NOVEL: MENGAPA DI RINDU 3

loading...
Alisya mengambil teksi ke rumah tokoh korporat yang ingin diwawancara. Dia telah terlebih dahulu memaklumkan kepada Rahimah tentang rancangannya itu. Dia takut jika singgah ke pejabat dahulu, dia akan terlambat untuk berjumpa dengan wanita tersebut. Dia tahu jadual wanita itu tentu padat, jika tidak masakan wanita itu hanya bersetuju ditemuramah setelah lima kali cadangan dari pihaknya disampaikan.

Teksi berhenti di hadapan sebuah banglo mewah di mana alamat tokoh wanita itu tercatat. Setelah memastikan alamat itu betul, Alisya segera turun dari perut teksi. Dia membetulkan kedudukan blaus dan seluar panjangnya agar kelihatan kemas. Buku catatan di pegang ditangan. Oleh kerana waktu temujanji mereka belum sampai, Alisya menunggu kedatangan Rahimah sambil berbual-bual dengan pengawal yang berkawal di bilik pengawal itu.

“Dato’ biasa keluar pukul berapa Pak Din?” Tanya Alisya membuka perbualan setelah tadinya dia bertanyakan nama pak cik tersebut.

“Tak tentu cik Alisya. Biasanya dia keluar sekitar waktu macam ini lah, dengan anaknya.”

“Oh! Dato’ tak drive ke?”

“Kadang-kadang. Kalau driver dia off, dia pandu sendiri. Kalau anak dia balik, dia ikut kereta anaknya. Tak tentu…”

Alisya memandang jam di tangan sambil sesekali matanya melihat ke jalanraya. Kelibat Rahimah masih belumkelihatan. Sebentar tadi dia memaklumkan akan sampai dalam masa lima minit lagi. Sebuah Toyota Harrier keluar dari banglo besar tersebut. Tiba di pintu pagar pemandunya memperlahankan kenderaannya lalu Pak Din menekan butang pintu pagar automatik. Kereta berwarna hitam itu meluncur laju membelah kesibukan jalanraya. Alisya curi-curi meninjau si pemandunya, tetapi terlindung dek cermin tingkap yang berwarna gelap. Biasalah, kereta mewah mestilah aksesori pun kena ‘tip-top’.

“Yang tadi tu anak kedua Dato’. Bujang lagi…kacak orangnya.”

Jika bujang dan kacak, tentulah lelaki. Tetapi Alisya sengaja menyoal Pak Din, “Yang tadi baru keluar tu anak lelaknya ke Pak Din?”

“Ya Cik Alisya. Kan tadi saya kata bujang, kacak…”

Alisya hanya menguntum senyum. Pak Din ikut tersenyum memandang raut wajah bersih milik Alisya.

“Cik Alisya dah kahwin?”

Alisya hanya terseyum penuh makna mendengarpertanyaan dari mulut Pak Din. Banyak soal pulak orang tua ni, aku wartawan ke dia yang wartawan? Tetapi mungkin memang itu sikapnya, akhirnya Alisya membalas dengan gelengan sahaja.

“Bolehlah berkenalan dengan anak Dato’ yang tadi tu. Baik budaknya, lembut, hormat dengan orang tua. Kadang-kadang tu dia sanggup berborak dengan Pak Din sampai dua tiga pagi kalau dia tak boleh tidur. Tak rugi kalau Cik Alisya nak berkawan dengan orang macam itu…”

Melalut pulak orang tua ini, fikir Alisya terus mengunci mulut. Dia takut semakin banyak dia bercakap, semakin berani pula Pak Din memulakan langkah yang dicadangkannya tadi.

“Ha! Dah sampai pun kawan saya Pak Din. Saya masuk dulu, lain kali kalau ada masa kita berborak lagi.” Alisya terus meninggalkan Pak Din yang bagai ingin menyatakan sesuatu.

“Wah! Bukan main rancak aku tengok.”

“Mestilah…mulut mesti manis. Kawan biar ramai, musuh jangan dicari.”

“Mentang-mentang Pak cik itu kerja kat rumah besar ni, kau layan. Orang misteri yang tak tahu latar belakangnya kau tak mahu layan. Kau double standard tau.” Bebel Rahimah tidak puas hati.

“Ha! Jangan nak mulakan. Sekarang kita ada tugas penting. Date line, beb! Date line…jangan lupa tu. Dah habis date line, nak gaduh ke, nak perang ke…aku no problem. Okey!”

Rahimah menjeling mendengar jawapan dari Alisya. Gadis itu memang selamba apabila mengenakan orang. Tetapi kerana mereka telah lama berkawan, tiada perasaan sakit hati pun yang melingkar di hati masing-masing walau perkataan yang diucapkan lebih pedas dari cili padi. Alisya tahu kelemahan rakannya itu dan begitulah sebaliknya, Rahimah juga mengetahui kelebihan rakannya itu.

