Header Ads

NOVEL: KERANA KAMU 2

Advertisement
Perjalanan hidup Rara berubah drastik setelah keputusan SPM diumumkan. Dia tidak lagi bebas ke sana ke mari seperti sekarang ini. Dengan keputusan SPM yang cemerlang, dia terpaksa mengikut janji yang Baharum simpulkan di hadapan isterinya sebelum arwah meninggal dunia. Janji untuk memberikan yang terbaik untuk Rara. Ini bermakna keputusan SPMnya menjadi tiket ‘sah’ bermulanya era perpisahannya dengan Didi. Walau apa terjadi, mesti hantar Rara menuntut ilmu sampai ke hujung dunia…itulah kata-kata terakhir isterinya yang masih diingati sampai kini. Kata-kata wanita cantik yang gambarnya masih tersimpan rapi di dalam ruang mindanya.

“Kenapa duduk sini senja-senja macam ini? Tak takut hantu laut terkam Rara nanti…” satu suara mengejutkan lamunan Rara.

Rara tidak perasankan Didi di sisinya walau ketika ke mari tadi mereka bersama-sama. Mungkin dia telah terlalu lama melamun, sekaligus mengabaikan kewujudannya saat ini. Mata sepet Didi diraup sekali lalu dengan mata nakalnya. Wajah kacak ini akan ditinggalkan sementara di sini, dan dia pula bakal berangkat ke UK beberapa hari lagi. Kalau tak nak pergi boleh tak? Apakah abah akan menjerit marah-marah atau tenang memberikan pendapatnya? Rara buntu menangani perasaannya saat itu.

“Jangan risaukan Didi kat sini. Didi dah besar, pandai jaga diri. Tapi syok juga kan…minah pengacau dah tak ada kat sini lagi. Aman dunia…” entah dia mengejek atau merajuk, Rara tidak pasti. Nada suaranya datar sahaja.

Macam biasa tangan Rara merayap ke badan Didi dan memukulnya sekuat hati. Orang tengah bersedih, boleh pulak dia buat lawak bodoh. Jangan ‘provoke’ Rara lagi boleh tak? Dahlah orang tengah cari akal akal untuk menolak pergi ke UK ni…

“Didi tak ada idea ke?”

“Rara nak buat apa lagi? Pergi ajelah…dah ada peluang. Macam Didi ni tak mampu, memanglah tak pergi. Kalau mampu dah lama Didi tinggalkan Rara. Hi…hi…” Didi menyeringai lebar.

“Didi memang! Dari dulu langsung tak faham feeling Rara. Rara aje yang terhegeh-hegeh kat Didi. Nasib baik ada Rara muka tak malu ni…kalau tak sampai sekarang Didi tak ada awek tau.”

“Siapa kata? Saja Didi tak nak cari,..biar datang sendiri.”

“Didi nak cari lagi?! Rara ni kan ada. Tak cukup juga?” Rara menguatkan suaranya. Hilang segala kelembutan seorang Rara di hadapan mata romeonya.

“Rara sorang mana cukup.” Didi menjawab pantas.

“Didi cakap lagi…Rara lepuk karang!! Jangan Didi berani cari awek lain…”

Didi berlari meninggalkan Rara sebaik sahaja dia menghabiskan kata-katanya. Takut di pukul lagi oleh Rara yang memang kaki pukul. Rara pun apa lagi, macam pelari pecut mengejar Didi yang langkahnya panjang macam galah. Sambil berlari-lari, Rara menjerit memanggil namanya. Rara menyuruh Didi berhenti agar dapat menyainginya. Namun Didi semakin laju menuju ke kereta Kancil yang diparkir di bawah pokok. Kereta itu Didi pinjam dari Ummu Khalidah. Dari jauh Rara nampak Didi bersungguh-sungguh mentertawakannya, makin tambah sakit hatinya pada Didi. Jaga kau, Didi!

***

Mereka ketawa mengekeh mengenang zaman remaja yang dilalui, ketika curi-curi keluar dari sekolah melalui pintu belakang kerana mengejarkan masa tayangan filem lakonan Afdlin Shauki yang sudah lupa tajuknya. Mereka juga selalu menggunakan getah untuk melastik budak-budak yang suka mengumpat di tepi tangga pada waktu rehat. Mereka akan ketawa hingga pecah perut apabila pelajar-pelajar perempuan itu mengaduh kesakitan sambil menyumpah seranah.

Ah! Manisnya kenangan itu tetapi bakal ditinggalkan di bahu Didi seorang. Dirinya di UK nanti pasti dihambat dengan kesibukan yang teramat, mana lagi untuk memahami budaya belajar orang di bumi Inggeris itu dengan bahasa kentangnya.

