Header Ads

NOVEL: MENGAPA DI RINDU 9


Dia termenung menghadap jalanraya. Melalui tingkap biliknya, dia nampak cahaya neon berkilau-kilau pada bangunan yang tinggi mencakar langit. Pemandangan yang menjengkelkan di siang hari bertukar indah dan cantik di waktu malam. Cahaya neon yang berwarna-warni itu kadangkala boleh menenangkan gelodak jiwa mudanya yang sedang dibahangi api asmara. Semuanya kerana seorang gadis yang belum dikenali secara mendalam. Gadis yang telah membuatkan debaran jantungnya semakin laju setiap saat mata bertentangan, tatkala tersentuh kulitnya yang halus dan ketika suara itu mengalunkan ayat. Biarpun suaranya tidak semerdu suara Dato’ Syarifah Aini ketika mengalunkan Seri Dewi Malam, tetapi cukuplah membahagiakan segenap raganya. Huh! Semakin parah aku nampaknya. Bagaimana kalau aku hanya bertepuk sebelah tangan?

Dia meluruskan pandangannya ke pondok pengawal pula. Mungkinkah Pak Din yang berkawal malam ini? Kalaulah benar lelaki tua itu masih di situ, dia teringin berbual-bual. Tidak kisahlah apa yang hendak dibualkan, yang penting dia dapat membuang sementara ingatannya kepada Alisya. Gadis itu hampir merebut ketenangan setiap malamnya semenjak pertemuan mereka beberapa bulan dahulu. Walaupun mungkin hanya dia yang berperasaan begitu. Penasaran tidak menentu.

“Pak Din?”

Senyap sahaja tiada balasan dari orang yang dipanggilnya.

Dia merapati bilik pengawal tersebut dan menjenguk ke dalam. Tiada sesiapa di situ. Radio kecil masih terpasang mendendangkan lagu irama ghazal. Fikir Hazzim, tentulah Pak Din yang berkawal kerana orang tua itu amat menggemari irama tradisional itu. Dia tersenyum sendirian. Apalah bestnya muzik tradisional itu yang hanya membuatkan matanya berasa mengantuk apabila mendengarnya. Benarlah kata orang, muzik adalah alat terapi minda paling mujarab. Jadi Pak Din mendengar muzik untuk menenangkan jiwa. Ah! Apa aku melalut yang bukan-bukan.

Seminit dua dia menunggu namun bayang Pak Din tidak juga menjelma. Dia menggosok-gosok tengkuknya, kemudian menyinsing lengan baju kemejanya yang belum di salin semenjak pulang dari pejabat tadi. Setelah penat menanti tetapi orang yang ditunggu tidak juga muncul, Hazzim berpatah balik ke banglo mewah keluarganya yang sunyi dan hening. Pemandangan persekitaran agak gelap, cuma berlatarkan lampu hiasan yang memagari kediaman mewah itu.

Hazzim memeriksa keretanya yang diparkir dan yakin semuanya telah dikunci dengan elok. Pada ketika itulah telinganya menangkap suara orang berbual-bual dari sebalik tembok yang memisahkan garaj dengan beranda rumah banglo tersebut. Dia teragak-agak untuk memeriksa bunyi tersebut tetapi kakinya telah terlebih dahulu melangkah. Semakin lama semakin jelas butiran percakapan mereka.

‘Ibu!’

‘Dengan siapa pula dia berbual di dalam gelap begitu?’
‘Takkan dengan Pak Din kut?’

Berebut-rebut persoalan menerjah kotak fikirannya. Memikirkan yang dia tiada hak untuk mencuri dengar perbualan orang lain, Hazzim menarik kakinya dari mendekati beranda. Tetapi sebaliknya dia seolah-olah terpaku apabila suara orang lelaki yang sedang bercakap itu bukannya Pak Din.

“Bersabarlah Zah. Abang akan sentiasa berada di sisi awak selalu. Kuatkan semangat, jangan melatah dengan segala tohmahan orang. Semakin kita berjaya, semakin ramai orang yang mahu melihat kita jatuh pula. Anak-anak awaklah pemangkin semangat yang paling berharga. Kuatkan hati, ya.”

