan dengan kenyataan jika sekiranya pertemuan ini akan berakhir dengan kegagalan. Digagahkan juga langkahnya menghampiri Kamelia yang kelihatan anggun dengan berblaus coklat melepasi punggung dan berseluar jeans biru gelap. Gadis tinggi lampai berkulit putih itu tidak perasankan kehadiran Ijol di sisinya.

“Hai…”

Kamelia terkesima mendengar suara itu. Rindunya…datang juga dia. Ingat dah lupa! Rungutnya dalam hati.

“Awak lambat. Nasib baik saya tak balik.”

“Awak balik pun saya tahu nak cari awak kat mana. KL bukannya besar sangat…” jawab Ijol berpura-pura ceria. Dia berharap Kamelia segera memberitahunya siapakah lelaki yang baru ditemui sebentar tadi.

Kamelia merenung wajah bersih Ijol. Kali terakhir ditemui ketika lelaki itu menghantar rombongan peminangan. Tetapi entah mengapa dia perasan ada sesuatu yang menyelubungi minda Ijol saat ini. Dia dapat rasakan yang Ijol hanya berpura-pura ketawa dan senyum dengannya, tetapi itu semua lakonan semata-mata. Apakah masalah yang membebankan lelaki itu?

“Kita nak ke mana?”

“Tak ke mana-mana. Kat tempat sibuk macam ni pun tak apa, asalkan dapat berdua-duaan dengan awak, Melia. Makin cantiklah sejak awak balik dari Jakarta ni. Ada apa-apa ke? Manalah tahu terjumpa seseorang kat sana?”

Aku terjumpa Hardy, takkan dia tahu. Mungkin itu perasaan Ijol sahaja yang kononnya ada deria ke enam! Lagipun bukannya ada benda penting yang hendak diberitahu. Baik tak payah cerita. Nanti wajahnya yang sudah keruh semakin kelat…bisik Kamelia kepada diri sendiri.

“Jom kita cari tempat makan. Boleh borak macam-macam.” Kamelia bergerak dahulu diikuti oleh Ijol dari belakang.

Tiba-tiba lengannya dipaut dari belakang. Ijol menguntum senyum demi membalas pandangan Kamelia yang seperti kurang senang diperlakukan begitu. Dia cuba melepaskan dirinya tetapi Ijol telah memaut lengannya dengan kemas. Terpaksalah Kamelia membiarkan perlakuan tunangnya itu yang kebelakangan ini semakin nakal.

“Saya takut awak hilang dari saya!”

Berderau darah Kamelia ketika bahunya bersentuhan dengan bahu Ijol. Lebih-lebih lagi apabila lelaki itu menuturkan kata-kata yang boleh meruntuhkan kebal jiwanya. Namun ada satu rasa aneh yang meyelinap ke segenap ruang rasa. Ya, debaran itu mendatangkan bahagia. Orang yang mengunjungi KLCC pula semakin lama semakin ramai. Hujung minggu begitu orang ramai tidak melepaskan peluang membawa keluarga berjalan-jalan atau makan di luar.

***

“Apa yang awak nak beritahu saya hari tu. Kata ada cerita penting nak share.” tanya Kamelia sambil menyedut minumannya.

Ijol hampir tersedak ketika Kamelia tiba-tiba melontarkan soalan cepu emasnya itu. Setelah insiden yang berlaku sejam yang lalu, Ijol menjadi tidak yakin untuk menceritakan masalah yang sedang membelenggu hidupnya tika ini. Dia ingin tahu dari mulut Kamelia dahulu, siapakah lelaki yang ditemuinya tadi. Adakah sekarang Kamelia sedang berbohong. Mencintai lelaki lain, tetapi bertunang dengan orang lain. Sebaliknya, bagi Ijol, kes khalwatnya hanya masalah kecil yang sedang ditangani sebaik mungkin.

“Ijol…”

“Hah?!” lamunan panjangnya terlerai.

“Apa awak tenung saya macam tu? Saya ada buat salah ke?”

“Awak mana ada buat salah pada saya, sayang. Cuma saya aje yang ada masalah sikit. Tapi, itu nantilah kita cerita. Sekarang kita makan dulu. Okey.” Ijol menukar fikirannya. Dia belum bersedia untuk berkongsi masalahnya dengan Kamelia.

“Ceritalah…saya dah tak sabar nak tahu ni…”

“Nantilah.” Ujar Ijol lembut.

Kamelia mengalah akhirnya. Wajahnya mencuka, geram dengan Ijol yang memungkiri janjinya.

“Mungkin awak ada sesuatu nak beritahu saya.” duga Ijol pula.

“Saya? Apa maksud awak?”

“Mana tahu awak nak share pasal seseorang…”

“Saya tak fahamlah Ijol. Apa maksud awak?” suara Kamelia kedengaran agak kasar.

“Saya agak aje. Awak janganlah marah. Kalau tak ada tak apa…” luah Ijol perlahan. Ternyata Kamelia tidak mahu berkongsi dengannya tentang ‘lelaki’ itu. Rasa cemburunya datang lagi, bahkan kini dirasakan semakin parah pula. Wajahnya berubah muram tiba-tiba.

Keadaan menjadi sunyi seketika. Ijol dan Kamelia masing-masing melayan perasaan sendiri. Kamelia tidak mengendahkan kelakuan Ijol yang dirasakannya seperti kebudak-budakan lagaknya. Entah apa yang dirisaukan oleh tunangnya itu, dia tidak pasti. Sebagai orang yang terdekat dengan Ijol dia berasakan wajar menyelami masalah lelaki itu. Tetapi Ijol bagai merahsiakan sesuatu darinya.

“Kalau nak jumpa saya semata-mata nak tunjuk muka masam awak tu, baik tak payah jumpa. Kalau tak waktu macam ni saya dah boleh berehat, dah tidur. Awak yang beriya-iya nak jumpa, kan. Sekarang awak pulak buat perangai. Saya tak fahamlah dengan awak ni Ijol!” Kamelia menyuarakan ketidakpuasan hatinya terhadap Ijol. Dia tidak menghiraukan Ijol yang memandangnya dengan pandangan yang pelik. Biar dia nampak perangai sebenar aku, biar dia sedar yang aku ni bukannya seorang yang boleh diperlecehkan; gumam Kamelia geram.

“Ada nak marah lagi? Ada yang belum habis awak nak cakap?” wajah Ijol sudah tidak muram seperti tadi. Dia tersenyum-senyum sahaja ketika Kamelia sudah naik bosan dengan perangainya yang mula berprasangka.

“Banyak!”

