Header Ads

NOVEL: SURATAN 4

Julia panas hati dengan perbuatan orang sekeliling yang banyak menimbulkan kebencian dihati. Kenapa lah mereka tidak memahami problem aku? Detik hati kecil Julia.

“Balik-balik awak nak duit dari saya. Awak ingat saya kerja cop duit ke?Dahlah makan anak bini awak tak ambil kisah, ni nak mintak duit pulak. Laki jenis apa awak ni hah?!” sergah Maimon lantang.

“Awak nak bagi ke tak? Jangan banyak mulut pulak.” Balas Herman yang terkenal dengan sifat panas barannya.

“Satu sen pun saya tak akan bagi. Saya yang cari duit untuk anak kita tu, awak pulak yang rampas sesenang hati. Duit ni saya tak akan bagi kat awak, asyik berjudi, minum arak. Ingat saya tak tahu!” suara Maimon semakin tinggi.

Julia menekup telinga dengan ke dua belah telapak tangannya. Bosan! Benci!

“Tak payah sekolah. Berhentikan aje budak tu…”

“Diam!” jerit Julia yang meluru ke muka pintu bilik.

Deraian air mata sudah tidak mampu dikawal lagi.

“Emak. Saya tak mahu sekolah lagi. Saya nak berhenti. Ada bapak pun tak guna. Lelaki tak bertanggungjawab.” Lantang suara Julia memecah kesunyian malam di kawasan flat dua bilik itu.

Pang!!

Telapak tangan yang kematu itu menampar pipi gebu Julia. Dia tersungkur ke sudut bilik. Emaknya datang menerpa dan memeluk erat Julia. Tangisan yang panjang mengiringi malam yang kian larut.

“Bunuh saja saya ni, bang. Hidup pun hanya untuk menanggung seksa yang abang taburkan!” Maimon sudah tidak dapat menampung rasa peritnya lagi.

Herman terus meluru keluar, menghilang entah ke mana setelah gagal mendapatkan wang dari Maimon. Kawasan perumahan flat kos rendah yang dihuni oleh Julia sekeluarga itu mempunyai ramai penduduk dan agak sesak keadaannya. Ada sesetengah keluarga memiliki anak yang ramai pun terpaksa berlonggok di dalam satu rumah. Purata pendapatan yang kecil tidak memungkinkan mereka memiliki kediaman yang lebih selesa.

“Dah lah Lia. Esok kau sekolah macam biasa. Jangan risau pasal duit belanja. Apa yang penting belajarlah bersungguh-sungguh agar kau boleh ubah nasib keluarga.” Pujuk emaknya penuh kasih.

Julia mengeluh berat mendengar harapan yang dihamparkan oleh emaknya itu. Bolehkah dirinya diharapkan? Kemiskinan ini menjadi batu penghalang, mampukah aku? Hati Julia bersimpang siur menyesali nasib diri.

***

Suasana kelas Enam Atas Cemerlang riuh rendah ketika Haizan dan Soraya membentangkan kertas kerja untuk subjek Pengajian Am. Tajuk yang diberikan oleh Cikgu Ramlah berkaitan masalah sosial remaja masa kini yang semakin meruncing. Dimulakan oleh Haizan, perjalanan pembentangan kertas kerja yang pada mulanya lancar bertukar riuh dan soalan demi soalan yang diajukan oleh rakan sekelas.

“Bukan semuanya remaja yang bermasalah itu tidak mempunyai hubungan yang baik dengan keluarga. Masalahnya, mereka lebih suka mendengar cakap kawan-kawan sebaya, bersikap ingin menonjolkan diri atau menarik perhatian, mencuba sesuatu yang baru tanpa mengkaji baik dan buruknya benda yang dicuba itu dan banyak lagi.” Jawab Haizan ketika disoal oleh Zulfakar.

“Adakah bercinta sesama rakan sebaya dikira sebagai satu masalah sosial?” Azman pula bertanya, sengaja mengenakan Haizan dan Soraya.

Sebaliknya Haizan dan Soraya serta rakan sekelas yang lain ikut ketawa mendengar soalan cepumas dari mulut nakal Azman. Mereka semua cukup faham akan perhubungan yang terjalin antara dua sahabat itu.

