Header Ads

NOVEL: MENGAPA DIRINDU 2

Advertisement

“Kerja okey ke?”

“Bolehlah…”

“Macam tak bersemangat aje you jawab. Ada problem kat tempat kerja ke?”

“Biasa je. Cepatlah order, nak makan apa ni?”

Alisya mengambil menu yang diletakkan di sudut meja mereka. Dia membacanya separuh hati. Separuh hatinya lagi sedang memikir mengapa Zikry berperangai lain macam hari ini. Biasanya dia tidak begitu. Apa yang merunsingkan fikiran jurutera kilang itu? Adakah rutin kerjanya hari ini memeningkan kepalanya?

“I nak makan sup hari ni. You nak apa?”

Zikry memanggung kepala memandang Alisya tanpa perasaan. Dia gadis yang cantik, fikirnya. Semua orang mengatakannya bertuah dapat memiliki hati sang personaliti yang agak terkenal itu. Dia juga gadis yang baik, tetapi…kebelakangan ini dia merasakan hatinya telah ditawan oleh seseorang. Seseorang yang bukan bernama Alisya lagi. Ruang bagi Alisya hanya tinggal suku di dalam hatinya.

“You!”

Zikry tersentak. Luruh semua rasa dan anganan yang sebentar tadi berkumandang di dalam minda.

“Yes?” Zikry menyoal kembali.

“You nak makan apa? Dari tadi I tanya. Berangan aje.”

“You orderlah apa aje, nanti I makan.”

“You tak sihat ke?”

“Tak ada lah.”

“Then, kenapa I tanya sepatah, you jawab sepatah. Selalu you tak macam ni.”

“I okey, what! Tak ada apa-apalah. Cepatlah order, cepat sikit makan, dah lapar ni.”

Alisya merasakan sedikit sebanyak Zikry bukanlah Zikry yang dahulu. Zikry yang di hadapannya kini lebih banyak mendiamkan diri dan kerap termenung. Dia seperti bukan berada di hadapan Alisya sekarang, menyuap makanan pun seperti tiada selera. Apa sebenarnya yang menimpa buah hati kesayangannya itu? Ada masalah kewangankah? Jika betul, bukankah mereka sudah berjanji untuk berkongsi susah dan senang? Mengapa tidak suarakan sahaja masalah itu…
“You ada fikir tak pasal kita, masa depan hubungan kita. Ya lah…kita dah lama berkawan. I dah kenal you, hati budi you. I pun tahu buruk baik you. Apa you suka dan apa yang you benci. Lagipun…”

“I tak ada mood nak cakap benda ni sekarang, Lis. I rasa nak balik dan berehat. Itu aje. Pasal apa yang you cakap tu, kita bincang lain kali, ok?”

Alisya merenung wajah lesu Zikry dengan rasa kurang percaya. Inikah jawapan yang sepatutnya diterima sedangkan dia mengharap jawapan lebih kukuh daripada pemuda itu. Barangkali, dia terlalu mendesak. Tetapi, bukankah dia kena lebih berusaha, mendekati dan menyegerakan hubungan mereka ke arah yang lebih terjamin. Alisya bimbang jika mereka tiada komitment antara satu sama lain, hubungan mereka tidak ke mana. Masa dua tahun perkenalan mereka akan terbuang begitu sahaja. Dia takut jika itu berlaku, dan dia tidak mahu ditinggalkan…

“You!”

Zikry memandang kosong seraut wajah mulus milik Alisya, gadis yang dicintai lewat dua musim percintaan lalu. Dia kurang pasti masih adakah cinta itu untuk Alisya kini. Bahagia hatinya kini diketuk oleh orang lain, bukan lagi dari Alisya.

“You sayang I lagi tak?”

“Kenapa you tanya?” soalan bertemu soalan.

“Cakap aje, ya atau tidak?”

Zikry tersenyum. Hambar.

“Ya…atau tidak…”

“Cakap betul-betul, pilih salah satu.”

