Header Ads

NOVEL: SURATAN 10

Nina Soraya memandu Satrianya menyusur jalan Skudai ke pusat Bandar. Jam di tangan menunjukkan pukul lapan setengah pagi. Semasa keluar di persimpangan BBU jalan Nampak sesak tetapi semakin lancar di tepian pantai Lido. Dia memandu sebagaimana biasa kerana waktu kerjanya bermula pada pukul Sembilan. Ada sesetengah pemandu yang membawa kenderaan secara berbahaya yang kadangkala mencemaskan jiwa wanitanya.

“Naya betul! Nak potong tak bagi signal!” di pagi hari itu dia mendengus sendirian.

Sebuah motorsikal Aprillia tiba-tiba menderum laju. Nyaris melanggar sebuah kereta di hadapannya. Nak tunjuk lagak tak kena tempat! Gumam Soraya lagi dengan perasaan geram.

Ketika jarum jam menunjukkan angka sembilan, Soraya sudah bersedia untuk memulakan kerja. Dibelek diari hitam sederhana besar, kalau-kalau ada temujanji dengan pelanggan. Semalam dia dapat menyelesaikan semua kerja. Urusan potongan KWSP pekerja syarikat itu yang tidak selaras dan sering silap telah ditangani dengan teliti. Dia sanggup berjumpa dengan pegawai yang berkenaan di pejabat KWSP semata-mata untuk menjaga kebajikan pekerjanya. Nasib baik ada Brother Aziz pemandu syarikat merangkap ‘bodyguard’ yang membawanya ke sana.

“Cik Soraya…dah minum?”

“Panjang umur awak! Saya baru aje teringatkan awak. Hah! Minumlah…Saya dah breakfast kat rumah.”

“Kenapa ingat saya? Nak kena keluar lagi ke hari ini?”

“Tak boleh ke nak ingat kat awak, Aziz. Awak kan pekerja yang rajin dan suka tolong orang. Sebab itu saya selalu ingat kat awak.” Usik Soraya.

“Hah! Dah mula perasanlah tu…ada orang secantik Soraya sayang kat dia. Kejap lagi ada yang senyum sorang-sorang macam kerang busuk. Menyampah aku!” sambut Kamaliah yang berandan kemas pagi itu.

“Kau menyampah aku tak heran. Kalau Soraya marah aku naik kecut!”

“Kenapa pulak?” sambut Soraya pantas.

“Sebab kalau Soraya dah marah, nanti dia tak masukkan gaji aku… tak makanlah aku.” Jawab Brother Aziz berlucu.

Soraya ketawa. Barisan giginya tersusun rapi. Semua orang suka melihat dia ketawa. Kalau ketawa semakin nampak anggun dan jelita. Kamaliah, kerani pentadbiran pun cemburu dengan penampilan pengurus operasinya itu. Setiap kali jika ada wakil syarikat lain datang, dia pasti jadi perhatian. Rambutnya yang lurus separas bahu di warnakan sedikit keperangan, saja ikut perkembangan, katanya.

“Amboi! Ada yang buat kelakar pagi-pagi begini?” tegur Melati yang baru sampai.

“Ada orang syok sendiri, Ti. Tu yang aku dengan Soraya tak tahan.”

“Siapa?”

“Tu…”

Kamaliah memuncungkan mulutnya yang berlipstik pink ke arah Brother Aziz, kemudian menuju ke mejanya untuk memulakan kerja. Bos mereka tidak suka jika ada yang main-main ketika sedang bekerja. Nasib baik hari ini dia ada mesyuarat di Melaka. Kalau tidak, tiada peluang untuk bergurau senda.

Melati hanya tersenyum memerhatikan Bro. Aziz yang sedang bengang. Soraya memandang Melati sekilas dan kemudian menyambung kembali kerjanya. Hai, lambat lagi.

“Soraya, call.” Panggil Amin yang duduk di belakang mejanya.

Soraya mengambil talian yang sedang menyala.