***

Temuramah dengan Dato’ Hajah Yusniza berjalan lancar dan tamat dalam waktu sejam setengah. Banyak yang dikongsikan oleh wanita besi itu dalam merencana perjalanan kariernya sehingga syarikatnya berdiri teguh setanding dengan syarikat bumiputra yang lain. Ternyata wanita itu sangat komited terhadap kerjanya dan segala masa yang ada tidak pernah dipersiakan begitu sahaja. Alisya perasan pada setiap masa sepanjang temuramah berlangsung, telefon bimbitnya tidak berhenti berbunyi. Kadangkala rimas mereka dibuatnya. Tetapi tokoh korporat itu mempunyai alasannya tersendiri mengapa dia tidak pernah gagal menjawab talian yang masuk.

“Lain kali kalau ada masa panjang kita boleh cerita hal peribadi pulak.” Begitulah jawapannya apabila Rahimah mengusiknya kerana asyik sibuk melayani panggilan yang masuk. Akhirnya wajah Rahimah yang berubah kelat macam makan pisang tak cukup masak.

“Yang itu gambar keluarga ke Dato’.” Alisya mengalihkan perbualan mereka sambil tangannya disuakan kepada satu potret besar yang tergantung di ruang tamu.

“Ya. Gambar saya dengan anak-anak.”

“Berapa orang anak Dato’?”

“Empat orang. Dua lelaki dan dua perempuan. Belum ada cucu sebab semua anak tak mahu kahwin. Dia orang sibuk dengan kerja masing-masing.”

Alisya mengamati setiap wajah pada potret yang tergantung itu. Matanya tertarik pada satu wajah yang seperti dikenali. Dia ingin membuka mulut bertanyakan si empunya nama yang sedang potretnya sedang ditatap penuh khusyuk itu, tetapi Dato’ Hajah Yusniza sudah menggamit mereka ke ruang makan.

“Jom kita makan dulu. Lagipun dah dekat tengahari ni. Orang gaji saya dah siapkan semuanya. Kesian pulak lauk pauk banyak tak dimakan. Anak saya tak balik makan. Biasanya dia makan di luar. Orang bujang…begitulah.” Luah tokoh korporat itu sedikit mengeluh.

“Kami ni menyusahkan aje, Dato’.”

“Mana ada. Setiap tetamu umpama pembawa rezeki ke rumah ini. Tidak mengira tetamu yang datang itu dijemput atau sebaliknya. Sesiapa pun saya sudi terima sebagai tetamu…” dalam maksud wanita itu. Adakah dia juga menerima musuhnya sebagai tetamu? Alisya tersenyum kecil ketika fikirannya menerawang kepada soalan nakal itu.

“Sorang aje ke yang duduk dengan Dato’? Yang lain kat mana?” soal Rahimah apabila perasan yang wanita itu tadi menyebut hanya ‘anak’ bukannya ‘anak-anak’.

Wanita iu hanya tersenyum. Dia membantu Alisya menyenduk nasi ke dalam pinggan. “Sorang saja. Yang lain duduk di luar. Masing-masing dah ada rumah sendiri. Anak saya yang kedua tu yang masih nak duduk bawah ketiak saya. Bukannya dia tak ada rumah, tetapi dia kasihan tengok saya sorang-sorang.”

Begitu rupanya. Benarlah apa yang diceritakan oleh Pak Din tadi. Anak keduanya itu hormat pada orang tua! Mesti kasih sayangnya hanya tertumpah untuk ibunya itu, sebab itulah sehingga sekarang tidak mempunyai teman wanita. Atau…pilihannya terlalu banyak. Alisya menggelengkan kepalanya sedikit namun disedari oleh wanita tokoh korporat itu.

“Tak sedap ke cik Alisya?”

“Sedap Dato’. Cuma pedas sikit.” Alisya termalu sendiri apabila tuan rumah yang lebih makan asam garam itu menyedari kelakuannya tadi.

“Cik Alisya bukannya boleh makan pedas, Dato’. Lidah dia lidah Inggeris, bukan lidah melayu macam saya.” Usik Rahimah makin menambah malu Alisya terhadap wanita itu.

“Ya Ke? Awak kacuk sebelah mana?”

“Tak…tak Dato’. Cik Rahimah bergurau aje. Saya anak jati Malaysia. Emak bapak saya orang sini juga.” Jawab Alisya dengan perasaan gementar. Janganlah Dato’ tanya lanjut pasal keluarga aku, hujan banjir nanti dalam rumah ini…

“Dah sambung makan, nanti tak habis lauk pauk ni. Cik Alisya cuba yang ini, mungkin kurang pedas. Kami kat rumah ini memang kuat pedas. Orang kata makanan pedas boleh buat awet muda. Betul ke? Itu yang saya dengar …tak tahulah kut kamu berdua pernah terdengar pendapat ini?”

