Header Ads

NOVEL: SURATAN 3

Hujan yang turun renyai-renyai membasahi bumi Johor Darul Takzim sedikitpun tidak mencacatkan perjalanan Haizan ke sekolah. Cuma dia mengeluh kerana terpaksa melepasi dua buah persimpangan lampu isyarat sebelum sampai ke sekolahnya. Namun apa yang penting, dia mesti segera sampai sebelum pintu pagar ditutup.

Ketika Yamaha RX-Znya membelok ke kawasan sekolah, sebuah wira hijau lumut berhenti dan menurunkan gadis manis yang kebelakangan ini menganggu ruang damai hidupnya. Bila lagi gadis itu hendak ku pujuk, keluh Haizan sambil matanya menyoroti langkah Soraya ke kelas Enam Atas Cemerlang.

“Baru sampai? Tengok apa tu?” sapa Aizel yang tiba-tiba telah tercegat di sisi Haizan.

“Aiseh man! Bila kau muncul, tiba-tiba aje…”

“Dah mata kau asyik melayang entah ke mana…ala Zan, pergi jumpa dan slow talk, habis cerita. Itu small matter. Kita orang kan ada, buat apa kalau tak boleh tolong…” Aizel menepuk belakang Haizan.

Mereka sama-sama melangkah ketika loceng berbunyi menandakan kelas pertama akan bermula sebentar lagi.

***

“Petang nanti aku nak jumpa kau kat library. Jangan tak datang tau… ada hal sikit.”

Soraya hanya diam tidak memberi respon. Isyarat mata Haizan mengharapkan agar Soraya sudi menemuinya nanti.

“Tengoklah kalau tak ada hal lain.”

“Dah dua kali aku nak jumpa one by one dengan kau, tapi kau macam tak endah je. Kali ni, tolonglah…” Haizan merendahkan suaranya.

“Kau ni apalah Zan. Nak memujuk rayu buah hati, janganlah depan aku. Jealous tau!” sampuk Roshayati yang entah bila muncul di situ.

“Sorrylah Yati, bagilah chance kat aku berbaik-baik dengan buah hati aku ni.”

“No problem! Nanti belanja aku kat kantin ya.” Usik Roshayati lagi.

“Ok. Ok. Pergi main jauh-jauh…orang tengah berbincang ni.” Sampuk Haizan dengan nada bergurau.

Soraya ketawa kecil. Haizan masih begitu juga, suka mengusik. Barulah hilang sedikit rasa kaku dan bengangnya mendengar gurauan rakan mereka sebentar tadi. Mereka terus berbual-bual seperti tiada sengketa yang berlaku. Gaduh budak-budak, kata pepatah orang tua. Namun jauh di sudut hati, samada Haizan mahupun Soraya menyembunyikan seribu rasa yang belum terungkai.

***

“Lama juga kau merajuk dengan aku.”

“Kau yang mulakan…” jawab Soraya deras.

“Kita dua-dua pun ada silapnya. Ego, keras kepala. Kau nampak makin degil sekarang ni kan…” ujar Haizan perlahan.

“Kau yang gatal melayan budak enam bawah tu…siapa yang tak jealous.” Soraya menambah lagi.

“Dia tu adik angkat aku je. Kau faham tak. Memang dia syok kat aku, tapi aku tak ada perasaan pun pada dia. Aku pun ada sebut pasal kau pada dia. Aku nak kita kawan balik macam dulu, macam sebelum kau masuk hospital. Okey?”

Soraya hanya menghadiahkan senyuman tawar. Hubungan mereka selalu begitu, ada pasang dan surutnya. Kali ini adalah tempoh yang agak panjang hubungan ‘teman tapi mesra’nya dengan Haizan renggang. Belumpun sempat hatinya berbunga gembira, dia ternampak kelibat Julia melangkah ke arah mereka. Sorotan matanya dipenuhi api cemburu. Perasaan Soraya menjadi cuak tiba-tiba.

“Hai Zan…buat apa kat sini?”

Haizan yang sedari tadi duduk berdepan dengan Soraya terkejut mendengar satu sapaan manja di belakangnya.

“Oh! Hai…awak buat apa kat sini?” soalan berbalas soalan.

“Saya tanya awak, awak soal saya balik. Ada kelas tambahan tadi, nampak motor awak masih kat parking, tu yang cari kat sini.” Jawab Julia manja.

Soraya sudah tidak betah duduk. Dia menarik begnya lalu memulangkan buku di kaunter. Dia laju meluru keluar dari perut perpustakaan tanpa mengendahkan panggilan dari Haizan. Langkahnya laju tanpa haluan. Hatinya sarat dengan cemburu. Tiba-tiba terasa tangannya di tarik kasar dari belakang. Namanya juga dipanggil dengan keras.