“Yes, good morning.”

Dia terdiam kemudian ketawa kecil.

“Ya lah mak. Nina ingat siapa tadi. Biasanya pagi-pagi ni line Nina dari pelanggan aje. Ada apa mak?”

“Balik nanti belikan buah sikit. Emak lupa nanti malam kawan ayah kau nak datang. Mungkin makan malam sekali. Balik awal sikit, boleh tolong emak apa-apa yang patut.”

“Orait mak. Nina balik awal sikit.”

Talian sudah diputuskan. Tetapi Soraya masih terkebil-kebil. Dia mesti merancang kerja hari itu, kalau tidak alamat merajuk lagi emaknya macam minggu lepas. Dilihat pada diarinya, hari itu dia akan menemani Kamaliah ke bank untuk memasukkan cek. Kemudian, dia menggantikan tempat Encik Ahmadi ke kilang wayar untuk mempelawa syarikat itu mengambil pengawal-pengawal dari syarikatnya. Dia menyemak lagi, masih pertengahan bulan. Jika ikut polisi syarikat, gaji pekerja dibayar pada akhir bulan, jadi dia tidaklah sibuk hari ini. Jika tiba hujung bulan biasanya dia akan memeriksa kerja perakaunan yang dibuat oleh Kamaliah. Dia menyelak helaian diari ke muka seterusnya. Oh ya! Pergi kedai bunga dan hantar ke JSH. Isteri Johan, salah seorang pengawal di situ selamat melahirkan cahaya mata lelaki.

“Soraya! Call line satu.” Jerit Amin yang sememangnya rajin mengangkat telefon.

“Hello!”

“Ya Encik Ahmadi. Sudah. Nanti pukul dua saya pergi lepas masukkan cek kat bank. Okey. Semuanya under control.”

“Lagi satu, pastikan displin pekerja kita bagus. Tak mahu ada komplen.” Tegas suara Encik Ahmadi di hujung talian.

“Baiklah Encik Ahmadi, saya akan selalu pastikan.”

Gagang sudah diletakkan. Soraya mengeluh. Tidak larat rasanya memangku jawatan pengurus cawangan merangkap tugasnya sendiri sebagai pengurus bahagian operasi. Tanggungjawab bertambah, penat jangan cakaplah. Cuma, gaji saja yang tidak naik-naik. Huh! Keluh Soraya sendirian.

Pulang dari JSH Soraya dan Kamaliah terus mengisi perut yang kelaparan di sebuah restoran berdekatan. Jam menunjukkan pukul dua belas lebih sikit. Matahari terik di atas kepala. Restoran Kari Kepala Ikan sudah dipenuhi orang ramai yang menjamu selera. Nasib baik ada sebuah meja kosong berdekatan dengan dpur. Ah! Bantai aje…yang penting perut yang sedang kelaparan perlu di isi.

“Cute baby dia kan.”

“Hah! Memang cute. Tapi kau lagi cute…lagi-lagi bila disimbahi dengan peluh.” usik Bro. Aziz kepada Kamaliah.

“Kau orang jangan nak mulakan. Kang nanti ada yang tidak makan.” tegas Soraya apabila Bro. Aziz mula hendak menyakat Kamaliah.

Kamaliah menjeling. Pesanan sudah sampai. Masing-masing makan dengan pantas kerana perut mereka sudah menyanykan irama keroncong. Bro. Aziz sempat menyepak kaki Kamaliah ketika hendak bangun mengambil bekas basuh tangan di sudut kaunter. Kamaliah memandang dengan geram. Tak sah kalau tak kenakan aku! Mukanya yang bulat semakin montel apabila dia memasamkan muka. Hampir pukul satu setengah mereka tiba di pejabat Tanjung Puteri Security Services.

“Nanti pukul tiga hantar saya ke kilang wayar tu, Aziz.”

“Pukul tiga?”

“Kenapa? Macam tak boleh aje, awak ada hal lain ke?” soal Soraya berkerut.