“Cakaplah lagi, saya sudi dengar…”

“Awak buli saya ya…”

“Mana ada. Saya suka tengok awak yang macam tu. Sesekali membebel nampak sweet. Rasa macam nak makan-makan aje…”

“Saya bukannya gula-gula yang awak boleh makan sesuka hati.” Rungut Kamelia perlahan. Walau suaranya perlahan, ia masih boleh didengari oleh Ijol. Ijol melepaskan tawanya dengan kuat.

“Awak kalau buat lawak pun boleh jadik.” Ijol menyambung tawanya yang masih bersisa.

“Saya rasa awak tengah syak saya ya? Awak cemburu ya? Cemburukan saya dengan siapa?” duga Kamelia apabila dilihat Ijol sudah kembali normal.

Wajah Ijol berubah tiba-tiba dek diterpa soalan yang tidak disangka-sangka dari mulut comel Kamelia. Tawanya ikut sama terhenti.Ada rupa orang cemburu ke aku ni? Teruk sangatkah wajah aku sehingga terperasan oleh Kamelia? Memang aku cemburu pun, dia berbual dalam keadaan intim dengan lelaki lain. Sesiapa pun akan cemburu jika bakal isterinya digoda lelaki lain…

“Saya nampak macam orang yang cemburu ke?”

“Awak lebih tahu dari saya. Tindakan awak amat transparent. Ingat awak aje ada sixth sense?” sindir Kamelia.

Ijol hanya terdiam. Perlukah dia berterus terang tentang persoalan yang mengasak ruang damainya. Perlukah dia ambil tahu tentang semuanya, tentang sisi personal seorang kekasih atau tunang? Makin celaru jadinya.

“Kalau saya ada orang lain, dari dulu saya dah kahwin dengan orang itu. Dari saya di UK lagi…”

“Jadi?”

“Awak nilailah sendiri. Kan awak dah ikat saya, awak tahu jawapannya.”

Betul juga kata Kamelia tu, kenapa mesti aku berprasangka, kenapa ada cemburu sedangkan Kamelia sekarang telah menjadi milikku, berada dekat denganku.Ah! Mainan hati sukar benar dijangka! Ijol mengeluh.

***
“Lepas ni kita ke rumah abang Imran ya.”

“Hm…”

“Awak tahu tak jalan nak ke rumahnya?”

“Awak kan ada.”

“Nanti lepas tol belok kiri, jalan terus sampai jumpa taman perumahan.” Kamelia memberi arahan. Mitsubishi Lancer putih itu meluncur laju membelah kesesakan bandaraya Kuala Lumpur.

Kamelia hanya memerhati Ijol mendail nombor seseorang dan kemudian menggunakan ‘earphone’ untuk berkomunikasi.

“Saya culik dia sekejap.”

“J.B.”

“Saya akan hantar dia balik. Okey, terima kasih.”

Sekejapan sahaja talian telah dimatikan. Ijol menyarung cermin mata gelapnya dan terus memandu tanpa menghiraukan Kamelia yang asyik memerhatikannya. Cuaca di luar panas terik, walau jam telah mencecah 4.30 petang.

Selepas membayar tol, Ijol memandu terus ke selatan tanpa mengikut arahan yang diberikan oleh Kamelia sebentar tadi untuk ke rumah abangnya. Kamelia panik bimbang Ijol terlupa apa yang diperkatakan olehnya tadi. Jika dia tersilap arah, Ijol perlu keluar dari plaza tol dan masuk semula ke persimpangan naik ke KL.

“Awak lupa arah nak ke rumah abang Imran ya?”

“Siapa kata. Betul lah ni.” Ujar Ijol selamba.

“Salah. Bukan ikut arah sini. Ini nak balik JB bolehlah.”

“Betullah tu…”

“Apa maksud awak?”

“Kita nak ke JB. Jumpa bakal emak mertua awak.”

“Ijol! Kenapa tak inform dulu. Macam mana saya nak balik nanti. Esok saya kerja…hish! Awak ni kan…”

Muncung Kamelia panjang sedepa. Dia tidak suka Ijol bertindak sesuka hati tanpa memperdulikan pandangannya, tanpa meminta pendapatnya. Geramnya naik ke tahap maksima. Nafasnya turun naik menahan marah.

“Kenapa sayang marah-marah ni. Saya minta maaf, okey. Memang saya tak nak bincang dengan awak dulu. Saya tahu mesti awak tak nak punya. Jadi saya ikut cara saya lah…lagipun saya dah inform abang Imran. Awak jangan risau. Saya tak jual awak kat Singapore, jangan takut. Saya cuma nak bawak awak jumpa dengan bakal emak mentua awak, itu aje.” Ijol menerangkan panjang lebar.

Oleh kerana Kamelia masih membungkamkan diri, Ijol menambah, “Kan saya janji nak ganti cincin yang hilang hari tu. Awak tak ingat.”

Kamelia masih mengunci mulutnya. Perasaan geramnya masih membara di dada. Dia sudah malas melayan kerenah Ijol lagi. Buang masa aje, turun JB kemudian terpaksa balik semula ke KL. Takkan esok nak ambil MC atau cuti kecemasan. Huh! Mesti kena soal siasat dengan Datuk! Dahl ah sehelai sepinggang…rungutan dihati Kamelia terus berpanjangan.

“Awak tak nak jumpa emak? Emak teringin sangat berbual dan berkenalan dengan tunang ekpress anaknya ni.” Ijol buat suara kasihan.

Ijol menambah sambil matanya melirik wajah tunang kesayangannya itu. “Awak tak kesiankan saya, tak apa. Tapi kesiankanlah emak saya, sejak tunang hari tu tak pernah dapat jumpa bakal menantunya ni…”

“Awak ke emak awak?”

Ijol ketawa melihat Kamelia sudah membuka mulutnya. Helahnya menjadi. Keras-keras kerak nasi, akhirnya lembut juga…

***

“Awak nak ke mana?”

“Aik belum jadi suami dah kena soal?” ujar Ijol perlahan.

Kamelia menjeling mendengar usikan dari Ijol itu.

“Nak jumpa Zek sekejap. Kenapa? Nak ikut?” Tanya Ijol yang telah menyarung sandal kegemarannya.

“Pakai macam ni aje ke? Awak tak kisah ke?” wajah polos Kamelia mohon pengertian dari Ijol.

Emak Ijol tiba-tiba sahaja telah terjengul di belakang Kamelia ketika gadis itu sedang membetulkan kain batiknya. Kamelia pula tergesa-gesa melangkah menuruti Ijol kerana dia pun sudah lama tidak ketemu dengan Baiti. Rindunya pada teman sekursus di UK itu tidak dapat dibendung lagi.

“Tak kan nak pergi macam itu aje?”

“Ha?”

“Ya…takkan Melia nak ikut Ijol pakai macam tu? Ijol tu tak baik betul. Di bulinya tunang dia.” Emak Ijol membebel marahkan perangai Ijol yang tidak berubah-ubah suka membuli orang lain.