“Nak buat apa. Itu semua tak penting. Yang penting kat dalam ni. Hati kita…”

“Manalah I tahu, itu hati you. Memang mulut cakap sayang, cinta….tapi…”

Zikry memanggil pelayan untuk membayar bil dan segera pulang. Dia makin serba salah apabila tiba-tiba diasak begitu oleh Alisya. Apakah Alisya dapat merasakan perubahan dirinya? Adakah Alisya sudah tahu tentang aktivitinya semenjak kebelakangan ini? Bercinta dan berkasih tetapi memberi hatinya kepada orang lain. Kekasih dayuskah aku?

***
Sewaktu sampai, Alisya tidak perasan kelibat motor adiknya tetapi pintu hadapan ternganga luas. Pasti Kamal telah pulang dari memancing dengan pelanggannya yang dipanggil abang Hazzim itu. Dadanya berdebar-debar sewaktu menapak ke pintu rumah. Bukan kerana dapat keluar berdua-duaan dengan kekasih hati setelah kali terakhir mereka keluar dua bulan lepas. Tetapi, seperti ada sesuatu yang lain yang membuatkan debarannya semakin kencang. Ada apa-apa yang menimpa Kamal ke? Alisya dihambat risau.

“Dik! O dik!”

“Kamal!”

Alisya mengetuk pintu bilik adiknya tetapi sepi tiada jawapan. Dia menganggar mungkin adiknya berada di dalam bilik air memandangkan dia ternampak lampunya terpasang. Lega sudah perasaannya apabila dia menyangka Kamal ada di rumah.

Alisya melabuhkan punggungnya di kusyen sambil menekan punat ‘remote’ televisyen untuk mencari saluran yang digemari. Sesekali dia menyisir rambutnya yang jatuh di dahi. Sesekali pula dia mengeluh kecil mengingati pertemuan dengan Zikry tadi. Semuanya seperti hambar, seperti Zikry sengaja mempermainkan perasaannya. Zikry acuh tak acuh sahaja dengannya, sedangkan dia rindukan lelaki itu separuh mati. Apalah nasib badan.

“Cepat balik, Mal?”

Senyap sunyi tiada jawapan. Alisya berasa pelik mengapa adiknya jadi pendiam pula kali ini. Selalu dia bukan main banyak mulut.

“Dik…” dia menoleh apabila dirasakan ada gerakan di belakangnya.

Alisya melopong dek terkejut kerana yang berdiri di hadapannya kini bukan Kamal. Serta merta perasaan marahnya datang. Berani dia masuk ke rumah orang tanpa minta izin terlebih dahulu. Nasib baik tak ada barang berharga di dalam rumah itu, kalau tidak mahu saat itu juga dia mengheret lelaki tak malu itu ke balai polis.

“Kau buat apa kat rumah aku. Macam mana kau masuk, hah! Kau keluar sekarang, kalau tak nahas kau! Keluar sekarang.”

“Cik Alisya, nanti dulu. Saya tak bermaksud untuk menceroboh. Saya tahu…”

“Dah! Keluar sekarang. Aku tak nak dengar segala macam alasan. Kau ni memang muka tak malu. Pantang nampak pintu terbukak.”

“Cik Alisya!”

“Eh! Dia ni, keluar sekarang. Nanti kena tangkap pulak. Kau suka ke kalau kena tangkap?” suara Alisya semakin garang.

Cik Alisya? Dia kenal aku ke? Jangan-jangan…
“Mana kau tahu nama aku? Kau hendap aku ya? Cakap!”

Hazzim selamba sahaja malahan masih tidak berganjak berdiri di depan pintu. Itupun setelah ditolak keluar oleh wanita cantik itu tadi. Kalau tidak, dia bertegas tidak mahu keluar. Betul juga kata Kamal, kakaknya garang dan yang mungkin Kamal terlupa, kakaknya juga berani. Malahan terlebih berani. Berani menghalau tetamu keluar! Bukan salahnya berada di dalam rumah itu, juga bukannya dia tahu bila wanita itu akan sampai. Ketika tiba dengan Kamal tadi, tiada sesiapa di rumah.

