Header Ads

NOVEL: CINTA KAMELIA 27

Kamelia bergegas pulang ke rumah abang Imrannya sebaik habis waktu kerja. Suara abangnya itu kedengaran serius, tidak berlembut seperti selalu. Apa yang tak kena agaknya? Sepanjang memandu fikirannya menerawang sehingga kadangkala terleka ketika di persimpangan lampu isyarat.

“Ada apa, bang?”

“Balik aje, lagipun Mel dah lama tak datang sini, kan?”

“Kak Imah sakit ke?”

“Kak Imah kau sihat aje, yang penting abang nak Mel balik malam ini. Abang tunggu. Semua appointment kau, makan malam ke apa…tolong cancelled! Ini antara hidup dengan mati!” suara abangnya semakin mencemaskan.

Bunyi hon bertalu-talu menyedarkan Kamelia. Kenderaan di belakang telah berbaris panjang. Dengan segera dia menekan minyak menuju ke taman perumahan di mana abangnya tinggal.

Sebaik tiba di hadapan rumah teres itu, terdapat sebuah kereta berwarna putih di parkir bersebelahan dengan kereta abangnya. Inikah masalahnya? Beli kereta baru pun siap nak ugut aku. Konon antara hidup dengan mati! Kamelia segera mengunci keretanya dan tersenyum gembira melihat kereta baru abangnya. Tetapi tiba-tiba dadanya rasa berdebar-debar, kereta putih itu macam kereta…

“Hai, dah balik pun. Cepat pulak sampai. Kamu pandu laju ke?” usik kak Imah yang secara kebetulan mahu membuka pintu. Di tangannya terdapat satu bungkusan plastik sampah.

Dari luar dia terdengar suara orang ketawa-ketawa. Sekali lagi dadanya bergetar. Itu macam suara Ijol. Buat apa kat sini. Apa yang dia mahu. Apa pula yang dia canangkan kepada kakak dan abangnya. Digagahkan kakinya untuk melangkah masuk.

“Assalamualaikum…”

“Waalaikumussalam…” dua suara menjawab serentak. Kedua-duanya pun menoleh ke arah Kamelia.

Tangan Kamelia mula berasa seram sejuk. Dia menyalami abangnya tanpa menghiraukan renungan tajam dari sang lelaki tunangannya. Dia teragak-agak ketika mahu berpaling dari situ.

“Dah tak ingat dengan tunang sendiri? Apalagi…salamlah.”

Dia menyalami tangan Ijol dengan terpaksa. Serba tidak kena jadinya sewaktu jemarinya di usap lembut oleh lelaki itu. Dia segera menarik tangannya dari terus dicengkam oleh Ijol. Muka tak malu betul, depan abang aku pun boleh buat hal. Jelingan tajam Kamelia agar Ijol memahaminya, umpama mencurah air ke daun keladi. Lelaki itu berlagak selamba bagai tiada rasa bersalah sekelumit pun. Debaran di dalam dada semakin laju tatkala dia perasan Ijol masih merenunginya dengan pandangan yang menusuk kalbu. Pecah segala kebencian yang terkumpul selama ini, hilang melayang rasa geramnya yang tumbuh ketika mendapat khabar dia di tangkap khalwat dahulu. Mengapa mesti masih ada rasa kasih yang mendalam untuk lelaki itu, Ya ALLAH. Aku tidak betah menentang pandangannya itu…

“Nak ke mana?”

“Masuk bilik dulu, bang.”

“Macam tak suka aje orang jauh datang…”

Kamelia tidak menjawab usikan abangnya. “Mel mandi dulu.”

Abang Imran hanya menggeleng melihatkan kedegilan adiknya. Kamelia tidak menunggu lama untuk melarikan diri dari situasi panas itu. Ijol pula mengawal senyumnya dari dilihat oleh bakal abang iparnya.

“Dia memang macam itu, degilnya lebih banyak dari patuhnya. Cakap dia aje yang betul. Kamu nanti kena lebih tegas bila dah kahwin. Jangan bagi dia muka.”

“Amboi bang, adik sendiri pun nak dibuli. Kesian budak tu. Jangan percaya semua cakap abang Imran kamu, Ijol. Melia tak semuanya buruk.”