“Habis tu…”

“Pergi pinjam baju mak.”

Ijol yang sudah menunggu di perut kereta hanya ketawa melihat kekalutan Kamelia dan jelingan penuh erti emaknya. Sekali sekala kenakan orang, apa salahnya.

“Nasib baik ada emak awak, kalau tak macam orang tak siap tau saya…”

“Sebab itulah saya ajak awak balik sini. Emak pandai sesuaikan diri walau dalam keadaan apa sekalipun, awak kena banyak belajar dari dia sebelum jadi isteri saya.”

“Ya lah tu!”

Ijol ketawa bahagia. Apabila Kamelia berada di depan mata hilanglah sebentar kerisauan dan kecemburuan yang bersarang di jiwa.

***
“Terpaksa emergency lah esok. Nak buat macam mana?”

Baiti ketawa sahaja mendengar alkisah antara Kamelia dengan Ijol. Dalam diam, ada cinta. Dalam benci, ada rindu! Bertahun rahsia disimpan, antara dia, Zek dan Ijol. Kalau pecah tembelang, alamat nahaslah Ijol, tentu persahabatan mereka berantakan…gumam Baiti.

Namun jauh di sudut hati, dia merasa resah. Ada sesuatu yang perlu dikhabarkan kepada Kamelia. Antara hidup dan mati? Ya ke… Itupun setelah Ijol beriya-iya meminta dia menyampaikannya. Sanggupkah Kamelia? Tabahkah dia? Sedangkan Ijol sendiri telah menyerah kalah sedari awal lagi. Masih teringat bagaimana Ijol mengunjungi mereka pada lewat malam setelah kejadian itu memohon jasa baik dia dan Zek, menyampaikan berita ini kepada tunangnya.

“Kau okey?”

“Okey…kerja pun ok. Bos aku tu, ada miang sikit. Dari gayanya macam nak mengurat je…”

“Orang cantik, ke mana pergi pun mesti ada yang terpaut, ada yang terpikat. Tapi Ijol lebih cepat dari yang lain…”

“Kau ni ada-ada aje…”

“Mel…”

“Hm…”

“Aku sebenarnya…” Baiti cuba menyusun ayat, tersekat-sekat.

“Ya?”

Kamelia asyik membelek album perkahwinan Zek dan Baiti. Bayang Ijol dan suami teman karibnya itu tidak kelihatan. Mungkin sedang menghirup udara segar di luar rumah.

“Aku sebenarnya ada benda nak cakap dengan kau.”

“Cakaplah.” Kamelia telah menutup album perkahwinan tersebut dan di letakkan di sisinya.

“Pasal Ijol.”

Kamelia mengerutkan dahinya. Kenapa dengan Ijol? Ada wanita lainkah dalam hidupnya, yang dirahsiakan daripadaku? Atau…Ijol ingin memutuskan hubungan mereka? Berselirat soalan berlegar-legar di mindanya.

“Ijol sebenarnya tengah nak selesaikan kes khalwat dia.”

Kamelia tersentak, umpama batu besar menghempap tubuhnya, sukar untuk bernafas atau berkata-kata. Betulkah apa yang didengar? Mimpikah aku? Wajah Baiti direnung tidak berkedip. Lemah seluruh sendinya. Ada perasaan lain yang menyelinap di sudut hati, entah apa dia tidak pasti. Tetapi umpama rasa sayang yang sedang tertanam, terlerai sedikit demi sedikit. Berkecai…

“Dia sebenarnya nak bagitahu kau sendiri, tapi dia tak sanggup. Dia pening, keliru…dia takut kau tinggalkan dia.”

“Bila?”

“Dah hampir dua minggu kejadian tu. Dengan si Zureen, sepupu dia. Dia kata kau kenal budak tu. Masa tu kau masih kat Jakarta. Kau patut bagi dia peluang…itu semua bukan kehendak dia. Dia kena perangkap.” Rayu Baiti perlahan. Dia tidak mahu kerana salah faham ini, hubungan sahabatnya itu terputus.

“Rupa-rupanya aku belum kenal dia, Baiti. Mungkin dia perlukan masa untuk membina hubungan kami. Pertemuan yang berlaku ini terlalu pantas. Dia terlalu tergopoh-gopoh untuk mengikat aku, tetapi ini yang dia beri…aku menyesal, Baiti…” luah Kamelia dengan suara yang tersekat-sekat. Dia sedaya upaya menahan air matanya dari tertumpah ke bumi.

“Jangan cakap macam tu, Melia. Kau bertuah kerana mendapat cintanya. Dia seorang lelaki yang pegang janji, Melia. Lagipun aku dah cakap, Melia. Bukan kehendak dia. Ini semua mungkin takdir Tuhan untuk menguji kekuatan cinta kamu berdua, terutamanya kau…Melia.”

“Aku? Apa maksud kau? Kau ingat aku tak setia, aku tak kuat?”

“Mungkin. Sebab kau terlalu banyak pilihan. Kau masih keliru…fikiran kau belum tepat dalam membuat pilihan!”

“Dia yang bersalah kenapa kesetiaan aku yang dipersoalkan. Kau tak adil, Baiti. Kau berkomplot dengan dia ke? Senang-senang nak lepaskan diri…” Kamelia meninggikan suaranya. Dia rasa bosan pula apabila sahabatnya itu menyebelahi Ijol, mempertahankan Ijol. Semua orang menyokong Ijol.

“Kalaulah kau tahu…” Baiti tidak jadi meneruskan kata-katanya. Rahsia itu tidak boleh dibocorkan sekarang. Takut keadaan menjadi sebaliknya. Baiti menepuk bahu Kamelia, cuba mententeramkannya. Dia tahu Kamelia terluka mendengar perkhabaran ini. Tetapi benda dah terjadi, untuk di undur masa pun bukan kita yang berkuasa….

“Sabarlah, Mel. Setiap kejadian ada hikmahnya!”

“Aku belum mampu terima kejadian ini, Baiti. Aku belum bersedia…”

“Apa maksud kau?”

Akhirnya air mata yang ditahan, tumpah jua. Di pelukan Baiti, Kamelia menangis teresak-esak. Sebak di dada tak mampu ditahan lagi.

Dari jauh Ijol memerhatikan tunangnya berbual mesra dengan seseorang. Lelaki itu kelihatan cukup bergaya. Tadi dia hampir mengejutkan Kameli...
Unknown Sep 7, 2009
Oh! MyKarya!

NOVEL: SURATAN 1

Pintu dibuka. Seorang lelaki masuk sambil ditangannya tergenggam sejambak ros merah. Lama dia berdiri di muka pintu. Memerhati seorang gadis yang sedang terbaring lena. Bau ubat menusuk ke lubang hidungnya. Bunga ros masih dipegang. Sudah seminggu semenjak gadis itu di hospital, lelaki itu kerap datang melawat. Dia menarik kerusi lalu mendekati gadis yang masih terbaring itu.