“Kau boleh sabar sikit tak, Nina? At least bagi aku peluang untuk jelaskan, biar kita bersama-sama berdepan dengan Julia tu. Ini tidak! Kau pakai lari macam tu aje. Jangan jadi pengecut, Nina! Kalau betul kau nak hubungan kita kekal, tolong aku. Aku tak boleh menghadapinya tanpa bantuan kau, Nina.” Panjang lebar Haizan mencurah isi hatinya.

Soraya hanya tunduk memandang batu di kakinya. Dia sudah malas memikirkan hal
orang lain. Baginya peperiksaan STPM yang kian tiba menjadi keutamaan, bukannya masalah cinta yang belum tentu berpenghujung itu.

“Aku nak balik, Zan. Tolong hantar aku. Ayah aku tak ada kat rumah, outstation. Aku dah letih. Please…” rayu Soraya tanpa mempedulikan perasaan Haizan lagi.

“Kau ni kan…”

“Please…”

Haizan tidak sampai hati melihat wajah Soraya yang kepenatan. Dia menghidupkan enjin motosikalnya dan menghantar Soraya pulang. Kawasan perumahan BBU, tempat tinggal Soraya itu nampak sibuk namun terjaga kebersihannya. Haizan menurunkan Soraya di persimpangan jalan bagi mengelakkan umpatan jiran-jiran terhadap mereka. Lagipun, Soraya sendiri tidak mahu dilihat terlalu kerap keluar atau membonceng motorsikal dengan rakan lelaki.

“Malam nanti aku call kau, okey.” Ujar Haizan sebelum meneruskan perjalanan ke rumahnya di Taman Munsyi Ibrahim.

***

Rancangan Muzik Ekspress sedang ke udara di corong radio. Sambil melayan mata yang tidak mahu lelap, Haizan menelentang merenung siling biliknya. Dia teringatkan kejadian petang tadi di sekolah. Sesiapa pun akan marah dan terasa jika berada di tempat Soraya. Julia memang seorang yang berani, sanggup menganggunya hanya untuk menunjuk-nunjuk di hadapan Soraya. Beratus kali dijelaskan, beribu kali dia datang kembali menganggu Haizan. Dia berasakan perkenalan dengan Julia sebagai kesilapan terbesar pernah dilakukan di dalam hidupnya.

Kokokan ayam jantan sayup-sayup di pendengaran. Haizan menoleh jam di sebelah katilnya. Jarum jam telah menunjukkan ke angka 1 pagi. Tiba-tiba deringan telefon bimbitnya menyentak tidurnya yang hampir lena.

“Hello!”

“Haizan, akulah…”

“Saja nak kacau kau pagi-pagi ni…” suara di hujung sana ketawa.

“Mana kau dapat nombor telefon aku?”

“Aku kan Julia. Takkan kau tak kenal aku lagi…”

“Okeylah! Aku nak tidur ni, kacau aje!” Haizan terus menutup telefonnya.

***

“Zan, ada berita hangat. Semalam ada budak enam bawah kena cekup pasal main surat cinta dengan budak form five. Cikgu displin spot check dengan badan pengawas. Si ketua pengawas tu pun ikut sama…” awal-awal pagi Zulkifli telah menyampaikan berita tersebut ketika Soraya dan Haizan baru saja mencecahkan kaki ke kelas.

“Kau dengan Nina tu jaga sikit. Yang buat spot check tu musuh kau!” tokok Aizel yang selalu menyebelahi anak hartawan itu.

Soraya yang turut sama mendengar berubah air mukanya. Guru displin memng musuh tradisi Haizan, dan ketua pengawas pula ada hati pada Soraya. Ini membuatkan kedua-duanya berada di dalam keadaan kurang senang walau mereka tidak berutus surat cinta. Melihatkan keadaan yang kecoh di hadapan kelas, Roshayati dan Famiza Inson yang baru tiba ikut masuk campur.

“Ada apa Nina?” soal Famiza Inson.

“Ada hal sikit. Spot check badan pengawas.”

“Apanya?” Famiza Inson masih tidak faham.

“Spot check aspek displin. Semuanya.”

“Kata budak kelas sebelah, yang couple satu sekolah pun kena tangkap.” Zulfakar menambah beban di hati Haizan dan Soraya.

“Rilekslah…aku dengan Nina bukan buat salah. Nanti kalau kena, pandai-pandailah aku jawab.” Haizan memberikan keyakinan.

Haizan memandang Soraya dengan rasa kasihan. Gadis itu selalu terlibat dengan masalah yang dihadapinya. Lagipun hubungan mereka bukan bersandarkan maksiat atau nafsu, mereka berkawan rapat demi pelajaran. Kalau ada pun hati yang tersentuh, rahsia itu hanya mereka dan rakan terdekat yang tahu. Famiza Inson menenangkan Soraya dan mereka bersurai ketika loceng berbunyi menandakan kelas pertama akan bermula sebentar lagi.