“Itulah yang selalu Zah doakan, bang Baha. Walaupun anak-anak semuanya semakin jauh, Zah tetap sayang mereka. Zah cari kekayaan ini semua untuk mereka.”

“Tak apa kalau mereka nak duduk sendiri. Ammar pun dah besar. Adik-adiknya ikut apa sahaja yang abang sulung mereka buat. Lama-kelamaan nanti mereka akan faham mengapa Zah sangat tegas dengan mereka. Bukannya Zah benci atau mahu mengongkong, tetapi demi masa depan mereka. Abang faham apa yang Zah dah buat, abang akan sokong segala apa yang Zah buat itu.”

Hazzim menelan air liurnya dengan kasar. Siapakah lelaki yang sedang berbual-bual dengan ibunya dan membicarakan tentang mereka adik beradik. Nampaknya orang ini bukan orang jauh, dalam erti kata lain mungkin saudara terdekat mereka. Tetapi mengapa mereka bertemu di dalam gelap dan di tempat yang agak tersorok? Siapakah dia? Hazzim segera meninggalkan garaj dengan pelbagai persoalan menerawang di fikirannya.

***

Hazzim hairan mengapa pula kali ini jambangan bunga yang dihantar dikembalikan. Menurut kata amoi kedai bunga itu si penerima tiada. Apa maksudnya? Adakah Alisya tidak bekerja? Atau telah berhenti kerja? Takkanlah kerana dia menganggunya malam tadi, gadis itu langsung tidak mahu lagi bekerja di situ. Bagaimana dia mahu menahan desakan nalurinya yang mahu mendengar suara Alisya walaupun tidak dapat menatap wajahnya. Walau baru beberapa jam sahaja tidak berjumpa, dia merasakan telah lama terpisah dari Alisya. Apakah yang telah terjadi pada dirinya? Hazzim mengutuk diri kerana menyebabkan gadis itu tidak mahu menerima jambangan bunganya lagi.

Kemudian Hazzim teringat, Alisya tidak mengetahui siapa sang penghantar bunga itu…pasti bukan disebabkan dirinya maka bunga itu di tolak. Maka apakah sebabnya? Bertalu-talu pertanyaan itu menyangkut di fikirannya sehinggalah dia ternampak kelibat Adira di kerusinya.

“Ya Encik Hazzim.”

Di tangan Adira telah tersedia pen dan diari untuk merekod arahan dari ketuanya itu. Kelihatan wajah Hazzim agak kusut.

“Awak call amoi kat kedai bunga yang selalu kita order tu, kenapa bunga yang saya hantar dikembalikan. Is something goes wrong?”

“Encik Hazzim tadi dah call, kan?”

“Haah! Tapi saya terlupa nak tanya sebabnya?”

“Itu saja Encik Hazzim?”

“Ya.”

Adira mengerutkan dahi melihat perubahan diri Hazzim hari ini. Nampak pendiam pulak ketuanya itu. Ah! Sakit angaunya datang lagi lah tu…

“Adira.”

“Ya Encik Hazzim.” Dia tidak jadi keluar dari bilik itu.

“Dah baca novel-novel yang saya beli itu? Dah buat summary?”

“A…a…belum Encik Hazzim. Sekarang busy sikit, nanti bila dah tak busy saya akan baca dan buat summary untuk Encik Hazzim.”

“Okeylah. Terimakasih.”

“Boleh saya keluar sekarang?”

Hazzim mengangguk lemah. Dia memandang kosong tubuh Adira yang telah menghilang di sebalik pintu. Wajahnya diraut bagi mengembalikan sisa semangat yang ada. Kenapa aku tak ada mood ni? Amukan mindanya malam tadi sukar dikekang hingga kini. Siapakah lelaki yang bersama ibunya? Berdua-duaan di dalam gelap, berbisik-bisik dan mencurigakan, menimbulkan syak dan mengundang maksiat. Apakah ibunya terlalu terdesak untuk memenuhi tuntutan nalurinya setelah hampir berbelas tahun di tinggalkan oleh sang suami? Ditinggal tanpa pesan! Dan kini dia mungkin sudah tidak tertanggung akan penyeksaan batin tersebut.