Haizan Azeem nama lelaki itu. Masih berpakaian Seragam sekolah. Merenung lama wajah kesayangan. Hatinya tiba-tiba digamit sedih. Pada wajah kekasih terpancar seribu erti kesakitan dan pederitaan yag ditanggung. Namun nilai kemurnian sekeping hati masih terbayang-bayang di mata Haizan.

Gadis Soraya menggeliat dan perlahan-lahan membuka mata. Samar-samar dia nampak Haizan di hadapannya.

“Selamat petang Nina...”

Gadis itu mengangguk. Memalingkan mukanya ke arah lain. Dia ingin duduk tetapi badannya masih terasa lemah. Dia tetap juga berusaha.

“Baringlah dulu Nina, badan kau masih lemah.” Haizan cuba menasihati.

Gadis itu menjeling marah. Tidak suka orang mengarahnya membuat itu dan ini. Dia berusaha lagi. Haizan tidak sampai hati lalu membantu membangunkannya. Kemudian dia mengganti bunga yang sudah layu di dalam pasu dengan bunga yang dibawanya. Nampak berseri bilik sakit khas itu.

Soraya memandang jam di dinding bilik itu. Sudah pukul dua setengah petang.

“Kau belum pulang ya?”

“Sekejap lagi.” jawab Haizan lembut.

Haizan masih berpakaian sekolah kerana itulah kebiasaanya sejak seminggu kebelakangan. Pulang dari sekolah terus melawat Soraya.

“Aku dah okey, kau tak perlu datang selalu...” tegas Soraya.

“Tapi...”

“Baliklah Zeem, nanti ibu kau membebel lagi...kirim salam kat dia orang.” pinta Soraya selepas itu.

Haizan mengambil begnya dari atas meja bulat di sudut bilik. Dengan langkah yang dipaksa, dia mendekati Soraya semula.

“Aku pergi dulu, jaga kesihatan dan jangan lupa makan ubat. Aku harap kau cepat sembuh.”

Ketika Haizan berjalan ke pintu dia bertembung dengan ibu bapa Soraya.

“Dah nak balik?” sapa ayah Soraya lembut.

“Dah lama kat sini, pak cik.” balas Haizan sopan.

“Nina, aku balik dulu.” ucap Haizan dan terus hilang di balik pintu.

“Nampaknya kau dah semakin sembuh. Eloklah tu Nina. Taklah sunyi sangat rumah kita nanti. Seminggu kau tak ada, tak cukup tangan mak dibuatnya. Nazirulnya lagi, Ari pulak langsung tak nak tolong mak buat kerja rumah.” ujar emaknya yang memegang Nazirul yang berusia dua tahun.

“Ala mak, kan Nina dah sihat. Bila-bila boleh balik.” jawab Soraya selamba.

“Ingat kau boleh senang-senang keluar masuk...” getus ayahnya.

Nina Soraya ketawa menampakkan barisan giginya yang putih berseri. Rambutnya yang sekadar melepasi bahu di ikat ke belakang. Nazirul menarik-narik kain selimut yang menutupi sebahagian tubuh kakaknya. Dia duduk di sisi Nina, cuba bermanja. Nina terhenjut-henjut menuju ke tepi tingkap untuk menyisir langsir.

***

Kepulangan Haizan Azeem telah dinanti oleh ibunya diambang pintu. Orang tua yang hampir separuh abad itu setia melihat Haizan Azeem memasukkan RXZnya ke garaj.

“Angin apa emak tunggu Azeem ni?”

“Ya lah...dah pukul tiga tak nampak batang hidungnya, mana mak tak risau. Pergi tengok budak Nina tu lagi ke? Kalau ya pun apa salahnya balik dulu, salin baju...” bebel puan Mashitah.

Haizan ketawa dibebeli begitu. Macam budak lapan tahun; fikirnya. Dia sudah bersandar di kerusi empuk apabila emaknya memanggil.

“Azeem! Tak buka baju lagi dah berangan. Nanti tertinggal Zohor nak ganti kat mana.” bebel emaknya dari dapur.

“Ya lah mak...”

Selepas mandi dan bersolat, Haizan turun ke dapur mengisi perut yang kosong. Makanan sudah terhidang di atas meja. Ada ikan kerisi masak asam pedas dan sayur ucuk paku. Tetapi, mana sambal belacanya?

“Kenapa ditenung aje makana itu? Ada muka si Nina ke?” sindir emaknya.

Haizan tidak memberi respon dan hanya memerhati emaknya menyendukkan nasi. Bagi anak bongsu puan Mashitah dan Encik Badrulhayat ini, ibu dan ayah adalah kawan seperasaan. Biarpun begitu hubungan sebegini tidak memaksa Haizan sekali-sekali melangkau batas.

“Aku kalau makan mesti nak ada sambal belacan...” tutur Nina ketika mereka sama-sama makan nasi campur di Saji Rasa Cafe bersebelahan Pasar Tani.

“Emak aku pandai buat sambal belacan, 'kaw kaw' punya...rasa sekali nak selalu.” sambut Haizan serius.

“Ya ke? Berilah kat aku resepinya.”

“Kalau nak bila-bila masa datanglah rumah aku.” pelawa Haizan ketawa menampakkan lesung pipit di pipi kirinya.

“Hai...makan pun boleh senyum. Rosak budak ni...” omel puan Mashitah sambil meletakkan hirisan buah betik di hadapan anak bujangnya itu.

Haizan tersipu-sipu ditegur emaknya. Da terus cepat-cepat menyumbatkan makanan ke mulut. Dia berkira-kira hendak ke bandar JB petang nanti untuk membeli sesuatu. Sambil itu otaknya berfikir mengenai wang saku yang tinggal setelah ayahnya memberikan seratus ringgit pada pagi Isnin lepas.

***

Nina Soraya sudah pulang ke rumah setelah seminggu di hospital. Nazri, adik lelakinya yang belajar di dalam tingkatan lima membawa pesan dari teman baiknya; Famiza Inson dan Roshayati telefon!

“Apa hal?”

“Amacam...kau dah sihat? Assignment dok rindukan kau!” ujar Famiza berjenaka sewaktu Soraya melaksanakan pesan teman baiknya itu.

“Tak ada chance langsung aku nak rileks... subjek ekonomi ke?”

“Eh! Kan aku dah beri nota pada adik kau!” sambut Famiza di hujung talian.

“Nanti aku tanya dia...”

“Esok datang tau...sepilah kelas tanpa kau!”

“Insya'Allah, kalau aku tak masuk wad lagi.” jerit Soraya ketawa kecil.

