NOVEL: MENGAPA DI RINDU 6

loading...
Hari Isnin yang indah. Pagi itu Hazzim memulakan kerjanya dengan rasa semangat yang luar biasa. Dia ingin memulakan kehidupan yang baru. Fasa yang lebih ceria dan membuang segala kenangan silam. Bak kata Alisya di dalam e-melnya, bahagiakan diri sendiri dahulu. Itulah tunjang kehidupan yang sedang diterokainya. Dia mengenakan baju, tali leher, kasut dan serba serbi baru. Wang ringgit bukan halangan baginya untuk membolehkan dia memiliki apa yang dihajati. Kemewahan dan longgokan kesenangan telah melingkari kehidupannya semenjak kecil lagi. No big deal, orang kata.

Tadi sebelum tiba di pejabat dia sempat singgah di kedai bunga dan mengirimkan jambangan tersebut ke alamat biasa yang sudah dihafalnya. Usaha tangga kejayaan! Biarpun tiada respon dari si penerima, tetapi Hazzim yakin suatu hari nanti kejayaan pasti miliknya. Akhirnya Hazzim tersengih sendiri, mengharapkan balasan atau respon dari si gadis yang diminati tetapi tidak mencatatkan alamat si pengirim. Bagaimana gadis itu mahu menghargai pemberian tersebut.

‘Belum masanya…’ dia berkata pada diri sendiri. Dia belum bersedia membuka rahsia yang tersembunyi. Dia belum mampu mengakui kepada gadis tersebut bahawa dialah si pemuja dalam diam.

“Bos!”

“Bos…apa sengih-sengih tengok komputer? Tengok CD Mr Bean ke?”

Entah bila Adira telah berdiri di hadapannya. Sejak bila pula gadis itu pandai masuk tak mengetuk pintu, rungutnya dengan wajah bertukar kelat.

“Kenapa tak ketuk dulu!”

“Saya ketuk bagai nak roboh pintu tu, bos yang tak dengar. Tersengih memanjang…” Adira mempertahankan diri.

Hazzim menukar gayanya dan kembali serius bekerja. Hilang semua sifat santainya sebentar tadi. Dia membetulkan ikatan tali lehernya dan matanya tajam memandang skrin komputer. Depan staf mesti pandai berlakon…gumamnya lagi.

“Ada apa?” sengaja dia bertanya sedangkan di tangan Adira terdapat beberapa keping fail untuk diserahkan.

“Baju baru ya bos?” Adira telah menukar topik.

“Mestilah…saya nak mulakan semuanya semula. Mulakan hidup baru yang lebih ceria.”

“Yes! Yes!” Adira bersorak gembira.

“Eh! Apasal awak pula yang excited. Pelik awak ni.”

“Encik Hazzim dah lupa ke? Yang kita kan ada guna strategy nak pikat awek yang Encik Hazzim minat tu. So, tugas saya dah selesai. Taklah seksa menyamar sebagai dot dot tu lagi.”

“Who said? Yang itu saya tak lupa. Saya aje yang mulakan hidup baru tapi tugas awak sebagai Mizah belum tamat. Tetapi sebaliknya baru nak mula. Jangan nak gembira tak tentu pasal. Okey cik Adira.”

Adira mengeluh. Baru nak goyang kaki dah tertangkap! Dah nasib badan dapat bos macam ini, terima ajelah!

“Bos, perlu ke saya dalam cerita bos ni. Saya tak mahu nanti menyusahkan orang lain.”

“Don’t worry. Tak ada sesiapa yang akan susah.” Hazzim memberikan jaminan.

“Tapi saya yang susah bos, ini semua menyusahkan saya.” luah Adira tidak puas hati. “Lagipun saya dibayar gaji bukan untuk buat kerja personal semua ni.”

“Belum apa-apa dah merungut. Buatlah dulu…nanti saya bagi bonus lebih.”

“Ya ke bos?” mata Adira bersinar-sinar.

“Nak tolong ke tak nak?”

“Demi bonus lebih, okeylah…saya sambung watak saya. Kalau apa-apa jadi bos kena tanggungjawab tau. Jangan lepas tangan. Mati saya nanti.”

Hazzim memberikan jaminannya sekali lagi. Adira tersengih memanjang mendengar janji yang dibuat oleh Hazzim. Dia berharap Hazzim mengotakan janji bila masanya tiba nanti. Dengan bayaran ekstra tersebut bolehlah dia membeli beg berjenama yang diimpikannya selama ini. Dan sengihannya melebar tatkala Hazzim menegur kelakuannya.