Imran ketawa mendengar isterinya memihak kepada Kamelia. Biasalah, perempuan mestilah memenangkan pihak perempuan. Begitulah adat dunia.

Sementara itu di dalam kamarnya, Kamelia sengaja berkurung lama-lama. Dia tidak kuasa untuk meladeni segala pertanyaan dari Ijol nanti. Biarlah Ijol berborak-borak dahulu dengan abangnya.

Lama kelamaan rasa serba salah menyelubungi diri Kamelia. Tidak sampai hati pula membiarkan Ijol menanti di luar. Lagi pula, abangnya tentu ada kerja lain yang perlu dilaksanakan. Dia mengenakan blaus berlengan panjang warna merah hati dan berskirt labuh untuk berhadapan dengan Ijol. Hanya baju itu yang tinggal dan dirasakan sesuai sekiranya Ijol mempelawa makan di luar. Baju yang lain telah dibawa bersama sewaktu dia berpindah keluar dari rumah abangnya itu.

Beep! Beep!

Bunyi SMS masuk. Kamelia mencapai telefonnya lalu membaca mesej yang tertera.

‘Kita keluar. Ada hal yang perlu dibincangkan.’
Kamelia telah mengagak yang Ijol akan mengajaknya keluar. Dia memandang wajahnya di cermin buat kali terakhir.

“Dah siap.” Entah soalan atau penyataan, Kamelia tidak pasti.

“Bolehlah. Kita nak ke mana?” soal Kamelia menahan getar didada saat matanya berpapasan dengan mata Ijol.

Belum sempat Ijol menjawab, abang Imrannya telah muncul di pintu tengah yang memisahkan dapur dan ruang tamu.

“Nak ke mana pulak ni. Bukan makan kat rumah ke. Kakak kamu dah masak. Makanlah dulu.”

“Saya ada hal nak dibincangkan dengan Melia, bang.”

“Hal apa sampai tak boleh tunggu. Kamu buat perangai ke, Melia?” abang Imran datang menghampiri.

“Mana ada. Melia dah dewasa kalau nak buat perangai, bang. Mungkin orang tu yang buat perangai.”

Ijol hanya mendiamkan diri. Dia mahu melakukan perbincangan tersebut dengan fikiran terbuka. Dia tidak mahu memulakan, takut nanti apa yang diharapkan tidak menjadi.

“Lain macam bunyi kamu, Mel. Kalau pasal kes itu pun kamu masih berdendam, abang harap kamu berfikir dua kali sebelum bertindak. Fikir banyak kali sebelum cakap. Kamu tahu tak, kata-kata kamu boleh mengguris hati tunang kamu.”

Imran cuba menahan marah dengan perangai Kamelia. Tidak tahu diuntung langsung. Sepatutnya Kamelia bersyukur dikurniakan seorang tunang yang sabar dan menyaynginya sepenuh hati.

“Dah lah abang Imran. Saya tak kisah. Saya tahu Melia masih tidak dapat menerima kenyataan. Tapi, saya sedia bagi dia masa.”

Ijol bangun dengan kedua belah tangan di poket. Kamelia perasan wajah Ijol telah ditumbuhi jambang halus. Kerutan di dahi kadang-kadang menampakkan wajahnya yang bermasalah. Dia mahu segera keluar, menyelesaikan masalah mereka dan tidur dengan tenang selepas ini. Dia ingin segera mendengar hal yang ingin diperkatakan oleh Ijol. Dia tidak mahu mendengar abangnya membebel lagi.

“Kami minta diri dulu, bang. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam. Kamu balik sini malam ni, Melia?”

“Tak tahu lagi, kak. Esok saya ada mesyuarat. Takut terlambat pulak.”

Kamelia menyalami tangan kakak dan abangnya sebelum keluar menuju ke keretanya yang diparkir di luar. Sekilas dia menjeling ke arah Ijol dan tanpa dirancang mata mereka bertentangan. Kamelia tidak tahu mengapa setiap kali mereka bertatapan, getaran di dada semakin laju. Adakah aku terlalu merinduinya? Akhirnya dia hanya mampu menggeleng kerana tidak pasti dengan perasaan sendiri.

***

“Awak nampak cute.”

“Cute untuk budak kecil, saya dah dewasa. Frasa itu tak sesuai.”

