Header Ads

NOVEL: CINTA KAMELIA 24

Advertisement

Hardy terkejut menerima kehadiran tetamunya pada pagi itu. Rasa-rasanya bumi London telah hampir dua tahun ditinggalkan. Kali terakhir mereka bertemu ketika rakannya itu ditahan pihak polis di negara tersebut kerana didakwa terlibat dengan jenayah. Bila pula dia kembali? Dan, yang peliknya mengapa dia mencariku? Bersimpang siur kepala Hardy memikirkan hal tersebut sambil tangannya menyambut salam yang dihulur. Mereka berpelukan dengan rasa gembira kerana sudah lama tidak ketemu.

“Bila kamu sampai sini?”

“Sudah satu minggu. Aku ada tour business dengan corporate leader dari Malaysia. Wah! Maju ya business kamu. Kamu apa khabar?” Halim ketawa besar. Gayanya juga sudah tidak seperti dulu. Mungkin telah berjaya di dalam kerjayanya atau menjawat posisi penting di dalam syarikat. Begitu fikir Hardy.

“Aku macam ini seperti yang kamu nampak, Halim. Business ni keluarga punya, aku hanya tolong jalankan.”

“Tapi lama kelamaan nanti jadi milik kamu jugak, tak gitu?”

“Belum tahu. Kami adik beradik sepakat untuk tidak membicarakan soal ini sehingga satu masa yang sesuai nanti.”

“Beruntung kamu, Hardy.”

Hardy hanya tersenyum hambar. Hatinya penuh tandatanya tentang tujuan Halim mencarinya. Semasa di UK dahulu mereka hanya kenalan biasa, itupun melalui Baiti, sahabat Kamelia.

“Kamu dulu tak habis kuliah kan?”

“Ya…sebab mantan bapak aku sakit kuat.”

“Ohh! I see…”

“Bagus jadi kamu nih. Apa kamu hendak, pasti kamu boleh dapat. Kamu dah nikah? Ada anak-anak yang comel pastinya.”

Hardy menggeleng. Mengeluh kecil. “Belum, nggak ada yang sesuai.”

“Cewek kat sini punyalah ramai, tak ada satu pun?”

Halim ketawa lagi. Matanya memandang sekeliling bilik Hardy yang luas itu. “Kamu ada datang Malaysia sejak kita tinggalkan London dulu? Atau, kamu masih ada contact kawan-kawan kita? Aku terus loss contact dengan dia orang.”

Bicaranya sudah beralih arah. Mungkin inilah tujuannya mencariku, gumam Hardy di dalam hati.

“Erm…ada jugak. Tak lama dulu.”

“Dengan siapa kamu contact?”

“Tak semua. Ada satu kali Melia datang sini, dia ada seminar. Eh! Kamu abis studi tak kat UK dulu?” Entah mengapa Hardy malas memulakan perbualan tentang teman-teman lamanya. Hatinya sering dipagut sayu tatkala menuturkan nama Kamelia. Lambang sebuah harapan yang tidak kesampaian…

“A…aku…” deringan telefon di meja Hardy terus mematikan kata-kata Halim.

Selesai Hardy menyiapkan serba sedikit kerja yang perlu disegerakan, dia mengajak Halim ke coffee house. Seterusnya, Hardy terlupa untuk bertanya lanjut perihal soalannya tadi yang belum dijawab oleh Halim.

***

Halim geram benar dengan layanan Hardy terhadapnya sebentar tadi. Bagai acuh tak acuh sahaja menerima kedatangannya. Sudahlah berbulan dia menjejak langkahnya, baru kini dia ditemui. Bekas teman seperjuangan dari Malaysia pun sudah hilang jejaknya. Tiada satupun yang masih boleh dihubungi. Tadi dia cuba meminta alamat atau nombor telefon Kamelia daripada Hardy namun Hardy mengatakan telah terhilang maklumat tersebut. Pasti dia sengaja tidak memberikannya. Huh!! Macam tak berbaloi langsung berusaha menjejaki tetapi satu apa pun tak dapat.

Halim menggumam sendirian di dalam bilik hotel yang dingin itu. Walau udara nyaman dari pendingin udara boleh menyejukkan badannya, tetapi malangnya hatinya yang kepanasan tidak boleh diubati. Dia merenung siling sambil memusing-musingkan handphonenya.