Hazzim mengenepikan seketika dari terlalu memikirkan perihal ibunya. Dia kini rindukan Alisya. Kalau boleh dia ingin menculik dan mengahwini gadis itu. Dengan paksaan semua boleh terjadi. Dia ada wang. Dia boleh mengupah sesiapa sahaja untuk mendapatkan Alisya. Tetapi di kemudian nanti, adakah Alisya boleh menerimanya dengan rela? Adakah cinta akan wujud dihatinya?

Dia membuka laman Google untuk memeriksa peti e-mel untuk hari itu. Banyaknya e-mel. Dia mencari e-mel dari Alisya. Nampaknya tiada. Alisya tidak membalas e-melnya yang menggunakan nama ‘Mizah’. Malam tadi seperti biasa dia menghantar e-mel kepada Alisya kerana tidak boleh tidur. Ah! Mungkin dia sibuk dengan urusannya sendiri. Dia mengeluh hampa. Teringat pula untuk menghubungi Kamal, mungkin lelaki itu boleh berkongsi sedikit cerita mengapa kakaknya itu tidak datang ke pejabat, itupun setelah dimaklumkan oleh Adira sebentar tadi. Sebab itu jambangan bunganya dikembalikan.

“Kamal sibuk?”

“Sibuk juga. Kenapa abang Hazzim? Macam risau aje suara abang.”

“Tak adalah. Saja nak berbual dengan Kamal.”

Dalam beberapa ketika kedua-duanya senyap sunyi tanpa sebarang perkataan. Kemudian suara datar Hazzim memecahkan kesunyian yang dibina oleh mereka tanpa sedar. “Abang nak tanya sikit boleh?”

“Kenapa bang? Ada masalahkah?” Kamal seolah dapat meneka apa yang merisaukan Hazzim.

“Masalah kecil aje. Kakak Kamal kerja tak hari ini?”

Kedengaran Kamal melepaskan tawa kecil. Sangkaannya benar sama sekali. “Kakak MC lagi. Pagi tadi dia tak boleh bangun. Kamal rasa kakak banyak menangis sampai demamnya datang lagi.”

“Oh! Thank you Mal.”

Belum sempat Kamal mahu menyampuk Hazzim terlebih dahulu menutup telefonnya. Dia mengambil kunci dari dalam laci lalu keluar menonong tanpa mempedulikan Adira yang merenungnya tidak berkelip. Kenapa dengan Hazzim ni? Dia menunggu jika Hazzim berpatah balik dan meninggalkan pesanan. Namun bebayang lelaki itu terus menghilang di sebalik tembok.

***

Dia menunggu agak lama diluar dengan di tangannya penuh dengan buah-buahan tempatan yang pada fikirannya bisa menyembuhkan demam Alisya. Dia membelek beg plastik berwarna kuning itu. Ketika dia memborong segala jenis jambu batu, oren, epal, mangga dan sedikit buah strawberry, nyonya kedai itu terpinga-pinga. Mungkin dia hairan untuk majlis apa buah sebanyak itu dibelinya.

“Kawan sakit, Nya. Bagi dia makan buah lebih sikit.”

“Oh!! Ingat mau ada kenduli…” sengihan nyonya itu semakin lebar ketika Hazzim menghulurkan not seratus kepadanya.

“Hati manyak baik ha…untung sapa kawan sama lu.”

“Sikit aje, Nya. Tapi ini pompuan sangat special untuk saya.” Hazzim tidak bersembunyi. Lagipun nyonya itu dengannya bukan sesiapa, takkan pecah rahsia sulit itu. Dia mengakui Alisya seseorang yang istimewa di hadapan nyonya itu walaupun hakikatnya dia tidak wujud di hati Alisya. Namun dia percaya usaha tangga kejayaan! Move on, gentlemen!

“Abang Hazzim?”

Dia tergugah dari lamunan singkatnya ketika namanya dipanggil.

“Apa abang buat kat sini? Dah lama abang sampai?”

