NOVEL: SURATAN 1

loading...
Pintu dibuka. Seorang lelaki masuk sambil ditangannya tergenggam sejambak ros merah. Lama dia berdiri di muka pintu. Memerhati seorang gadis yang sedang terbaring lena. Bau ubat menusuk ke lubang hidungnya. Bunga ros masih dipegang. Sudah seminggu semenjak gadis itu di hospital, lelaki itu kerap datang melawat. Dia menarik kerusi lalu mendekati gadis yang masih terbaring itu.

Haizan Azeem nama lelaki itu. Masih berpakaian Seragam sekolah. Merenung lama wajah kesayangan. Hatinya tiba-tiba digamit sedih. Pada wajah kekasih terpancar seribu erti kesakitan dan pederitaan yag ditanggung. Namun nilai kemurnian sekeping hati masih terbayang-bayang di mata Haizan.

Gadis Soraya menggeliat dan perlahan-lahan membuka mata. Samar-samar dia nampak Haizan di hadapannya.

“Selamat petang Nina...”

Gadis itu mengangguk. Memalingkan mukanya ke arah lain. Dia ingin duduk tetapi badannya masih terasa lemah. Dia tetap juga berusaha.

“Baringlah dulu Nina, badan kau masih lemah.” Haizan cuba menasihati.

Gadis itu menjeling marah. Tidak suka orang mengarahnya membuat itu dan ini. Dia berusaha lagi. Haizan tidak sampai hati lalu membantu membangunkannya. Kemudian dia mengganti bunga yang sudah layu di dalam pasu dengan bunga yang dibawanya. Nampak berseri bilik sakit khas itu.

Soraya memandang jam di dinding bilik itu. Sudah pukul dua setengah petang.

“Kau belum pulang ya?”

“Sekejap lagi.” jawab Haizan lembut.

Haizan masih berpakaian sekolah kerana itulah kebiasaanya sejak seminggu kebelakangan. Pulang dari sekolah terus melawat Soraya.

“Aku dah okey, kau tak perlu datang selalu...” tegas Soraya.

“Tapi...”

“Baliklah Zeem, nanti ibu kau membebel lagi...kirim salam kat dia orang.” pinta Soraya selepas itu.

Haizan mengambil begnya dari atas meja bulat di sudut bilik. Dengan langkah yang dipaksa, dia mendekati Soraya semula.

“Aku pergi dulu, jaga kesihatan dan jangan lupa makan ubat. Aku harap kau cepat sembuh.”

Ketika Haizan berjalan ke pintu dia bertembung dengan ibu bapa Soraya.

“Dah nak balik?” sapa ayah Soraya lembut.

“Dah lama kat sini, pak cik.” balas Haizan sopan.

“Nina, aku balik dulu.” ucap Haizan dan terus hilang di balik pintu.

“Nampaknya kau dah semakin sembuh. Eloklah tu Nina. Taklah sunyi sangat rumah kita nanti. Seminggu kau tak ada, tak cukup tangan mak dibuatnya. Nazirulnya lagi, Ari pulak langsung tak nak tolong mak buat kerja rumah.” ujar emaknya yang memegang Nazirul yang berusia dua tahun.

“Ala mak, kan Nina dah sihat. Bila-bila boleh balik.” jawab Soraya selamba.

“Ingat kau boleh senang-senang keluar masuk...” getus ayahnya.

Nina Soraya ketawa menampakkan barisan giginya yang putih berseri. Rambutnya yang sekadar melepasi bahu di ikat ke belakang. Nazirul menarik-narik kain selimut yang menutupi sebahagian tubuh kakaknya. Dia duduk di sisi Nina, cuba bermanja. Nina terhenjut-henjut menuju ke tepi tingkap untuk menyisir langsir.

***

Kepulangan Haizan Azeem telah dinanti oleh ibunya diambang pintu. Orang tua yang hampir separuh abad itu setia melihat Haizan Azeem memasukkan RXZnya ke garaj.

“Angin apa emak tunggu Azeem ni?”

“Ya lah...dah pukul tiga tak nampak batang hidungnya, mana mak tak risau. Pergi tengok budak Nina tu lagi ke? Kalau ya pun apa salahnya balik dulu, salin baju...” bebel puan Mashitah.

Haizan ketawa dibebeli begitu. Macam budak lapan tahun; fikirnya. Dia sudah bersandar di kerusi empuk apabila emaknya memanggil.

“Azeem! Tak buka baju lagi dah berangan. Nanti tertinggal Zohor nak ganti kat mana.” bebel emaknya dari dapur.