Selesai berbual di telefon, Soraya menjerit memanggil adiknya dari bawah.

“Ari! Mana nota yang kawan akak bagi tu...!”

“Kat tepi phone!” jawab Nazri kuat juga suaranya.

Nina Soraya menjeling sekilas dan terpandang beberapa helai kertas putih berlipat rapi. Dia tersenyum sendiri mengenangkan dirinya yang lalai dan tidak prihatin. Soraya mendengar suara emaknya riuh di bilik air sebelah dapur sedang memandikan sikecil; Nazirul yang berusia dua tahun.

Hampir pukul enam petang. Ayahnya belum pulang dari kerja. Biasanya waktu-waktu begini ayahnya sudah pulang, mrnguruskan tanam-tanaman di tep rumah. Ah! Mungkin dia terperangkap dalam kesesakan jalan raya petang Jumaat.

“Nina...tolong siramkan pokok bunga mak tu...” laung emaknya dari dalam bilik air.

Soraya bangun juga walaupun punggungnya terasa berat berbuat begitu. Ayahnya pulang setelah lebh kurang lima minit Soraya menyiramkan pokok-pokok bunga emaknya.

“Kenapa lambat ayah?”

“Jammed...” sambut ayahnya perlahan, mungkin keletihan setelah dari pagi keluar mencari rezeki.

Nazirul terkedek-kedek mendapatkan ayahnya yang hendak membuka kasut. Seperti biasa emaknya sedia menyambut beg yang dibawa oleh ayahnya ke tempat kerja itu. Nina Soraya menyaksikan semua itu dengan hati yang bangga dan penuh syukur kerana dikurniai sepasang 'kekasih' yang ideal.

***

Enam Atas Cemerlang hidup kembali dengan kehadiran Nina Soraya. Rutin yang dilalui oleh seorang pelajar terpaksa disambung kembali olehnya.

Minggu orientasi hampir tamat. Hari pertama kedatangannya kembali ke sekolah itu merupakan hari akhir acara orientasi pelajar enam bawah.Pelajar-pelajar enam atas dijemput meghadiri jamuan dan program lain yang sudah di atur.

Haizan, Aizel, Zulkifli, Zulfakar dan beberapa orang lagi rakan mereka sibuk sepanjang masa. Nina Soraya hanya memerhati itu semua dengan pandangan kosong di satu sudut. Kawan-kawan perempuannya yang menjadi ahli jawatankuasa PERTINA juga tidak dapat bersama dengan Nina Soraya.

“Kalau tak sihat tak payah berlatihlah petang ini...” ujar Haizan sewaktu mereka makan di kantin.

“Mana boleh! Perlawanan tak lama lagi, stamina mesti dijaga.Aku tak nak 'miss' lagi kali ini...” jawab Nina Soraya tegas.

Dan segala-galanya bagai telah dirancang. Dalam latihan badminton di dewan sekolah, Soraya ditimpa kecelakaan. Dia tersungkur ke depan apabila cuba membalas 'smash' yang dibuat oleh rakan sepelatihan, Hishamuddin. Kepalanya yang memang sudah berat sebelum latihan bermula, bertambah sakit apabila terlanggar besi tempat menggantung jaring. Pandangannya kelam dan suara-suara di sekitarnya makin jauh dan jauh!

Bahunya di tepuk seseorang. Kenangannya terganggu. Hishamuddin tersenyum hambar. Soraya mengurut dada demi meluruhkan rasa terperanjatnya.

“Menung jauh nampak...” Hishamuddin sudah duduk disampingnya. Ketua pengawas SMDP ini boleh tahan juga orangnya; komen Soraya dalam diam.

“Dah beres semua?” tanya Soraya.

“Sampai pukul dua nanti sempatlah...” jawab Hishamuddin optimis.

Soraya nampak Haizan sedang berbual-bual dengan pelajar enam bawah.Gadis itu berambut perang dan dikeriting kasar. Dia membelakangi Soraya. Seperti ada sesuatu yang penting sedang diperkatakan. Kemudian matanya nampak Haizan mengangguk-angguk.

“Sepanjang minggu orientasiAzeem jadi perhatian. Sayang kau tak ada untuk turut melihat gelagat pelajar perempuan enam bawah.”

Kata-kata Hishamuddin bagai mengerti sorotan cemburu anak matanya. Anak mata seorang 'buah hati'. Mana tidaknya, si Haizan yang peramah pandai mengawal keadaan dan kerana sikap ramah tamahnya lah yang menambat hati Soraya.

Soraya melihat Haizan dan perempuan tadi sudah tiada. Ke mana mereka? Tanpa Soraya sedari, sepasang mata bundar di hadapannya merenung tajam. Apakah mencari ruang untuk mengasihi?Atau terguris rasa kasihan di hatinya melihat gadis secantik Soraya dibiarkan ke tepi!

***

“Apa yang kau bawa tu Azeem?” sapa Aizel yang berdiri di pintu.

Soraya yang bertugas membersihkan kelas pagi itu meneliti suara Aizel yang didengarnya.

“Hadiah.”

Haizan memasukkan bungkusan empat segi sederhana besarnya ke dalam meja. Soraya mendengar lagi perbualan dua sahabat itu. Untuk adik angkat! Soraya menjeling. Argh! Haizan berubah selepas dua minggu dia tidak hadir ke sekolah?Langsung tidak mengendahkannya sejak kebelakangan ini.

Selesai menjalankan tugasya, Soraya berbual-bual dengan Hishamuddin, Pelajar kelas sebelah. Roshayati dan Famiza Inson ada sama. Haizan baru sahaja hendak melangkahkan kaki ke dalam kelas apabila matanya terpandang Soraya sedang berbual dengan Hishamuddin. Dia menghela nafas sabar. Badannya yang sederhana besar dihempas ke balik pintu. Inikah cemburu namanya! Sedikit perbuatan yang janggal pasti mencurigakan. Dan...sakit menyakiti menjadi mainan dalam situasi begini. Aku kah yang salah? Getus Haizan menahan geram.

“Jangan cuba menyakiti orang lain jika kamu tidak mahu disakiti oleh orang lain. Itulah sebaik-baik jalan menuju kesejahteraan!” amanat Encik Badrulhayat masih di hafal oleh Haizan.

Ah! Nina Soraya...

Pintu dibuka. Seorang lelaki masuk sambil ditangannya tergenggam sejambak ros merah. Lama dia berdiri di muka pintu. Memerhati seorang gadis...
Unknown Sep 4, 2009
Oh! MyKarya!

NOVEL: CINTA KAMELIA 22

Datuk Jefferey mengambil tempat duduk di sisi Kamelia sewaktu mereka menunggu di balai berlepas.Orang ramai yang lalu lalang tidak mengendahkan mereka, masing-masing dengan hal mereka sendiri.