“Er…er…abang nak hantar buah ni. Untuk kakak kamu. Dia dah okey?”

“Dah kebah sikit. Saya baru aje balik dari kedai. Belikan kakak air badak.”

“Badak?”

“Air badak lah bang. Kita orang dulu-dulu kalau badan panas minum air ini. Mujarab bang.”

Tanpa dipelawa di mengikut Kamal masuk ke dalam rumah. Dia lupa sepatutnya dia tidak berbuat begitu, tetapi hatinya sangat risaukan Alisya. Sepanjang perjalanan ke situ dia amat bimbangkan gadis itu. Dia dapat merasakan penderitaan yang ditanggung oleh Alisya. Dia rasa amat dekat dengan gadis itu dan tidak mahu ratu hatinya itu diserang kesusahan. Mungkin dengan perhatian berlebihan yang diberikan, hati Alisya akan tersentuh dan menerima kehadirannya dengan tangan terbuka.

“Kak Lisya tengah tidur.”

“Erm…boleh abang tengok?” entah kenapa mulutnya gatal tak bertempat untuk menjenguk bilik perempuan yang bukan kekasihnya, jauh sekali isterinya.

Kamal tersengih-sengih melihatkan kekalutan pada sikap Hazzim. Selalu dia tidak begitu, malahan sangat cool dan matang. Tetapi kali ini, Hazzim yang dikenali lain benar perangainya.

“Kakak tengah tidur. Mal rasa tak perlulah abang tengok. Jom bang, kita tunggu kat depan.”

Hazzim menuruti langkah Kamal ke ruang tamu. Rumah teres tiga bilik itu kelihatan kurang kemas. Beberapa buah majalah ‘Pancing’ berterabur di atas meja. Hazzim duduk di kerusi sambil melipat lengan bajunya separas siku. Peluh dingin memercik di dahi.

“Abang berpeluh-peluh. Abang Hazzim dari mana tadi?”

“Dari ofis.”

“Ingat dari balik jogging ke…he…he…jangan marah bang, saya gurau aje. Abang nak air?”

“Boleh jugak.”

Kamal bangun menuju ke dapur dan keluar semula membawa dua cawan air. Satu di pegang dan satu lagi di letakkan di atas meja berdekatan dengan Hazzim.

“Minum bang, air bujang.”

Hazzim meneguk air oren itu sekali lalu dan meletakkan semula cawan yang sudah kosong itu di atas meja. Gelagatnya diperhatikan oleh Kamal dengan penuh minat. Lama kelamaan Kamal mulai pelik dengan kelakuan yang ditunjukkan oleh Hazzim.

“Selalu ke kakak macam itu, demam lama-lama.”

“Tak. Tapi kali ini demam dia lain sikit. Demam kura-kura.” Meledak tawa Kamal sebaik habis menuturkan kata-katanya sendiri.

“Hish! Apa Kamal merepek ni. Abang tengok demam biasa aje tu. Demam kura-kura tandanya lain.”

“Habis tu…nak panggil demam apa?”

“Demam panas kut. Abang nak tengok kak Lisya awak tak bagi. Kalau tak boleh abang tentukan apa jenis demam dia.” Hazzim sekadar berbasa basi. Dia merasakan separuh semangatnya hilang.

“Nanti jadi hal lain pulak bang. Saya takut abang apa-apakan kak Lisya.”

“Abang ni nampak muka orang jahat ke, Mal? Dah berapa lama awak kenal dengan abang? Takkan abang nak buat tak senonoh pada kakak awak.”

“Saya cakap aje bang…lagipun abang dengan kak Lisya bukannya ada apa-apa. Mak we pun bukan.” Usik Kamal untuk menduga hati abang angkatnya itu.

“Ya tak ya jugak. Siapalah abang ni…”

“Sedih bunyinya bang. Nak kata berkasih atau bercinta pun tidak, dah macam orang kematian bini aje.” Kamal galak mengusik.

“Kamu ni. Ke situ pulak. Abang balik dululah. Ada banyak kerja lagi kat ofis.”

