NOVEL: MENGAPA DI RINDU 7

loading...
Zikry cuba menghubungi Alisya berkali-kali tetapi gadis itu tidak mahu menjawab panggilannya. Dari malam tadi hingga ke pagi, satu kali pun dia tidak membalas panggilan atau SMS yang dihantar. Merajukkah dia? Atau adakah Alisya telah mengetahui mengenainya yang berlaku curang? Tentu Alisya sedang marah ketika ini, pasti fikirannya sedang mengesyaki yang bukan-bukan.

Zikry menghempas fail kertas yang sedang dipegangnya. Kini dia pula yang berasa marah. Tidak pernah gadis itu memperlakukan dirinya sedemikian rupa. Biasanya gadis itu akan merayu dan memujuknya kembali walau nyata Zikry yang bersalah. Tetapi kini telah terbalik. Zikry pula yang panik kerana Alisya sedang cuba menghindar darinya.

“Zikry, mesin nombor enam ada problem. Kau tolong cover aku kejap. Aku tengah repair production line 2.” Rakannya yang bernama Khalid memohon bantuannya.

“Okey! Okey!”

Dia bingkas bangun dan meninggalkan mejanya di dalam keadaan berselerak. Sama berserabut dengan kepalanya dengan kerenah Alisya.

Kerisauan Zikry bertambah menjelang tengahari kerana dia masih gagal menghubungi Alisya. Semakin lama dia makin bosan kerana fikirannya terganggu dek tindakan Alisya menyepikan diri.

“Abang senyap aje? Tak sedap ke nasi dengan lauk tu.”

“Tadi saya SMS kenapa tak reply?”

“Sejak insiden malam tadi, abang nampak pelik sikit. Ada masalah ke?”

Berderet-deret soalan keluar dari bibir nipis Laili. Dia tersenyum pahit menelan sahaja soalan yang dihamburkan. Dia tidak mahu membuka mulut mengenai Alisya kepada teman di hadapannya itu. Biarlah masalah dengan Alisya dia sendiri yang selesaikan. Lagipun Laili tidak tahu wanita yang didengar suaranya di corong telefon petang semalam adalah kekasihnya.

“Abang…malam ini tengok wayang nak? Ada cerita baru tau. Abang tak ada OT kan malam ni?” Laili telah faham jadual kerja Zikry di jabatan kejuruteraan di kilang tersebut.

Zikry memandang wajah Laili tanpa perasaan. Kosong. Gara-gara Laili yang menjawab panggilan Alisya ketika dia pergi ke tandas, dia diserang rasa bersalah terhadap gadis itu. Walaupun sebenarnya dia ingin memutuskan hubungan dengan Alisya, tetapi bukan dalam masa terdekat ini. Bukan dengan cara sebegini, lebih-lebih lagi kesalahan bermula di pihaknya.

Dia terkejut tatkala tangannya disentuh lembut. Laili sedang merenungnya dengan pandangan mengharap. Hatinya pula masih geram dengan tingkah Laili yang menjawab panggilan di telefon bimbitnya tanpa kebenaran. Alisya pun tidak berani berbuat begitu walaupun luarannya dia kelihatan sedikit garang.

“Minggu lepas pun dah pergi.” Zikry membalas dengan suara datar.

“Kali ini cerita lain. Ada cerita baru. Jomlah pergi…” lembutnya suara Laili sehingga mencengkam urat saraf lalu mencairkan kekerasan hatinya yang baru dicipta sebentar tadi.

“Ya lah. Malam nanti abang ambil Laili kat asrama.”

