Header Ads

NOVEL: MENGAPA DI RINDU 1

Jambangan bunga yang diterima di pandang sepi sahaja. Biar harumnya membuai perasaan, indahnya gubahan itu menyuntik mata menjadi segar tetapi jiwa yang tertanya-tanya siapa si pemberinya mengatasi segala yang terpampang di depan mata. Bunga tanpa kad, tanpa nama. Siapakah sang misteri itu? Perempuan? Lelaki? Atau anak kecil yang menghargai karya-karyanya?

“Alisya...kali ke berapa ni?”

“Tak ingat, mungkin yang ke tiga dalam seminggu. Pelik kan? Membazir tak tentu pasal.Baiklah dermakan duit tu pada orang yang susah, fakir miskin atau pun belanja aku makan. Lagi berbaloi.” sinis sahaja Alisya membalas kata-kata Rahimah, rakan sepejabatnya.

Rahimah ikut tersenyum sinis. “Itu maknanya si pengirim kaya raya, duit dah terlebih, jadi...yang sikit-sikit ni dia derma kat kau.”

“Derma kat aku? Macam aku kebulur sangat! Bukannya boleh makan pun bunga-bunga ni.” Alisya ketawa akhirnya sebaik menuturkan kata-kata tersebut.

“Kau ada terfikir tak? Kut yang bagi kau bunga ni memang betul seorang jutawan, kaya raya...”

“Ya lah tu. Kat negara kita ni, mana ada jutawan kaya raya yang belum berkahwin, handsome, baik dan segala-gala yang ibarat prince charming. Yang ada semuanya dah berkahwin, beranak pinak dan berbini lebih. Kut-kut kita jadi yang ke empat. Eee...tak mau aku. Selisih malaikat 44...” Alisya ketawa lagi.

“Biar bini ke berapa pun, kalau kaya raya aku tak kisah, Lis. Yang penting aku tak melarat, apa aku nak semua dapat.”

“Walau makan hati...”

“Mana ada istilah makan hati dalam zaman moden ni, cik Lis oii. Kalau dia pasang lain, kita pun buat benda yang sama. Inikan zaman sama rata antara lelaki dan wanita. Apa nak kisah setia atau tak. Yang penting hidup dilimpahi wang ringgit, boleh terbang ke negara mana yang aku suka. Apa pendapat kau?”

Alisya tersenyum sambil menggeleng mendengar hujah Rahimah yang baginya tidak berfikir panjang sewaktu menuturkan hujah tersebut.

“Aku kurang setuju. Aku rasa kedua-dua faktor penting tersebut biar seimbang. Ada suami yang caring, romantik, handsome, kaya raya....dan tak main kayu tiga. Tapi, bagi aku wang bukan pokok utama sesuatu hubungan. Yang penting persefahaman dan jujur dengan pasangan.” luah Alisya tentang pendapatnya pula.

Rahimah mencebik. Tidak mahu mematikan perbincangan tersebut setakat itu sahaja. “Eleh...bukan kerana wang konon! Lis, cuba kau tengok kat luar sana berapa ramai wanita yang menjanda kerana masalah hidup yang terang-terang puncanya dari kewangan juga. Sebab apa? Sebab, tak ada duit kahwin lebih, dah tu anak bini tak makan sebab duit nak bagi-bagi...hidup perlukan wang, Lis! Aku tak mahu berpura-pura, demi cinta konon, at last cinta ke mana kita ke mana.”

Rahimah menokok lagi, “Bukan aku menolak cinta dan mengejar wang...tapi, aku lebih rasional dalam bab-bab begini. Selagi kita muda dan bergetah ni, cari yang banyak duit la...betul tak?”

“Nanti dah tua kerepot ditinggal, duduk rumah orang tua-tua. Masa tu, duit buat hidup kau terbuang!” sinis Alisya menyampuk.

Rahimah ketawa panjang mendengar sindiran Alisya yang umpama melepaskan rasa geramnya terhadap pendapatnya sebentar tadi.

“Eh! Kenapa stress sangat perbincangan kita ni...now, apa kau nak buat?”

“Buat apa?”

“Dengan 'sang misteri' kau itulah...”

“Biarlah...”

“Hei come on Lis, jangan buang masa. Mana tahu di tu lelaki kaya yang budiman, yang ada ciri-ciri putera impian kau.”

“Ah! Buang masa je...ini semua nonsense. Tak wujud. Dan, mereka tu hanya peminat aku, hanya menyukai karya-karya aku, tulisan aku. Itu je...”

“Meh sini aku tengok muka kau.” Rahimah sudah memegang dan membelek-belek wajah Alisya, sedangkan temannya yang tidak bersedia itu tergamam. Apa dia nak buat ni?