“Atau, you look chubby. Macam tak sakit rindu pun.”

Kamelia tidak suka Ijol mengusiknya begitu.

“Chubby tu tembam. Am I look fat? Rasa macam biasa je.”

Ijol tersenyum dicelahi tawa kecil. Kamelia mungkin berasa tidak selesa apabila dia menggelarnya chubby. Makin lama muka gadis itu bertukar merah, semakin bercahaya wajahnya kelihatan. Rasa cintanya bertambah-tambah. Takkan aku nak putuskan ikatan ini sedangkan api cintaku padanya selama bertahun ini tidak pernah mahu padam? Ya ALLAH…apakah jalan yang terbaik buat kami?

“Ijol…”

“Hah?!”

“Berangan? Ingat siapa?” soalan Kamelia bernada cemburu.

“Ohh! Perasan pun yang saya ni sedang berangan. Saya berangan tengah duduk atas pelamin dengan si Chubby.” Meledak tawa Ijol selesai dia mengucapkan bicaranya.

“Awak ni! Panggil saya macam tu lagi, saya balik.” Ugut Kamelia.

“Rilekslah Mel, kuat merajuk tak bagus untuk muka. Nanti cepat tua. Bila awak dah tua, siapa yang susah. Saya jugak, terpaksa pimpin awak ke sana ke mari. Lagipun, bermuka masam boleh menimbulkan salah faham kepada orang lain. Merajuk pun kawan syaitan. Hati jadi panas, lalu timbul pertengkaran.” Ijol mengeluarkan pendapatnya seolah sedang berceramah. Wajahnya penuh karisma.

“Siapa yang mulakan? Siapa yang sakitkan hati ini. Itu bukan satu dosa?”

“Saya nak test awak aje. Test tahap kesabaran awak.”

“Ya lah tu!” Kamelia sudah tidak kuasa mahu melayan kerenah Ijol.

“Nah. Hadiah untuk perasaan awak.”

Ijol menarik keluar sekeping sampul surat berwarna putih. Kamelia memandangnya dengan mata terkebil-kebil. Dia memandang tepat ke wajah Ijol, mengharap jawapan kepada makna surat yang diserahkan itu.

“Take a look first. I hope you will understand me more.”

Kamelia membuka surat itu berhati-hati. Dia membaca satu persatu ayat di dalam kertas putih itu. Selesai membaca dia meletakkan surat itu di atas meja. Perasaannya? Entahlah…tetapi itu kan bukti yang membebaskan Ijol dari sebarang kes khalwat lagi. Bukankah itu yang dimahukan. Bukankah itu yang boleh membuatkan lena tidurnya?

***

Kamelia merebahkan tubuhnya ke atas tilam. Rasa bersalah yang menyerang semenjak pertemuannya dengan Ijol sebentar tadi sukar diungkap dengan kata-kata. Surat dari jabatan agama telah menarik kembali tuduhan khalwat ke atas Ijol kerana pasangannya telah membuat pengakuan. Bahawa dia memang sengaja menjebak sepupunya itu. Dia tidak mahu Ijol berkahwin dengan Kamelia. Itulah pengakuan berani yang didengar oleh telinga Ijol sendiri dari adik sepupunya itu.

Namun Ijol dan Zureen masih diberikan kaunseling agar perkara seperti itu tidak berulang kembali.

Kamelia menghela nafas dalam-dalam. Setelah berbulan dipinggirkan, lelaki itu masih sudi lagi menyiram kasih padanya. Bersabar melayani rentak ‘mood’nya dan menjadi pendengar yang setia. Tidak cukupkah ciri-ciri yang ada pada Ijol itu untuk dijadikan teman sepanjang hidup di dunia dan Insya’Allah hingga ke syurga. Dia memikirkan semula permintaan Ijol tadi.

“Saya nak mintak satu perkara aje dengan awak, Mel.”

“Apa dia?” soal Kamelia lembut. Hatinya diserang rasa bersalah yang amat dalam. Rasa itu membuatkan dirinya terasa kerdil di hadapan Ijol.

“Awak pindah kerja kat JB.”

“Kenapa?”