“Ya lah mak...”

Selepas mandi dan bersolat, Haizan turun ke dapur mengisi perut yang kosong. Makanan sudah terhidang di atas meja. Ada ikan kerisi masak asam pedas dan sayur ucuk paku. Tetapi, mana sambal belacanya?

“Kenapa ditenung aje makana itu? Ada muka si Nina ke?” sindir emaknya.

Haizan tidak memberi respon dan hanya memerhati emaknya menyendukkan nasi. Bagi anak bongsu puan Mashitah dan Encik Badrulhayat ini, ibu dan ayah adalah kawan seperasaan. Biarpun begitu hubungan sebegini tidak memaksa Haizan sekali-sekali melangkau batas.

“Aku kalau makan mesti nak ada sambal belacan...” tutur Nina ketika mereka sama-sama makan nasi campur di Saji Rasa Cafe bersebelahan Pasar Tani.

“Emak aku pandai buat sambal belacan, 'kaw kaw' punya...rasa sekali nak selalu.” sambut Haizan serius.

“Ya ke? Berilah kat aku resepinya.”

“Kalau nak bila-bila masa datanglah rumah aku.” pelawa Haizan ketawa menampakkan lesung pipit di pipi kirinya.

“Hai...makan pun boleh senyum. Rosak budak ni...” omel puan Mashitah sambil meletakkan hirisan buah betik di hadapan anak bujangnya itu.

Haizan tersipu-sipu ditegur emaknya. Da terus cepat-cepat menyumbatkan makanan ke mulut. Dia berkira-kira hendak ke bandar JB petang nanti untuk membeli sesuatu. Sambil itu otaknya berfikir mengenai wang saku yang tinggal setelah ayahnya memberikan seratus ringgit pada pagi Isnin lepas.

***

Nina Soraya sudah pulang ke rumah setelah seminggu di hospital. Nazri, adik lelakinya yang belajar di dalam tingkatan lima membawa pesan dari teman baiknya; Famiza Inson dan Roshayati telefon!

“Apa hal?”

“Amacam...kau dah sihat? Assignment dok rindukan kau!” ujar Famiza berjenaka sewaktu Soraya melaksanakan pesan teman baiknya itu.

“Tak ada chance langsung aku nak rileks... subjek ekonomi ke?”

“Eh! Kan aku dah beri nota pada adik kau!” sambut Famiza di hujung talian.

“Nanti aku tanya dia...”

“Esok datang tau...sepilah kelas tanpa kau!”

“Insya'Allah, kalau aku tak masuk wad lagi.” jerit Soraya ketawa kecil.

Selesai berbual di telefon, Soraya menjerit memanggil adiknya dari bawah.

“Ari! Mana nota yang kawan akak bagi tu...!”

“Kat tepi phone!” jawab Nazri kuat juga suaranya.

Nina Soraya menjeling sekilas dan terpandang beberapa helai kertas putih berlipat rapi. Dia tersenyum sendiri mengenangkan dirinya yang lalai dan tidak prihatin. Soraya mendengar suara emaknya riuh di bilik air sebelah dapur sedang memandikan sikecil; Nazirul yang berusia dua tahun.

Hampir pukul enam petang. Ayahnya belum pulang dari kerja. Biasanya waktu-waktu begini ayahnya sudah pulang, mrnguruskan tanam-tanaman di tep rumah. Ah! Mungkin dia terperangkap dalam kesesakan jalan raya petang Jumaat.

“Nina...tolong siramkan pokok bunga mak tu...” laung emaknya dari dalam bilik air.

Soraya bangun juga walaupun punggungnya terasa berat berbuat begitu. Ayahnya pulang setelah lebh kurang lima minit Soraya menyiramkan pokok-pokok bunga emaknya.

“Kenapa lambat ayah?”

“Jammed...” sambut ayahnya perlahan, mungkin keletihan setelah dari pagi keluar mencari rezeki.

Nazirul terkedek-kedek mendapatkan ayahnya yang hendak membuka kasut. Seperti biasa emaknya sedia menyambut beg yang dibawa oleh ayahnya ke tempat kerja itu. Nina Soraya menyaksikan semua itu dengan hati yang bangga dan penuh syukur kerana dikurniai sepasang 'kekasih' yang ideal.

***

Enam Atas Cemerlang hidup kembali dengan kehadiran Nina Soraya. Rutin yang dilalui oleh seorang pelajar terpaksa disambung kembali olehnya.

