NOVEL: CINTA KAMELIA 23

loading...
Dari jauh Ijol memerhatikan tunangnya berbual mesra dengan seseorang. Lelaki itu kelihatan cukup bergaya. Tadi dia hampir mengejutkan Kamelia, tetapi belum sempat dia berbuat begitu, lelaki lewat 30-an itu pula telah terlebih dahulu membuat kejutan. Cara lelaki itu bercakap dengan berbisik-bisik makin menimbulkan rasa cemburu di hati Ijol. Siapakah lelaki itu. Adakah teman lelakinya sewaktu di UK dahulu? Tetapi mengapa Kamelia tidak berterus terang. Darah lelakinya mula mendidih. Rasa cemburu, marah, sedih dan pelbagai rasa bertaut menjadi satu. Untuk meredakan ketegangan perasaannya, Ijol menyandarkan tubuhnya ke dinding.

Tiba-tiba telefonnya berdering-dering. Panggilan itu dibiarkan sahaja berlalu kerana dia belum bersedia. Hatinya sedang pedih mendidih. Dia tidak mahu becakap dengan Kamelia dengan suara yang marah, dia tidak mahu berjumpa gadis itu ketika sedang berwajah muram. Semuanya demi cintanya pada Kamelia, kalaulah boleh segala rasa cemburu itu dipadam begitu sahaja, sekarang dia sudah bertentangan dengan tunangnya itu. Oh! Tuhan…

Bunyi SMS masuk.

“Awak kat mana? Dah 1 jam tunggu.”

Ijol membiarkan sahaja SMS itu. Tidak berapa lama kemudian, SMS kedua masuk.

“Dtg @ tidak? Saya nak balik.”

Sebaik membaca mesej Kamelia itu, Ijol menjadi gelisah. Da mesti berani berhadapan dengan kenyataan jika sekiranya pertemuan ini akan berakhir dengan kegagalan. Digagahkan juga langkahnya menghampiri Kamelia yang kelihatan anggun dengan berblaus coklat melepasi punggung dan berseluar jeans biru gelap. Gadis tinggi lampai berkulit putih itu tidak perasankan kehadiran Ijol di sisinya.

“Hai…”

Kamelia terkesima mendengar suara itu. Rindunya…datang juga dia. Ingat dah lupa! Rungutnya dalam hati.

“Awak lambat. Nasib baik saya tak balik.”

“Awak balik pun saya tahu nak cari awak kat mana. KL bukannya besar sangat…” jawab Ijol berpura-pura ceria. Dia berharap Kamelia segera memberitahunya siapakah lelaki yang baru ditemui sebentar tadi.

Kamelia merenung wajah bersih Ijol. Kali terakhir ditemui ketika lelaki itu menghantar rombongan peminangan. Tetapi entah mengapa dia perasan ada sesuatu yang menyelubungi minda Ijol saat ini. Dia dapat rasakan yang Ijol hanya berpura-pura ketawa dan senyum dengannya, tetapi itu semua lakonan semata-mata. Apakah masalah yang membebankan lelaki itu?

“Kita nak ke mana?”

“Tak ke mana-mana. Kat tempat sibuk macam ni pun tak apa, asalkan dapat berdua-duaan dengan awak, Melia. Makin cantiklah sejak awak balik dari Jakarta ni. Ada apa-apa ke? Manalah tahu terjumpa seseorang kat sana?”

Aku terjumpa Hardy, takkan dia tahu. Mungkin itu perasaan Ijol sahaja yang kononnya ada deria ke enam! Lagipun bukannya ada benda penting yang hendak diberitahu. Baik tak payah cerita. Nanti wajahnya yang sudah keruh semakin kelat…bisik Kamelia kepada diri sendiri.

“Jom kita cari tempat makan. Boleh borak macam-macam.” Kamelia bergerak dahulu diikuti oleh Ijol dari belakang.

Tiba-tiba lengannya dipaut dari belakang. Ijol menguntum senyum demi membalas pandangan Kamelia yang seperti kurang senang diperlakukan begitu. Dia cuba melepaskan dirinya tetapi Ijol telah memaut lengannya dengan kemas. Terpaksalah Kamelia membiarkan perlakuan tunangnya itu yang kebelakangan ini semakin nakal.

“Saya takut awak hilang dari saya!”