Laili yang menduduki asrama pekerja yang disediakan oleh pengurusan syarikat tempat dia bekerja kembali girang. Jika tidak, sebentar tadi wajahnya sudah mulai keruh. Zikry ikut tersenyum nipis melihat perubahan ‘mood’ temannya itu. Laili suka benar merajuk jika permintaannya tidak dituruti berbanding Alisya yang lebih bersikap matang dan tidak kisah jika Zikry gagal menunaikan janjinya. Ah! Alisya…

Beberapa pasang mata gadis operator menjeling tajam ketika melalui meja Zikry dan Laili. Mungkinkah mereka cemburu melihat keakraban merpati dua sejoli itu. Hubungan intimnya dengan Laili telah diketahui oleh kebanyakan pekerja di kilang tersebut. Laili pula memang terkenal di kalangan pekerja lelaki sebagai seorang gadis yang agak seksi dan mudah diajak berbual. Ada juga teman-teman membisikkan ke telinga Zikry yang Laili bukanlah seorang gadis yang baik. Tetapi aku juga bukanlah seorang lelaki yang baik…tegar menghukum Alisya yang bersih hatinya, yang suci cintanya.

“Hai loving couple…” tegur satu suara.

Laili dan Zikry serentak menoleh. Amin yang duduk di belakang mereka tersengih-sengih mengusik kedua-dua rakannya itu. Mereka pernah bersama pergi berkelah ke pantai Desaru pada cuti umum yang lalu.

“Hei! Ada projek baru ke?” Zikry sekadar berbasa basi.

“Nak ikut?”

“Ke mana?”

“Kita orang plan nak pergi Cherating pulak pada cuti Krismas nanti. Ada lima orang dah setuju nak joint sekali.”

“Cherating? Jauh tu.”

“Jauh-jauh lagi syok!” Amin menyeringai menunjukkan giginya yang kurang teratur.

“Nanti aku fikir dulu.”

“Kita ikut ya bang. Saya tak pernah pergi Cherating. Pergi rama-ramai mesti best! Pergilah abang…” Laili seperti kebiasaannya akan memujuk rayu kepada Zikry jika mahukan sesuatu.

“Nanti abang tengok jadual kerja abang…”

“Ala…mohonlah cuti. Abang pun jarang ambil cuti, kan.”

“Abang bincang dengan Khalid dan Lim dulu. Mana tahu dia orang pun nak cuti.”

“Asyik dia orang aje yang cuti, kalau cuti sekejap tak apa. Ini tak, seminggu dua baru nampak batang hidung dia orang. Lecehlah macam ni.”

“Dia orang dah berkahwin, ada keluarga. Mestilah abang kena beralah. Lain kali kalau abang dah berkahwin pun mungkin abang akan buat macam itu.”

“Boleh lah bang…ambil cuti ya…kita pergi ramai-ramai.” Akhirnya itulah pendirian Laili, tidak putus asa memujuk. Seperti selalu juga dia tewas dengan rayuan tersebut.

“Abang Amin, jadi! Kita orang nak ikut.”

Amin yang sedang menghirup teh panas tersedak dikejutkan dengan tepukan di bahunya. Laili ketawa mengekeh melihatkan Amin yang terus mengelap mulutnya dengan lengan baju.

“Kau ni kan! Nasib baik aku tak mampus!”

“Sorry.” Laili ketawa manja.

Zikry jadi serba salah dengan tindakan drastik Laili yang memberikan pengesahan kehadiran mereka di dalam kumpulan berkelah ke Cherating tersebut. Dia harus berbincang dahulu dengan Khalid dan Lim. Kedua-duanya adalah rakan yang sama jabatan dengannya. Selama ini hubungan mereka baik, tiada masalah. Zikry selalu bertolak ansur dengan mereka dalam urusan cuti tahunan. Tiba-tiba kepala kirinya berdenyut-denyut. Migrainenya datang lagi. Kebelakangan ini di rasakan kerap pula sakit kepalanya menyerang.

***

Alisya memicit-micit kepalanya. Sejak petang semalam sekembalinya dari membeli belah dia tidak boleh melelapkan mata. Degupan jantungnya lebih laju dari biasa. Rasa yang terpendam dan tidak diluahkan menyebabkan fikirannya terganggu.

