Header Ads

NOVEL: MENGAPA DI RINDU 5

Sampai sahaja di pejabat Hazzim terus mendail nombor telefon Kamal. Dia ingin memaklumkan situasinya tadi semasa terserempak dengan Alisya. Dia tidak mahu Alisya salah faham dengannya. Dia tidak mahu Alisya menganggap yang dia kaki perempuan, penipu dan suka mengambil kesempatan.

“Faham bang.” Itulah jawapan Kamal semasa dia memaklumkannya.

Lepas segala beban yang tersandang di bahu sejak balik dari makan tengahari tadi sehinggalah dia berjaya menghubungi adik angkatnya itu. Ini semua gara-gara Wida perempuan penyibuk itu. Kenapa pula dia mesti muncul dalam kehidupanku lagi. Entah apa pula kerenahnya kali ini.

“Jangan risau abang Hazzim. Kak Lisya tentu akan faham.”

“Kamal agak dia akan tanya tak?”

“Entahlah bang. Selalunya dia jarang tanya. Cuma dia banyak berpesan pada Kamal agar berhati-hati memilih kawan.”

Hazzim menyandarkan tubuhnya ke kerusi empuk yang menjadi tempat bernaungnya. Syarikat pembinaan milik ibunya itu sedang berkembang dengan pesatnya, jadi mahu tidak mahu dia terpaksa berkorban. Kelulusan yang diperolehi di luar negara jauh melencong dengan bidang yang diceburinya sekarang. Jika tidak kerana ibunya, sudah lama dia menjadi seorang doktor.

“Encik Hazzim. Call line 2.”

“Dari siapa Dira?”

“Cik Wida…”

Hazzim segera memotong. “I don’t want to talk to her.”

“Okey.”

Hazzim melihat talian telefon tidak bekelip-kelip lagi. Mesti perempuan itu telah memutuskan taliannya. Padan muka dia! Siapa suruh cari nahas dengan aku, bisik Hazzim sendirian. Di dalam kereta tadi dia memang sengaja tidak mahu membuka mulut, waima berkata ya atau tidak ke atas segala pertanyaan dari Wida.

Telefon genggamnya pula berlagu-lagu minta dijawab. Tertera di atas skrin ‘private number’. Sudah menjadi polisi Hazzim untuk tidak menyambut panggilan yang tidak didapati di dalam senarai simpanannya. Lama kelamaan bunyi itu mati dengan sendirinya. Itu mesti Wida, entah dari mana dia dapat nombor telefonku! Gumamnya dengan nada tidak puas hati.

Dia meluru keluar mencari Adira tetapi tempat gadis itu kosong. Mungkin Adira pergi ke tandas. Dia masih tidak berpuas hati selagi tidak mengetahui siapa gerangan yang memberikan nombor telefon bimbitnya kepada perempuan yang telah dibencinya itu! Dia mundar mandir di hadapan meja Adira seraya melonggarkan ikatan tali lehernya.

Dia pasti mulai saat ini hidupnya akan jadi kucar kacir kembali dikerjakan oleh Wida. Wanita itu datang lagi setelah dia berupaya melupakannya. Kerana keluarga, dia sanggup berkorban. Dia akur dengan kehendak ibunya yang tidak mahu dia berkahwin dengan Erwida. Tetapi kini kenapa wanita itu muncul lagi tanpa diundang. Dahulu ketika kehilangannya, dia umpama kapal kehilangan nakhoda! Dan apa yang dia tahu, pemergian Wida ada kaitan dengan ibunya!

“Ha! Adira. Dah ada pun awak. Awak pergi mana tadi?”

“Tandas…Encik Hazzim.”

Adira hairan dengan sikap Hazzim semenjak pulang dari makan tengahari tadi. Kelakuannya berubah 360 darjah! Apakah gerangan yang membuatkan Hazzim kelihatan seperti orang yang tengah sasau? Segalanya serba tidak kena. Untuk bertanya lanjut, dia tidak berani. Dia faham benar dengan angin dan ‘mood’ bosnya itu. Mungkin kali ini masalahnya agak berat, jika tidak masakan wajahnya kelihatan tidak gembira.