“Bukan gitu cik Soraya, tetapi…”

“Waktu dia membuta tu.” jawab Melati selamba.

“Oh!! Barulah saya tahu. Umm… tak apa. Saya mintak Kadir hantarkan. Awak nanti siaplah bila bos balik.”

“Janganlah macam itu, Cik Soraya. Okey, okey…saya hantar.” Akhirnya Bro. Aziz mengalah.

“Macam itulah pekerja yang dedikasi. Boleh dibawa kemana saja dan kurang mengular.” Sindir Soraya.

Amin di belakangnya berdehem. Soraya buat tak kisah lalu ke bahagian dapur untuk mengambil air masak. Tekaknya terasa haus. Tiba-tiba Kamaliah yang kuat mengampu sudah ada di sebelahnya.

“Kau ni! Buat aku terkejut.”

“Saja. Nak uji kau melatah atau tidak. He…he…” Kamaliah ketawa macam kerang busuk. Mengada-ngada.

“Sibuk aje!”

Soraya kembali ke tempatnya. Bersenang-senang sementara menantikan pukul tiga. Pejabat TPSC tempatnya bekerja tidaklah besar sangat tetapi cukup untuk memuatkan enam meja kakitangan, bilik bos, sebuah bilik mesyuarat yang sederhana besar, dapur dan bilik sembahyang. Di hadapan meja Kamaliah terdapat sebuah sofa yang di kiri kanannya dihias dengan bunga plastik.

***

Perjalanan pulang Soraya petang itu tidak lancar seperti selalu. Kenderaan bersusun-susun menanti waktu untuk digerakkan dan seolah tidak sabar untuk tiba ke destinasi masing-masing. Dia menjeling sebentar kepada beberapa bungkus buah-buahan yang di beli di Kotaraya tadi. Ada limau, epal, anggur dan mangga. Jam bergerak ke angka enam lima belas minit petang, bermakna sudah hampir setengah jam dia terperangkap. Kawan ayahnya dijangka datang pada pukul lapan. Huh! Sempatkah aku hendak berehat nanti?Penat benar rasanya hari ini. Dia teringat perjumpaannya dengan bos kilang wayar siang tadi. Cerewet! Tak percaya pada kemampuan syarikatnya. Geram benar Soraya mengingatinya.

Pukul lapan setengah malam.

“Mana kawan ayah, tak sampai-sampai lagi. Perut dah lapar ni.”

“Kejap lagi sampailah tu.” Jawab puan Saodah.

“Alah…kalau dah lapar makanlah dulu. Tak payah tunggu kawan ayah. Lagipun ayah tengok kau Nampak letih benar. Teruk sangatkah kerja hari ini?”

“Biasalah ayah, kalau Encik Ahmadi tak ada saya yang kena ganti tempat dia. Tadi memang bad luck lah yah, ada dia orang kata syarikat saya kecil dan tak mampu nak control kilangnya yang besar.” Soraya mengadu.

“Kerja mana-mana sama saja cabarannya Nina. Masa inilah nak tunjukkan kebolehan kau.” Ayahnya memberikan perangsang.

Tetamu yang ditunggu sudah sampai. Nazirul yang sudah besar dan petah bercakap membukakan pintu pagar. Soraya membantu emaknya menyusun atur apa yang patut. Lauk pauk terhidang penuh di atas meja. Terliur Soraya dibuatnya. Seelah siap semuanya dia mengekori emaknya ke ruang tamu. Bersalaman dengan Encik Kassim sekeluarga. Dari perbualan ke dua belah pihak, Soraya membuat kesimpulan bahawa mereka telah lama berkenalan. Encik Kassim membawa sepasang anak kembar mereka yang berumur enam tahun.

Lebih kurang sebelas malam barulah Soraya masuk ke biliknya. Memang badan terasa letih dan sakit-sakit. Penat sungguh! Perutnya kekenyangan tetapi mata idak mahu lelap. Dia mengurut pangkal tengkuknya, kemudian mendepangkan tangan dan meluruskan kaki. Lega sedikit. Esok bakal bermula lagi rutin hidupnya seperti semalam dan kelmarin.