Kamelia memandang bosnya itu dengan perasaan hormat dan membalas senyumannya. Lelaki muda lewat 30-an itu memang sentiasa bergaya. Namakan saja apa yang dipakainya, semuanya sesuai dan tepat dengan penampilannya. Sekarang dia mengenakan kemeja lengan panjang berwarna hijau lembut yang dilipat separas lengan dipadankan dengan seluar panjang hitam. Serta merta Kamelia teringat penampilan Ijol yang begitu, pantang berlengan panjang, pasti akan dilipatnya separas siku.

“Who will fetch you today?”

“I’ll take taxi, Datuk.”

“Oh! I can sent, if you don’t mind.”

“Tak apalah Datuk, I’ll back on my own. Lagipun saya tak nak menyusahkan Datuk. Datuk pasti nak segera balik untuk jumpa anak dan isteri.” Sengaja Kamelia menjuruskan perbualan mereka ke situ. Dilihat wajah Datuk Jefferey selamba dan tenang, seolah-olah tidak berasa ghairah ketika mendengar kenyataan dari mulut Kamelia.

“Saya balik atau tak, sama saja.” Keluhnya.

“Dua minggu tak jumpa mereka, tak rindu ke Datuk?”

“Rindu? Macam awak yang rindu nak jumpa buah hati yang hari tu, kan?” Datuk Jefferey menguntum senyum memerli Kamelia.

“Mana ada, Datuk.” Kamelia menoktahkan pokok perbincangan yang hampir berbau peribadi itu.

“Pandai awak ya, nak sorok dari saya ke?”

“Tak lah Datuk. That personal thing let put behind, Datuk. Ada jodoh, ada rezeki kahwinlah saya. Kalau tak…”

“So, dah ada planning ke arah itu nampaknya.” Usik Datuk Jefferey kepada kakitangan atasannya itu.

Wajah Kamelia memerah di asak persoalan peribadi dari Datuk Jefferey. Rasa lama pula penantian untuk masuk ke perut kapalterbang yang akan membawa kakinya berpijak di bumi Malaysia kembali. Datuk Jefferey memang lelaki bijak dan tenang. Sebab itu dia dapat membaca raut wajah Kamelia yang berubah tatkala di usik tadi.

“Sesekali keluarlah dengan kita orang. Our staff dari bahagian teknikal pun ada ‘leisure group’ dia orang. If I’m not busy, I also join them in bowling, tennis and other sport games. You are not too busy, right?”

Sukan? Memang aku tak berminat. Kalau window shopping itu dinamakan sukan, itu sukan nombor satu yang paling aku gemari!

“How?”

“Sorrylah Datuk, saya kurang minat.”

“Kalau begitu awak minat apa?”

Eh! Kenapa dengan Datuk Jeffrey ni…aku nak hentikan perbualan, dia makin rancak pulak…tak boleh jadi ni; rungut Kamelia dalam hati.

“Cerita apa ni, bukan main rancak berbual…” entah dari mana datangnya Qayyum yang tiba-tiba mencelah telah mnyelamatkan Kamelia dari desakan bosnya tadi.

“Yes Qayyum, come join our forum. Ni hah! Kamelia tak minat sukan, mungkin you ada suggestion untuk assistant you ni?”

Qayyum tersengih mendengar saranan Datuk Jeffrey. Tadi tujuan dia datang hanya untuk menganggu perbualan mereka. Kini, bosnya itu mempelawanya turut sama di dalam perbincangan mereka. “Ingat bincang apa tadi, nampak serius betul. Rupa-rupanya Datuk nak ajak Melia bersukan.”

“Kenapa? You ingat I nak ajak Melia kahwin ke?” sambut Datuk Jeffrey dengan wajah yang manis.

“Tak lah Datuk…” Qayyum tersipu-sipu.

Berbulu telinga mendengar perbualan kedua-duanya. Kamelia ingatkan tadi kedatangan Qayyum menyelamatkan dirinya dari perhatian Datuk Jeffrey, tetapi kini kedua-dua lelaki berprofail tinggi di dalam syarikatnya itu seperti berpakat menderanya. Mendera perasaannya yang tidak berapa gemar bercampur gaul dengan mereka.

“Orang perempuan bukannya minat sukan Datuk. Tapi kalau pasal shopping, cerita tentang baju, kosmetik dan macam-macam lagi, dia orang suka lah. Cakap 24 jam pun tak apa.” Usik Qayyum sambil menjeling Kamelia yang sudah kelihatan resah.

“Siapa cakap? Semua benda pun kita orang boleh cerita, bukan setakat itu saja. Pasal ekonomi, politik, isu-isu semasa…asalkan ada yang sudi mendengar…” hujah Kamelia tidak mahu mengalah.

“Tapi setahu I, cerita itu semua menjurus kepada ekonomi rumahtangga, politik suami kahwin lain, isu-isu mekap terkini, beg terbaru…bukan gitu cik Melia?” Qayyum masih tidak berhenti mengusik.

Kurang asam punya Qayyum! Tak habis-habis. “Yang penting kami pun ada forum macam orang lelaki juga.”

“Forum mengumpat hal orang lain! Semua orang pun boleh buat forum macam tu…”

“You maksudkan wanita aje ke yang begitu? Lelaki kalau dah buat ‘ketupat’ lebih teruk dari orang perempuan.” Bidas Kamelia.

Datuk Jeffrey ikut ketawa melihat Kamelia yang sudah tidak senang duduk sentiasa diusik oleh Qayyum. Baginya Qayyum kelihatan berlebih-lebihan mengenakan Kamelia. Mungkin itu satu taktik untuk mendekati gadis manis itu. Dua-dua bujang, apa salahnya. Dalam diam dia berasa jauh hati sekiranya benar Qayyum berhubungan lebih dari rakan biasa dengan Kamelia. Bagaimana dengan dirinya? Bukankah dia telah mula mengharap…

***

Kamelia menahan teksi untuk pulang ke rumahnya. Beberapa buah beg yang besar di punggah ke bonet. Dia cuba menghubungi Ijol untuk memberitahu kepulangannya tetapi sehingga ke deringan terakhir, telefonnya tidak berangkat.

Sebaik tiba di rumah sewanya dan membasuh muka, Kamelia mengambil peluang untuk tidur dan merehatkan mata. Perjalanan singkat dari Jakarta tidaklah memenatkan sangat tetapi renungan penuh erti dari Datuk Jeffrey bagai menyengat tangkai hatinya. Lain benar perangai bosnya yang sudah berputeri dua itu. Ketika di ajak berbual perihal peribadinya, cepat-cepat dia menoktahkannya. Apa kena dengan Datuk Jeffrey tu? Takkan dia ada hati kat aku, kut; pelik Kamelia memikirkannya.