“Betullah tu Dato’. Kalau tak silap dalam keluaran yang lalu, majalah kami ada mengupas tentang isu tersebut.”

“Patutlah kamu berdua kurus-kurus belaka. Oh ya…cik Alisya tak kuat pedas pun tetap kurus. Rajin pergi gym ke?” Dato’ Hajah Yusniza masih lagi menambah lauk ke dalam pinggannya sabil mulutnya peramah bertanya itu dan ini kepada tetamunya itu.

“Pergi gym tak pernah, Dato’. Tapi selalu panjat tangga nak ke office. Lif selalu rosak kat area pejabat kami. Lepas betulkan pun asyik meragam juga. Agaknya mintak ganti lif…” Rahimah menjawab bagi pihak mereka berdua.

“Bagus juga macam itu, senaman sambil bekerja.” Jawab Dato’ Hajah Yusniza dengan positif.

Hampir jam 2 petang barulah Rahimah dan Alisya meninggalkan kawasan banglo tokoh korporat itu. Segala maklumat telah diperolehi , tinggal membuat cerita penuh berserta susun letak gambar yang telah diambil dengan izin wanita berjaya itu. Sewaktu melalui pintu pagar automatik, Alisya menjengukkan kepalanya dan melambai ke arah Pak Din tanda hormat. Pak Din membalasnya dengan wajah yang berseri-seri. Sebuah kereta Toyota melintasi mereka dan terus memandu ke arah garaj.

“Siapa tu?” soal Rahimah dengan nada cuak. Cara pemandu kereta itu melintasi mereka agak terburu-buru dan nyaris mengenai tembok pagar.

“Entah!”

“Kereta mahal tapi memandu tak menentu. Nasib baik tak langgar kereta aku tadi.”

“Itulah aku cakap dengan kau Imah. Jangan cepat jatuh cinta dengan orang yang naik kereta besar, ada rumah besar dan perut pun besar. Inilah buktinya…dah ada depan mata, kan.” Alisya mengungkit perbincangan mereka dulu.

“Itu sebab dia tak pergi sekolah. Yang aku kejarkan adalah orang yang ada semua itu tapi dengan syarat kepala dia bijak. Buat kerja guna otak.”

“Tapi aku rasa orang yang kaya raya lah orang yang buat kerja guna otak. Pandai simpan duit, jimat sana, simpan sini…barulah datangnya kemewahan. Dan kalau dia orang berbini ramai pun, aku jamin orang lelaki macam ini mesti cari wife yang ada kerjaya dan harta. Kalau setakat wartawan cabuk macam kita, jangan nak berangan.”

“Aku ni tak layak ke?”

“Bukan nya tak layak…tapi kurang sikit. Kau kena jadi kaya baru boleh bergaul dengan mereka yang kaya raya. Masa tu bolehlah kau tackle yang kaya juga…baru seimbang.”

“Kita nak buat apa untuk jadi kaya, ek?” Rahimah seolah menyoal dirinya sendiri.

“Aku pun tak tahu. Kau ingat kau aje yang nak kaya, aku pun sama. Masalahnya…kita tak ada sumber kewangan untuk memulakan langkah.”

“Eh! Lisya…nak kaya pun kena ada modal ke? Bukan free ke?”

“Banyak cantik! Walaupun kau kaya dengan menang loteri, pun pakai modal tau. Mana ada benda free dalam dunia ni?”

Akhirnya Alisya dan Rahimah ketawa mengekeh mengenangkan perbualan mereka yang merepek meraban. Siapa yang tidak mahu kaya? Perbincangan mereka tergantung di situ sahaja. Rahimah segera memandu keretanya pulang ke pejabat dengan mata yang mulai terpejam-pejam. Alisya di sebelah sudah tersengguk-sengguk. Ini semua mesti penangan kerana makan banyak di rumah Dato’ Hajah Yusniza tadi.

***
“Yeah! Ada bunga lagi. Dari siapa, erk.” Ajuk Rahimah kepada Alisya sebaik mereka tiba di pejabat.

“Ha! Berdosa tengok kalau tuannya tak izinkan.”

“Aku tahu! Aku jeling je, nampak pun tidak.”

“Nah! Bacakan untuk aku. Aku dah izinkan.”

Rahimah tidak jadi merajuk ketika diusik oleh Alisya sebentar tadi. Dia mengambil kad kecil yang dihulurkan oleh Alisya. Membacanya sekali lalu tidak membawa apa-apa kejutan padanya, kerana isi kandungan kad tersebut sama seperti sebelum-sebelum ini. Tiada yang istimewa, tiada kelainan.

“Okey! Puashati? Sekarang kena kerja. No main-main…bos dalam bilik dah jeling-jeling…tak nampak tu.”