Berderau darah Kamelia ketika bahunya bersentuhan dengan bahu Ijol. Lebih-lebih lagi apabila lelaki itu menuturkan kata-kata yang boleh meruntuhkan kebal jiwanya. Namun ada satu rasa aneh yang meyelinap ke segenap ruang rasa. Ya, debaran itu mendatangkan bahagia. Orang yang mengunjungi KLCC pula semakin lama semakin ramai. Hujung minggu begitu orang ramai tidak melepaskan peluang membawa keluarga berjalan-jalan atau makan di luar.

***

“Apa yang awak nak beritahu saya hari tu. Kata ada cerita penting nak share.” tanya Kamelia sambil menyedut minumannya.

Ijol hampir tersedak ketika Kamelia tiba-tiba melontarkan soalan cepu emasnya itu. Setelah insiden yang berlaku sejam yang lalu, Ijol menjadi tidak yakin untuk menceritakan masalah yang sedang membelenggu hidupnya tika ini. Dia ingin tahu dari mulut Kamelia dahulu, siapakah lelaki yang ditemuinya tadi. Adakah sekarang Kamelia sedang berbohong. Mencintai lelaki lain, tetapi bertunang dengan orang lain. Sebaliknya, bagi Ijol, kes khalwatnya hanya masalah kecil yang sedang ditangani sebaik mungkin.

“Ijol…”

“Hah?!” lamunan panjangnya terlerai.

“Apa awak tenung saya macam tu? Saya ada buat salah ke?”

“Awak mana ada buat salah pada saya, sayang. Cuma saya aje yang ada masalah sikit. Tapi, itu nantilah kita cerita. Sekarang kita makan dulu. Okey.” Ijol menukar fikirannya. Dia belum bersedia untuk berkongsi masalahnya dengan Kamelia.

“Ceritalah…saya dah tak sabar nak tahu ni…”

“Nantilah.” Ujar Ijol lembut.

Kamelia mengalah akhirnya. Wajahnya mencuka, geram dengan Ijol yang memungkiri janjinya.

“Mungkin awak ada sesuatu nak beritahu saya.” duga Ijol pula.

“Saya? Apa maksud awak?”

“Mana tahu awak nak share pasal seseorang…”

“Saya tak fahamlah Ijol. Apa maksud awak?” suara Kamelia kedengaran agak kasar.

“Saya agak aje. Awak janganlah marah. Kalau tak ada tak apa…” luah Ijol perlahan. Ternyata Kamelia tidak mahu berkongsi dengannya tentang ‘lelaki’ itu. Rasa cemburunya datang lagi, bahkan kini dirasakan semakin parah pula. Wajahnya berubah muram tiba-tiba.

Keadaan menjadi sunyi seketika. Ijol dan Kamelia masing-masing melayan perasaan sendiri. Kamelia tidak mengendahkan kelakuan Ijol yang dirasakannya seperti kebudak-budakan lagaknya. Entah apa yang dirisaukan oleh tunangnya itu, dia tidak pasti. Sebagai orang yang terdekat dengan Ijol dia berasakan wajar menyelami masalah lelaki itu. Tetapi Ijol bagai merahsiakan sesuatu darinya.

“Kalau nak jumpa saya semata-mata nak tunjuk muka masam awak tu, baik tak payah jumpa. Kalau tak waktu macam ni saya dah boleh berehat, dah tidur. Awak yang beriya-iya nak jumpa, kan. Sekarang awak pulak buat perangai. Saya tak fahamlah dengan awak ni Ijol!” Kamelia menyuarakan ketidakpuasan hatinya terhadap Ijol. Dia tidak menghiraukan Ijol yang memandangnya dengan pandangan yang pelik. Biar dia nampak perangai sebenar aku, biar dia sedar yang aku ni bukannya seorang yang boleh diperlecehkan; gumam Kamelia geram.

“Ada nak marah lagi? Ada yang belum habis awak nak cakap?” wajah Ijol sudah tidak muram seperti tadi. Dia tersenyum-senyum sahaja ketika Kamelia sudah naik bosan dengan perangainya yang mula berprasangka.

“Banyak!”

“Cakaplah lagi, saya sudi dengar…”

“Awak buli saya ya…”

“Mana ada. Saya suka tengok awak yang macam tu. Sesekali membebel nampak sweet. Rasa macam nak makan-makan aje…”

“Saya bukannya gula-gula yang awak boleh makan sesuka hati.” Rungut Kamelia perlahan. Walau suaranya perlahan, ia masih boleh didengari oleh Ijol. Ijol melepaskan tawanya dengan kuat.