***
Haizan sedang sibuk mendail nombor pelanggan. Sudah banyak kali dia mengingatkan pelanggan supaya mempunyai baki yang mencukupi apabila mahu mengeluarkan cek. Ini tidak, asyik ‘overdrawn’ sahaja. Bila dah puas menipu bank, dibantainya pula alasan-alasan lain supaya cek tidak ditendang. Haizan merungut di dalam hati dengan kerenah pelanggan yang sedang ditangani dan ditambah pula dengan pembantunya yang sedang cuti bersalin.

“Azeem, cek ini tak ada duit. Tapi ada cek yang belum ‘clear’, kalau nak ambil duit esok bolehlah.”Suzana menyerahkan cek tersebut kepadanya.

“Company apa?”

“YB Breeze…”

“Hah! Ambil esok. Kalau dia bising, buat bank sendiri.” Tegas Haizan tetapi senyuman masih terukir di bibirnya.

Suzana yang tinggi lampai dan berskirt berpadanan dengan blaus lengan pendek berwarna coklat melangkah santai. Gayanya bak seorang peragawati. Dia memang sentiasa kelihatan anggun dan telah hampir lima tahun bertugas di bahagian kaunter.

Haizan menyambung kerjanya yang tergendala sebentar tadi dan kembali menghadap komputer untuk menyemak baki pelanggan. Jika terdapat sesetengah pelanggan mempunyai baki yang tidak mencukupi, dia akan menelefon dan meminta mereka memasukkan wang ke dalam akaun dalam tempoh waktu yang dihadkan. Sewaktu dia melayangkan pandangan ke bahagian kaunter, secara sekali imbas dia terpandangkan seseorang yang menyerupai orang yang dicari selama ini. Ketika Haizan mahu memastikan pengelihatannya, dia di ganggu oleh Pak Mazlan iaitu jaga di bahagian pintu masuk.

“Encik Azeem, ada orang nak jumpa.”

“Okey! Okey…”

Bia dia mencari semula, orang itu telah tiada. Alamak! Melepas aku!

Pak Mazlan yang membenarkan pelanggan itu berjumpa dengan Haizan terpinga-pinga melihatkan Haizan yang tiba-tiba menggaru kepalanya yang tidak gatal. Pegawai muda itu memang ‘sporting’ walau belum sampai setengah tahun dia berkhidmat di situ. Sikapnya yang ramah tamah mudah menambat hati sesiapa sahaja.

Haizan baru lima bulan berkhidmat di EDD Bank cawangan Johor Bahru. Sebelumnya dia menghabiskan masa tiga hingga empat bulan di Pulau Tioman. Sebaik sahaja tamat pengajian di Australia dalam bidang pengurusan perniagaan, dia kembali ke tanahair. Tambahan pula pak ciknya menawarkan percutian percuma sambil membantu perniagaannya di tempat peranginan yang popular di Pahang itu. Puas juga dia bersantai di tepian pantai hingga kulitnya yang cerah bertukar gelap. Tetapi yang penting dia memperolehi kepuasan…

Dari sanalah dia berkenalan dengan Diane, wanita mat saleh yang juga anak angkat pak ciknya. Hubungan yang rapat membolehkan mereka menghabiskan banyak masa bersama. Dalam kesibukan di pejabat pagi itu, Haizan sempat tersengih mengingati kenangan indah bersama Diane di pulau tersebut. Entah apa khabarnya Diane yang sudah hampir lima bulan tidak ditemui. Kali terakhir mereka bertemu ialah sehari sebelum gadis itu kembali ke Liverpool, England.
Advertisement

1 comment:

  1. Salam...
    Bila nak sambung citer ni? Lama dah tunggu.

    Cpt skit yer...

    ReplyDelete

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.