Berbelas SMS dan panggilan telefon dari Zikry tidak dilayannya. Dia sedang patah hati. Fikiran nakalnya membuat andaian bahawa Zikry ada perempuan lain. Patutlah di ajak keluar banyak sangat alasan. Keluar makan dengannya pun dalam keadaan terpaksa dan asyik mahu pulang awal. Kebelakangan ini pertemuan mereka dipenuhi dengan pertengkaran demi pertengkaran. Alisya tidak tahu di mana salah dan silapnya. Dan petang semalam menjawab segala gerak rasanya selama ini. Seumur dua tahun perhubungan mereka, itulah kali pertama seorang perempuan yang menjawab panggilannya. Bukankah satu pembohongan telah terbongkar! Apa lagi yang kau tunggu Alisya? Lupakan sahaja lelaki tidak berguna itu.

Deruman enjin motorsikal di luar rumah menandakan Kamal sudah pulang. Bukankah tadi pagi dia keluar ke kedainya, sekarang sudah balik. Pukul berapa agaknya sekarang ini? Alisya mengambil telefonnya dan melihat tanda waktu yang tertera. Ah! Sudah hampir dua petang rupanya. Pagi tadi setelah menelan panadol dia tidur semula. Agaknya sudah empat jam dia tertidur.

“Kak Alisya?”

Kamal sudah duduk di tepinya. Siaran televisyen yang terpasang sejak dia tertidur diibiarkan sahaja. Dari pagi Kamal keluar hinggalah sekarang, dia masih terbaring di kusyen itu.

“Kak, Kamal ada belikan nasi. Akak makan sikit, ya.”

Alisya menggeleng. Tekaknya perit. Semalaman dia tidak dapat tidur. Kamal tidak tahu yang kakaknya itu menanggung keperitan dibohongi oleh Zikry. Kalaulah adiknya itu tahu perkara yang sebenarnya.

“Makanlah, kak Lisya. Masih sakit lagi kepala akak tu?”

“Sikit-sikit dik.”

“Akak nak pergi klinik tak?”

Sekali lagi Alisya menggeleng. Dia sudah duduk lalu membetulkan ikatan rambutnya yang sudah longgar.

Kamal masih di sebelahnya. Dia merasa kasihan dengan kakaknya itu. Mungkin terlebih bekerja menyebabkan badannya tidak dapat menerima. Itu yang menyebabkan dia diserang demam. Lagipun Kamal jarang melihat kakaknya itu berehat lama-lama. Ada sahaja perkara yang dibuatnya jika ada kelapangan.

“Itulah kak Lisya. Kerja kuat sangat. Cuba dibawa berehat. Arwah emak dengan abah pun akan bising kalau tengok akak macam ini.”

“Akak dah okey sikit. Kamal nak pergi kedai semula ke?” Alisya tidak mahu memanjangkan cerita tentang arwah orang tuanya. Dia kerap bersedih dan terasa apabila orang memperkatakan tentang kedua-dua orang tersayangnya itu yang telah pergi dahulu.

“Ya kak. Hari ini ramai pulak pelanggan. Nampaknya business kita dah nampak hasilnya tau kak.”

“Alhamdulillah.”

Kamal tersenyum bangga. Cukuplah sekadar satu perkataan yang keluar dari bibir Alisya, itu sudah cukup bagi Kamal sebagai satu doa. Apatah ia terucap dari mulut kakak kesayangannya.

“Bila nak belanja akak?”

“Anytime kak.”

Alisya menepuk-nepuk paha Kamal. Adiknya itu sudah semakin matang dan kelihatan agak kacak. Kacak? Dia tersengih sendirian. Itu semua diwarisi dari ketampanan ayahnya. Dia melihat sekilas rupa paras Kamal. Ada dua biji jerawat yang baru nak tumbuh. Ini mesti sudah pandai berangan…

“Kak, Kamal nak cakap sikit.”

“Apa dia?”

“Tapi akak jangan marah. Janji tau!”