“Yang dok dikepit dari tadi nak bagi saya ke apa? Dengar pasal duit aje terus lupa segala kerja.” Sindir Hazzim dengan mata dikenyitkan kepada Adira.

“Ops…sorry bos! Yang ini semua untuk tindakan bos. Nanti dah siap panggil saya.” dengan muka merah padam dia meletakkan fail-fail yang dibawa tadi di hadapan Hazzim.

“Adira!”

Dia tidak jadi untuk meninggalkan bilik Hazzim. Langkahnya terhenti betul-betul di pintu. Apa lagi yang dia nak…gumam Adira geram.

“Tadi yang kita bincangkan simpan antara awak dengan saya sahaja. Jangan sampai orang luar tahu. Lebih-lebih lagi ibu saya, faham?”

“Yang mana satu bos? Pasal bonus lebih atau pasal menyamar tu?”

“Dua-dua!”

***

Dato’ Hajah Yusniza membaca majalah yang diberikan oleh Alisya dan Rahimah sebentar tadi. Kedua-dua wartawan majalah itulah yang menemuramahnya beberapa minggu lepas. Jika dilihat tarikh terbitannya telah lepas dua minggu, tetapi Alisya dan Rahimah hanya berkesempatan singgah di banglo mewah itu pada hari itu sahaja. Wanita itu ada mempelawa kedua-duanya makan di situ, tetapi wartawan tersebut menolak ajakannya, mungkin ada hal penting yang mahu diuruskan.

Dia menyelak halaman demi halaman. Dari kulitnya yang cantik pasti kandungannya juga menarik. Fikir wanita itu. Dia tersenyum membaca tulisan Alisya di ruangan ‘Wanita dan Kerjaya’. Sudah pasti berita penuh tentang diri dan empayar perniagaannya dan sedikit berita berkaitan keluarga. Memang dia yang memintanya begitu. Dia tidak mahu anak-anak ikut terbabit di dalam dunia yang diciptanya. Dunia perniagaan yang penuh pancaroba.

Dia tersentak tatkala seseorang menepuk bahunya dengan perlahan.

“Hazzim. Ingatkan siapa tadi.” Dengan segera majalah ditutup.

“Ibu ingat siapa yang balik?” soal Hazzim tersenyum.

“Anak ibulah. Jom makan.”

Dato’ Hajah Yusniza faham apa yang dimaksudkan oleh Hazzim. Pertanyaan dari anak keduanya itu seperti sembilu tajam yang menikam tangkai hatinya. Tidak semena-mena hatinya menjadi sebak dan ngilu.

“Siapa datang tadi bu.”

“Wartawan yang buat interview dulu tu. Saja tanya khabar. Mana Hazzim tahu?”

“Tadi terserempak kat pintu pagar. Macam pernah nampak kereta dia orang.” Hazzim menjawab sambil matanya melirik ke atas meja. Oh! Itu yang dia orang hantar. Pasti ada sebab mengapa ibunya tidak menggembar-gemburkan tentang majalah itu. Hasil dari temuramah tersebut.

“Dah. Jomlah. Ibu dah lapar ni.”

Dato’ Hajah Yusniza memaut lengan Hazzim dan beriringan bergerak ke ruang makan keluarga. Kerana kesunyian ibunya kerap termenung, ingin bermanja dan mudah merajuk. Hazzim amat faham jika ibunya kadangkala berkecil hati ke atas perkara yang remeh temeh. Dia inginkan belaian, rindukan kasih sayang anak-anaknya. Tetapi dimanakah mereka? Hazzim pasrah kerana hanya ibunya sahaja yang punya jawapan mengapa mereka sudah jarang pulang ke banglo mewah itu lagi.

“Bibik Natrah masak lauk apa, bu.”

“Biasa. Tapi rasanya…memang luar biasa. Dah kamu jarang balik makan tengahari, tak tahu pulak lauk hari ini sedap atau tidak. Tengoklah…” Dato’ Hajah Yusniza telah berdiri di sebelah Bibiknya yang sedang menyusun pinggan sambil tersengih-sengih malu.

“Erm…baunya aje dah tahu.”

“Kenapa nak Ajim?” raut wajah Bibik Natrah bertukar merah. “Baunya pelik ke?”

“Okey Bibik! Pass! Baunya wangi menusuk kalbu…”

Dato’ Hajah Yusniza dan Bibik ketawa gelihati melihat gelagat Hazzim.

