NOVEL: KERANA KAMU 1

loading...

Rara tergesa-gesa membawa barang yang baru di beli di pasar ke rumah. Dia tidak mahu ketinggalan untuk menonton pertandingan mengambil gambar yang turut disertai oleh Didi. Sewaktu terserempak dengan Ummu Khalidah di pasar tadi sempat juga dia bertanyakan tentang Didi. Dari situlah dia mendapat tahu yang Didi menyertai pertandingan fotografi amatur di sebuah pusat membeli belah terkenal.

"Pesan pada Didi jangan balik rumah terus. Tidur aje kat shopping complex tu. Sejak dua menjak ni susah betul mak cik nak tengok muka dia lekat kat rumah. Asyik merayap tak kira siang atau malam."

Bebelan Ummu Khalidah di telan sahaja oleh Rara di dalam hati. Lagipun dia sudah biasa mendengar leteran wanita separuh abad itu, sementelah mereka berjiran. Ummu Khalidah sudah seperti ibunya sendiri. Rara sendiri telah kehilangan ibu sejak kecil lagi, sekitar usianya enam tahun. Sejak dari itulah Rara telah menganggap Ummu Khalidah sebagai pengganti ibu yang telah pergi.

Rara mempercepatkan langkah untuk ke kompleks membeli belah tersebut yang letaknya tidak sampai sepuluh minit dari rumahnya. Rambutnya yang keriting halus ikut terbuai-buai ketika dia berlari-lari anak menyeberang jalan. Ketika sampai di tepi pentas pertandingan, Rara lihat kelibat Didi berdiri di satu sudut bersama-sama dengan beberapa peserta yang lain. Dia melambai-lambai ke arah Didi tetapi lelaki itu tidak perasan. Dia berasak-asak ke hadapan sedikit agar lebih menonjol memandangkan tubuhnya yang bersaiz kecil. Akhirnya Didi dapat melihat kehadirannya dan dia kelihatan sedikit terkejut melihat Rara terpacak di situ. Rara sangkakan Didi akan menjeling marah tetapi sebaliknya dia membalas lambaian gadis itu. Rara tersenyum gembira kerana dihargai oleh Didi, lelaki yang amat dicintai hampir lima tahun lamanya.

"Dah nasib tak dapat tempat, nak buat apa. Belum ada rezeki...lain kali Didi cubalah lagi." Rara memberikan kata dorongan agar Didi tidak terlalu memikirkan tentang kekalahannya pada pertandingan fotografi amatur tadi.

"It is okey. Didi tak kisah pun. Hadiahnya pun bukan banyak. Didi buatpun untuk suka-suka aje."

"Hah! Macam itulah. Senyum jangan tak senyum. He...he..."

"Nak balik terus ke? Kita jalan-jalan dulu...window shopping. Eh! Jom pekena cendol mamak kat luar tu. Dah lama kita tak makan cendol dia kan."

"Jom...Didi belanja Rara tau. Tadi keluar tak bawak duit. Balik dari pasar terus ke mari. Nak bagi sokongan moral pada Didi." Rara berterus terang.

"No problem. Rara makan pun tak luak lima ringgit. Jomlah!"

Didi menarik tangan Rara menuju ke luar pusat membeli belah itu. Walaupun bukan hujung minggu ruang niaga di kompleks tersebut tetap meriah dengan kunjungan pelanggan yang datang silih berganti. Mereka menyelinap di bawah payung mamak penjual cendol tersebut dan tiba-tiba muncul betul-betul di depan matanya. Melihat mamak cendol itu terkejut badak, Didi dan Rara pun ketawa terbahak-bahak bagai nak pecah perut.

"Ayo yo! Nasib baik tak da nyanyuk.Kalu tidak tangan dan kaki naik muka adik..."

"Mamak! Bukan nyanyuk la...latah. Lama tak nampak?" Didi mula mengusik.

"Ada sini jugak. Adik saja lama suda tadak datang...mana pigi?" Mamak itu bercakap masih pekat pelatnya. Entah dari daerah mana di negara India dia datang. Pernah juga dia bercerita kepada mereka setelah disakat oleh Didi satu ketika dahulu. Tetapi Rara sendiri pun dah terlupa. Yang dia tidak lupa tentulah keenakan cendolnya.

"Ada kat sini juga. Cuma mamak aje yang tak nampak." jawab Didi masih ramah melayani mamak tersebut.

"Ini adik yang manis mahu campur kacang atau tak mau?"

"Kasi banyak kacang mamak. Baru ada kick!" Rara menjawab sambil mengusiknya.

Mereka makan dengan gelojoh sambil berlumba cendol siapa yang habis dahulu. Habis comot baju Rara terkena percikan air cendol. Keputusannya...tentulah Didi yang memang kaki cendol itu yang memenangi pertandingan tak bertauliah itu sementelah diadili oleh mamak yang memang geng kamcingnya.