“Apabila berjauhan begini macam-macam yang terjadi. Segala perbuatan kita asyik menimbulkan prasangka. I’ve been suspicious over you. Always...” luah Ijol tanpa segan silu. Memang dia sentiasa memikirkan yang bukan-bukan terhadap tunangnya itu. Sementelah gadis cantik seperti Kamelia, yang tinggal bersendirian di bandaraya Kuala Lumpur. Bila-bila masa hatinya boleh berubah dan terpengaruh oleh kemewahan duniawi.

“Emak saya tak kisah pun!” Kamelia menjuihkan bibir.

“Itu emak awak. Yang ini saya. Orang yang berlainan tentulah perasaannya berlainan.”

“Kenapa tak katakana saja yang awak takut kehilangan saya.” Kamelia meneka.

“Bukan macam itu.”

“Mengaku sajalah wahai Encik Zulhariz. Yang awak tu tak boleh hidup kalau tak tengok muka saya…he…heh…” Kamelia berasa megah.

“Don’t be too confident. But yeah, some of the reason is there.” Akui Ijol jujur.

“There…I told you!” meledak ketawa mereka tatkala habis bertingkah.

“Awak makin nakal sekarang. Kerjalah kat JB, okey?” pujuk Ijol untuk kesekian kalinya.

“Boleh dipertimbangkan.”

“Yang tak boleh?”

“Tak boleh, apa?” Kamelia tidak faham soalan dari Ijol itu.

“Yang tak boleh dipertimbangkan tu, apa? Contohnya?” soal Ijol lagi.

“Macam…kena paksa kahwin ke?”

“Hah! Pandai awak. Itu baru saya nak cakap tadi.”

Kamelia termalu sendiri. Dia tidak menyangka apa yang berlegar difikirannya sama dengan apa yang Ijol sedang fikirkan.

“Kira dah sampai serulah ni. Apa kata cuti sekolah nanti kita buat majils.”

“Eii gatal! Kursus tak pergi dah ajak kahwin.”

“Kita kahwin dulu kemudian pergi kursus. Okey what!”

“Boleh. Kahwin lari.” Kamelia menambah sambil ketawa.

“Awak tahu tak apa yang sedang saya fikirkan?” Tanya Ijol tidak lama kemudian. Nasi goreng ‘USA’ berbaki sedikit lagi.

“Saya tak sangka pertemuan kali ini berjalan lancar. Saya ingat awak akan marah-marah, tak nak dengar penjelasan saya dan kemudian tinggalkan saya terkontang kanting macam lima bulan dulu…”

“Hah?!”

“Yang awak lari dari rumah Baiti. Tak ingat?”

***

“Dah lama Iti tak jumpa Melia, bang. Call kat ofis dia selalu sibuk aje. Agak-agaknya berjaya tak Ijol pujuk dia?”

“Kita doakan yang terbaik untuk mereka, Iti. Dia orang berdua kawan abang dari sekolah menengah lagi. Gaduh, bercakaran, kemudian baik semula…dah biasa. Macam sekaranglah ni. Sana merajuk, sini tak senang duduk. Ada ke patut si Ijol kata nak putus.”

“Sampai macam tu sekali? Tak ada jalan lain lagi?”

“Awak pun kenal dengan Melia, kan? Degilnya sama macam awak.” Usik Zek kepada isterinya.

“Itu dulu. Sekarang Iti dah jadi isteri mithali. Yang dalam perut ni sebagai buktinya.”

Zek memandang Baiti penuh kasih. Semakin hari dia merasakan isterinya itu terlebih manja, kadangkala tidurpun minta di tepuk dahulu. Macam budak-budak! Biasalah, pembawakan wanita mengandung…bisiknya perlahan kepada diri sendiri. Yang membahagiakan, dia kini membilang hari untuk menunggu kelahiran anak sulungnya itu. Kemudian sempurnalah dirinya sebagai seoang lelaki sejati.

“Abang…”

“Abang!”

Khayalan Zek tergugah dengan teguran lembut isterinya.

“Nak letak nama apa anak kita nanti?”

“Ikut Iti lah, abang tak kisah.”

“Abang bagi cadangan, kalau okey Iti ikut.”

“Abang suka nama Haqim. Sedap…maknanya pun bagus.”

“Erm…okey jugak. Iti pulak suka Hazirah. Nurin Hazirah….bagus tak nama itu?”