Hazzim berjalan menuju ke pintu. Benar kata Kamal. Dia bukan sesiapa. Berkali-kali dia mengingatkan dirinya tetapi hati di dalam hanya TUHAN yang tahu.

“Abang Hazzim.”

Hazzim tidak jadi menyarungkan kasutnya. Dia meluruskan matanya menentang pandangan Kamal yang ingin mengatakan sesuatu.

“Dia demam putus kasih…kak Lisya dah putus dengan abang Zikry semalam.”

Apakah benar apa yang disampaikan oleh Kamal sebentar tadi? Atau dia sedang bermimpi di siang hari, terlebih berangan sehinggakan realiti atau fantasi tidak mampu dibezakan. Dia menggosok-gosok telinganya pula.Ya. Dia belum pekak. Kamal mengucapkan sebuah kata keramat yang akan dikenang sampai bila-bila. Ahamdulillah! Terlepas pula kata keramat itu dari sudut bibirnya.

“Abang sebut apa tadi? Saya tak berapa jelas.”

“Tak ada apa-apa.” Dia menjawab deras. Namun perubahan wajahnya yang muram kepada ceria menceritakan segalanya. Ya ALLAH masanya tiba juga. Ingatkan dia perlu menunggu berkurun sehingga berjanggut sampai ke lutut untuk mendapat peluang itu.

Sebuah kereta berhenti di hadapan rumah teres tiga bilik yang dihuni oleh Kamal dan Alisya. Kamal dan Hazzim serentak menoleh ke arah yang sama. Seorang lelaki keluar dari kereta dengan tergesa-gesa.

“Assalamualaikum.”

Kamal dan Hazzim serentak menjawab salam yang dihulur. Wajah lelaki itu berkerut seribu ketika memandang kehadiran Hazzim di situ. Dia berkalih memandang Kamal pula dengan wajah penuh simpati.

“Abang nak jumpa dengan kak Lisya. Abang nak minta maaf dengan dia, abang masih perlukan dia, Kamal. Tolong abang…”

Hazzim tercengang-cengang mendengar rayuan lelaki yang tidak dikenali itu. Tetapi segera dia maklum siapakah gerangannya apabila lelaki itu seperti sudah biasa dengan Kamal.

“Kak Lisya tak sihat. Dia tidak mahu diganggu!”

“Tolong abang kali ini, Mal. Abang nak minta maaf dengan dia. Abang nak cakap sesuatu dengan dia.”

Hazzim serba salah mendepani situasi tersebut. Sekali imbas dia mengadili penampilan lelaki itu. Agak kurus dan selekeh, tidak sesuai langsung dengan Alisya. Alisya jauh lebih cantik, lebih bergaya untuk mendapat kekasih seperti itu. Apa yang dipandang pada lelaki itu, dia tiada jawapannya. Hanya Alisya yang tahu!

Dengan langkah yang berat dia meninggalkan rumah itu. Baharu sahaja hatinya kembang berbunga sebentar tadi, kini telah kuncup dan layu tak sempat berkembang mekar gara-gara kehadiran lelaki tidak tahu malu itu. Inilah penangan cinta namanya. Hilang malu dan terbang segala keegoan demi menatang sesuatu yang bernama cinta. Bak kata Pak Din, cinta sepatutnya membahagiakan.

Bagiku cinta amat menyakitkan! Gumam Hazzim kepada dirinya sendiri sambil memandu pulang ke pejabat.

***
Sampai sahaja di pejabat Adira menyampaikan pesanan yang memualkan perasaannya. Wida mencarinya. Bekas teman wanita yang telah dihumban dari ingatan kini datang kembali, menagih cintanya yang sudah basi. Tiada lagi cinta untuk gadis itu. Dia telah nekad memutuskan begitu setelah percintaan mereka dihalang oleh ibunya. Ibunya adalah wanita paling berpengaruh di dalam menentukan corak hidupnya.Wanita yang memutuskan itu dan ini untuknya.