“Eh! Kau boleh tersengih lagi macam kerang busuk ek. Kau tak rasa bersalah ke masuk rumah aku macam tu aje. Kau ni sapa hah!” Alisya semakin geram. Dia mula bercekak pinggang. Dia tidak peduli jika kali ini dia terpaksa menggunakan kekerasan untuk mempertahankan diri.

Muka memanglah handsome, siap ada lesung pipit lagi. Yang tak tahan tu, dia boleh control ‘macho’ aje. Macam orang tak bersalah saja gayanya. Siapa dia ni, hantu ke, orang bunian? Alisya menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

“Kenapa kau diam aje. Jawab pun tidak. Nak kata bisu, pandai pulak sebut nama aku. Pelik betul kau ni.”

“Cik Alisya…”

“Apa Alisya! Alisya! Kau berambuslah lelaki sebelum kita kena serbu.”

Bunyi motor masuk mengejutkan rasa amarah yang sedang menggunung di dalam diri Alisya. Hazzim ikut sama mengalih pandangannya ke arah bunyi itu setelah sedari tadi matanya tidak berkedip memandang seraut wajah ayu Alisya. Senyumnya makin lebar. Itu dia, penyelamat aku; getusnya gembira.

“Kamal, apa kau dah buat dik! Tengok ni, ada penceroboh kat rumah kita. Lain kali sebelum keluar kunci rumah. Jangan pergi macam tu aje. Zaman sekarang ni macam-macam cara orang nak merompak. Nasib baik akak tak ada apa-apa…”

“Apa kak Lisya ni, ribut semacam.” Kamal menyoal kakaknya kembali.

“Eh! Akak dah macam ni punya serabai, kau boleh buat rileks aje. Jangan-jangan…”

Kamal meletakkan topi keledarnya di satu sudut. Dia menarik nafas dalam-dalam sebelum bersuara, “Inilah dia abang Hazzim. Yang Kamal selalu cerita tu. Takkan dia nak buat tak senonoh pada akak. Jentik pun tak berani. ”

Alisya tergamam. Ohh! Inilah orangnya yang selalu berkirim salam. Ya tak ya jugak, patutlah aku nampak Mitsubishi Storm kat luar tadi. Kenapalah aku tak perasankan ini semua sejak tadi. Dah pecah tembelang aku yang agak garang ni…

“Kak Lisya…are you akey? Kenapa? Dah terbantut? Terkedu? Handsome tak? Jadik ya…” Kamal membisik ke telinga Alisya.

“Jadik apa?”

“Jadi abang ipar Mal…dia tu…” muncung Kamal dihalakan ke arah Hazzim yang kelihatan masih terkejut dek ‘diserang’ bertubi-tubi tadi.

“Banyak cantik. No!”

Alisya terus berlalu ke biliknya. Dia rasa sangat tertekan dan malu dengan perbuatannya tadi. Nasib kaulah Hazzim, aku tengan makan hati dengan perangai Zikry, kau pulak muncul.

***

“Sorrylah abang Hazzim, kak Lisya memang macam tu. Kan saya dah kata, dia tu garang. Kuat membebel. Tak nampak tadi dia blah macam tu aje bila tahu dah salah. Bukannya minta maaf dengan abang pun. Dah lah bang, fikirlah beratus kali kalau masih nakkan kak Lisya tu.”

“Abang tak kisah. Abang tak dengar pun apa yang dia bebelkan tadi. Abang tengok muka dia aje. Kak Lisya tu cantik, kan.”

Kamal tersengih lebar mendengar lelaki di hadapannya itu memuji kakaknya. Bukan sekali dua dia mendengar pujian begitu. Dia amat bersyukur dikurniakan seorang kakak yang luarannya nampak garang dan tegas tetapi sebaliknya, berhati baik dan tulus.

“Kamal rasa abang ada chance tak?”

“Susahlah bang. Saya rasa abang mandi bunga dulu, kemudian baru cuba balik. Mana tahu lepas tu pintu hati kak Lisya terbuka luas buat abang. Dia tengah kemaruk dengan boyfriend dia tu, dekat dua tahun dia orang berkawan, bang.”

“Oh…tak plan nak kahwin ke?”