Dimana-mana di dalam bilik itu dia ternampak bayangan wajah yang dirindui. Walau bertahun tidak bertemu, nama dan wajah itu sering kerap bertandang di dalam mimpinya. Dia sering bermimpi telah berkahwin dengan wanita itu, mempunyai anak yang comel dan hidup bahagia. Namun, sekejap sahaja khayalan itu datang, berganti pula dengan bayangan wajah lelaki yang tidak dikenali. Lelaki itu sering merenungnya dengan pandangan marah. Kemudian, dimana-mana dia terlihat darah merah membuak keluar dari dalam bumi.

“Uwek! Uwek!”

Tekaknya serta merta loya mengingati warna merah darah yang sering hadir dalam mimpinya. Halim meradang sendirian di dalam kamar hotel penginapannya sehingga berkecai bantal yang tumbuknya dengan sekuat hati. Rasa sakit dan rindu pada wajah itu saling bertingkah dan bertindan di dalam mindanya. Hingga satu saat dia meracau tak tentu hala.

***
Baiti memegang perutnya yang bergerak-gerak. Kandungannya berusia hampir tujuh bulan. Jadi dia kena berhati-hati bimbang terjadi sesuatu kepada diri dan anak yang dikandungnya itu. Zek belum nampak batang hidungnya setelah keluar sebentar untuk membeli barang keperluan dapur. Dadanya berdebar-debar lebih kuat dari biasa selepas menerima panggilan dari seseorang sebentar tadi. Dia melepaskan keluhan kecil buat meredakan debarannya itu.

Dia membuka pintu peti ais dan mencapai air sejuk untuk membasahkan tekaknya. Sekejap-sekejap dia menjeling ke pintu depan, kalau-kalau Zek sudah balik. Dia mengeluh lagi apabila kelibat kereta suaminya masih tidak kelihatan.

Tidak lama kemudian kedengaran bunyi kereta masuk. Baiti tersenyum senang melihat Zek menjinjit barang keperluan dapur yang dipesan. Dia terus menerpa ke arah Zek dan memeluk pinggang suaminya itu.

“Kenapa ni, Iti. Jaga sikit, awak tu tengah sarat. Apa halnya awak macam cemas aje.”

Baiti mengekor Zek ke dapur. Dia tidak sabar untuk menyampaikan berita yang baru di terima sebentar tadi.

“Duduklah sini, karang jatuh siapa susah.” Zek menarik kerusi makan lalu meminta Baiti duduk. Dia mengambil tempat di sebelah isterinya itu. Wajah putih mulus itu direnung penuh kasih sayang.

“Tadi Melia call.”

“Nak tanya pasal Ijol lagi lah tu. Benci, benci tapi rindu.”

“Bukan pasal itulah , bang. Ada benda lain. Dia kata budak yang tikam Baiti masa kat UK dulu dah balik Malaysia. Dia tengah nak jejak saya dengan Melia. Dia cari sampai ke Indonesia. Abang ingat tak yang saya cerita pasal Hardy yang minat kat Melia tu. Dia yang inform Melia.”

“Kenapa dia nak cari Iti dengan Melia?”

“Entahlah, bang.”

“You all ada berhutang dengan dia ke?”

“Mana ada. Dia yang berhutang nyawa saya, adalah…”

Zek mengusap tangan isterinya bagi meredakan tekanan yang dihadapi. Di dalam hatinya mula dihujani persoalan mengapa lelaki itu mahu menjejaki isterinya. Apakah kaitannya dengan Baiti. Mengapa lelaki itu begitu bersungguh-sungguh malahan tidak berasa serik walau pernah ditangkap oleh pihak berkuasa semasa di universiti dahulu? Persoalan demi persoalan yang mengasak minda Zek tidak mampu dijawabnya.

***

“You ada call dia hari ni? Macam mana respons?”

“Still bad. Angkat tapi tak nak cakap.”

“Okeylah tu! Ada daripada tak ada langsung. Kut-kut dia pun rindu kat you, dapat dengar suara you pun jadilah.”

“Habis aku ni? Aku separuh mati rindukan dia, Aini. Since last meeting at Baiti’s house. You ingat dah berapa lama tu! Died man!”

“Dia tu okey, Cuma ada keras hati sikit. Aku kenallah sikap dia, aku kan dulu kawan baik dia. Tapi tak sangka sampai sekarang tak berubah keras hatinya tu. Nasib kaulah, Ijol. Dapat tunang cantik tapi keras kepala. Nasib baik dah tak garang lagi…heh…heh…”

Ijol membaling kertas ke arah Aini kerana mentertawakannya. Hatinya sedang parah, dia pulak senang-senang gelakkannya. “Kau tahulah nanti kalau kau di tempat aku. Makan tak kenyang, mandi tak basah, beb!”