“Kalau dah menusuk kalbu parah tu…nak Ajim. Ini makanan, bukannya perawan nak dibuat teman…” Bibik Natrah yang berusia pertengahan 50-an mengusik lagi.

Hazzim pula yang berubah wajahnya kali ini. Dato’ Hajah Yusniza mengangkat ke dua belah tangannya tanda tidak menyebelahi mana-mana pihak. Namun, dia ikut ketawa mendengar usikan Bibiknya itu.

“Bik, makan sekali.” Ajak Hazzim.

“Tak apa. Nak Ajim makan dulu dengan ibu. Bibik ada kerja mau di buat. Lagipun Bibik lambat minum paginya tadi. Jadik, sekarang masih belum lapar.”

“Bibik diet ke?”

“Mau diet apa…ini pun sudah kering macam ikan kering…”

Sekali lagi dua beranak itu ketawa mendengar lelucon yang ucapkan oleh Bibik Natrah.

***

Inilah majalah yang ada gambar ibu dan cerita tentang kejayaannya…Hazzim membelek helaian demi helaian majalah wanita tersebut. Dia tersenyum sendirian memandang nama Alisya pada salah satu ruangan di dalam majalah tersebut. Alisya! Nama itu disebut lagi sambil melepaskan satu helaan yang panjang. Sudah lama sebenarnya dia mengikuti perkembangan isi kandungannya. Sama lama dengan usia ‘percubaan’nya untuk mendekati Alisya. Nama yang cantik sesuai dengan orangnya yang cantik juga. Tetapi bukan kecantikan gadis itu yang dikejar, tetapi demi hatinya yang telah tersangkut pada dahan cinta. Dan, cinta itu bercabang dan bercambah dari hari ke hari tanpa boleh di cantas lagi.

“Alisya…”’

“Encik Hazzim…Adira lah!”

“Ha? Apa awak dengar?”

“Encik Hazzim salah sebut nama saya. Siang hari pun boleh berangan.”

“Bila awak masuk? Tak perasan pun.” Hazzim menyeringai menunjukkan barisan giginya yang putih tersusun rapi.

“Ini yang saya malas dengan Encik Hazzim. Dia yang panggil orang, boleh dok tanya lagi.”

“Sorry, saya terlupa. Saya nak mintak tolong. Boleh tak?” soal Hazzim mengharap sambil merenung tepat wajah setiausaha korporatnya itu.

“Kali ini berapa persen pulak, bos?”

“Awak ni asyik duit, duit, duit! Tak ada benda lain.”

“No money no talk! Macam selalu bos cakap pada saya. Like boss like secretary la…”

“Yang itu nanti kita bincang. Boleh tolong tak?” Hazzim sekali lagi mengulangi pertanyaannya.

Adira pura-pura mendiamkan diri. Sesekali kenakan bosnya yang bujang itu, apa salahnya. Nak tengok juga muka Hazzim yang kalut dan cuak itu. Pandangan Hazzim ditentangnya dengan selamba. Tak sangka Hazzim memiliki sepasang mata yang cantik dan kecoklatan. Selama ini tak perasan pulak…he..he…pakai kanta lekap agaknya.

“Boleh tak?” dia bertanya dengan nada yang lebih lembut.

“Kasihan saya tengok Encik Hazzim ni. Okey, okeylah saya tolong. Apa dia?”

Hazzim memperkemaskan duduknya. Perlahan-lahan dia mengeluarkan sesuatu dari laci mejanya. Bungkusan beg plastik tu di letakkan betul-betul di hadapan Adira.

“Apa ni Encik Hazzim. Siap berbungkus rapat lagi. Jual benda haram ke?”

“Awak kalau cakap tu tengoklah orang dulu. Saya ni ada muka penjual benda-benda illegal ke?”

“Tak adalah…tapi saya tengok bos macam takut-takut aje. Apa bendanya ni?” Adira membelek-belek bungkusan plastik tersebut.

“Itulah bendanya yang saya nak awak tolong. Tapi jangan bising-bising…rahsia kita berdua.”

“Wah! Yang hari tu rahsia, yang ini rahsia. Alamat saya hidup menanggung rahsia bos ajelah jawabnya.”

“Janganlah cakap macam itu. Kita dah macam kawan baik, kan...kali ini awak tolong saya, lain kali mana tahu awak nak minta pertolongan saya pulak.”