Rahimah menyerahkan semula kad kecil tersebut kepada Alisya. Alisya mencuri pandang sekali lalu. Manalah tahu ada yang lain sedikit kali ini. Ketika didapati isinya hampir sama setiap kali pada setiap jambangan, dia pun menyelitkan kad tersebut ke tempat asalnya. “Tak sayang duit betul orang ini. Mungkin duit dah terlebih-lebih…” bebel Alisya dengan diri sendiri.

Tetapi dia perasan ada yang lain sedikit pada kad tersebut. Apa nya yang lain dia sendiri tidak sedar. Demi menyedapkan hatinya dia mengambil semula kad tersebut lalu diteliti. Alamak! Kenapalah aku tak perasan. Kad tersebut bertulisan tangan. Siap dengan tandatangan pengirimnya sekali. Perlahan-lahan dia menyimpan kad tersebut. Pasti boleh dijadikan petunjuk. Tiba-tiba dadanya terasa berdebar-debar. Ini bermakna pengirim bunga tersebut bukan main-main mahu berkawan dengannya. Tetapi siapakah dia? Lelakikah atau wanita?

Selesai semua kerja Alisya mengambil teksi untuk pulang. Dia menelefon Zikry tetapi lelaki itu terpaksa kerja lebih masa. Dia mendapat SMS pula daripada Kamal memaklumkan akan lewat sedikit pulang kerana mencari benih ikan untuk kedainya. Tidak pula dikhabarkan dia keluar dengan siapa. Mungkinkah keluar dengan abang angkatnya lagi?

Sekitar jam lapan malam, Alisya membuka laptopnya. Dia menekan kotak e-mel dan membaca mesej yang masuk. Ada mesej ‘spam’ untuk promosi perniagaan internet, ada juga mesej dari rakan-rakan lama ketika di universiti. Dalam banyak-banyak e-mel daripada penggemarnya, dia membuka e-mel dari Mizah. Satu nama yang sering muncul semenjak kebelakangan ini. Namun Alisya melayannya sama rata dengan pengirim e-mel yang lain.

***

“Bungkus sekali makanan untuk kak Lisya. Mesti dia lapar belum makan sampai sekarang.”

“Mana abang tahu dia belum makan? Entah-entah dah kenyang melantak dengan boyfriend dia.”

“Tak baik cakap macam itu. Abang tahulah…ada instinct. Dah cepat, pergi bungkuskan makanan untuk kakak kesayangan Kamal.”

Kamal mengikut sahaja tanpa membantah. Lagipun betul juga apa dikatakan oleh abang Hazzim tadi. Makan atau belum, yang penting ingatan kita pada orang yang kita sayang itu. Betul-betul nampaknya abang Hazzim nak mengurat kak Lisya, bisik Kamal kepada dirinya sendiri.

Sebenarnya dia tidak mahu menyusahkan abang angkatnya itu ketika mahu membeli benih ikan untuk stok dikedainya. Sengaja dia memberitahu sekadar untuk memaklumkan, tidak terniatpun untuk mempelawa lelaki itu menemaninya. Tidak disangka pula sewaktu mahu menutup kedai, abang Hazzim telah terpacak di dalam keretanya. Mahu atau tidak dia terpaksa membawa abang angkatnya itu.

“Dah bang. Jom balik.”

Sepanjang perjalanan di dalam perut kereta Toyota Harrier itu, Kamal dan Hazzim tidak berbual-bual. Masing-masing sunyi sepi melayani hati sendiri. Kamal pula berasa amat selesa di dalam kereta serbaguna itu. Kaya sangatkah dia, sehingga mampu memiliki kereta mewah seperti ini? Apa pula pekerjaannya? Tiada isteri kah dia, atau mungkin abang Hazzim ini tunangan orang. Lebih baik aku siasat dahulu sebelum kak Lisya terbuka hatinya untuk abang Hazzim. Aku tak mahu kakak kesayanganku terpedaya dengan tipu helah lelaki. Mana tahu? Apa yang kita nampak tidak semestinya sama dengan apa yang tersirat.

“Abang…”

“Ya?”

“Kamal tanya sikit boleh?”

“Banyak pun boleh.”

“Abang dah kahwin?”

Hazzim ketawa pendek kemudian tersenyum-senyum mendengar pertanyaan dari mulut Kamal. Dia menjeling wajah Kamal di sebelah kemudian memandang ke hadapan semula.

“Kak Lisya yang tanya ke Kamal?”

“Kamal tanya untuk Kak Lisya.” Jawab Kamal terus terang.

“Kamal tekalah sendiri.”

Pertanyaan Kamal tergantung setakat itu sahaja. Jika Hazzim tidak mahu berterus terang, itu haknya. Siapalah aku untuk menyibuk perihal peribadi orang lain. Fikir Kamal kemudiannya.

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.