Ijol menghitung mungkin hampir lima bulan selepas kejadian di rumah Baiti dimana Kamelia marah terhadapnya kerana menyembunyikan kes khalwatnya. Pada tanggapan Kamelia, Ijol sengaja tidak mahu bercerita. Dan yang paling sakit hatinya, Kamelia menuduhnya penipu! Maka inilah hasilnya, perang dingin antara mereka berlanjutan sehingga sekarang.

“Dah berbulan macam ni, apa kau nak buat. Kau ego, dia pun sama. Sampai ke akhir nanti kau orang tak jadik kahwin , batu padan! Masa tu jangan cari aku minta nasihat. Sorry!” Aini semakin geram. Ijol tidak mahu mengalah, Kamelia pun sama. Kedua-duanya bukan budak-budak lagi, dah tua bangka.

“Selisih malaikat 44! Janganlah kau mintak yang bukan-bukan. Aku sayang kat dia, beb. Kau kan tahu dari dulu sampai sekarang hati aku tak berbelah bagi. Aku setia tau!”

“Piraaah! Setia konon. Aku tengok pompuan dahi licin kat luar sana kau ngurat jugak.”

Ijol ketawa besar. “Biasalah sikap lelaki sejati memang macam tu. Itu namanya aku ni normal. Usik-usik aje, bukannya luak pun. Lagipun aku belum kahwin, inilah masanya nak gatal sikit.”

“Aku cakap kat Melia. Aku rekod ni apa kau cakap!” Aini mengugut.

“Eh! Aku gurau je lah, kau ni take serious kenapa? Jangan kau berani mengadu pada dia, nahas kau!”

“La…sekarang ni siapa ugut siapa? Main kasar nampak.”

“Sorrylah Aini, aku main-main aje. Dahlah, cakap dengan kau nak gaduh aje. Pergilah buat kerja kau sana.”

Aini bangun dari kerusinya disertai dengan ketawa sinis. Ijol! Ijol! Kau memang seorang bos yang rock! Sempoi! Tapi dengan aku aje, dengan staf lain dia seorang yang agak tegas.

“Tadi kau nak apa, hah? Aku lupalah.”

“Sales advise form dah habis. Minta cetakkan lagi, kemudian masa meeting nanti jangan lupa staff nak minta naik elaun makan dan transport allowance masa pergi exhibition. Jangan lupa tu!”

“Itu aje ke?”

“Minta naik gaji!” jerit Aini yang telah beredar dari bilik Ijol.

Adalia yang sedang menulis sesuatu tercongok-congok melihat gelagat Aini. Dia perasan Aini dan Zulhariz a.k.a Ijol amat akrab sejak kebelakangan ini. Apakah hubungan antara keduanya. Setiap kali keluar dari bilik bosnya itu, pasti wajahnya tersenyum lebar dan ceria. Tak boleh jadi ni, aku mesti jadi minah kepoh…heh…heh…

***

“Lama dah sampai? Apa hal nak jumpa? Aku dengar kat phone tadi suara kau cemas aje.”

“Duduklah.”

“Order air, Zek. Aku haus ni…tadi meeting berjam-jam dalam bilik sejuk. Mati beku aku karang.”

Zek melambai seorang pelayan Bangladesh yang sedang berdiri di tepi kaunter. Sebaik pelayan lelaki itu sampai, dia terus memesan Nescafe ais untuk Ijol. Dia sendiri telah memesan minuman yang sama, minuman kegemaran mereka sejak dari zaman persekolahan lagi.

Ijol membelek akhbar Harian Metro secara lalu sahaja sementara menunggu minumannya sampai. Sesekala dia menjeling Zek yang kelihatan resah. Apa masalahnya Zek kali ini? Bukankah isterinya sedang sarat mengandung anak sulung mereka. Bukankah itu petanda dia bakal menjadi bapa, apa yang nak dirisaukan. Atau, ada sesuatu yang menimpa rumahtangga mereka? Hish! Ke situ pulak fikiran aku ni…

“Hei! Berangan! Apa hal nak story kat aku.”

“Aku risaulah, beb. Bini aku…”

“Kenapa dengan Baiti?” Ijol menyoal laju.

“Kau ingat tak kes dia masa kat UK dulu? Budak tu dah balik Malaysia.”