“Yang itu biar Cikgu yang jawab. Boleh Cikgu?” sampuk Soraya tersenyum-senyum dikenakan oleh rakan-rakannya.

Cikgu Ramlah yang ‘sporting’ ikut tersenyum mendengar permintaan dari Soraya. Soraya salah seorang pelajar kesayangannya. Gadis cantik itu memang bijak dan selalu tersenarai dalam ‘top ten list’ di SMDP itu. Dia juga menjadi harapan untuk mengharumkan nama sekolah apabila keputusan STPM diumumkan kelak.

“Tak aci. Mana boleh Cikgu yang jawab.” Jerit satu suara lelaki dari belakang.

“Ya lah Cikgu.”

“Suruh Haizan atau Nina jawab sendiri.”

“Tak apa lah, biar Cikgu jawabkan.” Jawab Cikgu Ramlah selamba.

“Ala Cikgu…”

Cikgu Ramlah faham benar yang pelajar-pelajarnya sengaja ingin mengusik Haizan dan Soraya. Tetapi, dia juga faham yang kedua pelajar yang sedang di sakat itu juga berasa serba salah kerana persahabatan mereka di soal jawab di dalam keadaan yang formal.

“Okey! Okey! Tolong senyap. Sila beri kerjasama pada rakan awak yang sedang buat pembentangan. Sebenarnya…bercinta ke, berkawan ke, tak kira di dalam atau di luar sekolah bukan menjadi masalah. Yang penting kita tahu bawa diri, menghormati orang lain dan pelajaran diutamakan. Kalau berkawan rapat atau bersahabat dengan seseorang boleh membawa inspirasi dan motivasi, apa salahnya. Bagi pendapat Cikgu, kamu semua dah besar panjang, okey. Buatlah pertimbangan menggunakan akal.”

Jawapan Cikgu Ramlah disambut dengan tepukan oleh pelajarnya. Mereka sukakan cikgu muda itu yang berfikiran terbuka dalam banyak perkara.

“Terima kasih, Cikgu.” Soraya menghargai pertolongan Cikgu berdarah kacukan itu.

Cikgu Ramlah tersenyum penuh erti.

***

“Hebatlah kau dengan Haizan tadi. Buah fikiran kau orang memang power! Aku rasa kau memang boleh score untuk subjek PA ni.” Puji Roshayati ketika mereka sama-sama berjalan ke pintu pagar waktu habis sekolah.

“Thanks. Tapi, tanpa kau orang siapalah aku.” Soraya merendah diri.

Ketika mereka sedang rancak berbual, kedengaran nama Soraya dipanggil.

“Ada apa?”

Soraya dan dua orang rakan karibnya menunggu Aizel sampai ke sisi mereka.

“Haizan suruh aku panggilkan kau. Dia kata nak hantar kau balik.”

Soraya memandang Roshayati dan Famiza Inson silih berganti. Meminta buah fikiran rakan-rakannya itu.

“It’s okey. Kami balik sendiri. Mungkin dia nak katakan something kat kau. Pergilah…”

“Pergilah Nina. Lama dah Haizan tunggu tu…” usik Famiza Inson pula.

Aizel ikut mengangguk

“Sorry la geng, tak dapat belanja kau hari ni. Lain kali, ok.”

“Nasib kami!!

Keluh kawan-kawannya ketika Soraya hendak berlalu. Soraya mengatur langkah ke tempat letak kenderaan. Kelihatan Haizan sedang menantinya. Lelaki kacukan itu merah padam mukanya dek di panah terik matahari.

“Kenapa?”

Haizan mengeluh sambil menunjukkan tayar motornya yang kempis.

“Kena paku kut?”

“Entahlah…tapi macam ada yang tak kena aje. Tadi pagi elok je, tak ada pun macam nak pancit.”

“Hai! Zan… Kalau kau tahu dia nak pancit, tak lah kau berpeluh sakan kat bawah matahari ni.” Usik Soraya sambil ketawa mengekek.

“Ya tak ya jugak!”

Akhirnya mereka mengusung motosikal itu sejauh satu kilometer untuk sampai ke bengkel yang terdekat.