“Rara kat sana nanti jangan main mata pulak. Mat saleh handsome-handsome tau…”

“Kalau mata masuk habuk, kena kelip-kelip sikit…takkan nak biar habuk rosakkan mata.”

“Kat sana mana ada habuk atau debu. Salji ada lah...” Didi menjawab laju. Muncungnya tajam. Didi tak suka Rara mempermainkan cakapnya. Ketika ini barulah boleh bezakan mana satu rupa Didi yang serius atau main-main. Kali ini dia serius. Rara tahu.

“So?”

“So?!” dia menyoal balik.

“Kita jaga diri masing-masing. Didi pegang janji dan Rara pun pegang janji.”

Didi dan Rara menguis ibu jari masing-masing tanda setuju dengan perjanjian lisan antara kami berdua. Tidak seorangpun boleh berlaku curang. Paling tidak perjanjian ‘kartun’ antara mereka berdua melegakan perasaan Rara buat ketika ini.

“Didi tunggu sampai Rara balik tau, nanti kita boleh ikat hati kita dengan ikatan yang sah.” Rara membuat cadangan yang nampak dominan dari Didi. Sedangkan seorang wanita sepatutnya harus tahu batas tata susilanya dan adab malunya. Tapi, apa dia peduli! Dia punya lidah dan mulut, suka hatilah nak cakap apa!

“Jangan lupa telefon atau hantar email tau.” Nafas hangat Didi betul-betul terasa di cuping telinga kirinya. Degupan jantung berlari laju.

Rara membalasnya dengan anggukan lembut. Bersaksikan senja merah dengan pandangan yang indah dan mengusik perasaan, janji mereka terpatri di hati.

“Jaga kesihatan, jangan makan pedas-pedas. Rara bukan boleh lebih-lebih, nanti sakit perut macam hari itu.”

“Kalau selsema cepat-cepat ambil ubat.”

“Jangan tidur lewat. Nanti tak ada orang kejutkan. Rara kalu tidur susah nak bangun. Kunci jam tu, nanti asyik ponteng kelas.”

Tersentuhnya hati Rara tatkala Didi menitipkan pelbagai pesanan dan ingatan untuknya di sana nanti. Setelah itu, mereka melangkah pulang dengan rasa yang berbelah bahagi. Perasaan rindu dan rasa ditinggalkan semakin terasa membenam ke dalam jiwa seterusnya melahirkan emosi yang tersendiri. Malam itu Rara menangisi perpisahan yang bakal menjemput tiba antara dirinya dengan abah dan juga insan yang tersayang, Didi.

***

Kiki datang membantunya berkemas setelah abah beriya-iya menyakinkan bahawa Kiki seorang gadis lemah lembut yang boleh meringankan bebanan perasaan sedihnya. Baharum tahu akan kesedihan yang ditanggung oleh Rara, jadi pada pendapatnya kehadiran Kiki ke rumah bisa mengurangi rasa sedih yang bersemi di dalam diri anaknya sejak dua tiga hari itu. Didi pun apa lagi, naik tocangnya mempamerkan kerajinan yang diluar dugaan dengan membantu dan menyibuk di rumah Rara. Tak tahulah kerana Rara atau kerana Kiki yang lemah lembut itu, maka dia sering berkunjung. Didi menjadi begitu peramah dan ringan tulang.

“Hah! Dah sampai…”

Rara terkejut melihat Didi yang sedang membantu Kiki mengusap-usap belakang sikunya. Api cemburunya naik ke muka dan serta merta wajahnya bertukar muram. Dia meletakkan dulang berisi air dan keropok ikan di atas meja di hadapan mereka. Dia menjeling Kiki yang berwajah selamba dan begitu juga Didi. Seumpama tidak rasa bersalah terhadap perbuatannya di hadapan Rara tadi.

“Eh! Sedapnya. Rara yang goreng ke?” Didi sudah duduk di sisi Rara sambil mengunyah keropok ikan tersebut. Keropok itu baru sahaja Baharum bawa pulang dari negeri pantai timur di mana tempatnya bekerja.

“Hmm!”

Kiki ikut mengambil sekeping keropok dan di masukkan ke mulutnya yang comel itu. “Ya lah, sedap. Pandai Rara goreng, kan Didi.”

Silih berganti Rara merenung tajam wajah-wajah manusia di hadapannya ketika itu. Pada wajah Didi yang merayu pengertian dan pada wajah mulus milik Kiki. Mereka-mereka ini yang bakal ditinggalkan. Hatinya cuak tiba-tiba. Bagaimanakah nanti keadaan Didi setelah kepergiannya? Sunyikah dia? Rindukah dia nanti padaku? Atau…dia telah bersedia mencari pengganti? Mengingati itu semua, jantung Rara bergetar lebih laju dari biasa.