Minggu orientasi hampir tamat. Hari pertama kedatangannya kembali ke sekolah itu merupakan hari akhir acara orientasi pelajar enam bawah.Pelajar-pelajar enam atas dijemput meghadiri jamuan dan program lain yang sudah di atur.

Haizan, Aizel, Zulkifli, Zulfakar dan beberapa orang lagi rakan mereka sibuk sepanjang masa. Nina Soraya hanya memerhati itu semua dengan pandangan kosong di satu sudut. Kawan-kawan perempuannya yang menjadi ahli jawatankuasa PERTINA juga tidak dapat bersama dengan Nina Soraya.

“Kalau tak sihat tak payah berlatihlah petang ini...” ujar Haizan sewaktu mereka makan di kantin.

“Mana boleh! Perlawanan tak lama lagi, stamina mesti dijaga.Aku tak nak 'miss' lagi kali ini...” jawab Nina Soraya tegas.

Dan segala-galanya bagai telah dirancang. Dalam latihan badminton di dewan sekolah, Soraya ditimpa kecelakaan. Dia tersungkur ke depan apabila cuba membalas 'smash' yang dibuat oleh rakan sepelatihan, Hishamuddin. Kepalanya yang memang sudah berat sebelum latihan bermula, bertambah sakit apabila terlanggar besi tempat menggantung jaring. Pandangannya kelam dan suara-suara di sekitarnya makin jauh dan jauh!

Bahunya di tepuk seseorang. Kenangannya terganggu. Hishamuddin tersenyum hambar. Soraya mengurut dada demi meluruhkan rasa terperanjatnya.

“Menung jauh nampak...” Hishamuddin sudah duduk disampingnya. Ketua pengawas SMDP ini boleh tahan juga orangnya; komen Soraya dalam diam.

“Dah beres semua?” tanya Soraya.

“Sampai pukul dua nanti sempatlah...” jawab Hishamuddin optimis.

Soraya nampak Haizan sedang berbual-bual dengan pelajar enam bawah.Gadis itu berambut perang dan dikeriting kasar. Dia membelakangi Soraya. Seperti ada sesuatu yang penting sedang diperkatakan. Kemudian matanya nampak Haizan mengangguk-angguk.

“Sepanjang minggu orientasiAzeem jadi perhatian. Sayang kau tak ada untuk turut melihat gelagat pelajar perempuan enam bawah.”

Kata-kata Hishamuddin bagai mengerti sorotan cemburu anak matanya. Anak mata seorang 'buah hati'. Mana tidaknya, si Haizan yang peramah pandai mengawal keadaan dan kerana sikap ramah tamahnya lah yang menambat hati Soraya.

Soraya melihat Haizan dan perempuan tadi sudah tiada. Ke mana mereka? Tanpa Soraya sedari, sepasang mata bundar di hadapannya merenung tajam. Apakah mencari ruang untuk mengasihi?Atau terguris rasa kasihan di hatinya melihat gadis secantik Soraya dibiarkan ke tepi!

***

“Apa yang kau bawa tu Azeem?” sapa Aizel yang berdiri di pintu.

Soraya yang bertugas membersihkan kelas pagi itu meneliti suara Aizel yang didengarnya.

“Hadiah.”

Haizan memasukkan bungkusan empat segi sederhana besarnya ke dalam meja. Soraya mendengar lagi perbualan dua sahabat itu. Untuk adik angkat! Soraya menjeling. Argh! Haizan berubah selepas dua minggu dia tidak hadir ke sekolah?Langsung tidak mengendahkannya sejak kebelakangan ini.

Selesai menjalankan tugasya, Soraya berbual-bual dengan Hishamuddin, Pelajar kelas sebelah. Roshayati dan Famiza Inson ada sama. Haizan baru sahaja hendak melangkahkan kaki ke dalam kelas apabila matanya terpandang Soraya sedang berbual dengan Hishamuddin. Dia menghela nafas sabar. Badannya yang sederhana besar dihempas ke balik pintu. Inikah cemburu namanya! Sedikit perbuatan yang janggal pasti mencurigakan. Dan...sakit menyakiti menjadi mainan dalam situasi begini. Aku kah yang salah? Getus Haizan menahan geram.

“Jangan cuba menyakiti orang lain jika kamu tidak mahu disakiti oleh orang lain. Itulah sebaik-baik jalan menuju kesejahteraan!” amanat Encik Badrulhayat masih di hafal oleh Haizan.

Ah! Nina Soraya...

1 comment:

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.