“Ada awak bagi nombor baru saya pada sesiapa tadi?”

“Tak ada bos.”

“Perempuan yang call bernama Wida tadi ada minta nombor saya?”

“Ada tapi saya tak bagi pun. Lagipun saya tak kenal dia, buat apa saya bagi nombor Encik Hazzim.”

“Bagus! Sila ‘blacklist’kan nama dia. Okey.”

Dahi Adira berkerut-kerut tanda tidak faham apa yang diperkatakan oleh Hazzim itu. Sampai begitu sekali jalan yang diambilnya. Kalau sudah disenarai hitam, ini bermakna perempuan tadi musuhnya. Sebarang panggilan atau apa-apa agenda yang berkaitan dengan wanita bernama Wida tidak boleh disampaikan kepada Hazzim. Sakit kepala Adira memikirkannya.

“Tapi kenapa, bos?”

“Buat saja apa yang saya suruh. Faham.”

“Faham.” Sepatah Adira menjawab. Wajah masam Hazzim tidak memungkinkan untuknya mengusik bosnya seperti selalu.

Apabila Hazzim sudah beredar ke biliknya, Adira meneruskan kerja-kerjanya yang tergendala tadi. Jam sudah menunjukkan pukul 2.45 petang. Semua staf telah berada di tempat masing-masing melakukan kerja rutin mereka. Adira sibuk menjawab panggilan yang masuk. Jika sempat, dia meneliti surat dari pelbagai jabatan di luar sana dan membawa masuk ke bilik Hazzim untuk tindakan selanjutnya.

“Hazzim ada kat bilik dia?”

Satu suara garau tiba-tiba memecah kesunyian suasana pejabat yang tadinya sepi. Beberapa pasang mata mengarah ke pintu utama yang menempatkan Bahagian Pentadbiran di tingkat dua bangunan itu. Adira sedang bercakap dengan seseorang di corong telefon. Sebaik dia meletakkan telefon ke tempatnya, telinganya menangkap bunyi bising-bising dari arah pintu utama jabatan pentadbiran tersebut.

“Mana bilik dia. Aku nak jumpa dia!” suara garau itu melengking lebih kuat dari tadi.

Adira segera bangun mendapatkan lelaki berpakaian formal dan bertali leher itu. Dia kenal dengan lelaki itu. Anak sulung Dato’ Yusniza, pemilik syarikat tempatnya bekerja.

“Dia ada kat dalam Encik Ammar. Mari ikut saya.”

Adira membawa Ammar ke bilik Hazzim. Terpampang perkataan ‘Pengurus Besar’ diluar pintu bilik Hazzim, jawatan yang disandangnya hampir empat tahun lalu. Belum sempat Adira mengetuk pintu, Ammar terlebih dahulu menolak daun pintu dengan kasar dan meluru ke arah Hazzim yang sedang bergayut.

Hazzim mengangkat tangan mengisyaratkan Adira agar meninggalkan Ammar dengannya. Adira akur lalu keluar dengan berbagai perasaan menghantui fikiran. Kalau datang macam samseng! Rungut Adira tidak puas hati dengan sikap kasar Ammar tadi. Seingatnya, belum pernah lelaki itu datang ke pejabat pembinaan ini. Dia mengenali ahli keluarga Hazzim pun ketika menghadiri rumah terbuka yang sering dianjurkan oleh pemilik syarikat tersebut.

***

“Duduk bang.”

“Aku nak cepat. Aku nak tanya, kenapa kau buat Wida macam itu. Kau tak angkat panggilan dia, kau halau dia macam sampah. Marah-marah dia tak tentu pasal…why!?”

“Apa maksud abang?”

“Wida telefon aku tadi. Dia kata kau dah tak nak jumpa dia lagi. Apa ni Zim!”