“Kita nak ke mana ni Datuk?”

“Saya nak ajak awak ke satu tempat. Tempat yang awak akan rasa damai, tenang…dan bahagia. Awak pasti suka.”

“Saya tak naklah Datuk. Lagipun pagi lagi ni, saya belum mandi lagi…”

“Tak apa. Lagipun kita boleh berjogging kat sana nanti. Boleh hirup udara segar…yang penting awak temankan saya ke sana.”

“Tak boleh Datuk. Saya dah janji dengan orang lain.”

“Siapa orang itu? Siapa? Kenapa awak tak terus terang dengan saya?” Datuk Jeffrey marah-marah.

“Datuk tak ada kena mengena dengan saya. Buat apa saya nak inform. Datuk bukannya kekasih saya, tunang pun bukan! Datuk tak ada hak nak paksa saya ikut cakap Datuk. Lepaskan saya Datuk…”

Kamelia meronta-ronta minta dilepaskan tetapi tangan tegap Datuk Jeffrey menghalangnya daripada melepaskan diri. Dia terpaksa akur dengan kehendak bosnya itu dan Toyota Harrier itu dipandu laju membelah lebuhraya. Lelaki itu yang berpakaian kemeja-t putih dan bertopi kelihatan agak santai dan tidak menakutkan. Tetapi, kenapa mesti aku rasa takut? Bukankah dia bos aku, orang yang aku kenali. Takkan Datuk Jeffrey hendak pengapakan aku? Bertubi-tubi soalan bermain di fikiran.

Mereka tiba di kawasan bukit yang berkabus dan sejuk. Suhunya mungkin berada di bawah 10 darjah selsius. Tubuh Kamelia menggigil kesejukan. Tak ada pulak orang berjogging di kawasan ini. Takkan aku dengan Datuk saja, mana orang lain. Jangan-jangan Datuk ada niat buruk terhadap aku. Aku nak mintak tolong dengan siapa nih? Kamelia berbisik di dalam hati sambil melempar pandangan jauh ke kawasan bukit yang berkabus.

Benar kata Datuk Jeffrey. Pandangan di hadapannya amat mendamaikan dan indah. Satu hari nanti dia akan datang lagi ke tempat ini dengan orang yang disayangi. Tiba-tiba ingatannya singgah pada satu nama. Ijol! Tetapi kenapa Ijol tidak mahu mengangkat panggilannya. Di manakah Ijol kini? Apakah perasaannya jika dia tahu aku keluar dengan orang lain?

“Cantik tak?” Datuk Jeffrey telah memeluknya erat dari belakang. Kamelia tidak sempat mengelak. Dia menolak tubuh Datuk Jeffrey sekuat tenaga. Tetapi pegangan lelaki itu amat kejap sehingga menimbulkan rasa sakit kepada tubuh Kamelia.

“Apa Datuk buat ni? Lepaskan saya Datuk. Tolonglah…lepaskan saya, Datuk.” Kamelia merayu minta dilepaskan.

“Saya tak akan lepaskan awak, Melia. Saya sayangkan awak. Saya telah jatuh cinta pada awak, Melia. Awak tak faham ke? Saya tak akan lepaskan awak kepada orang lain. Tidak! Kamelia…”

“Kasihanilah saya Datuk. Sakit Datuk…jangan buat saya macam ni…”

Kamelia merayu-rayu minta dilepaskan tetapi Datuk Jeffrey seperti orang hilang akal tidak memperdulikan rayuan Kamelia. Bosnya itu cuba bertindak melebihi batasan. Kamelia menggunakan kudrat yang ada dengan menolak tubuh Datuk Jeffrey yang sedang mencengkam pergelangan tangannya. Dalam pergelutan menyelamatkan diri, tanpa disengajakan Datuk Jeffrey tertolak tubuh Kamelia ke kaki bukit yang curam itu.

“Ya Allah!” jeritan Kamelia sayup-sayup hilang di telan alam.

“Aduh! Apa kena dengan aku ni?”

Bunyi deringan di telefon memeranjatkan Kamelia yang sedang kehairanan bagaimana tubuhnya boleh berada di atas lantai. Bukankah tadi dia tidur di atas? Kepalanya terasa sengal akibat terhantuk di kaki katil. Alhamdulillah…selamat rupanya aku. Perh!! Kejadian itu hanyalah mainan mimpi rupanya.

Telefon bimbitnya terus berdering minta cepat diangkat. Dengan keadaan yang masih mamai, dia mengangkat telefon.

“Hello…”

Suaranya kedengaran lemah.

“Sayang…sorry, saya sibuk sikit. Saya tak sempat angkat call tadi. Ada hal yang kena selesaikan segera. Awak kat mana ni? Bila nak balik? Kenapa suara lemah aje, awak sakit ke?” pertanyaan demi pertanyaan terhambur keluar dari mulut Ijol.

“Saya okey…”

“Barbakul-bakul soalan saya, itu aje yang awak boleh kata?”

“Saya penat, Ijol. Tadi saya mimpi…”

“Tu lah, rindukan saya sampai termimpi-mimpi…betul kan, awak mimpikan saya yang macho ni…”

“Er…er….”

“Apa tergagap-gagap tu. Kalau lidah awak susah nak cakap, saya tau…mesti mimpikan hantu. Kalau mimpikan saya taklah lidah awak kelu nak berkata-kata.”

“Yap! Mimpikan hantu kepala hitam!” luah Kamelia berbohong.

“Sayang bila nak balik?”

“Itulah, saya call tak nak angkat. Saya dah ada atas tilam kat rumah saya ni. Tadi siang saya sampai. Lagipun dari Jakarta ke KL taklah lama sangat dalam flight tu. Pejam celik dah sampai.”

“Masya’Allah…saya lupa awak balik hari ni. Sorry sayang…sorry banyak-banyak. Saya lupa. Erm…dah boleh dating dengan awak la ni…”

“Siapa kata. Kena tanya tuan punya badannya dulu, sudi ke tidak nak dating dengan awak.” Kamelia berpura-pura jual mahal, padahal dia ingin sekali berjumpa dengan Ijol yang dirindui setengah mati.

“Saya kan muka seposen, orang tak sudi dengan rela, saya guna paksaan, yang penting terubat rindu saya pada awak…” Ijol bersuara manja di hujung talian.

Kamelia tersenyum bahagia kerana Ijol tidak ambil hati dengan kerenahnya. Buatlah apa sekalipun yang menyakiti hatinya, kelak dia akan datang kembali dengan selamba, tanpa ada rasa ego. Bukankah mereka pasangan yang telah menginjak dewasa, begitu kata Ijol setiap kali jika Kamelia merajuk.