“Kenapa pulak akak nak marah? Kamal nak tunjukkan girlfriend Kamal pada akak ke?”

“Tak adalah kak. Ke situ pulak. Manalah Kamal ada awek.”

“Habis tu…”

Alisya ketawa sehingga sakit kepalanya datang semula. Merah padam muka Kamal dikenakan oleh Alisya sebentar tadi.

Bunyi hon di luar mengejutkan Alisya. Kamal mula kelihatan gelisah. Dia belum sempat untuk memberitahu Alisya tentang Hazzim. Hazzim beriya-iya mahu datang menjenguk apabila dia terlepas cakap yang Alisya demam.

“Dik, abang kesayangan awak tu.”

“Dia…dia…” Kamal gelisah.

“Kenapa ni? Gaduh ke sampai dia datang waktu tengahari macam ini?”

“Sebenarnya dia…”

“Assalamualaikum…” Hazzim sudah terjengul di muka pintu sebelum sempat Kamal menghabiskan ayatnya.

Sebaik selesai menjawab salam Hazzim, Alisya terus berlalu ke biliknya meninggalkan tetamu yang tidak diundang itu. Lelaki itu datang mahu menjenguk Kamal, jadi biarlah mereka berdua berbincang secara aman, dia yang tiada kena mengena harus meninggalkan ruang tamu tersebut.

Dia sempat menjeling Hazzim secara sekilas tadi dan lelaki itu kelihatan berwajah tegang. Kenapa pula? Macam muka orang risau. Ada masalah besarkah? Atau dikejar along kerana hutang keliling pinggang. Kerana mahu bergaya lebih, nyawa jadi taruhan. Mungkinkah? Ah! Apa aku merepek memikirkan hal orang lain. Alisya membebel kepada dirinya sendiri.

Belum pun sempat dia labuhkan punggungnya ke atas tilam, Kamal tergesa-gesa menyusul. Wajahnya macam orang bersalah. Ini lagi satu masalah, dari tadi tergagap-gagap, entah apa yang ingin disampaikan oleh adiknya itu, dia tidak pasti.

“Kenapa ni?”

“Kak tolong Kamal…”

“Apa masalah Kamal ni, dari tadi akak tengok macam cacing kepanasan. Hah! Ada buat salah ye?”

“Ala sikit je.”

“Itu dah mengaku pun. Apa yang Kamal dah buat?” Alisya mengerutkan dahi.

“Abang Hazzim datang nak jumpa…”

“Hah! Dah orang tu datang nak jumpa, pergilah…apa ikut akak ke bilik pulak.”

“Dia nak jumpa akak.”

Alisya tercengang. Adakah dia salah dengar? Atau Kamal silap menyebut. Tetapi Kamal serius ketika menyebutnya, tidak melalut pun. Jadi apa yang didengar tadi tidak silap atau salah telinganya. Apa yang dia nak?

“Mal jangan buat pasal. Buat apa dia nak jumpa akak?” soal Alisya masih keliru.

“Tadi dia call Mal kat kedai, terlepas cakap yang kak Lisya demam. Dia terus datang. Dia risaukan akak.”

“Mengarut betul. Dia kan berkawan dengan Mal bukannya dengan akak. Akak sakit ke, demam ke, buka dia punya pasal. Buat apa nak sibuk.” Alisya mengomel geram.

“Akak pergilah jumpa dia sekejap. Malu Mal kalau akak tak tolong, dahlah dia risau bagai nak rak…”

“Kenapa mesti nak risaukan akak. Pergilah risaukan orang yang tak cukup makan kat Afrika sana…atau mak janda yang miskin. Hii…kenapalah Mal buat hal!”

“Ala kak Lisya…tolonglah. Kesian dia.”

“Habis akak ni, siapa yang nak kesian.” Tambah Alisya masih tidak puas hati.

Kamal hanya tunduk mendengar omelan dari Alisya.

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.