Rara menarik tangan Didi ke luar rumah. Kiki terpinga-pinga tidak faham melihatkan gelagat Rara yang tiba-tiba macam nampak hantu. Uh! Dia cemburu kut! Kiki tersenyum kecil sambil memerhatikan sahaja tangan Didi yang ditarik oleh Rara.

“Kenapa Didi buat macam itu tadi? Tak nampak ke Rara masih ada kat sini. Belum pergi lagi dah macam-macam. Kalau Rara dah tak ada tentu Didi buat lebih dari itu. Tak malu!”

Didi hanya tersenyum sambil melayari mata redup milik Rara. Dia tahu Rara cemburu melihatkan kemesraan dirinya dengan Kiki. Dia tahu Rara tidak suka perempuan lain dilayan melebihi dirinya. Sewajarnyalah dia bertindak begitu kerana hubungan mereka bukan sekadar kawan biasa. Dia tahu, Rara pun tahu. Mereka saling menyayangi antara satu sama lain.

“Maafkan Didi kalau Rara tak suka. Didi janji tak buat lagi. Didi anggap Kiki macam adik aje, tapi dengan Rara lain. Rara istimewa di hati Didi.”

Rara sudah kembali senyum. Dan semua orang tahu, Rara memiliki sebuah senyuman yang menawan dan boleh mencairkan hati sesiapa sahaja. Apabila Rara tersenyum, umpama dunia ini ikut tersenyum. Begitulah selalu Baharum mencanangkan kepada rakan-rakannya tentang kecantikan puterinya yang seorang itu.


***

Mereka tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz saju jam setengah sebelum Rara berangkat. Baharum sengaja keluar awal tadi bimbang jalan raya mengalami kesesakan. Kiki, Didi dan Ummu Khalidah ikut sama menghantar Rara ke ‘airport’. Rara cuak melihatkan telatah Didi dan Kiki yang tidak henti-henti ketawa selepas habis bercerita. Dari dalam perut kereta sehinggalah kaki mereka sudah bertapak di lapangan terbang ini. Asyik bercerita sehingga langsung tidak mengendahkan perasaan Rara yang sedang kesedihan. Dia mengharap Didi memujuknya dengan kata yang indah-indah, memberikan kata perangsang untuk terakhir kalinya atau paling tidak pun menemaninya sehingga ke balai berlepas.

Airmatanya turun untuk kesekian kali. Rara bimbangkan Baharum yang ditinggalkan, sedangkan ayahnya itu sudah kelihatan berusia berbanding umurnya. Dia tahu ayahnya teramat rindukan arwah isterinya, sebab itu sehingga kini dia tidak mencari pengganti.

“Belajar rajin-rajin. Jangan ingat benda lain. Nanti kalau ada masa abah datang melawat kamu. Abah kat sini pandailah abah jaga diri sendiri. Sudahlah…simpan air mata tu. Rara dah besar, jangan mudah putus asa. Jangan mudah patah semangat. Buatlah semuanya dengan hati rela. Insya’Allah, Rara akan jadi anak kebanggaan abah. Ingat tu…” Baharum memeluk erat puteri kesayangan. Esakan Rara semakin kuat.

“Abah!!” tiada kata yang mampu diucapkan melainkan dakapannya semakin erat di tubuh tua Baharum.

Kiki dan Didi datang berdiri di sebelah Rara. Mereka bersedia mengucapkan selamat jalan kepada Rara. Wajah Didi kelihatan sayu, mungkin berat untuk melepaskan pemergian Rara untuk beberapa tahun. Didi mencapai tangan Rara dan mengusapnya lembut. Dia ingin menyampaikan rasa dan semangatnya buat gadis comel itu. Dia ingin Rara tabah dalam segala hal. Dia ingin Rara tahu yang kasihnya hanya untuk gadis itu seorang. Dan sebenarnya…dia juga sedih. Sedih menghadapi perpisahan itu. Cuma kesedihan itu tidak mahu ditunjukkan kepada Rara. Dia tidak tergamak untuk melemahkan semangat cinta hatinya yang seorang itu.

***

“Kita singgah minum dulu, jom.”

“Tak mahulah. Tak ada mood.”

“Pak Cik nak minum atau makan dulu ke?” Kiki bertanya pula kepada Baharum setelah Didi menolak ajakannya.

“Boleh juga. Jomlah.”

“Kita kan tengah sedih ni…Rara baru aje pergi. Lain kali kita minum, Rom.” Ummu Khalidah bersuara.