“Memang saya buat macam itu. Saya dengan dia dah putus bang. Dah lama. Saya pun dah boleh lupakan dia. Saya dah boleh terima semuanya. Kenapa pulak abang yang sibuk-sibuk dalam masalah saya?” soal Hazzim tidak puas hati dengan tindakan Ammar mencampuri urusannya.

“Kau tu adik aku. Dulu masa kau susah, masa kau merana kena tinggal…akulah tempat kau mengadu. Sekarang bila dia ada, kau pulak halau dia. Manusia jenis apa kau ni! Susah-susah aku pujuk dia balik pada kau. Tup-tup kau buat macam ini.”

“Abang. Bukannya abang tak tahu. Ibu yang suruh saya putus dengan dia. Dan…itu semua dah saya ikut. Sekarang apa lagi abang nak saya buat.”

Ammar duduk juga akhirnya setelah dari tadi berdiri mencekak pinggang menyerang Hazzim bertubi-tubi.

“Abang kasihan tengok kau orang berdua. Itu yang abang pujuk Wida untuk sembuhkan hati kau, balik semula pada kau.”

“Saya sekarang dah boleh terima, bang. Saya dah sembuh. Tak perlu dia lagi dalam hidup saya.”

Ammar mengeluh. Apakah dia tersilap membuat percaturan untuk adiknya itu? Hazzim adalah adiknya yang disayangi, dia tidak mahu Hazzim terus terluka. Dan, pada fikirannya tentulah dengan membawa Wida pulang ke sini, akan menyembuhkan luka adiknya itu.

“Terima kasih sebab jadi abang yang prihatin. Percayalah cakap saya bang…saya dah okey. Kalau abang nak saya berbaik semula dengan Wida, saya akan buat. Tapi biarlah hubungan ini atas dasar kawan sahaja.”

“Kau terimalah dia semula. Aku kesian tengok dia. Dia menaruh harapan yang tinggi pada kau, Zim. Aku tak tahu yang kau sekuat ini, tabah…dan yang paling abang suka, kau dah boleh lupakan semua yang ibu buat pada kau.”

Hazzim tersenyum kelat. Memikirkan apa yang ibu buat padanya, segala keputusan yang ditentukan dan yang paling membuatnya kecewa, ibu memutuskan kasih sayangnya dengan wanita yang dicintai satu ketika dahulu. Kini, dia mengikut apa yang ibunya mahukan. Sehingga sekarang tidak berteman. Tidakkah berhubungan kembali dengan Wida bakal menyakitkan hati ibunya semula? Dia bingung memikirkan permintaan abangnya yang satu itu.

“Tengoklah bang.” Hanya itu yang mampu diucapkan dari bibirnya.

“Aku balik dulu. Maaf tadi aku agak terburu-buru. Dengar perempuan menangis dan merayu-rayu buat aku hilang pertimbangan tadi. Sorry, dik.”

Setelah Ammar pergi meninggalkannya, Hazzim berteleku di tempat duduknya. Kenapa tiba-tiba semuanya datang semula. Ammar sebagai seorang abang telah menjalankan apa yang sepatutnya, mencuba pelbagai cara agar hidup adiknya itu kembali ceria. Tetapi kini hatinya telah dicuri oleh seseorang yang bukan bernama Wida lagi. Wida adalah sejarah silamnya. Itu pun abangnya tahu. Mengapa kini dia mengutip kembali sejarah yang telah dipadam dari ruang ingatannya? Apakah sebenarnya yang difikirkan oleh Ammar? Menyakiti hati ibu sendiri untuk membalas dendam? Mengapa mesti melalui aku, adiknya sendiri?

***

Mizah datang lagi malam itu ketika Alisya sedang asyik menaip di atas laptopnya, mengait baris demi baris menjadi satu bab. Dia sedang cuba menyiapkan novel terbarunya. Novel yang baru dirangka belum lagi berjodol. Baru sahaja dia berjaya menyiapkan bab awal penceritaan. E-mel Mizah kadangkala mencuit hati. Mereka tidak berYM seperti kebiasaan orang lain yang berchatting di internet. Alisya yang tidak mahu begitu. Dia lebih gemar menggunakan pengantara e-mel dengan peminatnya. Mereka kebanyakannya peminat tulisannya di dalam majalah yang diterbitkan oleh syarikatnya.