“Apa dah kena dengan kau ni?”

Rahimah duduk kembali apabila selesai membuat tinjauannya. Dia tidak menghiraukan Alisya yang tengah marah-marah. “Apa nak marah, aku bukannya nak sihirkan kau. Aku nak tengok dari sudut mana yang kau rasa rendah diri sangat. Rupa ada, hidung memanglah tak mancung, tapi tak lah pesek sangat. Kira sesedap mata memandang. Kulit cuma sebiji je jerawat...kira cunlah tu. Mata cantik, kalau lelaki pandang boleh naik juling dia orang...apa lagi? Semua cukup.”

“Ya lah tu...macam mana pulak kalau orang perempuan yang tengok...”

“Takkan kau nak ngurat orang perempuan kut?”

“Itulah kau...pandangan semua orang tak sama. Jadi jangan jadi busy body yang nak suruh aku buat perkara-perkara nonsense. Okey!”

“Lis! Lis...we must look forward, not backward. Remember that. One day you will realize what I mean...” Rahimah sudah putus asa.

“Eh! Kau nak ke mana tu?”

“I frust with you.”

“So?”

“So what?” soal Rahimah yang sudah agak jauh darinya.

“Discussion ni...what is the conclusion!” Alisya bertanya secara sinis.

“Piraaah!”

Alisya ketawa mengekeh melihat Rahimah yang sudah mempercepatkan langkahnya. Bengang lah tu...dan tawanya masih terus bersisa walau tubuh Rahimah telah hilang dari pandangan.

***

'Remaja 16 tahun bersalin di dalam tandas'. Sekali lalu Alisya membaca tajuk muka depan akhbar Harian Metro yang baru di beli di kedai mamak ketika di dalam perjalanan pulang tadi. Apa nak jadi dengan anak muda hari ni...bebelnya sendirian. Sejak awal pagi masanya sangat terhad walau berbagai jenis akhbar terpampang di hadapan mejanya. Jadi, untuk tidak ketinggalan dengan dunia semasa, dia membeli akhbar Harian Metro itu. Penatnya dengan bebanan kerja di pejabat masih belum hilang, sampai di rumah pun tugasnya berterusan.

“Apasal berselerak benor rumah ni. Lepas main, simpanlah. Ini tidak, gitar kat tengah-tengah jalan...ini kalau terlanggar tadi, marah pulak...” dia terus membebel melihat gitar yang di letak sebarangan. Ini mesti kerja adik bujangnya, Kamal.

“Mal...oh Mal...mana budak ni pergi! Dengan pintu tak berkunci. Hish! Kalau pencuri masuk...habis semua kena kebas.”

Alisya meletakkan begnya sementara tangannya ligat mengemas majalah 'Pancing' yang berselerak di atas meja. Dia tidak gemar kawasan 'awam' itu berselerak, menyemakkan matanya sahaja. Sudah banyak kali dia membebeli Kamal tetapi nampaknya ia seperti mencurah air di daun keladi. Tidak makan saman langsung! Mentang-mentanglah aku ni kakak dia, di bulinya aku cukup-cukup!

Semenjak mereka kehilangan kedua orang tua di dalam satu kemalangan lima tahun lalu, tinggallah Alisya membesarkan Kamal dengan kudratnya sendiri. Dia tidak mengharapkan saudara mara membantunya, walaupun mereka hidup mewah. Biarlah dia dan Kamal hidup dengan rezeki seadanya, tidak meminta-minta. Lagipun dengan wang peninggalan ayahnya, dia mampu menyara dirinya dan Kamal untuk 10 tahun akan datang. Sekarang pun Kamal telah membuka kedai menjual ikan hiasan untuk persediaan masa depan.

“Hah! Dah balik pun kakak.”

Alisya yang sedang mengelamun sambil mengemas itu ini, terkejut disergah dari belakang. Dia mengurut dada melurutkan rasa terkejutnya itu.

“Kamal kalau balik suka terjah macam tu aje. Sakit dada akak, tau. Ni dari mana, ni...rumah bersepah. Penat akak tau, balik-balik je kena kemaskan barang Kamal. Awak tu dah besar panjang, cuba tolong akak kemaskan rumah ni.”

Alisya duduk di kerusi panjang di sudut ruang tamu itu. Kamal ikut duduk di sebelahnya sambil menekan 'remote' tv mencari siaran.

“Akak kalau dah membebel macam nenek-nenek. Hilang keayuan akak tu. Kalau abang Zikry tengok akak macam ni, tentu dia tak nak jadikan akak isterinya. Kuat membebel!” usik Kamal.

“Apa akak kisah. Kalau buat salah tetap kena, walau dia suami akak sekalipun!” jawab Alisya tegas.