“Mana saya tahu. Saya tak campur urusan dia orang pun. Abang Zikry tu macam sombong je…layan saya macam nak tak nak aje. Tak macam abang…heh…heh..”

“Pandailah kamu nak bodek abang. Nak ajak pergi mancing lagi lah tu. Tadi sapa yang pancit. Sakit perut lah, nyamuk lah. Lain kali kalau nak ikut abang lagi, bawa kelambu!”

“Memang tadi saya sakit perut betul, bukan main-main. Tak tahu makan apa siang tadi. Asyik nak membuang aje…”

“Abang balik dulu lah Mal. Dah lewat ni. Kirim salam kat kakak kamu.”

“Kirim salam aje?”

“Itu aje yang boleh buat masa ini. Okey Mal. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam…”

***

Telefonnya berdering-dering minta diangkat. Zikry melihat nombor dan nama si pemanggil yang tertera. Cepat-cepat dia menekan punak ‘ok’ dan dengan girang bersuara.

“Tak tidur lagi?”

“Nak dengar suara awak dulu baru boleh tidur. Abang pergi mana tadi, saya call tak angkat.”

“Oh…yang itu, ada…abang busy sikit. Ada hal tadi, sekarang dah okey. Ada apa call?”

“Saja. Tak boleh call ke? Atau abang dah ada yang punya.”

“Eh! Tak adalah…mana ada. Esok awak rehat pukul berapa?”

“Kenapa abang Zek?”

“Abang boleh datang department awak, kita makan sama-sama. Lagipun esok schedule abang taklah tight sangat. Ada mesin yang kena shutdown, so…bolehlah kita makan bersama.”

“Okey bang, esok kita jumpa kat kilang ya. Jangan tak jadi tau. Nanti saya inform waktu rehat saya. Bye! Bye! Miss you…”

Talian disebelah sana telah dimatikan. Namun, Zikry masih tersenyum-senyum sendirian. Benih cinta yang sedang ditanam seperti mahu mencambahkan bunga pula, bertuah nasib badan.

Malam itu tidurnya bermimpikan gadis genit yang mula mengetuk tangkai hatinya. Bayang Alisya pula semakin sayup-sayup dan menjauh.

***

Alisya membelek diari hitamnya. Dia meneliti aturcara untuk esok hari, temujanji dengan seorang tokoh korporat. Seorang wanita hebat di dalam industri hartanah dan pembinaan. Dia perlu menyiapkan tugasan tersebut segera bagi dimuatkan di dalam majalah wanita edisi terbaru. Kalau tidak, editor pasti menjerit macam tarzan. Lagipun dateline tinggal beberapa hari saja lagi. Dia harus keluar awal esok pagi demi mengejar masa. Masa itu emas!

Makin dipaksa matanya untuk tidur, makin segar pula rasa badannya. Degilnya mata ni, tak mengantuk pulak. Alisya membelek jam di handphoneya, hampir satu pagi! Macam mana nak bangun esok kalau sekarang pun belum tidur; fikirnya.

Alisya bangun dan membuka laptopnya. Dia tergerak mahu membaca e-mel yang masuk sebelum menyambung tidur yang tidak jadi tadi.

Laman Google di buka. Ada beberapa e-mel yang masuk. Ada daripada peminatnya, penggemar karyanya, dari Rahimah pun ada yang mengingatkan tentang temujanji esok hari. Ada satu kiriman dari MIZAH. Siapa dia ni? E-mel dibuka dan dibaca.

-Hai salam perkenalan. Saya Mizah. Saya peminat saudari Alisya. Saya gemar membaca karya-karya saudari. Saya teringin sekali bersemuka dengan saudari sekiranya saudari sudi. Sekian, selamat berkarya. Jumpa lagi. MIZAH-

Bagus juga, buat sesi suaikenal dengan penggemar karyaku; bisik Alisya sendirian. Ah! Nantilah aku balas e-mel Mizah ni. Selepas itu dia menutup kembali laptopnya, tidak jadi untuk menyambung menulis novel terbarunya. Lagipun novel tersebut masih diperingkat lakaran atau draf kasar sahaja. Ada banyak masa lagi…
Advertisement

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.