‘Hari ini saya berjaya mengatasi kelemahan diri saya setelah bertahun-tahun saya dihantui oleh perkara tersebut. Saya berjaya mengatakan TIDAK kepada bekas kekasih yang ingin kembali menyambung ikatan. Saya berjaya, Cik Alisya.’

‘Tulisan Cik Alisya di majalah sering saya ikuti. Setiap tulisan begitu memberikan motivasi kepada diri saya. Saya amat menghargai apa yang Cik Alisya lakukan selama ini. Selamat berjaya Cik Alisya

P/S: Boleh saya tahu nama novel-novel cik Alisya yang telah diterbitkan?

Dari Mizah-Pemujamu’

Alisya tersenyum membaca kalimah ‘Pemujamu’ yang digunakan oleh Mizah di dalam e-melnya. Adakah dia begitu fanatik denganku, yang hanya merupakan penulis picisan yang tiada nama di dalam dunia sastera tanahair? Siapalah aku berbanding nama-nama besar seperti A. Samad Said, Azizi Hj. Abdullah atau penulis kegemaranku, Norzailina Nordin? Alisya berimaginasi sambil cuba mengingati satu persatu wajah penulis kegemarannya.

Alisya mula menaip untuk membalas e-mel dari Mizah.

‘Terimakasih di atas kata penghargaan yang diucapkan. Tiada kata seindah bahasa untuk saya hulurkan melainkan ribuan ucapan terimakasih sekali lagi. Kita tidak mampu membahagiakan semua orang, kecuali carilah bahagia untuk diri sendiri. Apabila diri kita bahagia, mudah-mudahan orang lain akan ikut merasainya. Benarlah kata orang, pahit dahulu akan manis akhirnya.

Bukankah itu yang Mizah alami sekarang?’

Selepas menaip balasan untuk Mizah, Alisya menutup sementara laptopnya. Dia ingin merehatkan minda. Dia pandai menasihatkan orang tetapi adakah dia sendiri sedang berbahagia? Sudah beberapa hari dia ‘terputus’ hubungan dengan Zikry. Sengaja dia tidak mahu menganggu teman lelakinya itu, tetapi nampaknya kini dia pula yang terasa. Zikry seolah-olah membiarkan dirinya di awang-awangan. Zikry langsung tidak mengirimkan SMS, jauh sekali untuk cuba menghubunginya. Zikry telah semakin jauh dan jauh. Dia bimbang sekiranya terus dibiarkan, Zikry terus tidak dapat digapai. Hatinya tiba-tiba diruntun sebak.

Beberapa kali nombor Zikry di dail tetapi masih tiada jawapan. Apakah dia masih di tempat kerjanya? Alisya arif benar dengan keadaan tempat kerja Zikry yang dikelilingi dengan mesin. Bunyi setiap mesin pula boleh menganggu deria pendengaran seseorang. Mungkin itu sebabnya dia tidak menjawab panggilan masuk di telefonnya.

Alisya keluar dari biliknya dan mencari Kamal yang sudah balik sejak petang tadi. Dia ingin membuang jauh perasaan celaru yang sedang bertandang di hati. Dia ingin menceritakan masalahnya kepada Kamal.

Dia mencari di ruang tamu, kelibat adiknya itu tiada. Kelihatan lampu bilik Kamal terpasang. Mungkin Kamal sedang berehat setelah seharian menguruskan kedai ikannya.

“Masuk, kak.”

Alisya menguak daun pintu. Kamal sedang berbaring sambil memangku gitar di dadanya. Bilik bujang itu nampak kemas sedikit berbanding beberapa minggu lepas. Selepas dia mengamuk dengan Kamal, barulah terdapat sedikit perubahan.

“Penat hari ini? Ramai orang?”

“Ramai juga.”