“Awak kalau buat lawak pun boleh jadik.” Ijol menyambung tawanya yang masih bersisa.

“Saya rasa awak tengah syak saya ya? Awak cemburu ya? Cemburukan saya dengan siapa?” duga Kamelia apabila dilihat Ijol sudah kembali normal.

Wajah Ijol berubah tiba-tiba dek diterpa soalan yang tidak disangka-sangka dari mulut comel Kamelia. Tawanya ikut sama terhenti.Ada rupa orang cemburu ke aku ni? Teruk sangatkah wajah aku sehingga terperasan oleh Kamelia? Memang aku cemburu pun, dia berbual dalam keadaan intim dengan lelaki lain. Sesiapa pun akan cemburu jika bakal isterinya digoda lelaki lain…

“Saya nampak macam orang yang cemburu ke?”

“Awak lebih tahu dari saya. Tindakan awak amat transparent. Ingat awak aje ada sixth sense?” sindir Kamelia.

Ijol hanya terdiam. Perlukah dia berterus terang tentang persoalan yang mengasak ruang damainya. Perlukah dia ambil tahu tentang semuanya, tentang sisi personal seorang kekasih atau tunang? Makin celaru jadinya.

“Kalau saya ada orang lain, dari dulu saya dah kahwin dengan orang itu. Dari saya di UK lagi…”

“Jadi?”

“Awak nilailah sendiri. Kan awak dah ikat saya, awak tahu jawapannya.”

Betul juga kata Kamelia tu, kenapa mesti aku berprasangka, kenapa ada cemburu sedangkan Kamelia sekarang telah menjadi milikku, berada dekat denganku.Ah! Mainan hati sukar benar dijangka! Ijol mengeluh.

***
“Lepas ni kita ke rumah abang Imran ya.”

“Hm…”

“Awak tahu tak jalan nak ke rumahnya?”

“Awak kan ada.”

“Nanti lepas tol belok kiri, jalan terus sampai jumpa taman perumahan.” Kamelia memberi arahan. Mitsubishi Lancer putih itu meluncur laju membelah kesesakan bandaraya Kuala Lumpur.

Kamelia hanya memerhati Ijol mendail nombor seseorang dan kemudian menggunakan ‘earphone’ untuk berkomunikasi.

“Saya culik dia sekejap.”

“J.B.”

“Saya akan hantar dia balik. Okey, terima kasih.”

Sekejapan sahaja talian telah dimatikan. Ijol menyarung cermin mata gelapnya dan terus memandu tanpa menghiraukan Kamelia yang asyik memerhatikannya. Cuaca di luar panas terik, walau jam telah mencecah 4.30 petang.

Selepas membayar tol, Ijol memandu terus ke selatan tanpa mengikut arahan yang diberikan oleh Kamelia sebentar tadi untuk ke rumah abangnya. Kamelia panik bimbang Ijol terlupa apa yang diperkatakan olehnya tadi. Jika dia tersilap arah, Ijol perlu keluar dari plaza tol dan masuk semula ke persimpangan naik ke KL.

“Awak lupa arah nak ke rumah abang Imran ya?”

“Siapa kata. Betul lah ni.” Ujar Ijol selamba.

“Salah. Bukan ikut arah sini. Ini nak balik JB bolehlah.”

“Betullah tu…”

“Apa maksud awak?”

“Kita nak ke JB. Jumpa bakal emak mertua awak.”

“Ijol! Kenapa tak inform dulu. Macam mana saya nak balik nanti. Esok saya kerja…hish! Awak ni kan…”

Muncung Kamelia panjang sedepa. Dia tidak suka Ijol bertindak sesuka hati tanpa memperdulikan pandangannya, tanpa meminta pendapatnya. Geramnya naik ke tahap maksima. Nafasnya turun naik menahan marah.

“Kenapa sayang marah-marah ni. Saya minta maaf, okey. Memang saya tak nak bincang dengan awak dulu. Saya tahu mesti awak tak nak punya. Jadi saya ikut cara saya lah…lagipun saya dah inform abang Imran. Awak jangan risau. Saya tak jual awak kat Singapore, jangan takut. Saya cuma nak bawak awak jumpa dengan bakal emak mentua awak, itu aje.” Ijol menerangkan panjang lebar.