“Hee! Kalau Mal lah kak, akak sanggup tak kahwin dari dapat bini macam akak. Bingit telinga.” sanggah Kamal masih mahu menyakat kakaknya.

“Huh! Patutlah sampai sekarang adik akak ni tak ada awek. Awek pun takut nak dekat, cerewet.”

Alisya bangun memungut beg tangannya dan menuju ke bilik. Dia mahu membersihkan diri setelah seharian bekerja di pejabat. Dia malas melayani Kamal lagi yang asyik mahu menang bila bertingkah.

“Kak Lisya...customer Mal yang hari tu kirim salam.”

“Yang mana?” Alisya menyahut dari dalam biliknya.

“Yang Mal cakap minggu lepas. Ala...yang dia beli akuarium mahal tu...”

“Kirim salam balik kat dia. Akak pun tak cam dia yang mana satu.”

“Okey.”

Kamal menumpukan pandangannya di kaca Tv. Banyak rancangan ulangan di saluran HBO. Ada beberapa 'movie' yang telah dihafal dialog dan jalan ceritanya. Akhirnya dia menutup Tv dan melunjurkan kakinya di atas kerusi panjang itu. Dia ingat mahu berehat sebentar sebelum keluar semula selepas Maghrib nanti mengikut pelanggannya yang dipanggil abang Hazzim keluar memancing.

Abang Hazzim! Emm...kenapa kak Alisya tak terpikat dengan lelaki itu. Lelaki yang lebih di senangi berbanding abang Zikry. Abang Hazzim yang peramah, tidak kedekut membelanjanya memancing di kolam-kolam besar, selalu membawanya menaiki bot ke laut dalam untuk mendapatkan lebih kepuasan memancing. Dia tidak pasti apa pekerjaan lelaki itu, tetapi melihatkan penampilan dan cara lelaki itu berbelanja, Kamal pasti Abang Hazzim bukan sebarangan orang. Paling tidak pun, mungkin dia memiliki perniagaan yang berjaya. Harap-harap satu hari nanti kakaknya sudi menerima kehadiran Abang Hazzim. Abang Zikry pula?? Mengingatkan itu, cepat-cepat Kamal menamatkan ilusinya. Biarlah kak Alisya yang membuat keputusan….

***

“Kamu sorang aje ke kat rumah?”

“Ha ah!”

“Kak Lisya mana?”

“Tadi boyfriend dia datang ambil. Pergi makan kut.”

“Oh!” Itu sahaja jawapan yang keluar dari mulut Hazzim. Tidak tahu apa yang dirasakan oleh hatinya, tetapi ada sediit perasaan ralit mendengar Alisya keluar dengan lelaki lain.
“Kita nak memancing kat mana ni bang?”

“Adalah…tempat baru. Kamal mesti suka punya.”

Mitsubushi Storm berwarna hitam itu meninggalkan kawasan perumahan Alam Impian menuju ke destinasi yang tidak diketahui. Kamal yang duduk di sebelah pemandu melayan telinganya dengan lagu Inggeris yang sedang berputar di corong radio.

“Dah lama kakak kamu tak datang kedai ya?”

“Ala, Kak Lisya sibuk memanjang dengan kerja dia. Kerja macam dia tu mana cukup masa, ke sana ke mari cari bahan untuk majalah. Lepas tu cari idea nak tulis novel dia. Kalau kat rumah, menghadap laptop dia je. Kamal ni pun, kena buat appointment kalau nak jumpa dia! Teruk dia tu. Malang sungguh kalau sesiapa kahwin dengan kak Lisya nanti.”

“Kenapa Kamal cakap macam tu. Tak baik. Sebenarnya kakak Kamal tu bagus. Dia sayang Kamal, tetapi dengan cara dia. Beruntung siapa dapat dia.” Hazzim mengungkap perlahan ayat terakhirnya.

“Apa abang cakap? Lucky? Huh! Kut-kut abang ada hati kat kak Lisya, tak?” Kamal mengusik.

“Merepek lah kamu ni. Dia kan dah ada boyfriend.”

“Baru boyfriend, bukannya suami. Kalau hendak seribu daya…”

“Kamu suka ke kalau abang berkawan dengan kakak kamu?”

“Eh! Mestilah suka! Tapi…”

“Tapi kenapa?”

“Kak Lisya tu kuat membebel. Takut abang tak tahan.”

“Ha! Ha! Ha!...Itu aje ke? No big deal!” Hazzim ketawa besar mendengar alasan Kamal tentang kakaknya.

“Ya ke bang?”

“Kenapa?”

“Kalau gitu, Kamal boleh jadi orang tengah. So, our plan start now.”
Advertisement

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.