Adira mengangguk tanda mengakui apa yang Hazzim ucapkan sebentar tadi. Dia segera menjenguk ke dalam plastik beg tersebut. Buku? Ataupun yang sebenarnya novel. Nak buat apa dengan novel-novel tersebut. Rungut Adira dalam diam.

“Saya nak awak baca semua novel yang ada tu, then ceritakan balik dengan saya. Kia buat summary je…” Hazzim menyatakan tujuannya.

“What! Bos nak suruh saya baca semua novel ni. Kemudian story pulak dekat bos…banyak cantik!” Adira meninggikan suaranya.

“Sy…sy…jangan pekik. Cool down, Adira.”

“Yang ini mana boleh cool down. Ini dah melampau.”

Adira mengangkat kaki mahu segera keluar dari bilik Pengurus Besar itu. Biar pendingin udara di dalam bilik itu berfungsi dengan baik, hatinya panas tiba-tiba. Dia geram kerana Hazzim seolah-olah mengambil kesempatan di atas budi baiknya yang mahu menolong sebentar tadi. Dah bagi betis, nak peha. Memang melampau si Hazzim ni. Dia menggigit bibirnya tanda protes.

Dengan pantas Hazzim mengejar Adira yang mahu keluar dari biliknya. Walau dengan apa cara sekalipun dia mesti meminta pertolongan tersebut dari Adira. Hanya gadis itu yang dipercayai. Gadis itu juga yang selalu melindungi ‘rahsianya’ dari pengetahuan orang di luar sana. Gadis manis ini memang boleh diharap.

“Saya betul-betul perlukan awak, Dira. Please…bacakan untuk saya. Lepas ini apa saja permintaan awak akan saya tunaikan pulak.” Dia terlepas berjanji kepada Adira demi api cintanya terhadap Alisya.

Adira memandang Hazzim yang sedang merayu. Nak ketawa pun ada apabila melihat keadaan Hazzim yang begitu. Kalaulah semua staf tahu yang bos besar mereka tunduk merayu denganku, pasti huru hara dunia ini. Bisik Adira nakal.

“Encik Hazzim kan boleh baca sendiri.”

“Awak kan tahu yang saya ni tak cukup masa. Lagipun, takut saya sendiri tak faham apa yang saya baca. Please Adira, do me a favour…”

Akhirnya Adira akur dengan permintaan Hazzim. Tiga buah novel yang tebal-tebal itu telah berada di dalam tangan Adira. Setelah keluar dari bilik Hazzim, dia meletakkan kesemua novel tersebut di dalam laci. Bertambah lagi tugasan sampingan Adira gara-gara bos mudanya yang kemaruk di lamun angin cinta itu.

Untuk memikat seorang penulis dan wartawan bernama Alisya, Hazzim sanggup mendalami apa sahaja benda yang berkaitan dengan gadis itu. Adira tidak berapa kenal dengan gadis yang diminati oleh Hazzim itu, tetapi dia pasti gadis itu bukan orang biasa. Pasti dia mempunyai keistimewaan sehinggakan Hazzim yang hampir dua tahun tidak boleh bercerita pasal wanita kini sudah kembali seperti sediakala.

Dua tahun dahulu Hazzim separuh gila kerana cintanya terhadap Wida ditolak mentah-mentah oleh ibunya. Untuk kesekian kalinya Adira mengeluh mengingati dirinya yang kini terlibat dengan cinta baru Hazzim! Apakah pula pandangan Dato’ Yusniza terhadap pilihan Hazzim kali ini?

***

Alisya memilih beberapa pasang baju untuk dicuba. Dia yang gemarkan warna hitam dan hijau memilih baju daripada warna-warna tersebut serta dua pasang jeans yang agak longgar. Sudah agak lama juga dia tidak keluar membeli belah begitu. Kesuntukan waktu dan tiada teman untuk diajak keluar membuatkan pergerakannya terbatas. Zikry pula semakin jarang mahu menemaninya. Seperti hari ini, dia mengajak Zikry keluar menonton wayang, pun sekali lagi lelaki itu menolak. Tetapi demi desakan naluri yang kebosanan, dia keluar juga ke pusat beli belah bersendirian.