“Melia…saya ada benda nak cakap dengan awak. Benda ni penting, tapi saya tak tahu macam mana nak bagitahu awak…saya takut…”

Kamelia berdebar-debar sebaik sahaja Ijol mengeluarkan kata-katanya itu. Apakah ‘benda penting’ yagn dimaksudkan oleh Ijol itu? Benaknya cuba membuat spekulasi tetapi kerana dirinya yang masih keletihan, dia tidak mampu berfikir panjang.

“Apa benda yang awak nak cakapkan? Ada kaitan dengan saya ke?”

“Memang ada. Setiap apa yang saya buat selalunya ada kaitan dengan awak. Awak kan tunang saya, bakal isteri saya…”

Ada kaitan dengan aku? Apa bendanya tu? Ijol suka benar membuat orang berada di dalam teka-teki…rungut Kamelia dalam hati.

“Sayang…”

Diam. Kamelia tidak menyahut pun panggilan Ijol.

“Sebenarnya…”

“Saya nak jumpa awak juga. Saya tak boleh cerita kat telefon, takut awak salah faham. Takut awak terus tak nak jumpa saya. Kalau awak tinggalkan saya, mati saya Melia!”

Kenapa sampai soal hidup dan mati yang diungkapkan ni? Serius benarkah apa yang mahu diceritakan itu? Makin pusing fikiran Kamelia ditambah dengan mimpi buruk yang menyerang tidurnya tadi. Benar kata ibunya, cuci badan dahulu sebelum tidur. Kamelia teringat tadi dia tertidur sebelum sempat membersihkan badan, inilah padahnya.

“Bila?”

“Bila?” soal Kamelia kembali kerana dia tidak faham apa yang dimaksudkan oleh Ijol.

“Bila awak free. Saya akan turun KL. Saya akan ambil cuti khas untuk lepaskan rindu pada awak.”

“Gatal!”

“Awak aje yang boleh tolong garukan…ha…ha…”

“Suka lah tu. Okeylah Ijol, saya nak mandi. Nanti awak call lagi…”

“Okey sayang, mandilah cepat, biar bau wangi sikit. Patutlah baunya sampai ke JB!” usik Ijol.

“Ijol!”

Ijol telah meletakkan telefon tanpa sempat mendengar jeritan Kamelia.

***
Keadaan di KLCC sangat sibuk dengan orang ramai berpusu-pusu ke sana sini dengan tujuan masing-masing. Kamelia meninjau jam di pergelangan tangannya. Hampir setengah jam dia menunggu, tetapi orang yang ditunggu tidak juga menjelma. Hari minggu begitu memang sukar mendapatkan tempat kosong di restoran makanan segera terutamanya di Mc Donald ataupun KFC. Jadi, Kamelia terpaksa menunggu sambil berdiri di hadapan kedai yang menjual pelbagai beg tangan berjenama mewah.

“Ada diskaun tak dik?”

“Ini semua baru sampai, kak. Jadi beg dijual pada harga asalnya. Tetapi kalau akak nak yang ada sale, yang kat dalam sana. Kita ada bagi sehingga 70 peratus diskaun, kak.” Peramah gadis penjual itu menerangkan dengan senyuman yang sentiasa terukir di bibir.

Kamelia berjalan pula ke kawasan yang menjual beg tangan berjenama Gucci. Rekaannya sangat cantik dan menepati citarasa masakini. Kamelia membelek tanda harga yang terpampang. Hah! RM750. Dia meletakkan kembali beg tersebut ke tempatnya. Bukannya dia tidak mampu, tetapi terasa sayang pula duit gajinya digunakan untuk membeli beg yang hanya digunakan beberapa kali dalam setahun.

“Awak nak yang mana satu?”

Teguran satu suara di belakangnya membuatkan Kamelia terkejut. Bau haruman Body Shop dari tuan empunya badan menunjukkan bukan ini orangnya yang ditunggu-tunggu. Dia arif benar siapa di belakangnya itu. Buat apa pula dia di sini? Takkan mengekori aku? Tapi, untuk apa? Serta merta igauan mimpinya datang menjelma, membuatkan tubuhnya terasa seram sejuk.

“Awak pilihlah, saya bayarkan.” Bisik lelaki itu di cuping telinganya.

“Datuk! Apa Datuk buat ni?!”

“Saya….saya…ternampak awak tadi. Sorang aje?” Datuk Jeffrey menggelabah sebentar, tidak menyangka yang Kamelia akan menekan suaranya begitu.

“Saya tunggu kawan.” Datar sahaja Kamelia menjawab.

“Oh! I see…”

Kamelia memandang sekilas wajah Datuk Jeffrey yang berubah kelat. “Datuk dengan anak isteri ke?”

Datuk Jeffrey menggeleng. “Sorang. Saja jalan-jalan, ingatkan nak cari hadiah untuk anak saya. Birthday dia dah lepas, tetapi saya terlupa.”

“Oh!”

“Mana kawan awak tak sampai lagi?”

Kamelia meninjau sekeliling tetapi mustahil dia dapat menangkap kelibat Ijol di dalam lautan manusia yang mudik hilir di kompleks membeli belah itu. Namun, di dalam tinjauan rambangnya itu, dia ternampak kelibat Khadeeja sedang membelek sesuatu di kedai jam tidak jauh dari tempatnya berdiri. Ah! Kebetulan pula, ada dia, ada Datuk Jeffrey. Dalam tak sedar dia tersenyum sinis.

“Dia belum sampai? Kawan yang call hari tu ke?” Datuk Jeffrey mengucapkan frasa yang sama dalam misinya untuk menebak yang mana satu buah hati Kamelia.

“Mungkin, Datuk.”

“Mungkin?”

“Datuk tak kenal dia, saya rasa lebih baik saya pun tak perlu bercerita lanjut tentang kawan saya tu pada Datuk.”

“Awak suka mengelak.”

Kamelia tidak menjawab kenyataan dari Datuk Jeffrey itu. Sebaliknya dia menyindir, “Betul ke Datuk sorang aje? Tak ada bawak miss bodyguard?”

“Awak suka kenakan saya.”

Sebelum beredar Datuk Jeffrey sempat berbisik, “Jaga diri awak. Kita jumpa di pejabat esok.”

Kamelia menghantar bosnya pergi dengan pandangan kosong. Sedangkan hatinya sudah semakin jengkel mengenangkan Ijol yang telah terlewat lebih dari setengah jam. Kemanakah gerangan lelaki itu. Apakah dia masih ingat kepada pertemuan yang dirancang ini? Ijol…Ijol…

Datuk Jefferey mengambil tempat duduk di sisi Kamelia sewaktu mereka menunggu di balai berlepas.Orang ramai yang lalu lalang tidak mengendah...
Unknown Sep 3, 2009