"Mamak pengelat. Pilih bulu! Tak aci macam ni." Rara pura-pura memprotes.

"Bulu tada juga pilih. Bulu pun tada..."

Rara dan Didi ketawa mengekeh mendengar mamak itu membalas tuduhan mereka. Ketawa mereka masih bersisa ketika sampai di hadapan pintu rumah Rara. Namun kegembiraan Rara hanya sementara apabila dia terpandang beberapa ekor ikan tergolek-golek di atas lantai simen. Sewaktu tergesa-gesa pulang dari pasar tadi dia memang meletakkan beg plastik berisi sayur dan ikan itu di atas meja kecil di garaj.

"Kenapa tu?" tanya Didi menunjukkan ikan yang tergolek-golek dengan muncungnya.

"Si Putih punya kerjalah ni. Habis abah balik nanti nak makan apa?"

"Makan kat rumah Didi aje. Nanti Didi pesan pada mak. Macam tak biasa pulak!" Didi menyeringai menunjukkan barisan giginya yang kurang teratur sedikit.

"Malulah..."

"Hai...bukan minggu ni dah masuk tiga kali Rara makan kat rumah Didi."

"Didi!!"

Didi sudah berlari pecut 100 meter ke rumahnya yang hanya dipisahkan oleh dua buah rumah yang lain. Rara mengekori kelibat Didi di pintu pagar sehingga dia hilang di dalam rumahnya.

"Putih!! Mana kau! Pandai kau makan ikan aku ya! Dapat kau siap aku kerjakan nanti."

***

"Apa bah? Tak balik? Ada emergency?"

Rara meletakkan telefon di atas meja kaca di hadapannya. Abah tidak dapat balik hari ini kerana ada kecemasan. Pekerjaan abah yang agak berbahaya di pelantar minyak amat dia maklumi. Dan Rara amat faham jika dia hanya dapat bertemu dengan abahnya beberapa kali sebulan.

Kekerapan Baharum bekerja di luar daerah telah membawa abah memperoleh ramai kenalan dan sahabat. Sebagai seorang ketua jurutera, Baharum memikul tanggungjawab yang agak besar berbanding orang lain. Rara memang tidak nafikan yang abahnya seorang yang baik hati, sensitif dan suka menolong orang lain. Kerana sifatnya itulah Rara mendapat kawan angkat! Kali pertama abah memperkenalkan Kirana kepadanya, dia merajuk. Umur Kirana tua setahun dari umur Rara. Kalau tahun hadapan Rara bakal mencecah 18 tahun, bermakna Kirana berumur 19 tahun. Setiap kali Baharum balik dari tugasan luar daerah, dia akan membawa Kiki pulang bersamanya. Baharum kata boleh dijadikan kawan peneman sepi anaknya itu. Tetapi sebaliknya, Rara berpendapat abahnya telah membahagikan kasih dan sayangnya terbelah dua, antara Rara dan Kiki. Mengapa Kiki mahu campurtangan ke dalam ruang bahagia keluarga mereka sedangkan dia mempunyai segalanya, ibu dan bapa yang amat penyayang.

Bunyi pintu pagar digegar dengan kuat menyentakkan lamunannya sebentar tadi. Dia menjenguk ke tingkap. Wajah selamba Didi terletak elok di celah pintu pagar kuning di raja keluarganya. Rara mengangkat tangan menyuruh Didi menunggu sebentar sementara dia memadamkan lampu bilik.

"Penat siot bergayut kat sini dari tadi."

"Siapa suruh?"

"Habis...Rara pekak badak tak dengar Didi panggil."

"Apa Didi cakap? Pekak badak? Ini dia pekak badak!!"

Rara menyepit ke dua belah telinga Didi sehingga sampai ke rumahnya. Didi mengadu sakit sehingga Rara melepaskannya.

"Sakitlah siot!"

"Kau orang ni macam kera dengan monyet. Pantang bertemu, tak pernahnya elok. Ada-ada saja."

"Dia yang mulakan, mak cik."

"Rara yang tarik telinga Didi, mak."

Ummu Khalidah mengangkat senduk menyuruh Didi dan Rara berhenti bertikam lidah. "Jom makan. Asyik nak gaduh aje...aku kahwinkan karang..."

"Tak naklah mak cik. Didi belum sunat!" Rara terlepas kata tanpa disangka. Dengan segera Rara menekup mulutnya yang gatal tak bertempat itu berulang kali.

"Mana Rara tahu dia belum sunat? Dah tengok ke?"

"Mak cik!!" Rara terjerit malu apabila Ummu Khalidah mengenakannya semula. Rara lihat Didi berwajah bangga kerana telah diselamatkan oleh emaknya.

"Abah kamu tak balik sini?"

"Tak. Ada emergency." Rara menjawab lemah. Hilang terus selera makannya apatah serta merta dia terbayang kelibat Kiki sedang enak-enak makan dengan abah di sana.

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.