Kiki yang duduk di sampingnya terdiam. Dia menoleh sekilas kepada wajah muram Ummu Khalidah. Semasa melepaskan Rara pergi tadi, Kiki nampak Ummu Khalidah menangis sambil mendakap erat tubuh Rara. Kasih sayangnya nampak jelas dizahirkan kepada Rara. Bagai emak dengan anak lagaknya. Sedikit sebanyak hati kecil Kiki terusik.
Bilakah masanya pula dipeluk begitu oleh Ummu Khalidah? Hanya gelengan yang menjawab pertanyaan dari hati kecilnya itu.

“Singgah makan kejap, Idah. Budak-budak ni dah lapar agaknya. Kalau tak makan pun tak apa, temankan kita orang.” Baharum membuat keputusan yang tidak mampu dibantah lagi oleh Ummu Khalidah.
Kiki melayani Baharom dan Didi makan. Dia memesankan minuman untuk mereka, mengambil tisu dan memberikan layanan terbaiknya untuk kedua-dua orang lelaki kesayangan Rara. Tidak tahu apa motifnya, tetapi Ummu Khalidah melihatnya dengan pandangan sangsi. Dia tidak suka Kiki berlebih-lebihan menunjukkan rasa prihatinnya. Dia takut nanti menimbulkan rasa kurang senang di hati Baharom.

“Cukup. Cukup…Pak Cik dah kenyang. Tak payah tambah lagi.” Baharom menolak apabila Kiki mahu mengambilkan nasi tambah untuknya.

Ummu Khalidah naik meluat dengan perangai Kiki yang mula menunjukkan warna sebenar. Kiki seolah sedang menggoda lelaki-lelaki kesayangan Rara. Dia perlu menghalang segera, jika tidak tentu akan menimbulkan masalah lain pula.

“Kiki…kenapa kau buat macam tu pada Pak Cik Rom. Kan Pak Cik dah cakap, dia tak nak tu, tak naklah. Jangan lebih-lebih. Kau tu anak dara, cuba hormat sikit pada orang tua. Lagi-lagi orang yang cuba menolong kau.”

“Idah. Kenapa cakap macam itu. Kecil hati dia nanti. Budak-budak Khalidah, memang macam tu perangainya. Dia orang buat apa yang dia orang fikir nak buat. Lagipun aku tak marah pun, kenapa kau pulak nak marah?”

Didi ketawa mengekeh mendengar perbalahan antara emak dan Pak Cik Baharomnya. Tawanya disambut dengan senyuman penuh makna dari Kiki.

“Emak tu jealous kut, Pak Cik. Sebelum ni kan dia tak ada saingan…”

“Apa maksud Didi cakap macam tu. Saingan apa pulak. Emak cakap benda yang betul, yang benar. Mana ada cemburu semua tu…mengarut je Didi.” Ummu Khalidah membela dirinya.

Didi hanya tersenyum penuh makna mendengar hujahan emak kesayangannya itu. Wajah Ummu Khalidah tetap ‘cool’ walau dalam keadaan marah. Itu yang membuatkan Didi selalu kalah dengan emaknya.

“Kiki minta maaf Mak Cik kalau perbuatan Kiki pada Pak Cik Baharom tadi menyakitkan hati Mak Cik. Lain kali Kiki janji tak buat lagi.”

Baharom mengiyakan pengakuan Kiki yang ikhlas itu sambil mengharap jawapan dari bibir Ummu Khalidah. Ummu Khalidah hanya terdiam tanpa memandang Kiki ataupun Baharom.

“Emm…nanti kat sana si Rara tu tahu ke nak berurusan dengan pihak universiti? Tak ada ke kawan-kawan kau yang ada kat sana tu Rom? Kau kan dulu study kat UK jugak.”

“Ada. Aku nak bagi nama dan alamat kawan aku pada Rara. Lagipun, aku dah e-mail maklumat university Rara pada Mr. Abdul. Dia tu orang Mesir, tapi bekerja kat UK. Aku rasa okeylah tu kut. Lagipun Rara ada buat survey sebelum pergi sana hari tu.”

“Ya lah…dia mana pernah pergi jauh dari kau sejak kecil sampailah sekarang ni. Macam manalah kau nak hadapi semua ini, Rom.”

“Entahlah, Idah. Doalah yang baik-baik buat kami berdua.” Lirih sahaja suara Baharom sebelum mereka meninggalkan restoran yang menjual lauk pauk kampung itu.

Ummu Khalidah menjeling sahaja sewaktu matanya menangkap kemesraan antara Didi dan Kiki sejak dari lapangan terbang lagi. Entah mengapa setiap kali terlihat perlakuan Kiki pada Didi, hatinya berdebar-debar dan rasa tidak sedap hati. Mengapa ya?
Advertisement

No comments

TINGGALKAN KOMEN ANDA:

Powered by Blogger.