“Tapi anak kita kan perempuan, so…letak ikut nama yang Iti pilihlah.”

“Itu kata doktor. Doktor bukan TUHAN. Tapi Iti rasa anak kita lelaki. Macam terasa-rasa yang Iti bawa ke sana sini dekat lapan bulan ni bayi lelaki. Ibunya kan dapat rasa, ada instinct orang kata…”

“Abang tak kisah. Yang penting selamat dan sihat. Terutamanya isteri abang ni…” serentak dengan itu Zek menghadiahkan kucupan lembut di dahi isterinya.

“Nak dekat tarikhnya, terasa takut pulak. Hati Iti asyik berdebar-debar sejak kebelakangan ini. Tak tahu kenapa…”

“Banyakkan berdoa dan berzikir, Iti. Insya’Allah semuanya okey.”

“Abang kahwin lain tak kalau Iti dah tak ada?”

“Hish! Ke situ pulak. Merepeklah awak ni. Insya’Allah awaklah isteri abang dunia dan akhirat. Hanya ajal yang boleh memisahkan kita.” tanpa sedar Zek mengungkapkan ucapan itu dengan bibir yang bergetar. Dia merasakan hatinya tiba-tiba diserang kesayuan seolah-olah telah kehilangan sesuatu. Astaghfirullah!

***

Halim tersenym puas memandang ke luar tingkap. Kenderaan yang lalu lalang di hadapan hotel Pan Pacific langsung tidak menganggu tumpuannya kini. Dia merasakan kemenangan mula berpihak kepadanya sedikit demi sedikit. Satu persatu maklumat dikumpul, dengan susah payah dan tipu helah. Itulah cara yang ada untuknya mencapai impian yang telah sekian lama berputik dihati. Impian untuk memiliki mutiara hati yang telah dirampas daripadanya. Dia tidak akan berdiam diri! Ke hujung dunia pun akan dijejaki.

Tiba-tiba tekaknya berasa kering. Dia membuka peti ais mini yang diletakkan di satu sudut. Terdapat beberapa tin minuman keras dan air mineral. Segera dia mencapai dua tin beer dan membukanya. Punggungnya dilabuhkan semula di atas tilam empuk sambil tangannya menekan punat televisyen untuk mencari saluran yang boleh ditonton sebagai peneman malam sepinya.

Telefonnya berdering-dering minta diangkat. Dengan malas Halim menekan punat ‘on’ dan menjawab dengan suara lemah.

“Hello…”

“Hi sayang…kat mana ni? Dari minggu lepas I call you langsung tak nak angkat. You takut ke? I bukan along la…”

Kemudian terdengar suara gemersik di hujung sana ketawa manja. Ketawa yang sengaja di buat-buat untuk memikat Halim. Mendengar rengekan manja di dalam talian, Halim sudah boleh mengagak siapa gerangan gadis genit itu.

"Ada apa sayang? You rindukan I ke?"

"Mestilah...sebab itu I call. You kat mana ni?'

"Ada kat sini aje. Nak datang ke?"

"Kat mana? Takkan kat KL kut?" soal gadis itu semakin mengada-ngada.

"Dekat aje. You datanglah...I bagi alamat. I rasa tak sampai sepuluh minit you dah boleh sampai. I tunggu tau." Giliran Halim pula bersuara lunak.

Halim kembali tersenyum menantikan kedatangan gadis peneman sepinya malam itu. Dia mengambil satu tin lagi minuman keras. Dia ingin beraksi seperti 'superman', terbang di awang-awangan. Air syaitan yang diteguknya semakin mempengaruhi tingkahnya. Kepalanya sudah semakin goyang. Siling bilik hotel terasa berputar-putar. Akhirnya dengan keadaan yang kurang stabil, dia menuju ke bilik air. Keluar segala isi perut yang diisi sejak petang tadi. Dia pun hairan, entah mengapa semenjak kebelakangan ini kudratnya semakin berkurangan. Jika di UK dahulu dia boleh menghabiskan sebotol arak dengan sekali teguk sahaja.

Dentingan loceng di pintu bilik mematikan imaginasi Halim.
Advertisement

1 comment:

  1. Hi...
    best cerita ni,
    teruskan menulis...
    tq

    ReplyDelete

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.