Kamal pula sibuk dengan aktiviti memancingnya bila tiba hujung minggu. Dengan siapa pula dia keluar kali ini, Alisya tidak pasti. Dia percaya Kamal bijak membawa diri dan pandai memilih kawan. Biarpun adiknya itu tidak minat melanjutkan pelajaran tetapi dengan wang pampasan peninggalan kedua orang tua mereka, dia membuka kedai ikan hiasan. Kini perniagannya juga telah menampakkan sedikit perkembangan. Sementelah, sekarang ini ikan hiasan begitu diminati oleh golongan penggemar ikan dan pembuat akuarium.

Prap!

Alisya nyaris tersungkur apabila dengan tiba-tiba skirtnya tersangkut sesuatu. Dia lebih lagi terkejut apabila didapati skirtnya terkoyak dari bahagian paha ke lutut. Wanita yang melanggarnya sebentar tadi dengan selamba berlalu berserta ‘hanger’ baju yang mengoyakkan skirtnya tadi tanpa menoleh atau meminta maaf. Daripada gaya dia memborong pakaian, lagaknya seperti orang kaya yang lupa diri. Kurang ajar betul!

“Hei! You lady!”

Langkah gadis itu terhenti. Menoleh ke arah suara yang menegurnya. Pandangan matanya bertaut dengan renungan tajam Alisya.

“You dah langgar I senang-senang aje blah! You ni orang ke apa? Tak ada perasaan langsung.”

Gadis itu berpatah balik mendekati Alisya. Pandangannya seolah mengejek penampilan Alisya yang serba sederhana.

“Ya. Ada problem?”

“You dah buat skirt I koyak, then you boleh tanya any problem? At least, sopanlah sikit jangan jadi kurang ajar.”

“So What?! You nak I melutut mintak maaf? Dengan orang macam you ni…” tangannya di acah-acahkan di muka Alisya.

“Mind your own words! Jangan pandang rendah pada orang lain.”

“Ya ke? I don’t care your skirt koyak atau apa…dah nasib kan.” Gadis itu mencebik.

“You ni memang kurang ajar tau!” Alisya menggetap bibir menahan geram. Sebelah tangannya menutup peha yang telah terdedah dan sebelah lagi memegang beberapa pasang baju yang ingin dicuba.

Sekali lagi Alisya terpempan sebelum dia sempat berbuat apa-apa. Tubuhnya yang kurus di tolak dengan kuat. Akhirnya dia tersungkur di tepi rak yang mempamerkan pakaian. Gadis seksi yang menolaknya itu berdiri di hujung kakinya dengan wajah angkuh.

“Ini balasan untuk orang yang menuduh aku kurang ajar!”

Dia mahu memijak kaki Alisya pula tetapi sempat dihalang oleh dua orang jurujual yeng ternampak insiden tersebut. Salah seorang jurujual itu membantu Alisya dan yang berbadan gempal pula menolak tubuh gadis angkuh itu ke tepi.

“Apa ni kecoh-kecoh. Nak gaduh pergi luar, bukan kat dalam sini.”

Gadis itu terus berlalu dengan jelingan tajam sambil membebel yang tidak jelas butirannya. Bajunya yang terdedah di bahagian bahu telah terlondeh akibat ditolak oleh jurujual berbadan gempal tadi. Alisya telah berdiri lalu mengucapkan ribuan terima kasih kepada dua orang jurujual wanita itu.

“Siapa tu tadi?” soal jurujual yang kurus tersebut.

“Entah. Tak kenal pun.” Jawab Alisya lemah.

“Are you okey?” soal yang berbadan gempal pula.

“Okey. Saya okey. Terima kasih sekali lagi sebab tolong saya. Kalau tak ada you all, mungkin kaki saya patah dikerjakannya.” Alisya bergurau sambil menahan sakit di siku.

“Melampau betul perempuan itu. Tak kenal pun dia boleh balun, tak tahulah kalau kita ni musuh dia. Mungkin kita terus dibunuhnya.”

Alisya menceritakan secara ringkas detik bermulanya pertelingkahan tadi terjadi. Setelah beberapa ketika menenangkan diri, Alisya meminta izin mengenakan terus jeans yang mahu dibeli bagi menggantikan skirtnya yang telah rosak.

Pengalaman yang baru berlaku itu menghantui fikiran Alisya sehinggakan di dalam perut teksi dia terus mendail nombor Zikry untuk mengadu.

“You! I tengah frust ni.”

“Hello?” suara halus menjawab di hujung talian.

Alisya melihat di skrin telefon, memang benar dia mendail nombor Zikry tetapi mengapa suara wanita pula yang menjawabnya. Dadanya terus berdegup dengan kencang. Serta merta dia memutuskan talian.

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.