Oleh kerana Kamelia masih membungkamkan diri, Ijol menambah, “Kan saya janji nak ganti cincin yang hilang hari tu. Awak tak ingat.”

Kamelia masih mengunci mulutnya. Perasaan geramnya masih membara di dada. Dia sudah malas melayan kerenah Ijol lagi. Buang masa aje, turun JB kemudian terpaksa balik semula ke KL. Takkan esok nak ambil MC atau cuti kecemasan. Huh! Mesti kena soal siasat dengan Datuk! Dahl ah sehelai sepinggang…rungutan dihati Kamelia terus berpanjangan.

“Awak tak nak jumpa emak? Emak teringin sangat berbual dan berkenalan dengan tunang ekpress anaknya ni.” Ijol buat suara kasihan.

Ijol menambah sambil matanya melirik wajah tunang kesayangannya itu. “Awak tak kesiankan saya, tak apa. Tapi kesiankanlah emak saya, sejak tunang hari tu tak pernah dapat jumpa bakal menantunya ni…”

“Awak ke emak awak?”

Ijol ketawa melihat Kamelia sudah membuka mulutnya. Helahnya menjadi. Keras-keras kerak nasi, akhirnya lembut juga…

***

“Awak nak ke mana?”

“Aik belum jadi suami dah kena soal?” ujar Ijol perlahan.

Kamelia menjeling mendengar usikan dari Ijol itu.

“Nak jumpa Zek sekejap. Kenapa? Nak ikut?” Tanya Ijol yang telah menyarung sandal kegemarannya.

“Pakai macam ni aje ke? Awak tak kisah ke?” wajah polos Kamelia mohon pengertian dari Ijol.

Emak Ijol tiba-tiba sahaja telah terjengul di belakang Kamelia ketika gadis itu sedang membetulkan kain batiknya. Kamelia pula tergesa-gesa melangkah menuruti Ijol kerana dia pun sudah lama tidak ketemu dengan Baiti. Rindunya pada teman sekursus di UK itu tidak dapat dibendung lagi.

“Tak kan nak pergi macam itu aje?”

“Ha?”

“Ya…takkan Melia nak ikut Ijol pakai macam tu? Ijol tu tak baik betul. Di bulinya tunang dia.” Emak Ijol membebel marahkan perangai Ijol yang tidak berubah-ubah suka membuli orang lain.

“Habis tu…”

“Pergi pinjam baju mak.”

Ijol yang sudah menunggu di perut kereta hanya ketawa melihat kekalutan Kamelia dan jelingan penuh erti emaknya. Sekali sekala kenakan orang, apa salahnya.

“Nasib baik ada emak awak, kalau tak macam orang tak siap tau saya…”

“Sebab itulah saya ajak awak balik sini. Emak pandai sesuaikan diri walau dalam keadaan apa sekalipun, awak kena banyak belajar dari dia sebelum jadi isteri saya.”

“Ya lah tu!”

Ijol ketawa bahagia. Apabila Kamelia berada di depan mata hilanglah sebentar kerisauan dan kecemburuan yang bersarang di jiwa.

***
“Terpaksa emergency lah esok. Nak buat macam mana?”

Baiti ketawa sahaja mendengar alkisah antara Kamelia dengan Ijol. Dalam diam, ada cinta. Dalam benci, ada rindu! Bertahun rahsia disimpan, antara dia, Zek dan Ijol. Kalau pecah tembelang, alamat nahaslah Ijol, tentu persahabatan mereka berantakan…gumam Baiti.

Namun jauh di sudut hati, dia merasa resah. Ada sesuatu yang perlu dikhabarkan kepada Kamelia. Antara hidup dan mati? Ya ke… Itupun setelah Ijol beriya-iya meminta dia menyampaikannya. Sanggupkah Kamelia? Tabahkah dia? Sedangkan Ijol sendiri telah menyerah kalah sedari awal lagi. Masih teringat bagaimana Ijol mengunjungi mereka pada lewat malam setelah kejadian itu memohon jasa baik dia dan Zek, menyampaikan berita ini kepada tunangnya.

“Kau okey?”