“Esok boleh ambil tak?” Tanya Haizan sambil mengesat peluh di dahi.

“Boleh.”

Budak muda yang bekerja di bengkel itu memberi jaminan. Kemudian, mereka mengambil teksi untuk pulang ke rumah masing-masing.

“Aku rasa ada orang yang cucuk dengan paku atau benda tajam…” ujar Haizan membuat andaian.

Soraya berfikir sambil mengesat peluh di dahinya. Mungkin juga…tetapi apa buktinya?

“Apa pendapat kau?”

“No comment.”

“Ya lah. Wait and see…aku takut ada yang dengki.”

“Tengoklah surat layang yang aku dapat. Sampai sekarang tak ada apa-apa pun.” Soraya cuba mententeramkan perasaan teman rapatnya itu.

Haizan menganggukkan kepala walau hati di dalam sarat dengan tanda tanya.

***

Julia menunggu Haizan di bawah pohon ketapang di hadapan SMDP. Haizan sudah setuju menemuinya hari itu sewaktu dia bertembung dengan jejaka kacukan itu di kaki lima sekolah pagi tadi. Jam sudah merangkak ke angka dua, tetapi orang yang ditunggu-tunggu tidak juga tiba. Bahang matahari petang semakin terasa. Dek berasa bosan menunggu buah yang tidak gugur, Julia terpaksa mengangkat kaki untuk pulang. Tiba-tiba kedengaran namanya dilaung. Julia menoleh.

“Tunggu!”

Haizan berjalan pantas ke arahnya diikuti oleh Soraya di belakang. Julia berasa menyampah dengan kehadiran Soraya di sisi Haizan. Sibuk je…rungutnya dengan muka yang berubah kelat. Soraya menghulur tangan tetapi tidak bersambut. Merah padam wajahnya menahan malu. Itulah kali pertama dia bersemuka dengan adik angkat Haizan. Cantik juga; puji Soraya dalam diam sambil terus tersenyum manis.

“Ini Nina…Nina Soraya.”

Haizan memperkenalkan Soraya kepada Julia.

“Kenal. Orang cantik, semua kenal.” Sindir Julia tanpa mahu memandang muka Soraya.

“Sorry, aku tak dapat bual lama-lama. Ada tuisyen Sejarah pukul tiga nanti. Kau nak cakap apa?”

“Buat penat je tunggu lama dari tadi, tup-tup kau ada hal. Lain kalilah aku cakap. Aku blah dulu!” jawab Julia keras.

Haizan membiarkan sahaja Julia berlalu. Dia menggamit Soraya disisi yang kelihatan kurang ceria.

“Biarlah dia nak buat apa. Dia memang macam tu…Kurang ajar sikit.”

Soraya diam tanpa memberikan sebarang respon terhadap ungkapan Haizan itu. Ingin sahaja dia meluahkan rahsia yang tersimpan di sudut hati mengenai kelakuan Julia di luar sekolah. Tetapi dia bimbang dianggap menuduh orang tanpa usul periksa.Lagipun, dia tidak mahu Haizan tersalah faham lagi.

***

Sekembalinya Soraya dari sekolah hingga ke malam, dia hanya berkurung di dalam bilik. Layanan Julia menyentuh hatinya. Soraya tahu siapa Julia, rakan-rakan dan kegiatannya. Tetapi itu semua maklumat yang diterima secara tidak rasmi. Di dengar dari mulut orang lain. Dia bimbang jika nanti Haizan turut terperangkap dengan jerat yang dipasang oleh Julia.

“Betul kak. Ari dengan kawan-kawan nampak dengan mata kepala sendiri.” Itu yang kerap disampaikan oleh Nazri ketika mereka sama-sama menonton televisyen.

“Entah betul entahkan tidak apa Ari cakapkan. Zaman sekarang ramai pelanduk dua serupa.” Balas Soraya kemudian.

“Up to you!”

Pintu biliknya diketuk agak kuat dari luar. Lamunan singkat hilang serta merta.

“Kak! Makan!”

“Kejap lagi akak turun.”

“Okey. Cepat sikit, mak dengan ayah dah tunggu.”
Advertisement

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.