“Business okey tak? Atau Kamal nak akak tolong apa-apa yang patut?”

“Semua ok, kak Lisya. Jangan risau. Akak okey?” giliran Kamal pula menyoal.

Alisya melepaskan satu keluhan berat. “Okeylah.”

Daripada berbaring Kamal duduk pula di sebelah Alisya. Dia dapat merasai yang kakaknya cuba memperkatakan sesuatu. Dia mengerling wajah muram Alisya. Mesti kakaknya risaukan abang Zikry. Pasti abang Zikry penyebabnya sehingga Alisya berkeadaan begitu.

“Kak Lisya bergaduh ke?”

Diam. Alisya merenung dinding dengan pandangan kosong.

“Abang Zikry ada call akak?”

“Dah hampir seminggu dia tak call. SMS pun tak ada. Agaknya dia sibuk kut.” Alisya menjawab umpama memujuk diri sendiri.

“Ya ke dia sibuk, atau buat-buat sibuk. Entah-entah dia memang tak nak call akak. Akak aje yang tertunggu-tunggu. Berapa kali dah dia buat akak macam ini. Dah selalu benar Kamal tengok. Akak masih lagi nak harapkan orang macam itu. Tak payahlah kak.”

“Apa Kamal cakapkan ni, akak tak faham.”

“Ala kak…dah lama Kamal jadi pemerhati. Kamal tengok akak sorang aje yang jadi perindu, macam menunggu buah yang tak gugur. Sudah-sudahlah kak Lisya.”

Kamal kasihan dengan Alisya sebenarnya. Kakaknya memang seorang pencinta yang setia. Tetapi sayang, orang cantik dan sebaik kak Alisya bertemankan seorang lelaki yang tidak pandai menghargai. Alangkah baiknya jika kakaknya itu mencari orang lain untuk dibuat suami. Bukankah abang Hazzim sedang mencuba. Dia tidak pasti sejauh mana abang angkatnya itu serius mahu mendekati Alisya.

“Kamal tengok akak macam itu ke? Akak dah terlalu lama dengan dia, Mal. Semua perangainya akak dah faham. Dia pun dah tahu perangai akak. Akak malas nak bertukar teman sana sini kalau hasilnya juga serupa. Kami ada merancang untuk bertunang…”

“Ha! Baguslah kalau macam itu. Bila tu?” soal Kamal gembira.

Alisya mengeluh lagi.

“Dalam perbincangan. Tapi akak tengok dia macam tak berminat. Dia kata lain kali boleh bincang. Akak tak tahu apa masalah dia. Buntu akak, dik.”

Kamal mengelus lembut bahu Alisya. Sekuat manapun seseorang itu, pasti dia mahukan keselesaan. Dia mahukan perhatian. Memang luarannya nampak kuat dan teguh, kecamuk di dalam siapa yang tahu. Makin lama semakin kuat kasih sayangnya untuk Alisya, kakak yang telah menjaganya sehingga sekarang semenjak pemergian kedua orang tua mereka di dalam kemalangan. Dia berjanji akan menjaga Alisya seperti nyawanya sendiri. Jika perlu, dia sanggup menyerahkan nyawanya untuk Alisya.

“Kakak masih sayangkan dia?” pendek sahaja pertanyaan Kamal.

“Kamal pun tahu kan. Akak mana ada orang lain. Dialah satu-satunya buah hati akak sejak dari ‘U’ lagi. Tipulah kalau akak kata dah hilang sayang akak untuk dia.”

“Kak Lisya tak nak cuba dengan abang Hazzim?” Kamal memberanikan diri bertanya.

“Apa? Kamu ni…ke situ pulak. Hee…tak nak akak. Kenal dia pun tidak, nak suruh cuba. Jangan main-main dik.”

Kamal tersengih. Dia sekadar bertanya, jika Alisya tidak mahu apa yang dia boleh buat. Itu semua haknya untuk membuat keputusan. Serta merta hilang segala benda yang telah terkumpul di dalam kepalanya berkaitan dengan Hazzim.
Advertisement

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.