“Okey…kerja pun ok. Bos aku tu, ada miang sikit. Dari gayanya macam nak mengurat je…”

“Orang cantik, ke mana pergi pun mesti ada yang terpaut, ada yang terpikat. Tapi Ijol lebih cepat dari yang lain…”

“Kau ni ada-ada aje…”

“Mel…”

“Hm…”

“Aku sebenarnya…” Baiti cuba menyusun ayat, tersekat-sekat.

“Ya?”

Kamelia asyik membelek album perkahwinan Zek dan Baiti. Bayang Ijol dan suami teman karibnya itu tidak kelihatan. Mungkin sedang menghirup udara segar di luar rumah.

“Aku sebenarnya ada benda nak cakap dengan kau.”

“Cakaplah.” Kamelia telah menutup album perkahwinan tersebut dan di letakkan di sisinya.

“Pasal Ijol.”

Kamelia mengerutkan dahinya. Kenapa dengan Ijol? Ada wanita lainkah dalam hidupnya, yang dirahsiakan daripadaku? Atau…Ijol ingin memutuskan hubungan mereka? Berselirat soalan berlegar-legar di mindanya.

“Ijol sebenarnya tengah nak selesaikan kes khalwat dia.”

Kamelia tersentak, umpama batu besar menghempap tubuhnya, sukar untuk bernafas atau berkata-kata. Betulkah apa yang didengar? Mimpikah aku? Wajah Baiti direnung tidak berkedip. Lemah seluruh sendinya. Ada perasaan lain yang menyelinap di sudut hati, entah apa dia tidak pasti. Tetapi umpama rasa sayang yang sedang tertanam, terlerai sedikit demi sedikit. Berkecai…

“Dia sebenarnya nak bagitahu kau sendiri, tapi dia tak sanggup. Dia pening, keliru…dia takut kau tinggalkan dia.”

“Bila?”

“Dah hampir dua minggu kejadian tu. Dengan si Zureen, sepupu dia. Dia kata kau kenal budak tu. Masa tu kau masih kat Jakarta. Kau patut bagi dia peluang…itu semua bukan kehendak dia. Dia kena perangkap.” Rayu Baiti perlahan. Dia tidak mahu kerana salah faham ini, hubungan sahabatnya itu terputus.

“Rupa-rupanya aku belum kenal dia, Baiti. Mungkin dia perlukan masa untuk membina hubungan kami. Pertemuan yang berlaku ini terlalu pantas. Dia terlalu tergopoh-gopoh untuk mengikat aku, tetapi ini yang dia beri…aku menyesal, Baiti…” luah Kamelia dengan suara yang tersekat-sekat. Dia sedaya upaya menahan air matanya dari tertumpah ke bumi.

“Jangan cakap macam tu, Melia. Kau bertuah kerana mendapat cintanya. Dia seorang lelaki yang pegang janji, Melia. Lagipun aku dah cakap, Melia. Bukan kehendak dia. Ini semua mungkin takdir Tuhan untuk menguji kekuatan cinta kamu berdua, terutamanya kau…Melia.”

“Aku? Apa maksud kau? Kau ingat aku tak setia, aku tak kuat?”

“Mungkin. Sebab kau terlalu banyak pilihan. Kau masih keliru…fikiran kau belum tepat dalam membuat pilihan!”

“Dia yang bersalah kenapa kesetiaan aku yang dipersoalkan. Kau tak adil, Baiti. Kau berkomplot dengan dia ke? Senang-senang nak lepaskan diri…” Kamelia meninggikan suaranya. Dia rasa bosan pula apabila sahabatnya itu menyebelahi Ijol, mempertahankan Ijol. Semua orang menyokong Ijol.

“Kalaulah kau tahu…” Baiti tidak jadi meneruskan kata-katanya. Rahsia itu tidak boleh dibocorkan sekarang. Takut keadaan menjadi sebaliknya. Baiti menepuk bahu Kamelia, cuba mententeramkannya. Dia tahu Kamelia terluka mendengar perkhabaran ini. Tetapi benda dah terjadi, untuk di undur masa pun bukan kita yang berkuasa….

“Sabarlah, Mel. Setiap kejadian ada hikmahnya!”

“Aku belum mampu terima kejadian ini, Baiti. Aku belum bersedia…”

“Apa maksud kau?”

Akhirnya air mata yang ditahan, tumpah jua. Di pelukan Baiti, Kamelia menangis teresak-esak. Sebak di dada tak mampu ditahan lagi.

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.