Kadangkala dia bosan diperlakukan seperti badut atau pak turut. Sehingga sampai satu tahap dia mahu memberontak. Melancarkan perang dunia ketiga dengan ibu yang melahirkannya. Dia ingin lari jauh dari intipan ibunya. Tetapi itu semua tidak pernah mahu terjadi, setelah dia diberikan ‘ceramah’ oleh Pak Din. Sungguhpun Pak Din setakat pengawal di rumah agam keluarganya tetapi pengetahuan agama lelaki itu sangat tinggi.

“Kisah Wail bin Khattab pada zaman Nabi Muhammad S.A.W, satu peristiwa yang boleh dijadikan teladan. Disebabkan terlalu cintakan isteri, Wail selalu mencaci ibunya, mempercayai segala yang dilaporkan isterinya berkaitan ibunya. Waktu Wail menghadapi kematian, dia mengalami penderitaan sakit yang tidak terhingga. Dia menggelupur sehingga keluar keringat dingin membasahi seluruh badan. Mati tidak, sembuh pun tidak ada harapan.

Selama berpuluh hari dia berada dalam keadaan demikian. Matanya merah menyala, mulutnya terbuka lebar tetapi kerongkongnya tersumbat sehingga tidak terdengar jeritan, manakala kaki dan tangannya kaku. Sahabat menunggu kematiannya, namun tidak tiba. Mereka berasa terharu melihat penderitaan yang dihadapi Wail. Mereka bersilih ganti mengajarkan Wail mengucap kalimah syahadah, namun semuanya buntu. Wail cuba sedaya upaya mengucap dua kalimah syahadah tetapi yang kedengaran daripada mulutnya hanya perkataan Oh,Oh,Oh, Oh.

Akhirnya seorang sahabat Ali bin Abi Talib menemui Nabi bagi menceritakan keadaan Wail. Nabi Muhammad meminta ibu Wail dijemput menemui beliau. Nabi mahu mengetahui bagaimana keadaan dan perlakuan Wail terhadap ibunya sebelum sakit.

Apabila ditanya, ibu Wail menyatakan anaknya sentiasa mencaci lantaran hasutan isterinya. Dia percaya dan mengikut apa saja yang dilaporkan isterinya tanpa usul periksa. Ini menyebabkan ibunya berasa sakit hati kepadanya. Nabi Muhammad S.A.W memujuk ibu Wail supaya segera mengampuni dosa anaknya yang derhaka. Tetapi perempuan itu berkeras tidak mahu memenuhinya. Dia berkata, air matanya belum kering lantaran perbuatan Wail yang me nyakitkan hatinya.

Melihat keadaan itu, Nabi termenung seketika. Kemudian, baginda memerintahkan sahabat mengumpul kayu api. Wail akan dibakar hidup-hidup. Nabi Muhammad menyatakan, jika ibu Wail tidak mahu memaafkan dosa anaknya, Wail akan derita menghadapi maut dalam jangka masa yang tidak pasti.

Mendengar kata-kata Nabi itu, ibu Wail segera berkata: "Wahai Rasulullah, jangan dibakar dia. Wail anakku. Aku telah ampuni dia. Kesalahannya aku telah maafkan."

Menurut sahabat, sebaik saja Wail diampuni ibunya, wajahnya mula berubah. Akhirnya dia dapat mengucap sya hadah dan menghembuskan nafas terakhir.”


Na’auzubillah…Hazzim meraup muka dengan kedua tapak tangannya. Disebabkan cerita Pak Din itulah dia tidak jadi melawan ibunya. Menuruti sahaja arahan yang diberikan tanpa banyak soal. Dalam kepayahan dia melupakan Wida. Membuang segala kenangan bersama gadis manis itu. Nah! Nyata kebimbangan ibunya bersebab. Wida telah berlaku curang di belakangnya, malahan lebih teruk dari itu sebenarnya Wida mengamalkan cara hidup yang bebas tanpa mempedulikan halal dan haram.

“Hai sayang…tadi pergi mana? I cari you kat café you tak ada.”

Hazzim terpempan. Umpama bala besar datang menimpanya. Jiwanya kosong. Melayang entah ke mana.


(Sumber dipetik dari dakwah2u.blogspot.)









Advertisement

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.