Seperti yang dijangka, selepas waktu rehat Haizan dan Soraya di panggil ke bilik pengawas.

“Awak Haizan Azeem bin Badrulhayat. Glamour awak yea kat sekolah ni. Ya lah…kacak, bijak dan…suka buat gempar. Betul?” guru displin yang berkaca mata dan berdahi luas itu menyindir Haizan.

Haizan tenang sahaja dan bersikap optimis. Baginya kalau tidak buat salah, apa nak ditakutkan. Soraya hanya menundukkan wajahnya dan kadangkala mencuri pandang kepada Cikgu Adnan yang berbadan gempal.

“Awak ni pulak, Juliet kepada Haizan. Gitu?” sindir guru displin itu lagi.

“Cikgu, kami bukan dipanggil untuk mendengar sindiran demi sindiran. Jelaskan apa kesalahan kami, kalau benar kami bersalah, kami ikut peraturan yang sekolah tentukan.” Tutur Haizan tegas. Baginya, dia cukup dewasa untuk menilai yang benar atau yang salah di dalam perhubungannya dengan Soraya.

Encik Adnan merenung lama wajah pan-Asian milik Haizan. Ada keberanian dalam menuturkan kata-kata pada pemilik susuk tubuh tegap dan tinggi itu. Ya lah, wibawa pelajar enam atas; getus Adnan terhadap pemuda di hadapannya itu.

“Pihak sekolah ada menerima laporan mengatakan kamu berdua-duaan di dalam perpustakaan. Kamu kan tahu, ini kawasan sekolah. Perbuatan sumbang dilarang sama sekali. Lagipun kita ni orang Islam, jaga tata susila. Jaga maruah.”

“Cikgu, maaf cakaplah. Kami bukan orang yang cikgu maksudkan. Mungkin penyampai cerita tu berniat serong kepada kami. Selama saya berkawan dengan Nina Soraya pun demi pelajaran kami. So far, cikgu pun tahu, kami dalam top ten list. Apa cikgu nak kami buktikan lagi?” nada suara Haizan semakin tegas.

“So, saya rasa tak ada salahnya persahabatan kami ini.” tambah Soraya berani.

Cikgu Adnan terkesima mendengar hujah dari dua remaja itu. Pelajar pintar di SMDP. Akhirnya dia melepaskan kedua-duanya tanpa dikenakan sebarang denda. Cuma, sempat cikgu displin itu menitipkan kata-kata nasihat kepada keduanya.

“Ada lagi cikgu nak cakap?” Tanya Soraya.

“Awak berdua boleh pergi, tapi ingat nasihat saya. Berhati-hati lain kali.”

Soraya dan Haizan mengucapkan terimakasihnya kepada Cikgu Adnan yang bersikap professional dalam menyelesaikan masalah mereka.

***

Soraya menyerahkan surat layang yang diterimanya semalam kepada Haizan. Cuaca tengahari itu panas terik. Dengan menggunakan saputangan yang dipinjam dari Haizan, Soraya mengelap peluh yang memercik di dahi.

-Jangan berhubungan lagi dengan Haizan. Kalau tidak, tahulah nasib awak!-

Haizan termenung selepas membaca surat tersebut. Dia cuba mencari ‘klu’ siapa pengirimnya. Mengapa pula Soraya yang menjadi sasarannya? Pening sekejap kepalanya memikirkan perkara tersebut. Siapa pula yang berani mempersoalkan hubungannya dengan Soraya? Perasaan adalah hak aku, kenapa mesti orang masuk campur?

“Belum balik lagi?” sapa satu suara.

Haizan dan Soraya serentak menoleh. Mereka sama-sama bertukar pandangan dan senyuman.

“Belum lagi…” jawab Haizan.

Pemuda itu berlalu menuju ke arah motosikalnya yang tidak berapa jauh dari Yamaha RX-Z Haizan. Yamaha merah terus meluncur laju meninggalkan Haizan dan Soraya dengan seribu persoalan.

“Peliklah dia tu. Tiba-tiba je muncul. Tak ada signal langsung.” Bebel Soraya.

Haizan melipat surat tersebut dan dimasukkan ke dalam saku seluar.

“Entah-entah…”

Haizan memotong cakap Soraya.

“Tak baik menuduh kalau tak ada bukti.” Sangkal Haizan membenamkan prasangka yang tumbuh di hati Soraya.

Akhirnya mereka meninggalkan perkarangan SMDP untuk ke rumah masing-masing. Haizan cuba menganggap surat layang itu satu masalah remeh tetapi dalam masa yang sama dia bimbangkan keselamatan Soraya.
Advertisement

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.