“Biarlah dia balik pun, ini negara dia. Takkan dia berani nak buat hal lagi. Lagipun, kau orang dah berkahwin, nak dapat anak. Apa yang nak dirisaukan, Zek.”

“Semalam Baiti dapat call dari Melia. Dia kata kawan mereka yang kat Jakarta dah jumpa dengan Halim. Dia pergi sana mintak nombor Melia dan Baiti. Nasib baik si Hardy tu pandai. Dia kata tak tahu je.”

Hardy? Bukankah lelaki itu yang berminat dengan Kamelia sewaktu belajar di UK dulu. Rupa-rupanya mereka masih saling berhubungan. Perasaan Ijol menjadi resah tiba-tiba.

“Hoi! Layan perasaan nampak! Itu cerita lama lah, beb. Masih terkenang ke? Sudahlah tu…sekarang ni settlekan masalah aku dulu. Aku takut dia datang cari isteri aku. Dia tu ada mental problem sikit, takut dia makin teruk jadinya. Apa kita nak buat ni.”

“Tak tahulah Zek, nama budak Hardy tu buat aku hilang mood. Dan, secara automatiknya otak aku pun jammed. Lain kali aku bagi solution, boleh tak? Aku betul-betul tak ada mood ni.”

Zek tersengih melihat perubahan kelakuan Ijol. Orang tengah sakit angau memang begitu. Nasiblah kau Ijol, dapat tunang yang kuat merajuk.

Setelah bertemu Zek, Ijol memandu pulang ke rumahnya sendirian. Dalam keadaan emosi yang kurang stabil dia lebih suka mendengar lagu-lagu Jamal yang boleh mengisi kekosongan jiwanya buat sementara waktu. Memang luarannya dia kelihatan tenang, tetapi sebaliknya apabila tiba di rumah dan membuka komputernya yang dipenuhi gambar-gambar Kamelia, jiwa lelakinya seakan memberontak. Beginikah seksanya yang diberikan oleh Kamelia untuknya? Adakah dia juga berpura-pura demi mempertahankan ego seorang wanita? Ijol merasakan perkara itu tidak boleh dibiarkan berpanjangan. Dia mesti melakukan sesuatu untuk menyelamatkan perhubungan itu.

Ya. Dia mesti bertindak. Biarpun tindakan itu bakal memadam ikatan antara mereka. Dia sudah serik sering disakiti dan ditinggalkan.



***

Adalia membuka surat-surat yang masuk dan dikepilkan di dalam satu folder untuk dihantar ke bilik Ijol. Ada beberapa keping lagi yang dialamatkan ke jabatan lain, di simpan berasingan. Biasanya dia akan menghantar ke jabatan yang berkaitan selepas waktu makan tengahari. Keadaan pejabat sunyi sepi hari itu. Ramai kakitangan yang bercuti demi menghabiskan sisa-sisa cuti. Hanya beberapa kerat sahaja staf bahagian jualan yang ada. Sedari awal pagi Aini telah sibuk di kaunter bagi menangani pertanyaan daripada pelanggan yang mahu membeli rumah. Adalia tidak sempat pun untuk menyapa temannya itu.

Bilik Ijol masih gelap lagi walau jam telah menunjukkan ke angka 9.15 pagi. Jarang benar bos muda itu datang lewat melainkan ada kecemasan. Adalia membuka pintu bilik tersebut dan memasang lampu. Plastic Folder berisi surat-surat yang sudah dibuka di letakkan di tengah meja untuk perhatian Ijol. Meja bosnya itu kelihatan kemas dan beberapa buah fail di susun di sudut meja.

Sebelum melangkah keluar, Adalia terdengar bunyi dari satu arah. Setelah diteliti, rupa-rupanya suara itu datang dari komputer Ijol.

‘Dia tak off kan komputernya. Wah! Banyaknya e-mel masuk.’ Adalia menutup komputer itu tanpa mahu tahu apa isi kandungan e-mel yang diterima oleh bosnya itu. Dia ingin segera keluar tetapi tanpa disengajakan kakinya terlanggar bucu laci. Terburai segala benda yang diletakkan di atasnya dan jatuh berserakan di kaki Adalia. Mata Adalia terbeliak melihat puluhan gambar wanita cantik dengan berbagai gaya terpampang di depan mata. Siapakah dia? Zureenkah? Takkan dia menyimpan gambar-gambar musuhnya.

Dia mengemaskan kembali dan mengambil sekeping gambar secara rambang lalu dismpan di poket jaketnya.
Advertisement

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.